Tuesday, May 3, 2011

Maaf : Ia Menenangkan Jiwamu !


Nilai pada sebuah 'KEMAAFAN'

Bukan senang memberi maaf. Apalagi meminta maaf. Tambah bila berdosa dengan manusia.

Kadang-kadang, jiwa disekat dengan perasaan malu yang begitu tinggi apabila bersalah sehingga menimbulkan rasa takut yang mengheret jiwa ke kancah penghinaan.

Manusia memang tidak terlepas dari kesilapan kerana itu fitrah.
Manusia pasti akan silap. Manusia memang sentiasa silap.

Itu fitrah yang tidak dapat diubah.
Tetapi, kesilapan itu adalah pelajaran penting buat kita sebenarnya.

Di situ, banyak perkara kita belajar tentang erti menghargai sebuah kehidupan.
Ya. Bukan mudah nak capai sesuatu, bukan?
Tetapi, apabila hampir tercapai, berlaku banyak pergeseran di pertengahan jalan.

Kadang-kadang, pergeseran ini mematikan terus perjalanan kita.
Kadang-kadang juga, pergeseran ini membuat kita jadi terkedu dan hilang kata. Timbul rasa malu dan takut yang membuat diri rasa hina.
Namun, pergeseran ini bila diatasi dengan sabar dan berani, ia menguatkan langkahan kita yang seterusnya.

Kadang-kadang kita terlupa bahawa kesilapan kita dengan manusia itu mungkin terjadi kerana kesilapan yang kita lakukan terhadap Allah. Lantas, bila berlaku pergeseran, maka kembalilah dulu kepada Allah.


DOSA AKAN MEMBUAT HATI ANDA MERAGAM

Umpamakan perut anda. Bayangkanlah jika anda tidak makan selama sehari, sudah pasti perut anda akan sensitif dan memberi signal untuk mendapatkan makanan, bukan?

 Kemudian, sudahlah anda tidak makan selama sehari, tiba-tiba anda diberi makan kulit durian untuk mengatasi masalah lapar itu. Selesaikah masalah lapar anda?

TIDAK. Malah anda mungkin pula berisiko untuk mendapat penyakit lain.

Itu perut kita yang pastinya berisi makanan setiap hari, bukan? Maka, bagaimana pula dengan hati?

Manusia yang BERIMAN itu, hatinya sensitif dengan dosa. Kenapa?

Kerana makanan yang sepatutnya untuk HATI adalah makanan kebaikan, makanan pahala.

Tetapi, apabila dijamu dengan makanan dosa yang bukan makanannya, maka ia akan meragam dan menghidapi pelbagai penyakit hati yang akhirnya membawa kepada kematian hati.

Kematian hati mengundang seribu satu masalah dan bencana kepada pembangunan individu dan masyarakat.


GALAUNYA HATI BILA TENGGELAM DALAM KEMELUT DOSA

Kematian hati adalah bencana yang paling ditakuti. Kesannya mengakibatkan manusia hilang sensitif terhadap dosa.

Kematian hati akan mengakibatkan kita hilang kelazatan untuk beribadah kepada Allah dan akan menyebabkan terbantutnya banyak kerja-kerja kebaikan.

Paling dirisaukan apabila kematian hati mengakibatkan rendah cita-cita dan lemah keazaman. Maka, saat itu kehidupan ini seolah tiada nilainya.

Oleh sebab itu, apabila terjatuh dalam dosa atau kesilapan, maka perlu segera mencari jalan untuk bersihkan diri daripada dosa itu. Bukan apabila jatuh dalam kesilapan, kita biarkan begitu sahaja tanpa ada usaha untuk keluar darinya. Maka, selamanya kita tidak akan dapat membersihkan diri kita.

Dosa yang tidak dibersihkan lama-kelamaan membawa kepada kegelapan dan kemalapan hati. Inilah yang paling ditakutkan.

Firman Allah swt dalam surah An-Nisa’ ayat 111 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa, maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri…”


AYUH, BERSIHKAN DIRI !

Bersalah dengan Allah, maka perlulah kita minta ampun terus dengan Allah.

Tetapi, bila bersalah dengan manusia, maka perlulah meminta maaf kepada manusia.
Dosa sesama manusia tidak akan terampun jika tidak mendapat kemaafan daripada manusia yang kita telah lakukan kesilapan terhadapnya.
Mak saya berpesan bila saya ada melakukan kesilapan terhadap seseorang, katanya:

“Afdhol, solat sunat taubat dulu. Kemudian minta maaf dengan orang tu….”

Mudah dan ringkas saja pesanannya tetapi menyentuh hati. Kita mungkin telah melakukan kesilapan terhadap Allah, mengakibatkan kita telah melakukan kesilapan terhadap manusia lain.

Segeralah minta maaf apabila melakukan kesilapan kepada manusia. Jangan beri peluang kepada diri kita untuk terus menangguhkan pada suatu perkara yang memberi nilai tinggi kepada jiwa kita.

Bukankah meminta maaf dan mengaku kesalahan itu satu kemuliaan?
Bukankah berlaku jujur dan berani itu dicintai Allah?
Maka, apa lagi yang perlu ditunggu…


PENUTUP : TENANG JIWA BILA BERSIH DARIPADA DOSA

Orang beriman itu akan sentiasa resah hatinya apabila terperangkap dengan dosa. Tambah lagi bila dosa itu sesama manusia. Kadang-kadang, rasa malu menebal dalam diri sehingga menghalang kita untuk meminta maaf.

Tetapi, sekiranya tidak diselesaikan, maka hati akan terbelenggu terus dengan keresahan.

Hidup tidak tenang, terbayang-bayang dengan dosa dan kesalahan.

Ketenangan ini hanya dapat dicapai semula apabila “MAAF” dilafazkan.

Waktu itu, terasa begitu luasnya dunia ini. Terasa bahagia meresap masuk ke dalam jiwa seolah tidak ada kebahagiaan lain lagi yang setara dengan mendapatkan sebuah kemaafan itu.

MashaAllah, bahagia lagi apabila sebuah kota bernama jiwa itu saat mendapatkan keampunan daripada Allah atas kesilapan dan dosanya yang lalu.

Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nisa’ ayat 110 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya diri sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”


0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP