Monday, November 1, 2010

Tekad Mereka Kuat Serta Luar Biasa




Islam suatu ketika dahulu, telah datang bersama sebuah generasi manusia yang hebat.

Mereka adalah lead generation, satu generasi yang bukan saja menjadi contoh kepada semua umat manusia, malahan menjadi pemimpin kepada umat manusia.

Bukanlah hebat mereka itu kerana membawa kemajuan pada pembangunan, malahan mereka juga asalnya adalah bangsa yang begitu terkebelakang, jauh ditinggalkan dalam aspek pembangunan. [ Read more ... ]


Bukanlah hebat mereka itu kerana harta dan kekayaan yang mereka miliki, bahkan hasil kekayaan mereka itu adalah hasil rompakan daripada kafilah-kafilah yang berdagang ke negara Arab.

Bukanlah juga hebat mereka itu kerana kedudukan dan pangkat yang mereka ada.

Bukanlah juga hebat kerana kekuatan ketenteraan yang ada pada mereka, bahkan mereka itu selalu tewas dengan kuasa besar Rom dan Parsi suatu ketika dulu, bergaduh sesama kabilah Arab.

Tetapi, mereka hebat kerana satu saja...
Mereka hebat kerana mengambil ISLAM dalam hidup mereka.

Siapakah mereka itu?
Merekalah yang digambarkan oleh As-Syahid Sayyid Qutb sebagai 'Generasi Al-Quran Yang Unik'.


GENERASI ITU YANG 'LEAD' KITA KEPADA HIDAYAH ALLAH

Ya.
Mereka yang gigih dan bersungguh-sungguh.
Tidak pernah jemu dengan perjuangan dan kehidupan mereka.
Membaca sirah mereka sudah cukup untuk membuat hati kita rasa tersentuh dan teruja dengan perjuangan yang mereka lakukan.

Pernah satu ketika Sa'id bin Jubair bertanya kepada Abdullah Ibn Abbas r.a.:

"Adakah kaum musyrikin menyeksa sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. hingga ke peringkat mereka mempunyai alasan untuk meninggalkan agama mereka?"

Jawab Abdullah: "Ya, demi Allah. Ada di kalangan mereka dipukul, dilaparkan, didahagakan sehingga ke peringkat mereka tidak terdaya untuk duduk tegak kerana kedahsyatan seksa yang terkena ke atas mereka. Sehinggakan mereka menjawab apa sahaja yang ditanya kepada mereka...."

Inilah kehidupan generasi awal Islam. Mempertahankan Islam dalam kehidupan mereka sehingga tahap yang begitu hebat sekali. Diseksa, dipukul, dihentam, sehingga ada yang terbunuh dan dibunuh.

Kerana apa? 
Semua itu kerana Allah...
Kerana mereka meletakkan nilai dan harga yang begitu tinggi atas pengorbanan yang mereka lakukan supaya Islam itu sampai kepada kita pada hari ini.
Mereka tahu kesakitan dan penderitaan itu tidak berpanjangan.
Mereka tahu akan ada hari bahagia buat mereka, jika tidak di dunia, di akhirat nanti.
Mereka yakin janji Allah itu adalah benar.

Kenapa perlu mereka bersusah payah untuk membayar harga pengorbanan itu? 
Bukankah lebih baik mereka bersama keluarga di rumah, berehat dan hidup bahagia bersama keluarga?
Bukankah lebih baik mereka hidup seperti biasa tanpa susah payah mewujudkan perpecahan dan rasa permusuhan dalam kalangan keluarga dan saudara mereka sendiri?
Bukankah lebih baik mereka itu berehat di rumah daripada diseksa dan dipukul begitu teruk?
Mengapa dan mengapa?

Kerana iman mereka meletakkan keyakinan mereka kepada apa yang dibawa oleh Rasul s.a.w. itu mengatasi segala-segalanya. Mengatasi batasan hubungan kekeluargaan, kabilah, dan sanak saudara.
Ya. Mereka tahu mereka akan dipukul
Mereka tahu mereka akan diseksa.
Mereka tahu mereka mungkin akan mati kerana mempertahankan iman dan aqidah mereka kepada Allah.
Tetapi, semua itu tidak menghalang mereka untuk terus istiqamah dan sabar mempertahankan Islam dalam kehidupan mereka.

Bahkan ada antara mereka yang terlucut kuku kaki kerana berjalan kaki ayam di dalam peperangan. Terpaksa dibungkus dengan reja kain seperti dalam peperangan Zat Ar-Riqo'.
Tetapi, susah payah dan luka perit yang mereka hadapi itu tidak membimbangkan mereka.
Mereka tidak takut dan risau jika diseksa sehingga terbunuh. Mereka tidak takut jika mereka terkorban kerana mempertahankan Islam. 
Tetapi yang mereka risau dan takutkan adalah apabila tercabutnya IMAN dan keyakinan terhadap Islam daripada kehidupan.


Allah s.w.t. telah ukirkan perihal generasi ini dalam surah At-Taubah, ayat 100 yang bermaksud:
"Dan orang-orang terdahulu, yang mula-mula (berhijrah dan membantu) dari kalangan orang Muhajirin dan Ansor, dan orang-orang yang mengikut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan-Nya serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar."


IMAN MENGUBAH JIWA DAN PEMIKIRAN MEREKA...

Kata Dr Yusof Al-Qaradawi:

'Iman adalah satu-satunya UNSUR yang dapat mencipta PERUBAHAN dalam jiwa manusia."

Generasi para sahabat telah lama membuktikan hal ini.
Mereka berubah lantaran jiwa dirasuk oleh iman yang benar kepada Allah.
Mereka suatu ketika dulu adalah kabilah yang dikuasai oleh jahiliah.
Berpecah belah, hidup berpuak-puak, merompak mencuri adalah kebiasaan, menanam anak perempuan, menyembah berhala-berhala dan mengamalkan riba dalam jual beli.

Namun, kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasul s.a.w. itu mengubah kebiasaan yang ada pada masyarakat itu.
Mereka yang memilih Islam sebagai jalan hidup, totally meninggalkan kebiasaan-kebiasaan buruk mereka di ketika mereka jahiliah.
Berlaku perubahan yang sangat besar dalam diri mereka. Pada tingkahlaku mereka, percakapan mereka, pergaulan dan keseluruhan peribadi mereka.

Inilah yang selalu diulang-ulang oleh seorang murabbi saya, Sir Abdoh:

'Taghyir Islami Kulli (Perubahan Kepada Islam secara Total)'

Apabila kita memilih Islam sebagai kehidupan kita, maka kita perlu buat perubahan secara total (keseluruhan) terhadap kehidupan kita.
Apa yang kita lakukan semuanya adalah Islam.
Makan minum kita adalah Islam.
Berjaga dan tidur kita adalah Islam.
Cakap kita adalah Islam.
Pergaulan kita adalah Islam.
Pakai dan gaya kita adalah Islam.
Semuanya dalam kehidupan kita adalah Islam. Maka, barulah dengan itu semuanya akan berubah menjadi baik.
Inilah qudwah yang telah ditonjolkan oleh para sahabat Rasul s.a.w.

Para sahabat Rasul s.a.w. menanggalkan semua sekali pakaian jahiliah daripada kehidupan mereka apabila  mengambil Islam sebagai jalan hidup.
Mereka telah mengambil Islam secara keseluruhan dalam semua aspek hidup mereka.
Mereka memilih jalan iman sebagai kehidupan mereka.
Lantaran itu, mereka berubah menjadi manusia luar biasa dan menjadi contoh kepada generasi selepas mereka.
Generasi itu ada Abu Bakar as-siddiq, Umar Al-Farouq, Ali karamallahu wajhah, Khalid Al-Walid, Bilal bin Rabah, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Abdullah Ibn Ma'sud, Zubair Ibn Awwam, Al-Barra' bin Malik, Anas bin Malik, Abu Dzar Al-Ghifari, Suhaib Ar-Rumi dan ramai lagi yang menjadi contoh terbaik kepada manusia sehinggalah sekarang.

Mereka telah diiktiraf dalam Al-Quran dalam surah Al-Imran, 110 yang bermaksud:

"Kamu (wahai ummat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala kebaikan dan melarang daripada perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)..."


KITA JUGA MEMILIH ISLAM, KENAPA NATIJAHNYA TIDAK SAMA?

Saya bawakan mafhum hadith yang agak panjang.

Dalam sebuah hadith riwayat Al-Hakim dari Al-qamah, Ibn Harith berkata: 
"Aku tiba di hadapan Rasulullah s.a.w. bersama-sama dengan kaumku, sedang pada masa itu aku baru berusia tujuh tahun. Setelah kami memberi salam kepada baginda dan dijawabnya salam kami, maka kami pun berbicara dengan Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. tertarik dengan percakapan kami lantas baginda menyoal kami:

"Siapa sebenarnya kamu ini?"

Jawab kami: "Kami ini orang beriman."

Berkata Rasulullah s.a.w. : "Setiap kata itu ada hakikatnya. Maka apakah hakikat iman kamu itu?"

Jawab kami : "Ianya ada lima belas sifat. Lima darinya tuan hamba yang menyuruh kami, lima perkara utusan tuan hamba yang menyuruh kami dan lima perkara lagi biasa kami berbudaya dengannya sejak zaman jahiliah lagi, dan masih kami hayatinya hingga ke hari ini, kecualilah kiranya tuan hamba melarang kami supaya tidak beramal dengannya, wahai Rasulullah."

Baginda berkata : " Apakah lima perkara yang kusuruh kamu laksanakan itu?"

Kami menjawab : " Tuan hamba suruh kami beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, Rasul-rasul dan qadha' dan qadar yang baik dan yang jahat."

Sabda Rasul s.a.w. lagi : " Dan apa pula lima perkara yang disuruh oleh utusanku?"
Jawab kami : "Para utusan tuan telah menyuruh kami supaya mengucap tiada Tuhan yang disembah selain Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan engkau hamba dan pesuruh-Nya. Diperintahnya kami mendirikan solat yang fardhu, menunaikan zakat yang diwajibkan, melaksanakan puasa di bulan Ramadhan dan melakukan haji di Baitullah sekiranya kami berkemampuan."

Sabda Rasul s.a.w. :"Dan apa pula sifat-sifat yang kamu warisi dari zaman jahiliah dahulu?"
Jawab kami : " Ianya adalah berterima kasih ketika senang, bersabar ketika susah, benar-benar bertekad ketika berhadapan dengan musuh, redha dengan kepahitan qada' dan meninggalkan perangai suka dan gembira kerana kekalahan seteru."

Sabda Rasul s.a.w. lagi :"Mereka ini adalah golongan faqih dan sasterawan, kerana sifat-sifat tadi. Mereka hampir-hampir menjadi golongan nabi."

Rasulullah s.a.w. senyum semasa melihat kami, kemudian baginda bersabda: " Di sini aku berpesan kepada kamu dengan lima sifat yang lain, buat menyempurnakan seluruh ciri kebaikan pada diri kamu. Jangan kamu kumpulkan sesuatu yang kamu tidak memakannya, jangan kamu membina rumah padahal kamu tidak tinggal di dalamnya, jangan kamu berlumba-lumba pada sesuatu yang bakal luput dari kamu, bertaqwalah kamu kepada Allah yang bakal menghimpunkan kamu di padang mahsyar, nanti di situ kamu akan dihadapkan dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh kepada sesuatu yang pasti kamu sampai kepadanya, malah kamu kekal di sana nanti."

Inilah kejernihan yang dimiliki oleh para sahabat Nabi s.a.w. Mereka zahirkan Islam itu dalam bentuk amal, bukan teori mahupun melalui perkataan semata-mata.
Hakikat iman mereka itu jelas dalam perbuatan dan tindakan mereka.
Yang baik itu adalah yang baik pada ukuran iman kepada Allah.
Yang buruk itu adalah yang buruk pada ukuran iman kepada Allah.


Hakikatnya, Islam itu adalah PRAKTIS dalam kehidupan mereka.
Kita bagaimana?


Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP