Dakwah : Berbicaralah Melalui Hati
HATI - Pusat interaksi manusia |
Dua nikmat besar yang Allah kurniakan untuk manusia itu menjadi 'manusia'.
Tanpa keduanya, kita tidak akan jadi manusia.
Kita akan jadi umpama robot, tiada hati untuk memilih hidup, hanya menanti disuruh. Tiada perasaan untuk merasai nikmat hidup.
Itulah kehidupan ROBOT. Ia dicipta untuk menanti arahan untuk dilaksanakan, baik atau buruk arahan itu bukan masalah bagi robot kerana dia tidak memiliki hati untuk memahami baik dan buruk. Ia juga tidak akan rasa apa-apa meskipun disuruh melakukan kehancuran mahupun kemusnahan.
Kerana ia tidak memiliki hati dan perasaan.
Berbeza dengan manusia yang Allah ciptakan.
Dia punya hati untuk menentukan baik buruk hidup ini.
Dia miliki perasaan untuk menikmati pahit manis hidup.
Sebab itulah, manusia berhubung melalui hati.
Kita tidak dapat menyentuh hati itu dengan tangan, namun kita mampu buat ia tersentuh.
Saya pernah bersama sekumpulan manusia 'ajaib'. Hehe. Bagi saya, mereka ajaib. Anda mahu tahu kenapa? Kerana kehidupan mereka yang benar-benar menyentuh hati saya.
UST DAHLAN - Beliau tidak pernah jemu mendidik. Kesungguhan .... |
UST ABD HADI - Gaya penyampaian bersahaja dan menarik |
Mereka memperlihatkan contoh yang hidup pada saya dan semua anak didik mereka.
Ya. Mereka itu adalah orang-orang yang berbicara dan berhubung melalui hati.
Sekali bersama mereka, membuatkan kita ingin bersama dengan mereka beberapa kali lagi. Sehinggalah membawa kita untuk memahami kehidupan dan perjuangan mereka.
Pada saya, mereka tidak hidup di atas sesuatu yang sia-sia. Mereka hidup di atas iman dan keyakinan kepada Allah. Keyakinan itu jugalah yang mereka cuba sampaikan kepada anak didik mereka.
Umur mereka sudah menjangkau setengah abad, namun mereka masih terus gagah dan kuat berbakti. Mereka tidak pernah jemu mendidik. Hatta dalam kesakitan sekalipun, tetap gigih datang untuk memberi didikan.
Al-Marhum Ust Dahlan yang saya kasihi, pernah satu ketika dia sakit. Sakitnya memang terlalu teruk sehingga tidak dapat bangun. Namun, adakala hari yang beliau rasa kuat sedikit untuk ke MATRI, beliau akan datang dan masuk ke kelas untuk mengajar. Beliau tidak pernah mencari alasan untuk tidak hadir meskipun dalam keadaan belum sembuh sepenuhnya. Pernah sekali beliau datang sekejap, hampir-hampir sahaja beliau pengsan kerana penyakitnya itu datang semula.
Lihatlah kesungguhannya dalam mendidik. Tidak pernah ada rasa jemu. Meskipun sakit, namun beliau gagahkan juga langkah ke sekolah semata-mata untuk mendidik anak-anak muridnya.
Banyak lagi contoh pada beliau yang menyentuh hati. Namun, saya tidak akan nukilkan semuanya di sini.
Ust Omar Hj Salleh, beliau seorang yang menjaga masa dan teratur dalam urusannya. Khutbah dan penyampaiannya menarik hati saya. Ada sesuatu yang istimewa dalam penyampaiannya, isi, gaya dan semangatnya. Ada contoh (qudwah) di situ.
Bahkan kesungguhannya dalam hal mendidik juga tidak kurangnya. Beliau pernah dimasukkan ke hospital atas masalah jantungnya yang tersumbat. Sepatutnya usai pembedahan, beliau sepatutnya bercuti kerana diberi cuti yang lama oleh doktor. Pembedahannya agak berisiko kerana tulang dadanya dibelah dan akan mengambil masa yang lama untuk pulih. Namun, tak sempat cutinya habis pun, beliau datang dan mengajar di MATRI. Katanya, bosan lama-lama berehat di rumah.
Ust Abd Hadi Othman, guru Al-Quran saya yang santai dan bersahaja penyampaiannya. Sebenarnya, hanya tiga tahun sahaja 'masa perguruan' sebenar saya dengannya. Bermula saya tingkatan 5 hinggalah Khassah 2. Namun, sejak tingkatan 1 lagi saya memang teringin sangat berguru dengan beliau. Alhamdulillah, Allah izin juga walaupun pada masa-masa akhir di MATRI. Sebenarnya, sebelum naik ke tingkatan 5 itu, beliau sudah pun memberi tunjuk ajar secara tidak langsung kepada saya.
Beliau tidak pernah jemu datang untuk memberi kuliah subuh di musolla MATRI. Biarpun biasanya anak-anak muridnya majoritinya 'syahid' (biasanya ramai yang tidur) semasa kuliahnya, namun beliau tidak pernah jemu mengulang-ulang nasihat dan peringatannya. Kadang-kadang, ayat yang disampaikan tu lebih kurang sama setiap minggu, namun itulah yang membuatkan peringatan demi peringatan itu lekat di kepala anak-anak muridnya.
Inilah contoh-contoh murabbi saya yang berbicara melalui hati mereka ke hati mad'u mereka.
Rindu betul pada mereka ini.
Saya rasa untuk post ini, cukuplah saya nukilkan contoh-contoh itu daripada murabbi-murabbi saya.
Mereka yang mempunyai hati yang hidup. IKHLAS dalam usaha mendidik.
Sebab itu, mereka mampu untuk berbicara kepada hati manusia. Ramai yang tertawan dengan peribadi dan perjuangan mereka termasuklah saya.
Hati yang hidup itu mampu menghidupkan hati orang lain pula.
UST OMAR - Kuat usaha dan gigih mendidik |
DAKWAH KITA ADALAH DAKWAH HATI
Inilah sasaran sebenar dalam mengajak manusia kepada Allah.
Kita berdepan dengan manusia, bukannya robot. Manusia yang ada hati dan perasaan.
Maka corak dan teknik dakwah itu perlulah disesuaikan mengikut keperluan sasaran kita.
Sasaran kita adalah hati manusia, bukannya jasadnya itu.
Sebab itulah, hati kita yang menjadi pusat interaksi dengan hati manusia lain perlu sentiasa dijaga dan dipelihara kebersihannya. Bersihnya hati akan melahirkan amalan-amalan yang bersih dan baik. Hati yang kotor dan sarat dengan dosa akan melahirkan amalan-amalan dan peribadi yang buruk dan busuk.
Saidatina Aishah meriwayatkan hadith dari Nabi s.a.w. yang bermaksud:
"Manusia itu matanya sebagai petunjuk, telinganya sebagai saluran (pendengaran), lidahnya sebagai jurubahasa, tangannya sebagai sayap, kakinya sebagai utusan sedang hatinya itu ibarat raja pada dirinya. Jika raja itu baik, maka baik pula seluruh bala tenteranya."
Hati yang bersih, sentiasa memelihara hubungan dengan Allah, yakin dengan hari pembalasan, maka Allah akan membantu keberkesanan dalam usaha dakwahnya.
Ya. Tidak dinafikan natijah dan hidayah itu milik Allah. Tetapi, usaha dakwah kita perlu kreatif,dirancang dan berstrategi supaya dapat menembusi hati mad'u (orang yang didakwah).
Abbas As-Siisi dalam bukunya, 'Bagaimana Menyentuh Hati ?' pernah menukilkan sebuah kisah di mana beliau sengaja memijak kaki seseorang dalam perjalanannya menuju ke satu tempat. Beliau menjadikan peristiwa itu sebagai asbab (sebab) untuk beliau dapat berkenalan dengan mad'u barunya itu.
Inilah kreativiti seorang DAI'E (orang yang mengajak kepada Allah).
Selain iman yang menguasai dirinya dan bersih hati serta keperibadiannya, seorang dai'e juga perlu mempunyai fan (seni) dan strategi dalam berdakwah supaya dia dapat benar-benar berbicara kepada hati manusia.
Dakwah itu bukan bil lisan (melalui kata-kata) sahaja, bahkan dakwah yang lebih berkesan adalah bil hal (keperibadian dan contoh yang baik).
Dakwah bil hal yang telah merangsang kejayaan generasi awal dalam menyebarkan sistem hidup Islam kepada masyarakat.
SENI-SENI YANG MEMIKAT HATI SAYA
Bagi saya, MATRI adalah tempat subur dengan perkara-perkara yang menyentuh hati saya. Saya senaraikan beberapa perkara yang pernah saya lalui di sana sebagai sebahagian daripada sarana-sarana yang akan memikat hati objek dakwah kita.
(1) Sentiasalah bertanya khabar dan mengambil berat tentang hal kesihatannya, pelajarannya, makan minumnya
(2) Berilah hadiah yang tarbawi dan terbaik sebagai tanda penghargaan atas perkenalan/ persahabatan
(3) Berutus surat yang mengandungi kata-kata nasihat, Al-Quran dan hadith, kata-kata ulama' muktabar serta 'ayat-ayat cinta'. Ayat-ayat cinta yang dimaksudkan adalah yang memberi inspirasi dan dorongan kepada mad'u seperti pujian.
(4) Ajak keluar makan bersama, tidur bersama, musafir bersama. KEBERSAMAAN mengikat lagi ukhhuwah.
(5) Sentiasa mengadakan ruang-ruang untuk perbincangan-perbincangan yang mendekatkan hubungan dengan Allah dan menambah kefahaman terhadap Islam.
(6) Berilah risalah-risalah ringkas atau makalah-makalah kecil sebagai cenderahati (bukan cenderamata) untuk dirinya.
(7) Sentiasa hadiahkan SENYUMAN yang membahagiakan
(8) Bertutur kata dan berperibadi mulia sehingga dia melihat kita sebagai contoh yang dekat dengan dirinya
Inilah antara 8 daripada banyak lagi seni dakwah yang saya perolehi di sana.
Seni-seni yang berbicara melalui hati.
Tetapi, AWAS! Saya ingatkan seni-seni ini mestilah digunakan dalam batas syara'. Melebihi daripada batas syara', maka ia telah menjadi keburukan untuk kita kerana mengubah matlamat asal.
Matlamat kita tetap sama dan tidak akan berubah. Mengajak manusia kepada memperhambakan Allah dalam sistem kehidupan, mengambil Islam sebagai cara hidup.
PENUTUP : KITA PERLUKAN LEBIH RAMAI ORANG SEPERTI MEREKA
Ya. Kita perlukan lebih ramai orang yang MAMPU berbicara melalui hati seperti mereka (murabbi-murabbi saya).
Sentuhan dan tarikan pada keperibadian mereka membuatkan orang minat untuk kenal pada Islam.
Tindakan, kata-kata mereka, peribadi mereka mencerminkan ISLAM itu sendiri.
Mereka hidup di atas sesuatu yang HAK (benar). IMAN yang menjadi noktah bidayah (titik tolak) kepada diri mereka untuk terus bekerja dan mendidik serta mendidik sehingga tiba masa mereka dipanggil pulang oleh Allah.
Mereka tidak jemu serta tidak pernah putus asa.
Kita perlukan lebih ramai tenaga seperti itu.
AYUH, JOM PRAKTIS BICARA MELALUI HATI !
1 comments:
subhanallah...
nice for sharing...
mohon share ye...(",)
Post a Comment