Thursday, December 25, 2008

Saad bin Abi Waqas

Saad merupakan salah seorang daripada bapa saudara Rasulullah. Beliau ketika jahiliyahnya, merupakan seorang tokoh yang sangat kaya raya. Ia memeluk Islam ketika umurnya tujuh belas tahun (asa yang mengatakan sembilan belas tahun, ada pula yang mengatakan dua puluh tiga tahun). Beliau memeluk Islam ketika penganut deen ini baru 4 orang, tetapi ada yang meriwayatkan enam, dialah yang ketujuh. Oleh sebab itu, beliau termasuk dalam golongan as-sabiqunal awwalun.

Biasanya, orang-orang intelek berasa bosan dengan pelbagai tradisi yang mengongkong kaumnya. Mereka ingin segera keluar dari konkongan itu. Begitu jugalah Saad bin Abi Waqas. Lantaran itu, dia memeluk Islam. Apa yang paling menakjubkan, saat jiwa-jiwa yang beriman ini sudah berinteraksi dengan dakwah, maka imannya akan semakin kukuh dihatinya. Saad telah berkata, ” Tatkala ibuku tahu bahawa aku telah memeluk Islam, dia berkata, ” Kau telah murtad. Demi Allah, jika engkau tidak kembali kepada agamamu semula, saya tidak akan makan dan minum sehingga engkau kembali kepada agama asalmu” lalu aku pun menjawab, ” Demi Allah, jika ibu memiliki seribu nyawa sekalipun, kemudian satu demi satu nyawa itu dicabut keluar, saya tetap tidak akan kembali kepada agama asal saya. Sebaiknya ibu lupakanlah nazar ibu itu.” Maka ibunya pun meneruskan nazarnya itu sehari semalam. Ketika ia melihat perbuatannya itu tidak memberi manfaat apa pun, akhirnya ibunya pun mula makan dan minum. Untuk itu, Allah telah menurunkan ayat ini yang bermaksud:


15. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, Maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, Kemudian Hanya kepada-Kulah kembalimu, Maka Kuberitakan kepadamu apa yang Telah kamu kerjakan.


Saad bin Abi Waqas kini telah berhijrah dari jahiliah menuju Islam. Ia mula mendampingi Rasulullah. Ketika datang perintah hijrah, maka beliau pun ikut berhijrah. Ketika datang semboyan peperangan, maka ia pun turun sama dalam medan jihad hingga ia hampir menyertai seluruh peperangan. Maka Nabi s.a.w. telah memberinya khabar gembira dengan ganjaran syurga buat dirinya. Ia memiliki beberapa peristiwa menonjol dalam pelbagai peperangan. Salah satunya, ketika Rasulullah s.a.w. berkata kepada pasukannya, ” Akan datang seorang lelaki soleh dari hamba-hamba Allah yang menjagaku.” Perang belum selesai, tetapi tiba-tiba Saad bin Abi Waqas telah berada dekat dengan Rasulullah. ” Apa yang membuatmu datang ke sini?” tanya Rasul s.a.w. ”Semalam saya merasakan akan terjadi sesuatu yang tidak baik, maka saya datang untuk menjagamu,” jawab Saad.

Dalam perang Uhud, beliau merupakan seorang pemanah yang ulung. Rasulullah s.a.w menyerahkan kantung anak panah kepadanya dan berkata, ”Panahlah wahai Quraisyiy, tebusannya adalah ibu dan bapaku.” Rasulullah s.a.w. tidak menyebut bapa dan ibu dalam kejadian serupa ini kecuali untuknya. Baginda s.a.w. telah berdoa untuknya ”Ya Allah, penuhilah permohonannya dan tepatkanlah panahannya.” Maka Saad tidak pernah meninggalkan Rasulullah s.a.w. sesaat pun selama peperangan berlangsung.

Saad bin Abi Waqas terus berjihad bersama para mujahidin hingga datang masa Khalifah Umar Al-Khattab r.a. Pada masa inilah, Saad menjadi panglima. Abu Bakar memang sangat mengambil berat tentang kemaslahatan kaum muslimin, sehingga pada saat-saat menjelang sakaratul maut, ia telah berpesan, ”Wahai Umar, saya berwasiat kepadamu tentang Saad bahawa kebaikan bersamanya. Jika saya meninggal nanti, janganlah kemaslahatan kaum muslimin engkau abaikan kerana apa jua bentuk kesibukan. Saya telah mengetahui apa yang dikehendaki Persia terhadap mereka...”

Berlalulah masa Abu Bakar, Umar kini ingin melaksanakan apa yang diwasiatkan oleh Khalifah pertama. Beliau pun menghimpun para sahabat dari kalangan ahlil halli wal ’aqdi. Beliau mengusulkan kepada mereka jiakalau dirinya yang akan memimpin tentera Islam untuk menghadapi Persia, tetapi mereka mengusulkan agar Khalifah tetap berada di Madinah untuk menyelesaikan masalah-masalah dalaman. Maka pengganti pun dicari dan pemilihan dilakukan. Seluruh ahlil halli wal ’aqdi sepakat dan bersetuju mengangkat Saad bin Abi Waqas sebagai panglima. Beliau telah diperintahkan untuk membahagikan pasukan muslimin menjadi beberapa kumpulan yang dianggotai sepuluh orang prajurit. Setiap kumpulan dipimpin oleh seorang komandan.

Saad kini telah tampil sebagai seorang panglima. Beliau membuat kem militer di Qadisiah. Sebelum menyerang Persia, beliau memilih lapan orang dari pasukannya di antaranya Nu’man bin Mundzir untuk menyampaikan kepada pihak Persia apa yang diinginkan pasukan muslimin. Nu’man berkata kepada sesama lapan orang yang dipilih itu, ”Jika kalian mahu, saya akan berbicara kepada mereka tentang kalian, atau salah seorang dari kalian yang berbicara.” Tujuh orang yang lain menjawab, ”Bicaralah engakau mewakili kami!”

Ketika sudah berada di Istana Kisra (Raja Persia), sang Raja bertanya,”Apa yang kalian bawa?” Nu’man menjawab, ”Allah telah menganugerahkan kasih sayang-Nya kepada kami dengan mengutus seorang Rasul. Ia memerintahkan kami untuk berbuat baik dan melarang kami mengerjakan keburukan, serta menjanjikan untuk kami syurga. Kami mengajak kalian untuk memeluk agama kami. Jika kalian memenuhi ajakan kami maka kami tinggalkan Kitab Allah agar kalian berhukum dengannya, dan jika kalian menolak maka kalian harus membayar jizyah, dan kalian dalam keadaan terhina. Jika semua ditolak, maka kita bersedia untuk berperang.”

Serta-merta sang Kisra pun bangkit dengan menyebut keburukan-keburukan perilaku dan kebodohan-kebodohan bangsa Arab. Tampillah Mughirah bin Zararah, ”Adapun yang engkau katakan tentang kebodohan dan keburukan perilaku Arab, benar adanya. Namun itu semua dahulu sebelum kedatangan Islam. Adapun sekarang, engkau menyerah atau kau beri jizyah dengan penuh kehinaan.”

Setelah itu, Kisra memerintahkan untuk memberinya tanah. Tanah itu diletakkan di atas kepala semua utusan. Tatkala utusan itu kembali menghadap Saad, dia bertanya penuh kehairanan, ”Apa maksud tanah ini?” ”Allah menjadikan tanah negeri ini milik kita,” jawab mereka.

Kemudian Panglima Saad mengutus lagi utusan lain yang terdiri dari tiga pegawai. Ternyata mereka (Persia) tidak menginginkan sesuatu pun selain perang. Maka pasukan muslimn pun maju bertempur melawan pasukan Persia, dan akhirnya kemenangan bagi kaum Muslimin. Mereka kemudian mengangkat Saad menjadi Raja.

Tatkala Saad bin Abi Waqas tiba di Istana Kisra, ia menjadikan tempat itu sebagai tempat solat. Mengiringi itu, beliau membacakan ayat 25-29 dari suah Ad-Dukhan yang bermaksud:


25. Alangkah banyaknya taman dan mata air yang mereka tinggalkan,
26. Dan kebun-kebun serta tempat-tempat yang indah-indah,
27. Dan kesenangan-kesenangan yang mereka menikmatinya,
28. Demikianlah. dan kami wariskan semua itu kepada kaum yang lain.
29. Maka langit dan bumi tidak menangisi mereka dan merekapun tidak diberi tangguh.


Wallahu a’lam.

Monday, December 22, 2008

Antara Kejayaan Dan Kegagalan...

Cuba tonton iklan ini....


Iklan ini memberi beberapa ibrah dan pengajaran kepada kita. Si ayah menahan keinginan anaknya kepada pelbagai perkara yang tidak penting semata-mata untuk masa depan anak. Anaknya minta dibelikan itu dan ini namun ditolak oleh ayahnya secara lembut dan hikmah. Si ayah memikirkan kepentingan masa depan anaknya itu lantaran menolak kehendak anaknya untuk membeli itu dan ini. Meskipun kasihan dengan nasib si anak yang tidak memperolehi barang yang dihajati, namun si ayah tetap berpegang dengan prinsipnya sendiri. Biarlah anaknya susah di masa sekarang untuk kebahagiaan masa depan. Biarlah si anak tidak mendapat kemahuannya sekarang demi sesuatu yang lebih baik dan lebih menguntungkan untuk dirinya di masa depan.

Itulah lumrah kehidupan kita sebenarnya. Siapa yang berusaha bersungguh-sungguh pasti akan memperolehi hasil yang baik. Setakat mana kesungguhan kita dalam melaksanakan tugas dan kerja kita, setakat itulah pula hasil yang kita dapat. Dalam klip video di atas, si ayah telah berjaya merancang untuk masa depan anaknya (dalam realiti mereka). Beliau bersabar dengan karenah anaknya yang meminta itu ini sehinggalah apabila anaknya telah dewasa dan menyatakan hasratnya untuk menyambung pelajaran, barulah ketika itu si ayah mengeluarkan wang yang disimpannya selama ini untuk kegunaan anaknya. Si ayah berpuas hati ketika itu.

Begitu jugalah kita, sama ada berpuas hati atau tidak, kitalah yang menentukannya dengan kesungguhan dan keseriusan dalam kerja kita. Kita mahu kepada kejayaan dalam pelbagai bidang. Kita mengimpikan sebuah kehidupan yang penuh dengan kejayaan. Kita bercita-cita untuk menjadi seorang yang hebat dan berwawasan dalam hidup kita. Tetapi apa usaha yang telah kita lakukan untuk mencapai kejayaan yang kita benar-benar impikan itu.

Junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah mencintai seseorang yang ketika beramal, dia bersungguh-sungguh dalam amalannya"


Bahkan As-syahid Imam Hasan Al-Banna telah berkata:


"Antara diri kita dengan kejayaan adalah putus asa"



Justeru, dalam setiap amal perbuatan kita, buatlah yang terbaik. Sesungguhnya Allah tidak menilai kepada natijah dan hasil kerja kita tetapi Allah menilai usaha kita. Jikalau Allah menilai kepada hasil usaha kita, nescaya akan habislah semua orang yang mengalami kegagalan. Sangat beruntung pulalah buat orang yang berjaya. Tetapi, Allah tidak memandang semua itu. Allah menilai kepada usaha dan ikhtiar kita. Lebih kuat usaha kita, lebih sayang Allah terhadap kita.


Jauhilah sikap mudah berputus asa. Orang yang mudah berputus asa adalah orang yang telah kalah sebelum berjuang. Tidak ada erti putus asa dalam kamus hidup seorang insan sebenarnya. Kesungguhan dan keseriusanlah yang akan mematikan dan menjauhkan sikap putus asa daripada diri kita. Kita berhajat kepada sesuatu (mestilah berlandaskan syariat segala keinginan), maka berusahalah mendapatkannya dengan cara yang baik. Berkemungkinan kita tidak dapat melihat natijah dan hasilnya di masa sekarang, namun jika usaha kita itu diteruskan oleh anak cucu kita, maka berlipat kali gandalah ganjaran pahala yang akan kembali kepada kita. Umpama kita membina sebuah syarikat perniagaan. Mungkin semasa hayat kita tidak berkesempatan menyaksikan syarikat kita berubah menjadi sebuah empayar perniagaan yang besar. Empayar itu hanya terbina semasa hayat anak cucu kita. Sungguh Allah tidak melihat kepada empayar perniagaan yang sudah luas terbina itu, tetapi Allah menilai usaha kita untuk membina semua itu. Lantaran itu, dalam apa pun pekerjaan, berusahalah dengan sehabis baik untuk mencapai kejayaan yang sebenar. Jangan mengalah sebelum berjuang. Pantang berundur sebelum maju.


KHIDMAH '08

HALUAN dengan kerjasama penduduk qariah Kampung Setar telah menganjurkan Program Khidmat Bakti Masyarakat HALUAN (KHIDMAH 08) di qariah Kampung Setar. Program ini disertai oleh penduduk qariah Kampung Setar dan seramai 80 orang peserta dari 3 buah institut pendidikan yang menjadi sekolah angkat HALUAN iaitu Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Sekolah Menengah Ibnu Khaldun (SMIK), dan Sekolah Menengah Agama Swasta Kampung Laut (SMASKL). Program ini dilaksanakan selama 6 hari 5 malam bermula dari 15 Disember 2008 hingga 20 Disember 2008.


Program Khidmah 08 di Qariah Kg Setar


Peserta putera bersama bapa-bapa angkat

Peserta Puteri Bersama Ibu-ibu angkat


Peserta putera


Peserta Putera Sebelum Majlis Perasmian

Antara aktiviti yang disertakan sepanjang program ini berlangsung ialah Kuliah Subuh dan Maghrib, Kelas Akademik, Kem Motivasi, Pertandingan Bola Sepak dan Bola Jaring, Sukaneka, Bersama Keluarga Angkat, pemeriksaan kesihatan dan forum perdana. Program ini selain bertujuan membiasakan pelajar lepasan SPM ini dengan masyarakat, ia juga bertujuan supaya pelajar dapat mempraktikkan teori pendidikan yang diperolehi di sekolah masing-masing.

Peserta Kanak-Kanak Bagi Acara Sukaneka


Majlis Perasmian Penutupan



Peserta dan urusetia lelaki bersalam-salaman dengan penduduk kampung


Peserta dan urusetia puteri bersalam-salaman dengan penduduk kampung

Program yang berlangsung selama 6 hari 5 malam ini disempurnakan penutupannya oleh Syeikh Muzammil, Pegawai Agama Daerah Yan. Turut bersama dengannya memberi ucapan ialah wakil HALUAN, Tuan Mohd Asri bin Hj Hamid dan Setiausaha Qariah Kampung Setar, Tuan Hj Nordin. Tuan Hj Nordin dalam ucapannya menggalakkan lagi kedatangan HALUAN untuk mengadakan program di situ malahan dia berasa seronok dengan kehadiran semua peserta di situ. Tuan Mohd Asri pula dalam ucapannya menyatakan akan kemungkinan kampung ini menjadi kampung angkat HALUAN.


Selesai majlis perasmian penutup, majlis penyerahan hadiah kepada keluarga angkat diadakan dan diakhiri dengan majlis bersalam-salaman. Ramai ibu-ibu angkat dan bapa-bapa angkat yang berasa sedih tatkala berlansungnya majlis perpisahan ini sehingga ada yang mengalirkan air mata. Walau apapun, moga kasih yang terbina selama 6 hari bersama adalah kasih di jalan Allah s.w.t. dan menjadi wadah untuk perkembangan dakwah dan tarbiah Islamiah ke seluruh alam ini, InsyaAllah.





Program KHIDMAH 08 dalam SINAR





Saya bersama keluarga angkat

Saturday, December 13, 2008

[[ Iman Penggerak Kehidupan Dinamik ]]

Perubahan suatu masyarakat tidak mungkin terjadi secara tiba-tiba atau secara kebetulan. Berbagai bangsa di dunia mencapai kebangkitan setelah tidur, menjadi kuat setelah mengalami kelemahan, dan mengalami kemajuan setelah mundur; setelah mereka mendapat didikan sihat dan baik. Atau dengan lain perkataan, setelah mengalami perubahan jiwa dan pola berfikir. Mereka yang asalnya pasif menjadi aktif dan yang berputus asa menjadi bersemangat dan berkemahuan keras.

Perubahan jiwa merupakan suatu pembaharuan dan perubahan dalam falsafah dan pandangan hidup, cita-cita dan semangat, kehendak dan kebiasaan. Setiap gerakan dan kebangkitan, politik dan ekonomi hendaknya sejalan dengan perubahan jiwa dan semangat.

Demikianlah sunnatullah, hukum Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dalam kehidupan ini seperti yang ditegaskan di dalam Al-Quran dengan kalimat yang singkat tetapi tepat, iaitu;

"Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah (keadaan mereka) sendiri." [Ar-raad:11]

Perubahan diri dan semangat bukanlah suatu hal yang mudah dan ringan untuk dilakukan, tetapi sebaliknya merupakan suatu hal yang berat dan sulit. Sebab manusia merupakan makhluk yang dalam dirinya bertemu dan bercampur berbagai macam sifat dan keadaan. Usaha membendung aliran sungai yang besar dan mengubah arah alirannya merupakan pekerjaan yang jauh lebih ringan daripada pekerjaan mengubah jiwa, pandangan hidup dan pola berfikir manusia.

Membangunkan satu perusahaan, membina sekolah dan membangunkan bangunan-bangunan, mudah dilakukan. Namun membangunkan jiwa dan mengubah pandangan hidup, amatlah sukar. Bukanlah pekerjaan ringan untuk menjadikan manusia agar dapat menguasai nafsunya, mengekang syahwatnya, mahu memberi di samping menerima, mahu menunaikan kewajibannya disamping mengambil dan menuntut haknya, mahu mengetahui dan menerima kebenaran, dan berani membela serta menegakkan kebenaran itu. Membentuk manusia yang mahu bersusah payah dan menanggung keletihan untuk memperbaiki keadaan yang rosak, rela berkorban untuk mengajak dan menyeru manusia melakukan kebajikan, mencegah kemungkaran, rela mengorbankan jiwa dan harta di jalan kebenaran; adalah merupakan pekerjaan yang tidak mudah dicapai.

Walaubagaimanapun, kekuatan iman merupakan sesuatu yang 'ajaib'. Iman dapat mempersiapkan jiwa manusia untuk menerima pemikiran yang segar, walaupun hal itu mengandung tanggungjawab dan kewajipan, pengorbanan dan kesusahan. Imanlah satu-satunya unsur yang dapat mencetuskan perubahan dalam jiwa manusia dan mampu memberikan manusia satu nafas baru, yang akan diikuti pula dengan perubahan pada pandangan hidup dan jalan hidup yang ditempuhnya. Seterusnya akan berubah pula perilaku, cita-cita, perasaan dan pertimbangan hidupnya. Kalau kita amati seseorang yang melalui kehidupan pada dua keadaan; sebelum dan selepas Islam, akan jelas kepada kita bahawa kehidupannya selepas tunduk kepada Islam tidak sama dengan keadaan sebelumnya.

Iman akan memberikan pengaruh drastik kepada kehidupan seseorang tanpa mengira peringkat kehidupan seseorang. Tidak seperti teori para psikologis dan para pendidik, di mana mereka mengandaikan keberkesanan pendidikan adalah terbatas kepada peringkat-peringkat tertentu dalam kehidupan seseorang manusia.

Para psikologis telah menetapkan zaman kanak-kanak sebagai masa penerimaan dan pembentukan tingkah laku. Jika satu sifat tertentu telah tertanam dalam jiwa seseorang, sulitlah untuk dilakukan perubahan kerana telah menjadi sifat yang tetap. Bebeza halnya dengan pengaruh kekuatan iman. Apabila iman telah tertanam dan tumbuh di dalam jiwa seseorang, maka iman ini akan mengubah tujuan hidup seseorang, dan mengubah pandangan hidupnya, baik tentang alam, maupun kehidupan ini. Semuanya tidak terbatas kepada masa, baik pada zaman kanak-kanak, remaja, dewasa maupun pada masa tua.

Sebagai contoh, lihatlah kisah tukang-tukang sihir Firaun, seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran dalam surah Asy-Syuara ayat 32 hingga 51, dan pendirian mereka terhadap ancaman Firaun untuk menyiksa dan membunuh mereka apabila mereka beriman kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala sebagaimana diceritakan oleh Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dalam surah Thaha, ayat 71 hingga 73.

Perhatikan, bagaimana besarnya perubahan jiwa tukang-tukang sihir itu setelah beriman. Pandangan dan pertimbangan akal fikiran mereka telah berubah, bagai siang dan malam. Betapa manisnya iman yang mereka nikmati, sehingga dengan tegas dan berani, mereka menjawab ancaman Firaun, "Kami sekali-kali tidak mengutamakan kamu daripada bukti-bukti yang nyata (mukjizat), yang telah datang kepada kami."

Iman memberikan seseorang suatu didikan yang baik, sehingga terbentuk peribadi yang baik yang yakin kepada Allah, takut kepada siksaan-Nya, tunduk merendah diri kepada-Nya, bersedia menjalankan perintah-Nya, bekerja, berjuang dan berkorban dengan harta, jiwa dan raga, penuh keikhlasan dengan hanya mengharapkan keredhaan-Nya.

Oleh kerana itu, seoraang peniaga atau usahawan yang beriman, akan menjadi peniaga atau usahawan yang jujur. Seorang miskin yang beriman akan selalu menjaga kehormatannya dan selalu bekerja keras. Seorang buruh atau pegawai yang beriman akan menjadi buruh atau pegawai yang dedikasi dan jujur. Seorang kaya yang beriman akan menjadi seorang yang dermawan dan suka menolong. Seorang hakim yang beriman akan menjadi hakim yang adil dan saksama. Orang yang beriman apabila diberikan kepercayaan untuk menjaga harta milik umum, maka ia akan menjaganya dengan amanah. Tegasnya iman dapat membentuk peribadi yang ulung dan agung pada diri seseorang.

Daripada peribadi-peribadi yang lahir itulah akan terbentuk masyarakat Islam yang baik dan memberi kebaikan, baik kepada individu mahupun masyarakat, dunia dan akhirat. Untuk membangunkan satu masyarakat yang adil, makmur dan beradab, tidak dapat tidak, jiwa individu yang menganggotai sesuatu masyarakat itu perlulah dibina dengan iman. Inilah yang telah dilaksanakan oleh junjungan mulia Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam.

Rujukan: Iman dan Kehidupan, Yusuf Qaradawi

Friday, December 12, 2008

Kelalaian (ghaflah)

By : afra_penang91@yahoo.com



Pandang ke kiri nampak kereta besar, pandang ke kanan nampak rumah mewah, pandang ke bawah nampak selipar mahal......



Inilah dunia hari ini. Dikelilingi berbagai-bagai kemewahan dan kesenangan. Minta saja pasti dapat. Dengan wang, semua dapat dimiliki. Sehinggakan kasih sayang yang sangat tinggi nilainya itupun sanggup digadaikan oleh makhluk bernama manusia semata-mata kerana unsur materialisme yang menyelimuti tubuhnya. Saat unsur kebendaan bertapak di jiwa, manusia semakin menjauh dari Rabb. Kenikmatan memiliki Allah sebagai Rabb sudah tidak lagi dirasai. Keseronokan beramal dengan Islam juga sudah tidak tampak lagi pada umat manusia abad ini. Lantaran kepekatan karat jahiliyah yang kuat melekat di hati dek dikelilingi oleh kemewahan menyebabkan umat berada dalam kelalaian (ghaflah). Hati sentiasa diselaputi oleh kesenangan mengakibatkan malas dan takut untuk menempuh dan mencuba kehidupan yang susah dan penuh mehnah. Kadang-kadang kita cuma dilanda masalah yang sangat kecil, tetapi kerana tidak pernah membiasakan diri dengan kesusahan dalam kehidupan, maka kita pun terasa begitu resah, susah hati, cepat tekanan, dan mudah berputus asa.


Wahai saudara,



Umat hari ini dilanda penyakit yang serius. Penyakit yang sangat berbahaya dan boleh membawa kepada kematian hati. Penyakit yang pastinya akan menggelapkan masa depan akhirat kita malahan mengusung kita ke neraka. Apabila bertapaknya penyakit ini dalam suatu kaum itu, maka akan hancur punahlah kaum itu dan lumpuhlah kondisi hidup mereka. Ketahuilah bahawa penyakit itu adalah penyakit ghaflah (kelalaian). Inilah penyakit yang lahir akibat kesenangan dan kemewahan yang dikecapi dalam kehidupan.



Sentiasa dalam kesenangan akan mematikan jiddiyah (kesungguhan) , melemahkan iradah (kehendak), dan merendahkan himmah (wawasan) kita. Apabila kekuatan hati menjadi lemah, maka kita hilang keinginan dan daya untuk meneruskan kehidupan ini dalam ketaatan dan kesetiaan kepada Rabb Maha Agung. Saat terjadinya keadaan sebegini, akan mengakibatkan hilang kelazatan dalam beribadah, kemanisan dalam berukhwah, dan kenikmatan dalam membuat amal Islam. Fokus dan tumpuannya hanya untuk dunia ini, baginya akhirat seolah-olah tidak ada apa-apa. Lantaran itulah, kita memerhatikan majoriti manusia pada hari ini begitu bersungguh-sungguh dalam urusan keduniaan sedangkan urusan akhirat diabaikan dan dibuat sambil lewa. Hati telah dilalaikan daripada mengingati Allah s.w.t. lantaran urusan dunia yang kuat membajai di hati mengakibatkan dia lupa terhadap siapa dirinya dan atas tujuan apa penciptaan dirinya di muka bumi ini.Allah telah berfirman dalam surah Al-Kahfi, ayat 28 yang bermaksud:

“ Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batasan.”




Kita perlu segera sedar dan bangkit agar tidak diserang oleh virus lalai ini. Kata seorang ulama':



" Penyebab-penyebab utama yang dapat menghantarkan sesuatu bangsa ke jinjang

keluhuran, kejayaan, kemuliaan dan kemajuan itu yang terpenting ialah timbulnya sifat

kewaspadaan. Kewaspadaan ini timbul daripada kesedaran yang tinggi dari tiap-tiap

warga bangsa itu"



Kebaikan tidak akan dapat dilaksanakan sesempurna mungkin jika kita tidak mengenal keburukan. Begitu jugalah dengan fenomena ghaflah(kelalaian) ini tidak akan dapat dirawat sekiranya tidak melalui proses yang benar. Penyakit ini sebenarnya memberi kesan terhadap diri :

1) Tidak memikirkan keadaan hati sama ada hidup, sakit atau mati
2) Tidak waspada dengan perangkap-perangkap syaitan
3) Tidak mengetahui jalan yang dilalui sama ada benar atau tidak
4) Menjadikan dunia sebagai tujuan hidup
5) Menghabiskan umur dengan perkara-perkara yang tidak menguntungkan
6) Mengabaikan syara’
7) Tidak peduli rancangan musuh terhadap mereka

Kata Abu Hasan Az-Ziyad
“ Demi Allah, saya tidak peduli dengan bid’ah dan kemungkaran tetapi paling saya risau apabila hati selesa dengan kemungkaran”

Oleh sebab itu, fikirkanlah....
Cegahlah penyakit ini daripada diri anda....
Jiwa yang sudah selesa dengan kemungkaran dan dosa sukar untuk diubah....
Dosa dan kemungkaran hanya akan menjemput kita untuk diseksa dalam kamar azab Allah....




[[ Menguruskan Kesibukan ]]

Oleh : afra_penang91@yahoo.com

Terkadang diri kita dihambat oleh pelbagai kesibukan dalam kehidupan kita. Sekejap bergerak ke sana sekejap bergerak ke sini. 24 jam dalam sehari seolah-olahnya tidak mencukupi bagi insan yang benar-benar menggunakan sepenuh masa dalam kehidupannya. Bekerja di waktu siangnya dan balik ke rumah menguruskan hal di rumah pula. Ini tidak pula dikira dengan kerja-kerja yang lain. Bagi yang sudah berumah tangga, dirinya disibukkan pula dengan anak isteri. Itulah lumrah hidup manusia hari ini. Kekadang, kepenatan datang menyelimuti diri kita setelah sehari suntuk menghabiskan tenaga kita untuk kehidupan ini. Bukan kita minta untuk penat, namun itulah realiti kehidupan, sebuah perjuangan yang meminta kita berkorban untuk kesenangan masa depan kita. Kepenatan inilah yang menyebabkan kita mudah menjadi tidak selesa dengan keadaan sekeliling mengakibatkan kita cepat stress, marah dan sedih. Tambahan pula orang yang sedang berhadapan dengan kita tidak memahami keadaan kita, maka gunung berapi yang sedang menggelegak pun dengan cepatnya meletusla!!! Kalau tak meletus pun kemarahan, ia tetap tersimpan dalam hati kita menjadi nanah yang busuk yang lama kelamaan akan menjauhkan kita dari orang tersebut.


Sebenarnya Islam telah mengajar kita untuk bersikap sabar dalam menempuh kehidupan kita kerana ini adalah sebahagian daripada akhlak Islam. Malahan, Rasulullah s.a.w. sendiri adalah insan yang banyak bersabar dalam menyebarkan risalah Islam. Baginda dicaci, dimaki hamun, dilemparkan dengan perut unta dan pelbagai seksaan lain namun baginda tetap bersabar. Baginda juga adalah manusia yang sibuk. Namun kesibukan baginda untuk Islam, maka itu adalah satu keuntungan. Baginda bersabar dalam menyebarkan risalah Islam, menguruskan pentadbiran negara dan hal-hal ketenteraan serta tugas-tugas lain. Tidak pernah kita dengar Rasulullah marah kerana tanggungjawab dan urusan yang mesti diselesaikan oleh baginda. Bahkan baginda disayangi oleh sahabat-sahabatnya dan dihormati oleh pihak musuh lantaran kemuliaan dan kebijaksaan baginda dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Justeru, marilah kita memeriksa amal kita kembali. Adakah kesibukan yang kita hadapi sekarang ini benar-benar kesibukan yang diredhai Allah? Kesibukan yang membawa keuntungan untuk Islam? Kesibukan yang meruntuhkan jahiliyah?

Atau

Kesibukan kita sekadar memberi keuntungan untuk anak isteri kita? Kesibukan meruntuhkan kesabaran dan ketenangan diri kita? Kesibukan yang mendatangkan kemurkaan Allah?

Suaikanlah kesibukan kita dengan kehendak dan tuntutan syariat Islam. As-Syahid Imam Hasan Al-Banna sendiri bahkan pernah meninggalkan wasiat di mana salah satu wasiatnya adalah " Kewajipan itu lebih banyak daripada masa." Biarlah beribu sekalipun tugas kita dan biarlah kita penat dengan tugas kita asalkan semua itu mengundang kita ke kamar redha dan cinta Allah Yang Maha Esa.

Menangani kesibukan yang ada dengan cara yang efisien perlulah melalui perancangan yang rapi dan teratur. Apabila kita merancang untuk tugas dan tanggungjawab yang ada pada kita, maka biarlah rancangan itu sesuai dengan kemampuan kita. Hal ini supaya taklif yang berada di atas bahu kita ini dilaksanakan dengan kaedah yang baik dan bernatijahkan juga kepada kebaikan. Kata Saidina Ali:

" Kebenaran yang tidak bersistematik akan dikalahkan oleh kebatilan yang bersistematik"
Perancangan yang baik akan memberi kesan yang baik kepada jiwa kita. Sesibuk manapun kita, kita tetap boleh bersabar dan bertenang kerana kita telah merancang dan mengurus dengan baik. Ambillah contoh daripada junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sebenarnya banyak melakukan kerja dalam tanzim (perancangan) yang sistematik. Kita ambil contoh daripada peristiwa hijrah Nabi ke Madinah bersama Abu Bakar as-siddiq.
Strategi 1 Ali ganti tempat tidur Rasulullah
Strategi 2 Rasulullah pilih Gua Tsur sebagai tempat persembunyian
Strategi 3 Rasulullah tugaskan Abdullah ibn Abi Bakr dapatkan berita dari Makkah (informasi)
Strategi 4 Tugaskan Asma' bt Abi Bakr bawa makanan dan minuman
Strategi 5 Tugaskan Amir bin Fuhairah bawa kambing untuk perah susu, padam kesan tapak kaki mereka
Lihatlah daripada peristiwa hijrah ini dan ambillah ibrah. Uruskanlah diri kita dengan baik dan bersistem dan berusahalah merancang agar kesibukan kita tidak menjadi sesuatu yang sia-sia. Berkemungkinan kita akan terlepas pandang terhadap kerja yang masih belum selesai apabila terlalu sibuk. Justeru, jadilah orang yang bijak dalam menguruskan diri dan tanggungjawab agar semua itu dilaksanakan sesuai dengan tuntutan syar'ie.







Friday, March 14, 2008

PERANAN DAN PERLUNYA RIWAYAT HIDUP NABI MUHAMMAD DALAM MEMAHAMI

Oleh : Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti
Petikan dari buku : FIQH AL-SIRAH 1



Tujuan mengkaji riwayat hidup RasuluLlah dan penganalisaannya bukanlah semata-mata untuk melihat
kejadian- kejadian dan episod-episod yang bersejarah ataupun memaparkan cerita-cerita yang indah sahaja. Oleh yang demikian tidak seharusnya kita rnenganggap kajian sejarah hidup RasuluLlah ini sama dengan membaca dan menala’ah sejarah para pemerintah (khalifah) di zaman purbakala.

Tujuan pokok dan kajian yang dimaksudkan ialah supaya setiap Muslim dapat memahami, menganggap dan menggambarkan bahawa hakikat zahir dan batin (defakto) Islam semuanya teradun di dalam penghidupan RasuluLlah itu sendiri. Gambaran dan anggapan ini akan timbul dan wujud setelah Seseorang Muslim itu dapat memahami dengan benar segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam satu persatu terlebih dahulu.

Tegasnya kajian riwayat hidup RasuluLlah SallaLlahu ‘a1aihi Wasallam ini adalah suatu usaha mengumpul hakikat dan intisari dasar-dasar Islam kemudian memadan dan menyesuaikan dengan contoh Islam iaitu Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alabi Wasallam. Sekiranya perlu kita bahagikan tujuan-tujuan ini maka bolehlah dibahagikan seperti berikut:

1. Memahami peribadi Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam menerusi penghidupan dan suasana hidup baginda sendiri. Ini adalah untuk menentukan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam itu bukan sebagai manusia pintar tetapi Ianya adalah pesuruh Allah Subhanahu Wa ta’ala yang menerima Wahyu dan taufiq dariNya.

2.Supaya manusia seluruhnya dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul dalam segenap lapangan hidup yang harmoni, dari itu juga dapat dijadikan sebagai dasar dasar hidupnya. Andaikata manusia ingin mencari suatu contoh terbaik bersifat universal, mereka akan dapat Semuanya di dalam kehidupan Muhammad SallaLlahu ‘alai hi Wasallam, maka tidák hairanlah mengapa Allah menjadikan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam itu sebagai contoh kepada umat manusia. Untuk demikian maka Allah telahpun menegaskan dalam Kitab SuciNya:

Sesungguhnya pada (diri) RasuluLlah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu (Al-Ahzab 33 : 21)

3. Semoga kupasan tentang kehidupan Muhammad SallaL lahu ‘alaihi Wasallam boleh menolong manusia memahami dan mengecapi isi kandungan Al-Qur’an lantaran banyaknya ayat-ayat Al-Qur’an yang dihurai dan ditafsirkan oleh kejadian dan peristiwa-peristiwa sejarah hidup Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam.

4. Agar setiap Muslim dapat mengumpulkan seberapa banyak yang boleh perbendaharaan kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar samada pengetahuan bersangkutan dengan ‘aqidah kepercayaan, hukum hakam’ dalam Islam atau tatasusilanya. Lebih tegas lagi penghidupan RasuluLlah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam adalah satu gambaran dengan dimensinya yang jelas bagi prinsip-prinsip dan hukumhukum Islam.

5. Membolehkan para pendidik penda’wah Islam mencontohi dan mengajar, mengikut sistem pendidikan dan peng ajaran yang sihat kerana Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam sendiri adalah sebagai pendidik, penasihat, guru dan pertunjuk yang utama, tidak pernah membuang masa begitu sahaja malah sentiasa mencari dan menyiasat jalan jalan dan sistem—sistem pengajaran yang terbaik semasa baginda (SallaLlahu ‘alaihi Wasallam) berda’wah.

Antara faktor yang menjadikan sejarah Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam ini mampu dan berupaya untuk sampai ke matlamat—matlamat tadi ialah kerana sejarahnya lengkap meliputi segenap bidang kehidupan sama ada segi kemanusiaan mahupun kemasyarakatan yang terdapat di kalangan manusia lain; samada ianya sebagai seorang individu yang bebas dengan faham pembawaannya atau sebagai seorang anggota masyarakat yang cergas dan terpengaruh oleh unsur—unsur yang terdapat di dalam masyarakatnya.

Sejarah Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam meng bidangkan kepada kita sejambak contoh utama bagi seorang pemuda yang waras; peribadinya yang dipercayai orang di ka langan keluarga dan sahabat; seorang manusia yang menyeru umat manusia ke jalan Allah secara lemah—lembut dan bersopan-santun; seorang pejuang yang mengorbankan sepenuh usaha dan tenaga demi menyampaikan seruan Allah; seorang ketua negara yang mendayung bahtera pemerintahan dengan cekap dan pintar; seorang suami yang halus pergaulannya; seorang bapa yang teliti dan bijak menyempurnakan kewajipan terhadap anak dan isteri; seorang ketua turus agung peperangan yang cergas, penuh dengan tektik strategi persediaannya dan seorang Muslim yang waras lagi bijak membahagikan dedikasinya kepada Allah, keluarga dan sahabat handai (RadiyaLlahu‘anhum ajma’in).

Tidak syak lagi bahawa mempelajari sejarah hidup Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam ialah memahami semua sudut kemanusiaan.

Thursday, March 13, 2008

Nur Mustafa ::..

Meniti kehidupan zaman moden ini, kita menyaksikan banyak kerosakan dan kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat. Sistem yang sedia ada pada hari dibentuk atas dasar pembangunan lahiriah semata-mata tanpa memikirkan pembinaan aspek kerohanian dalam diri.Kenapa berlaku hal sebegini? Hal ini kerana sistem yang ada pada hari ini tidak dicorakkan mengikut kehendak Allah s.w.t. dan ajaran yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w. yakni Islam. Perjalanan sirah Rasul telah lupus daripada pengetahuan dan ingatan ummah yang mengaku diri Islam. Disebabkan fenomena inilah telah mengakibatkan pelbagai gejala mungkar lahir dalam masyarakat.

Justeru, dalam rangka mengenal dan memahami Islam, marilah kita bersama mengenali susuk tubuh yang yang membawa risalah mulia ini.Sudah maklum bagi kita bahawasanya yang membawa deen agung ini tidak lain adalah Nabi Muhammad s.a.w.Baginda lahir tatkala bumi Makkah berada dalam kegelapan dan kerosakan.Bukan gelap kerana kurangnya cahaya Matahari, dan bukan juga rosak yang dimaksudkan adalah kerosakan bangunan dan sebagainya, tetapi kegelapan dan kerosakan yang dimaksudkan adalah kemunduran dan kepincangan yang berlaku dalam tingkah laku serta tutur kata masyarakat Arab Quraisy ketika itu.Arak dan zina merupakan kebiasaan.Perempuan dianggap sebagai kaum yang rendah martabatnya dan boleh dijualbeli ditukarmilik sesuka hati.Penyembahan berhala pula berleluasa.

Bangsa Quraisy telah melupakan Allah dalam kehidupan mereka.Lantaran itu, perhambaan sesama manusia berlaku di mana-mana sahaja di Tanah Arab ketika itu.Dek kegerhanaan yang telah berlaku dalam masyarakat Arab inilah, Allah telah menghantar utusan-Nya untuk mengembalikan manusia ke arah sistem hidup yang benar, membawa manusia menuju kepada keluasan hidup menghambakan diri kepada Rabb Maha Berkuasa, Allah s.w.t. daripada kesempitan hayat memperhambakan diri sesama manusia.Baginda adalah Rasulullah s.a.w., ataupun nama sebenarnya, Muhammad bin Abdullah, penutup segala nabi dan rasul.

Lahir baginda pada 9 Rabiul Awwal Tahun Gajah - setengah riwayat mengatakan 12 RabiulAwwal - dalam penuh keberkatan dan keajaiban.Pelbagai tanda kebesaran mengiringi kelahiran baginda.Runtuhan empat belas anjung dewan Kisra Parsi, terpadamnya api sembahan Majusi serta robohnya gereja-gereja di sekitar Tasik Sawah menjadi bukti kelahiran seorang insan luar biasa.

Kebiasaan bagi masyarakat Arab ketika itu untuk mengambil ibu susuan dari pedalaman untuk menyusukan anak-anak yang baru lahir.Begitu jugalah Nabi Muhammad s.a.w. yang telah disusukan oleh Halimatus Saadiah.Pada mulanya, tiada siapa pun yang ingin mengambil baginda sebagai anak susuan kerana keyatiman baginda.Namun penyusunan Allah memang cantik.Sedang teman-teman Halimatus Saadiah sudah mendapatkan bayi susuan masing-masing, beliau masih tidak memperolehi seseorang untuk dibawa pulang.Oleh sebab itu, mahu tidak mahu beliau mengambil Nabi Muhammad s.a.w. untuk dijadikan sebagai anak susuan.

Gambar adalah hiasan semata-mata

(tiada kaitan dengan apa yang diceritakan)

Sesungguhnya keberkatan mengiringi Halimatus Saadiah sekeluarga sejak mengambil Nabi sebagai anak susuan.Dada Halimatus Saadiah yang sebelumnya kekontangan susu terus dipenuhi susu sebaik sahaja mendukung Nabi sehinggakan kenyang Nabi serta saudara susuannya menyusu dengan beliau.Uncang susu unta keluarganya juga penuh dengan susu sehinggakan mereka sekeluarga dapat minum dengan puas.Keldai yang ditunggangi mereka juga menjadi begitu bertenaga ketika merentasi perjalanan pulang berbanding kedatangan mereka sebelum ini sehinggakan tidak dapat disaingi oleh keldai teman-teman Halimatus Saadiah. Kambing-kambing yang diternak keluarga mereka menjadi begitu sihat serta uncang-uncang susu terik penuh susu. Perubahan luar biasa yang telah berlaku ke atas keluarga Halimatus Saadiah ini tidak berlaku pada keluarga-keluarga lain meskipun mengambil anak susuan dari tempat yang sama.Hal ini kerana yang diambil Halimatus Saadiah bukanlah calang-calang orang, sebaliknya adalah kekasih Allah s.w.t.

Saatnya telah tiba untuk Nabi dikembalikan kepada ibu baginda.Halimatus Saadiah berat hati untuk menyerahkan Nabi kembali lalu beliau pun mengemukakan harapan kepada Aminah untuk terus menjaga Nabi dengan alasan bimbang akan merebaknya wabak di Makkah terhadap Nabi Muhammad s.a.w.Maka Aminah pun membenarkan.Sekitar umur empat atau lima tahun, baginda telah didatangi oleh Malaikat Jibril a.s.Saat inilah berlakunya proses penyucian hati Nabi.Jibril telah membelah dada baginda dan mengeluarkan segumpal darah serta menyucikannya dengan air Zamzam. Saudara-saudara susuannya yang ketakutan melihat kejadian itu terus berlari pulang menemui ibu mereka, Halimatus Saadiah serta mengkhabarkan kepada beliau bahawa “Muhammad telah dibunuh”.Bimbang dengan kejadian yang telah menimpa Nabi inilah, Halimatus Saadiah bertindak memulangkan semula baginda ke pangkuan ibunya.

Baginda tinggal bersama ibunya sehingga umur 6 tahun dan dipelihara pula oleh datuk baginda, Abd Muthalib serta bapa saudara, Abu Thalib.Ibunya meninggal dunia dalam perjalanan pulang ke Makkah setelah menziarahi kubur Abdullah, ayah Nabi Muhammad s.a.w.Disebutkan dalam beberapa riwayat bahawa Nabi sejak bersama Halimatus Saadiah lagi telah mula menternak dan memelihara kambing.

Inilah sedikit sebanyak tentang awal kelahiran baginda s.a.w.Sejak kecil lagi sudah mengharungi pelbagai ujian dan kesusahan. Tiada berayah, tiada beribu namun mengharungi hidup dengan penuh kesabaran. Sejak kecil lagi Allah telah mendidik baginda untuk bersusah payah kerana inilah merupakan latihan kepada pembentukan seorang pemimpin luar biasa.

Wallahu a'lam.

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP