Lailatul Qadr : Fast Track Menuju Allah
Ramadhan Untuk Perubahan ~ Picture by maramissetiawan.wordpress.com |
Kita sudah berada di pusingan akhir Ramadhan. Pusingan 10 malam akhir yang sangat dinanti-nantikan.
10 malam akhir yang digesa oleh Rasulullah s.a.w. supaya kita bersungguh-sungguh di dalamnya.
Kenapa perlu bersungguh-sungguh?
Kerana di dalam 10 inilah, salah satu malam daripada malam-malamnya adalah Lailatul Qadr.
Dari Aisyah r.a. disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
“Carilah lailatul qadr itu pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.”
[HR Imam Bukhari]
Malam yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Qadr ayat 2, yang bermaksud:
“Malam Al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.”
Dengan kata lain, siapa yang beramal dan melakukan kebaikan pada malam itu, dia seolah-olah telah melakukannya selama 1000 bulan.
Maka, ramailah yang teruja dan berebut-rebut untuk menghidupkan malam-malam akhir ini.
LAILATUL QADR : SHORTCUT KEHIDUPAN KERANA UMUR KITA TIDAK PANJANG
Dalam setahun, Ramadhan hanya sekali.
Dalam sekali Ramadhan itulah, Allah cuma anugerahkan sekali sahaja malam Al-Qadr.
Supaya dengan sekali itu, manusia mencari dan merebutnya. Kalaulah malam Al-Qadr itu ada saja setiap malam dalam bulan Ramadhan, maka ia menjadi tidak apa-apa pada manusia. Ia akan hilang keistimewaannya pada mata manusia.
Kenapa?
“Kalau aku tinggal malam ni, esok malam ada lagi.”
“Kalau aku tinggal sekalipun malam ni, tertidur, tak bangun, aku dah buat pun malam semalam.”
Itulah hebatnya anugerah Allah. Sekali setahun ini, peluang keemasan untuk kita panjangkan umur kita dengan amalan kebaikan dengan jalan shortcut.
Umur kita sebagai ummat Nabi Muhammad s.a.w. rata-ratanya antara 60 hingga ke 70 tahun sahaja. Kita tidak seperti ummat terdahulu yang umurnya panjang beratus-ratus tahun.
Secara logiknya, kalau dihitung amalan kita dengan amalan ummat terdahulu dinisbahkan dengan umur yang kita miliki sekarang, nescaya pastilah kita ummat yang terkebelakang sekali dalam merebut syurga Allah.
Kenapa?
Ya. Umur sudahlah sikit. Pahala pun tidak banyak.
Tetapi, Allah itu Maha Adil. Dia yang menyusun kejadian alam ini. Maka, pasti dia tidak akan tinggalkan kita di belakang sekali hanya kerana umur kita yang tidak panjang seperti ummat-ummat terdahulu.
Maka, Lailatul Qadr adalah anugerah Allah sebagai menggantikan apa yang dimiliki oleh ummat terdahulu tetapi tidak dimiliki oleh kita.
Bahkan, ia lebih mudah lagi. Kerana hanya dengan melakukan amalan kebaikan hanya pada satu malam, sudah bersamaan dengan 1000 bulan ataupun 83 tahun 4 bulan.
Dengan hanya 1 malam, kita dapat umur yang penuh dengan kebaikan selama 1000 bulan.
Dengan hanya 1 malam kita berdoa, kita seolah-olah telah meminta kepada Allah dengan doa kita itu selama 1000 bulan.
Shortcut yang Allah beri, siapa pula yang benar-benar menghargai dan mensyukuri?
LAILATUL QADR : IA BUKAN TUJUAN, TETAPI JALAN PEMBERSIHAN
Ada orang, semakin dekat dengan penghujung Ramadhan, semakin seronok dia.
Ada orang, semakin dekat dengan Syawal, semakin hebat persediaan dia untuk menyambut Syawal, maka dia meninggalkan yang lebih utama bagi dirinya iaitu lailatul qadr.
Ada pula orang, semakin Ramadhan ingin tinggalkan kita, semakin sedih dirinya, maka dia bersungguh-sungguh pada 10 malam akhir ini.
Orang yang leka dengan Syawal, maka dia telah terlupa akan matlamat asal masuk ke dalam Ramadhan.
Maka, dia tidak akan dapat bertemu Lailatul Qadr dengan hati yang khusuk kerana hatinya sebenar telah berada di bulan Syawal sebelum kedatangan Syawal.
Ya. Lailatul Qadr itu bukan tujuan. Ia cuma jalan.
Jalan untuk kita bermujahadah dan membersihkan hati supaya kita menuju kepada Allah dengan penuh persediaan iman.
Kenapa Allah tidak anugerahkan keistimewaan ini pada waktu siang?
Kerana malam adalah masa yang lebih khusyuk untuk kita dekat kepada Allah sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Muzzamil ayat 1-7 yang bermaksud:
Hai orang yang berselimut (Muhammad), Bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya),(yaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. Atau lebih dari seperdua itu. dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu Perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak).
Malam, saat manusia lain tenggelam dengan keenakan buaian dunia, maka ketika itu kita bermujadahah bangun untuk bertemu Allah.
Orang yang bermujahadah ini adalah orang yang hebat kerana dia bersusah payah bangun semata-mata untuk Rabb-Nya, maka Allah anugerahkan cinta kepada mereka.
Sabda Rasul s.a.w. dalam satu hadith yang bermaksud:
“Barangsiapa yang bangun di tengah malam lalu ia membangunkan isterinya, kemudian mereka berdua mengerjakan solat dua rakaat, mereka berdua akan dicatat sebagai sebahagian daripada orang-orang yang gigih mengingati Allah.”
[HR Abu Daud dan Ibn Majah]
Orang yang tidak menghargainya, dia tidak akan memperoleh lagi peluang ini.
Ramadhan tahun hadapan, belum pasti kita akan sempat bertemu dengannya.
LAILATUL QADR : SKALA KEAMPUNAN ALLAH YANG MAHA LUAS
Kita semua adalah para pendosa. Tetapi, kita ingin keluar daripada Ramadhan ini dengan satu cita.
Bersih daripada dosa.
Bak kata sahabat yang juga merupakan senior saya, Abang Ali Irfan, “Ramadhan kali ini, zero dosa.”
Apa saranan yang diajar oleh Nabi s.a.w. tatkala bertemu dengan malam ini?
Disebutkan dari Aisyah r.anha, ia berkata:
“Aku bertanya Rasulullah s.a.w., ‘Wahai Rasulullah ! Bagaimana menurutmu kalau sekiranya aku menemukan malam kebahagiaan (lailatul qadr), apa yang seharusnya aku katakan?’ Rasulullah s.a.w. bersada: ‘Katakanlah:
اللّهمّ إنّك عفوّ كريم تحبّ العفو فاعف عنّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Pengampun dan Maha Mulia dan Engkau suka mengampunkan, maka ampunkanlah aku.”
[HR Imam Tirmizi]
Maka, di malam Al-Qadr ini, Allah akan anugerahkan keampunan dalam skala yang amat luas.
Hadiah 1000 bulan keampunan untuk saya, anda dan kita, hamba yang kerdil dan selalu berdosa kepada-Nya.
Lalu, apa lagi yang lebih besar daripada apa yang Allah hendak beri?
PENUTUP : BERAPA ORANG YANG BENAR-BENAR MEMBANGUNKAN MALAM ITU DENGAN IMAN?
Ramai yang berusaha mengejar Lailatul Qadr.
Sehabis mampu, yang belum pernah bangun qiamullail sebelum ini pun, akan memaksa dirinya untuk bangun dan merebut peluang ini supaya dia tidak ketinggalan.
Tetapi, berapa ramai yang benar-benar menghidupkan lailatul qadr itu dengan iman?
من قام ليلة القدر إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
“Barangsiapa yang membangunkan Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan berkira-kira, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”
[HR Imam Bukhari]
Apa maksud membangunkan dengan penuh keimanan di sini?
Bangunkanlah Lailatul Qadr untuk membangunkan iman supaya iman itu mampu untuk berfungsi secara dinamik setelah tamatnya Ramadhan ini.
Kita dituntut untuk terus taat dan istiqamah menjalankan perintah Allah setelah usai Ramadhan ini.
Itu yang lebih utama.
Apa guna jika kita menemui malam itu sekalipun, beribadah, berqiamullail bersungguh-sungguh, tetapi setelah keluar daripada Ramadhan, kita kembali kepada sikap asal yang suka melewat-lewatkan solat, meninggalkan amalan membaca Al-Quran dan akhlak pun tidak terjaga.
Orang begini, imannya tidak dinamik, mandul dan tidak berfungsi walaupun setelah Ramadhan.
Maka, 1000 bulan pun tidak ada nilainya di sisi Allah.
Biarlah 1000 bulan itu, jika kita memperolehnya, kita memperoleh kesannya juga kepada hati dan perasaan kita supaya mampu tunduk patuh kepada Allah dalam 11 bulan yang seterusnya selepas Ramadhan ini.
Maka, barulah terealisasi cita-cita ‘Ramadhan Untuk Perubahan’.
Ayuh, berubahlah dan bangkitlah !
2 comments:
@ Syamila Amran :
Silakan.. moga bermanfaat.
Post a Comment