Wednesday, August 3, 2011

'Booster' Peningkatan



Evaluasi sebelum meneruskan langkahan
supaya berlaku peningkatan ...


Hari ini, sudah 3 Ramadhan.

2 hari sudah Ramadhan berlalu meninggalkan kita. Tinggal 28 hari berbaki untuk kita merebut segala kebaikan dalamnya.

Jika dihitung dalam tempoh 10 hari awal kerahmatan, maka kita hanya mempunyai tinggal 7 hari sahaja lagi.

Maka, satu soalan kita perlu tanyakan pada diri kita sebagai satu evaluasi. Bagaimanakah kondisi 2 hari yang telah berlalu itu?

Apakah 2 hari itu sarat dengan program ibadah yang membentuk TAQWA kita?
Adakah kita telah bersungguh-sungguh dalam 2 hari itu untuk mengejar rahmat Allah itu?

Bagaimana dan bagaimana?



Kita perlu tanya dan muhasabah.

Supaya jika kita masih belum maksimum usaha dalam 2 hari yang telah lepas ini, maka kita masih sempat untuk memperbaiki dan berusaha lebih lagi dalam hari-hari mendatang.

Kalaupun telah banyak amalan kita lakukan, kita masih perlu terus mencari ruang untuk menambah dan memperbaiki kualiti amalan kita.

Kita tidak hanya mahu sekadar memperbanyakkan kuantiti ibadah, tetapi biarlah kualiti itu terpelihara juga supaya TAQWA itu benar-benar menjadi natijah akhirnya.


MAHU MERAIH SYURGA?  PERLU SEGERA MERANCANG DAN MERENCANA !

Syurga itu motivasi Allah buat manusia.

Dengan syurga, Allah memotivasi manusia supaya bersungguh-sungguh beramal untuk memperoleh ganjaran dan nikmat yang tiada bandingannya di sana.

Bahkan, neraka juga adalah motivasi Allah kepada manusia supaya bersungguh-sungguh meninggalkan dosa, serta berlari menuju dan mengejar pahala.

Ada orang yang masuk syurga, sedangkan amalnya sangat sedikit. Ingatkah pada Sumayyah, wanita pertama yang syahid dalam Islam?

Ketika zamannya, belum difardhukan perintah ibadah khusus seperti solat, puasa dan sebagainya. Ia belum sempat banyak beramal, tetapi kerana keimanannya yang jitu, walaupun dibunuh oleh kafir Quraisy, Nabi s.a.w. tetap memberi jaminan Allah kepada keluarga mereka dengan jaminan syurga.

Ada orang yang masuk neraka, meskipun amal ibadatnya berpanjangan selama 500 tahun.

Bukankah dahulunya ada seorang ahli ibadah yang beribadah bertahun-tahun lamanya, terpedaya, yang akhirnya menyembah syaitan pada hujung hayatnya?

Maka, keinginan untuk meraih syurga itu perlu dirancang.

Bagaimana?

Salahkah memperbanyakkan amalan pada bulan Ramadhan ini?
Tidak. Tidak ada salahnya.

Tetapi, perhatikanlah kualiti pada kuantiti itu.

Biar nanti, solat-solat sunat itu memberi kesan pada peningkatan iman.
Biar nanti, tadarus Al-Quran itu melembutkan jiwa untuk lebih dekat dengan Allah.
Biar nanti, puasa dan amalan-amalan lain itu benar-benar membersihkan dosa, menjernihkan jiwa untuk kita terus bangun dan membangunkan ummat ini.


BAGAIMANA MENJADIKAN RAMADHAN ITU ‘BOOSTER’? AMBIL PEDOMAN DARI MEREKA …

Bukankah Nabi s.a.w. telah sebutkan dalam hadisnya yang mafhumnya bermaksud:

“Barangsiapa yang berpuasa dengan imanan (penuh keimanan) wahtisaban (menghitung-hitung untuk mengharap redha Allah), diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

Lihatlah, Nabi s.a.w. menyebut imanan dulu.

Keimanan itu adalah kualiti pada amalan. Setakat mana amal mampu memberi kesan pada iman, maka itulah yang lebih berkualiti.

Maka, yang utama adalah memerhatikan kualiti. Itulah yang dilakukan oleh sahabat Nabi s.a.w.

Mari kita melihat bagaimana para sahabat menjadikan Ramadhan itu sebagai ‘booster’.

Lihatlah beberapa peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan.  

Contoh yang paling jelas adalah peristiwa Fathul Makkah iaitu Pembukaan Kota Makkah. Fathul Makkah itu berlaku di bulan Ramadhan, bukan?

Ia telah menjadi ‘booster’ kepada para sahabat Nabi s.a.w. untuk bergerak dengan lebih gencar dan lebih bersemangat lagi selepas itu.

Semakin banyak negara-negara Islam dibuka selepas peristiwa Fathul Makkah.

Bahkan, peristiwa lain yang turut berlaku dalam Ramadhan seperti perang Badar telah menolak dan menggerakkan sahabat untuk merancang lebih jauh lagi untuk perkembangan dakwah Islam.

Penggalian parit dalam peristiwa Perang Khandak, ia berlaku juga dalam bulan Ramadhan. Ia menjadi penolak untuk sahabat-sahabat Nabi s.a.w. bergerak dengan lebih jauh lagi selepas itu.

Mereka telah menang dalam perang tersebut dan merangka gerak kerja penyebaran dakwah Islam yang lebih hebat selepas itu.


PENUTUP : IA ‘BOOSTER’ UNTUK KITA JUGA, KENAPA TIDAK MANFAATKAN?

Manusia sentiasa perlukan pendorong. Perlu motivasi untuk bergerak dalam kehidupan. Bukan sekadar bergerak, tetapi bergerak dengan peningkatan.

Ramadhan itu sendiri adalah ‘booster’ buat diri kita.

Ia sepatutnya menolak dan menggerakkan IMAN kita untuk berada di tahap yang lebih baik.

Di dalamnya, Allah membersihkan ruang-ruang bisikan kejahatan, supaya dengan itu kita mudah untuk mengutip bekal-bekal kebaikan yang menjadi sumber kekuatan kita untuk bergerak dengan lebih baik dalam kehidupan seharian.

Kita sentiasa berperang setiap hari. Perang antara IMAN dan NAFSU.

Perang antara IMAN dengan BISIKAN SYAITAN di bulan-bulan biasa. Maka, kita tidak mahu berperang dalam keadaan graf iman kita naik turun seperti biasa.

Tetapi, biarlah kita berperang dalam keadaan IMAN kita naik banyak, turun sedikit sahaja, kemudian naik lebih banyak dan begitulah seterusnya urutannya.

Turunnya sikit, naiknya banyak. Ini graf iman kita yang sepatutnya.

Kita perlu mengubah dari kebiasaan graf turun naik IMAN yang setara sahaja walaupun selepas berlalunya Ramadhan.

Kita perlu berubah dan meningkat. Kalau selepas Ramadhan, kita hanya sama sahaja seperti sebelum ini, maka rugilah kita.

Justeru, mari manfaatkan Ramadhan yang ada hari ini!

2 comments:

BroHamzah August 3, 2011 at 4:19:00 PM GMT+8  

Salam,

Artikel penggugah jiwa. Syukran Sheikh Kabir!

BroHamzah

Unknown August 3, 2011 at 4:37:00 PM GMT+8  

@ brohamzh:

Afwan. Barakallahu fik. Sekadar berkongsi.

Semua daripada Allah.

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP