Saturday, September 18, 2010

Bila Manusia Meninggalkan-Nya...


Perhatikan alam ini dan fikirlah dengan penuh teliti. 
Di sebalik itu, tersembunyi kehebatan rahsia penciptaan-Nya bagi orang yang berfikir.

Saya suka perhatikan manusia di sekeliling saya.
Melihat gelagat dan ragam yang pelbagai.
Saya suka perhatikan diri saya.
Tahu apa yang saya temui?

Haha...
Manusia makhluk yang UNIK.
Subhanallah. Keunikannya itu bila dikaji-kaji akan menampakkan kita betapa Allah SWT itu Maha Agung.

Lihatlah apa yang ada pada diri anda...
Semuanya saling melengkapi antara satu sama lain, tak?

Allah jadikan kita dari sekecil-kecil unit dalam alam ini, iaitu sel, kemudian Allah bentukkan tisu-tisu daripada sel-sel yang banyak itu bergabung dan bekerja untuk membentuk organ.
Organ jantung, paru-paru, ginjal, dan pelbagai lagi organ yang ada dalam tubuh kita saling bekerjasama membentuk sistem-sistem untuk memberi fungsi kepada tubuh badan kita.
Sistem pernafasan, sistem perkumuhan, sistem peredaran darah dan macam-macam sistem lagi yang ada inilah yang saling berganding tenaga menggerakkan tubuh kita ini.

UNIK, bukan?
Bahkan, Allah ceritakan hal penciptaan manusia ini dalam Al-Quran, dalam surah Al-Mukminun, ayat 12-14.
Maksud ayat:

"Dan sesungguhnya Kami menciptakan manusia dari tanah. Kemudian, Kami menjadikannya air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan sesuatu yang melekat, lalu sesuatu yang melekat itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami menjadikannya makhluk yang  (berbentuk) lain. Maha Suci Allah, Pencipta Yang Paling Baik."

Lihatlah, telitinya penciptaan manusia. Dari satu proses kepada proses yang lain, membentuk seorang manusia.
Itu baru seorang, sedangkan telah berjuta-juta manusia Allah ciptakan. Ditambah pula dengan wajah yang berbeza-beza, warna yang berlainan, lahir daripada bangsa dan kaum serta agama yang pelbagai.
Huh, hebat Allah SWT, kan?
Sebab itulah Allah SWT gambarkan dalam surah At-Tin yang bermaksud:

"Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."

Itu baru bab kejadian manusia.
Belum diceritakan lagi unsur-unsur dalaman yang Allah beri kepada manusia untuk hidup, yang tidak ada pada makhluk lain.
Sebab itu manusia bukan ROBOT, sentiasa menunggu arahan, sedangkan Allah anugerahkan AKAL untuk manusia berfikir. Allah beri PERASAAN dan NALURI, supaya kita ada rasa kasih, benci, suka, gembira, sedih, marah dan sebagainya.
Robot yang manusia ciptakan, hanya dikawal oleh cip-cip yang telah di'set' khas untuknya. Robot tidak miliki akal, ia juga tidak mempunyai perasaan.
Manusia juga bukan MALAIKAT, Allah beri QALBU atau HATI untuk manusia tentukan kehidupannya.

Itulah makhluk bernama manusia. Penciptaannya terlalu agung dan hebat. Mungkin saya mampu ceritakan proses penciptaan itu, tapi saya tak dapat gambarkan kehebatan penciptaan Allah itu. Maha Hebat dan Maha Agung Allah. Subhanallah !!!

MANUSIA HARI INI SEHEBAT PROSES PENCIPTAANNYA?

Persoalan ini untuk anda. Simpan dan jawablah dengan IMAN.
Pembunuhan, buang anak, rogol, rompak, ragut, zina, 'couple' sebelum nikah, dan banyak lagi jenayah sosial yang melanda masyarakat.
Siapa yang lakukan semua ini?
Manusia....
Baru-baru ini, kes pembunuhan dan pembakaran seorang jutawan kosmetik dan 'orang-orang kanannya' telah dibongkarkan oleh pihak polis.
Zalim, zalim dan zalim...
Siapa yang lakukannya?
Manusia...

Kenapa berlaku begini? Bukankah manusia itu sebaik-baik kejadian?
YA, manusia adalah sebaik-baik kejadian bilamana dia taat dan tunduk pada Allah, seluruh kehidupannya untuk Allah.
Bacalah sambungan daripada ayat dalam surah At-Tin tadi yang bermaksud:

"...kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya, kecuali orang-orang yang BERIMAN dan mengerjakan KEBAJIKAN, maka mereka akan mendapat pahala yang tidak ada putus-putusnya..."

Keperluan manusia kepada Allah umpama keperluan manusia kepada air, 
malah lebih lagi daripada itu. Tiada air, maka manusia akan mati.
Tiada Allah, akan mematikan hati.

TAAT KEPADA ALLAH, RAHSIA KEHEBATAN 

Mari kita lihat rahsia HEBAT manusia pada zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.
Kenapa saya pilih mereka untuk saya ceritakan di sini?
Kerana kehebatan mereka sudah benar-benar terbukti, bukan sahaja diiktiraf di dalam Al-Quran, bahkan diiktiraf juga oleh orang bukan Islam.
Apa yang mereka miliki telah menjadikan mereka hebat.
ISLAM.
Itulah yang menjadikan mereka hebat. Mereka menjadikan seluruh kehidupan mereka ini untuk beribadah kepada Allah. Makan minum mereka menjadi ibadah, pergaulan mereka menjadi ibadah, tutur kata mereka adalah ibadah, hinggalah kepada pembentukan Madinah sebagai negara Islam yang pertama juga adalah ibadah.

Apa maksudnya tu?
Maksudnya, apa sahaja yang mereka lakukan itu tidak terlepas daripada lingkungan ketaatan kepada Allah.
Semua yang mereka lakukan dalam rangka mentaati Allah dan menjuahi larangan Allah.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Imran,110 yang menggambarkan tentang generasi terbaik ini yang bermaksud:

"Kalian adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan di kalangan manusia, kamu menyuruh berbuat yang maaruf' (kebaikan) dan kamu mencegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah."

Pada diri mereka itu ada QUDWAH (contoh).
Contoh yang sangat REALISTIK untuk semua manusia pada zaman mana sekalipun. Hingga ke hari ini, kisah mereka masih disebut-sebut dan diceritakan.
Kerana mereka benar-benar menjadikan Al-Quran sebagai DUSTUR AL-HAYAH (perlembagaan hidup), mereka faham dan melaksanakan apa yang diajar kepada mereka daripada Al-Quran, itulah yang menjadikan contoh mereka realistik.
Mereka tidak IDEALISTIK semata-mata dalam memahami Al-Quran. Bahkan segala arahan dan larangan dalam Al-Quran diterjemahkan dalam kehidupan mereka, sehingga mereka memiliki aqidah yang bersih serta peribadi yang menjadi contoh pada masyarakat.
Seorang ulama' bahkan menggambarkan mereka ini sebagai Al-Quran yang berjalan.

Jika nak diceritakan tentang masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam, mereka adalah masyarakat yang tidak miliki apa pun kemuliaan.
Selalu berperang antara kabilah-kabilah, membunuh anak perempuan, dijajah dengan Rom dan Parsi, dan pelbagai lagi gambaran kehinaan yang ada pada mereka.
Namun, selepas datangnya Rasul s.a.w. membawa cahaya IMAN, membawa mereka kembali kepada ajaran Allah, berlaku perubahan yang cuku luar biasa.
Masyarakat yang satu ketika dahulu dikenali dengan kedhaifannya berubah menjadi masyarakat yang digeruni dan dihormati dunia.
Lahirlah peribadi dan tokoh-tokoh yang unggul seperti Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Abu Bakar, Bilal bin Rabah, Khalid al-Walid dan ramai lagi.
Mereka semua memiliki peribadi yang menjadi contoh kepada dunia.

HINANYA MANUSIA BILA MENINGGALKAN ALLAH DI BELAKANG

Lihatlah kezaliman dan maksiat yang berleluasa di sana sini.
Pemimpin dengan kerakusan, kezaliman dan penindasan yang tidak pernah berhenti. Tidak jujur dan mengabaikan rakyat.
Rakyat pula terjebak dengan maksiat dan kemungkaran.

Kenapa boleh terjadi begini?
Inilah akibat meninggalkan Allah SWT.
Mereka tinggalkan Allah SWT, dan mengambil lain daripada apa yang telah Allah tetapkan.
Mereka lupa dan lalai kepada tanggungjawab mereka kepada Allah.
Mereka tahu Allah SWT itu Rabb Alam ini, tetapi mereka tahan dan tutup hati mereka. Sebab itu mereka tidak pernah faham dan sedar.

Inilah contoh manusia HINA.
Lebih hina daripada lembu, kambing dan segala apa jenis binatang.
Bagi mereka balasan yang setimpal hanyalah neraka.
Kerana terlalu banyak dosa dan kelalaian yang mereka lakukan.
Firman Allah SWT dalam surah Al-A'raf ayat 179 yang bermaksud:

"Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai."

Itulah perumpamaan yang Allah gambarkan untuk manusia yang meninggalkan-Nya.
Sama seperti binatang ternakan, bahkan lebih teruk lagi daripada itu.
Binatang pun sayang kepada anak, tetapi manusia hari ini buang anak di mana-mana sahaja bahkan di dalam jamban sekalipun.
Huh, kesian makhluk tidak berdosa itu!
Binatang pun tidak tamak dalam mencari makanannya. Lihatlah semut, berkongsi dengan saudaranya. Tetapi manusia, ketamakan dan kerakusannya melampau-lampau.

Sehina-hina binatang masih mampu memberi manfaat kepada manusia, susu dan dagingnya.
Sehina-hina manusia, masihkah ada manfaat?


PENUTUP : KITA PERLU KEMBALI KEPADA TUJUAN ASAL

Allah SWT telah sebutkan dalam surah Al-Mukminun yang bermaksud:

"Apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu dengan sia-sia dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Kita hidup, ada tujuannya.

Kita tidak hidup sekadar untuk memuaskan nafsu ini.

Hidup di atas nafsu inilah yang menyebabkan manusia berpecahan dan bergaduh sesama sendiri.

Kita perlu SEDAR dan KEMBALI...!

IIMAN yang akan memuliakan kita. Lihatlah kesan IMAN terhadap generasi Rasul s.a.w. dan para sahabat.
Mereka juga manusia seperti kita, tetapi mengapa mereka mampu menjadi hebat sedemikian?

Mereka tidak pernah meninggalkan Allah dalam kehidupan mereka.

Mereka menjaga hak-hak Allah, maka Allah menjaga dan memuliakan mereka.

Manusia, makhluk yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian, maka baginya juga sebaik-baik deen (cara hidup) di sisi Allah, iaitu ISLAM.

Sekiranya dia memilih jalan yang lain, maka sesat dan rosaklah dirinya.

0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP