Biasa, Biasa, Menjadi Luar Biasa, Bagaimana?
Letakkan 'X', anda hanya 'setakat ini sahaja' |
Pernahkah anda menerima tanggungjawab?
Lalu, apakah yang bermain di fikiran dan perasaan kita saat menerima tanggungjawab?
Takut? Gemuruh?
Rasa tidak layak? Terlalu rendah diri?
Kadang-kadang, apabila menerima sesuatu amanah ataupun tanggungjawab, maka timbullah perasaan tidak layak, terlalu rendah diri, takut, resah dan sebagainya.
“Ana tak layak la. Anta je lah…”
“Aku ni tak sebaik engkau. Bukan layak nak bagi nasihat.”
“Ana ni masih belum sempurna. Lainlah anta. Anta hebat. Kebolehan macam-macam.”
Kenapa wujudnya perasaan sebegini?
Kerana kita adalah manusia biasa. Ya. Kita manusia biasa. Ada perasaan, ada naluri.
Menerima sesuatu yang baru dalam kehidupan kita, yang mungkin tidak pernah kita lakukan, maka membuatkan kita resah dan bimbang. Bimbang memikirkan apa yang perlu dilakukan.
Bimbang memikirkan ke mana halatuju kita dengan tanggungjawab yang telah diberikan.
Anda bimbang? Resah? Rasa tak layak? Takut?
Mari merenung seketika.
DI BATAS KESEMPURNAAN
Mana datangnya perasaan-perasaan demikian?
Rasa “inferiority complex” yang terlalu tinggi hingga mengakibatkan kita terlalu merendah diri, rasa tidak layak, belum mampu untuk memikul tanggungjawab.
Perasaan ini jika dibiarkan dalam diri,akhirnya hanya akan menyekat kemampuan kita. Kita tidak mampu bergerak dan berfikir lebih daripada kebiasaan.
Malah, tidak mampu menggerakkan perubahan walaupun sedikit.
Baik perubahan itu pada diri mahupun tanggungjawab yang telah diterima.
Kenapa berlaku begini?
Kerana kita dibataskan oleh perasaan ingin sempurna.
Kita ingin segala-galanya berhasil menjadi baik. Kita berharap kita boleh melakukan yang terbaik jika diberikan tanggungjawab. Namun, kerana kita fikir dan rasa bahawa kita memang tidak akan mampu mencapai yang ‘TERBAIK’ itu, maka kita menyerah sebelum bermula.
Kita takut dan bimbang kita akan melakukan kesalahan dan kesilapan sekiranya menerima tanggungjawab itu. Kalau boleh, kita tidak mahu ada salah sedikitpun.
Kita bimbang tidak dapat buat yang ‘TERBAIK’.
Kita cuma dan hanya FIKIR dan RASA. Kita belum BUAT.
Tetapi, akhirnya pemikiran dan perasaan yang begitulah akan menyekat kemampuan kita. Kerana awal-awal lagi, kita sudah meletakkan ‘gap’ pada diri kita untuk meningkat.
Tanggungjawab yang diberi sepatutnya dapat meningkatkan diri kita, mendekatkan lagi kita dengan Allah. Sepatutnya tanggungjawab sebagai wasilah untuk proses diri kita, tetapi apabila disekat oleh perasaan dan pemikiran kita yang begitu terbatas dan membataskan, maka proses tidak akan berlaku, maka tiadalah peningkatan dalam diri.
FITRAH MANUSIA TIDAK LARI DARIPADA BUAT SILAP
Bukankah Allah ciptakan manusia ini memang untuk buat silap?
Ya. Memang Allah ciptakan kita untuk buat silap.Tetapi Allah tidak tinggalkan begitu sahaja. Allah tinggalkan kita dengan panduan, iaitu Al-Quran supaya dengan itu, kita dapat perbaiki kesilapan itu dan keluar dari garis kesalahan-kesalahan kita yang lepas.
Lalu, dari kesilapan itu, ambillah pengajaran dan buatlah perubahan. Yang tidak mahukan perubahan dan peningkatan, dialah orang yang paling rugi di sisi Allah.
Sabda Nabi s.a.w. yang mafhumnya :
“Setiap anak Adam itu melakukan kesilapan. Dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan adalah yang bertaubat.”
Allah tahu manusia memang akan membuat kesilapan. Lalu Allah berfirman dalam surah Al-Imran, ayat 133 yang bermaksud:
“Dan bersegeralah kamu kepada KEAMPUNAN dari Tuhan kamu, dan syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang bertaqwa.”
Mari kita kembali semula kepada persoalan tanggungjawab tadi. Maka, adakah apabila awal-awal kita menerima tanggungjawab, semestinya dan sewajibnya beri hasil yang ‘TERBAIK’?
Jawapan saya adalah YA dan TIDAK.
Ya, kerana kita memang sepatutnya berusaha dan merancang ke arah itu. Untuk mencapai yang ‘TERBAIK’ itu adalah sikap mukmin. Tetapi kalau tersilap, bagaimana?
Senang sahaja jawapannya. Belajarlah daripada kesilapan. Jangan diulang kesilapan dan bertanyalah jika anda tidak tahu.
Tidak, kerana kita baru sangat-sangat di permulaan. Saya ingin berikan perumpamaan pada anda.
Anda memiliki sebuah kereta. Baru-baru sahaja dibeli. Ya. Kereta kalau baru dibeli perlu ‘overhaul’ dulu tak? Sekurang-kurangnya, anda perlu pastikan kereta anda istiqamah bergerak pada kelajuan 60 - 80km sehinggalah mencapai tahap beberapa ribu kilometer, kemudaian barulah anda boleh memecut 100-110km.
Apa tujuannya? Untuk membiasakan enjin dulu. Tidaklah ‘terkejut’ nanti. Baru sahaja dibeli, terus dipecut 120km. Agak-agak apa yang akan berlaku?
Itu enjin kereta.
Saya beri anda satu lagi perumpamaan. Samakah antara orang yang berlari 100 meter dengan 10 kilometer?
Orang yang berlari 100 meter, dari awal hingga akhir dia sudah boleh memecut dengan hanya satu nafas sahaja. Kenapa? Kerana jaraknya tidak jauh.
Orang yang berlari 10 kilometer atau 10 000 meter, bolehkah dia memecut dari awal hingga akhir?
Tidak, tidak, tidak. Ada masa dia perlu perlahan, ada masa dia perlu laju. Tetapi jika dari awal, dia mengerahkan semua tenaganya, maka di tengah jalan, pasti dia akan ‘pancit’.
Orang yang berlari 10000 meter tidak sama wawasan dan cara pandangnya dengan orang yang berlari 100 meter.
Begitulah kita apabila menerima tanggungjawab. Bukannya perlu terus ‘pecut’ pada awal-awal. Lihatlah dulu apa yang perlu anda lakukan dan ke mana hala tuju anda.
Mari melihat pecutan ‘1000’ KM yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat.
‘1000KM PECUTAN’ YANG DILAKUKAN OLEH RASUL S.A.W. DAN PARA SAHABAT
Siapakah Nabi s.a.w. itu? Siapa pula para sahabat yang bersamanya?
Mereka adalah manusia biasa. Mereka adalah manusia biasa.
Seperti kita. Mereka juga makan, minum, berkahwin dan sebagainya.
Mereka juga menerima tanggungjawab. Bahkan, tanggungjawab mereka lebih besar daripada kita. Untuk memastikan Islam benar-benar sampai kepada generasi hari ini. Untuk memastikan Al-Quran terus dibaca dan difahami sampai ke akhir zaman.
Mereka melakukan kesilapan. Mereka bukannya tidak pernah silap. Bukannya lahir sebagai manusia ajaib.
Bahkan mereka ini adalah serpihan masyarakat jahiliah. Minum arak, makan riba, bunuh anak perempuan dan pelbagai lagi perbuatan keji yang dilakukan.
Tetapi, adakah mereka takut membuat pembaharuan? Adakah mereka takut menerima tanggungjawab ‘ISLAM’ di atas bahu mereka?
Tidak. Tidak sama sekali.
Merekalah manusia biasa yang menjadi luar biasa.
Diletakkan besi panas atas kepala mereka sekalipun hingga menggelegak tempurung kepala dan otak, mereka tidak gentar mempertahankan dan meneruskan tanggungjawab mereka. Itulah Khabbab bin Arat, antara sahabat Nabi s.a.w. yang awal.
Cubalah bayangkan kita diletakkan besi panas atas kepala kita hingga menggelegak tempurung kepala dan tercabut rambut dari tempurung itu, apa agaknya tindakan kita?
Diuji dengan pemulauan dan boikot selama 3 tahun. Tiada makanan, tidak dapat berhubung dengan sesiapa. Hidup hanya makan daun kering sahaja hingga pecah bibir.
Tetapi, mereka kebal dengan semua itu. Hanya kerana ingin mempertahankan tanggungjawab ‘ISLAM’ yang bersama mereka.
Bandingkan pula dengan diri kita. Suruh bercakap di hadapan, pegang mikrofon pun masih teragak-agak. Kejap sengih, kejap main wayar. Belum disuruh pegang pedang ke, M-16 ke.
Diberi tanggungjawab untuk jadi pengerusi majlis atau beri tazkirah, pun kita tolak orang itu, tolak orang ini. Kenapa? “Takut tersalah cakap…”
Takutkan kesilapan, sampai bila-bilapun kita tidak akan berkembang.
Sentiasa cari alasan untuk mengelak, sampai bila-bila pun kita tidak akan tertingkat.
Nabi s.a.w. dan para sahabat tidak gentar untuk melakukan perubahan itu. Ramaikah mereka ketika itu?
Tidak. Tetapi wawasan mereka sejauh 1000km bahkan jauh lagi.
Mereka tahu akan ada pelbagai macam cabaran dan mehnah ditengah jalan, tetapi mereka meneruskan juga tanggungjawab itu.
Supaya wawasan mereka itu diteruskan kita pada hari ini.
PENUTUP : MENERIMA TANGGUNGJAWAB DENGAN JIWA UBUDIAH SERTA TINGGI HIMMAH
Saya suka petik kata-kata Dr Majdi Al-Hilali dalam bukunya, Sukses Qurani:
“Kita berada di satu zaman seseorang yang memegang deennya (Islam) bagaikan orang yang memegang bara api.”
Bagaimana agaknya orang yang memegang bara api?
Rasanya, tidak ada orang yang sanggup memegang bara api.
Panasnya api boleh melecurkan kulit, apalagi baranya.
Tetapi itulah ibaratnya. Tanggungjawab yang kita terima, biar sesusah mana sekalipun, genggamlah ia seeratnya dan cuba lakukan yang terbaik.
Terima dengan penuh rasa ubudiah kepada Allah, dan tinggi himmah untuk menjayakan tanggungjawab yang kita terima.
Bila kita letakkan ubudiah kepada Allah sebagai paksinya, maka kita pasti tidak akan takut dan resah lagi. Kerana kita tahu, Allah pasti tidak membiarkan kita keseorangan bersama tanggungjawab kita itu.
Jika kita terus meletakkan batu penghalang kepada diri kita, maka banyaklah kerja-kerja kita yang terhalang.
Aib sebenarnya hanyalah apabila kita menghalang diri kita untuk berubah dan tertingkat, bukanlah ketika kita tersilap dalam merealisasikan tanggungjawab dan kerja-kerja kita.
7 comments:
Indah pada pandangan Allah...
Insyaallah....
Pandang dengan hati,
fikir dengan iman....
"Salam juang"
nice sharing, afdholul..
begitulah yg selalu berlaku kepada diri sendiri..
jzklh atas perkongsian yg membangkitkan rasa SEDAR kepada diri ini..
Moga Allah Redha..
@ BaiTiL a'tiQa :
Indah juga bila kita bersedia menerima tanggungjawab sebagai proses untuk diri kita.
Pandanglah juga dengan neraca IMAN.
Fikirlah dengan IMAN.
Mualakn segalanya dengan IMAN.
InsyaAllah, tanggungjawab seberat manapun menjadi ringan.
@ [n_akn]
syukran, kak nailah.
perkongsian untuk ana juga.
Kesedaran dari Allah. Bukanpun dari tulisan ana yang maha kerdil ini.
Moga Allah redha juga. ^_^
ish3.. seram sejuk ja bca artikel ni,
mcm apa yg ditulis tu defluterkena pd diri,
hebat2..
pengolahan yg mantap..
mampu memotivasikan.
Jazakallah. Jazakallah. Jazakallah
yg menanti artikel seterusnya,
~ mQ ~
@ ~MQ ~
Takde hebatnya. Nta hebat lagi.
Haha.
Barakallah juga untuk nta...
tq 4 sharing...
alhamdulillah kembali semula semangat utk melaksanakan tugasan diterima
Post a Comment