Thursday, March 17, 2011

Cetusan : Kesusahan Itu Menguatkan Jiwa





Peristiwa tsunami dan gempa bumi yang melanda Negara Matahari Terbit baru-baru ini telah mendapat perhatian ramai.  Ia bukan sekadar tsunami. Malah dikejutkan pula dengan letupan demi letupan reaktor nuklear.

Letupan ini sekaligus mengakibatkan pembebasan radiasi yang berbahaya ke udara.

Itu ujian yang Allah turunkan di Jepun.

Tsunami itu sekaligus mengingatkan kita pada tsunami yang melanda Acheh beberapa tahun lalu.
Kehancuran, kemusnahan, kematian, kehilangan ahli keluarga, sanak –saudara yang akhirnya membawa kepada tangisan dan kesedihan. Penuh dukacita.

Ya. Siapa tidak sedih? Hilang ibu, hilang ayah, hilang saudara, hilang segala-gala.

Jika kita di tempat mereka, apa mungkin ada lagi secebis SABAR dalam diri kita?

Seorang relawan yang ke Acheh selepas peristiwa itu pernah berkata pada saya, “Anta kalau pergi sana, anta cakap sabar, sabar dan sabar, anta tunggulah kena pukul.”

Hairan pula saya. “Kenapa pula macam tu?”
Ya. Sepatutnya diuji, maka rawatannya tidak lain hanyalah mampu SABAR.

Jawabnya, “Mereka bukan tidak boleh sabar. Tetapi kehilangan sekaligus segala-galanya itu membuatkan mereka jadi begitu sedih. Hilang keluarga, hilang harta benda, hilang kehidupan.”

Itulah jiwa manusia. Akan ada masanya, dia akan kegembiraan dan keseronokan. Namun, ada masanya, dia akan termenung kesedihan dan kegalauan.  Bila kebahagiaan datang menjengah jiwa, maka terasa dunia itu begitu luas dan bersinar-sinar serta melambai-lambai padanya. Namun, saat kelukaan, jiwa dilanda masalah, terasa dunia menjadi begitu sempit, gelap.

Saat itu, berapa yang sanggup membayar harga kesabaran?



KEPAYAHAN ITU DATANG DAN AKAN BERLALU PERGI

Peristiwa sama melanda Jepun. Kematian meningkat, kerosakan bangunan dan harta awam, kehilangan tempat tinggal, dan kemusnahan lain.

Namun, kagum saya dengan semangat dan kesungguhan yang dimiliki oleh orang-orang Jepun. Mereka tidak berputus asa. Malah optimis dengan kejadian yang menimpa mereka, sebagai pengajaran untuk membina dan membangunkan sebuah kehidupan yang lebih baik kelak.

‘Islam’ di Negara bukan Islam. Tidak ramai orang mampu bertahan jiwanya tatkala diuji.
Orang yang sudah selesa dan lama menikmati kesenangan, tiba-tiba diuji dengan kepayahan, maka biasanya mudah tewas dengan ujian. Cepat mengeluh dan berputus asa. Malas untuk bangun mencuba dan membina semula.

Kita selama ini hidup dengan penuh kesenangan. Hendak apa pun, semua dapat dicapai dan diperolehi. Cuba bayangkan, semua itu hilang dengan sekelip mata.

Apa agaknya tindakan kita?
Macam mana agaknya ketika itu sangka baik kita dengan Allah?

Nabi Ayyub a.s. adalah antara orang yang kuat diuji namun kesabarannya itu begitu tinggi.
Mana tidaknya, habis dirampas miliknya dan dirosakkan oleh iblis laknatullah, hartanya, anak-anaknya dan kesihatannya. Namun, ketaatannya tetap tidak berbelah bagi kepada Allah.
Sangka baiknya terhadap Allah tidak pernah tergugat.

Fikirnya, “Semua ini milik Allah, maka Allah berhak mengambilnya bila-bila masa Allah suka.”

Awalnya, Iblis yang mencemburui ketaatannya kepada Allah itu meminta untuk merosakkan hartanya. Kata Iblis kepada Allah, “Ayyub ini taat kepada Engkau kerana dia masih memiliki harta yang banyak. Jika harta ini tiada, maka dia tidak akan taat lagi kepada Engkau. Izinkan aku menghancurkan semua harta-hartanya”

Allah Maha Mengetahui hati hamba-Nya. Allah tahu Ayyub bukanlah orang yang begitu. Tetapi, diperkenankan juga permohonan Iblis.

Habis hilang dan rosak semua harta Nabi Ayyub a.s., namun baginda tetap terus taat dan melaksanakan kerja dakwahnya.

Iblis tidak pernah putus asa. Dikatanya pula kepada Allah, “Hamba-Mu ini masih taat kepada-Mu kerana dia memiliki anak-anak yang ramai. Sekiranya anak-anaknya ini tiada lagi, dia pasti akan berhenti taat kepada-Mu. Izinkan aku mematikan semua anak-anaknya itu.”

Matilah semua anak-anak Nabi Ayyub a.s. Namun, ketaatannya tetap tidak goyah. Sabarnya dia menghadapi ujian itu. Hilang harta, hilang pula anak-anak kesayangan.

Ketaatannya teruji buat kali ketiganya apabila Iblis meminta pada Allah untuk merosakkan kesihatannya dengan mendatangkan penyakit kulit kepadanya. Semua orang menjauhi baginda lantaran penyakit yang dihadapinya itu.

Kasihan Nabi Ayyub ! Sudahlah kehilangan harta dan anak-anak, ditimpakan penyakit yang dijauhkan pula masyarakat daripada dirinya.

Mengeluhkah Nabi Ayyub ? Marahkah Nabi Ayyub ?
Tidak, jiwanya terus kuat dan bertahan.
Kenapa?
Kerana baginda tahu, semua itu akan berlalu. Ia datang sebentar untuk menguji dan menguatkan IMAN. Orang yang mengeluh dan tidak bersabar akan tewas di tengah medan ujian. Maka, natijah kekuatan IMAN itu tidak tercapai.


ALLAH MAHA MENGETAHUI HATIMU, ALLAH SENTIASA MEMUJUK DAN MEMANGGIL KAMU, KAMU RASA TERPANGGIL?

Allah itu sentiasa tepat janji-Nya. Dia Maha Mengetahui segala apa yang ada di hati kita.
Sedihkah kita, gembirakah kita, ceriakah kita, galaukah hati kita…
Dia Maha Mengetahui . Dia Maha Mengetahui.

Dia tidak pernah tinggalkan kita. Kita saja yang selalu tinggalkan Dia.
Lantaran itu, hati kita selalu lemah dan sakit.
Jiwa kita tidak kuat kerana kita telah tinggalkan Sang Pemilik jiwa itu.

Kadang-kadang, tangisan kita laju berderai membasahi pipi tatkala diuji dengan ujian yang sungguh merentap rasa hati dan jiwa kita. Seolah-olah direntap bahagia daripada kita, hati rasa terguris dan terluka.

Siapa yang tahu?
Siapa yang ambil tahu?
Tatkala manusia tidak tahu, tiada yang mengambil peduli, lalu pada siapa lagi kita letakkan harapan?
Allah …
Allah tahu apa yang terbuku di hati kita. . Bukan Dia tidak tahu. Bahkan, Dia tahu segala-galanya.
Dia sentiasa memujuk kita. Memanggil kita tatkala kita melupakan-Nya.

Allah sentiasa pujuk kita dengan kalam-Nya. Bercerita tentang indahnya syurga dan kenikmatannya yang tiada pernah terbayang oleh manusia supaya kita sentiasa jadi orang yang kuat jiwa dan keinginan untuk melangkah jalan menuju ke sana.

Allah sentiasa bagi kekuatan kepada kita. Mengisahkan kita tentang azab neraka supaya kita menjadi orang-orang yang kuat untuk menghindarinya.

Allah Maha Baik, bukan? Dia tidak pernah tinggalkan kita. Tidak sesaat mahupun sedetik. Apalagi sepanjang hayat. Kita saja yang meninggalkan Dia. Sedang Dialah Pemilik kepada jiwa ini. Kita meninggalkan Dia, maka jiwa ini akan terumbang-ambing, sesat di tengah kehidupan dunia yang penuh ilusi ini.



PENUTUP : KUATKANLAH JIWA, HARAPAN MASIH LUAS

Syurga itu bukan untuk orang-orang yang lemah jiwa dan keinginannya. Ia tidak mudah menyerah kalah. Pantang diuji, ia akan bangkit seribu kali lagi mencipta dan mencuba, terus mencuba sehingga Allah menentukan penghujungnya.

Kagum saya dengan sikap yang dimiliki penduduk Jepun. Diuji sedemikian rupa, namun masih beratur penuh tertib ketika mengambil makanan. Bahkan terus optimis untuk mencuba dan membangunkan semula negara mereka.

Itulah sepatutnya sikap yang patut ada pada mukmin.

Bukankah mukmin itu ada Allah? Maka bukankah sepatutnya ia lebih kuat dan lebih baik daripada mereka itu yang belum memiliki Allah dalam hidup mereka?

“Sungguh ajaib orang beriman. Segala urusannya adalah baik. Bila diuji dengan kebaikan, maka dia bersyukur. Tatkala diuji kesusahan, dia bersabar. Maka itulah sebaik-baik bagi dirinya.” ~ mafhum hadith Nabi s.a.w.


Rakaman Saat Tsunami Melanda Jepun

0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP