Sunday, May 29, 2011

Membangunkan Cita Dengan Cinta


~ Mana mungkin menggapai SYURGA dengan hanya 'diamkan diri'
di atas jalan menuju ke sana? 


Bercita-cita atau memiliki cita-cita adalah sesuatu yang amat mudah.

Soalan yang biasa ditanya, “Apakah cita-cita anda?”, “Anda ingin jadi apa bila besar nanti?”

Biasanya ada yang menjawab, “Saya nak jadi doktor.”

“Jurutera”

“Saintis”

“Ustaz”, dan sebagainya.

Ya. Bercita-cita. Semua orang perlu bercita-cita.

Orang yang tidak memiliki cita-cita, ia tidak memiliki arah dalam kehidupannya. Tidak tahu ke mana hendak dituju. Sekadar mengikut, biarlah ia diterbangkan angin sekalipun, asalkan jangan dihancurkan oleh ribut taufan. Kalau tidak ada angin, ia gugur ke bumi.

Orang yang memiliki cita, ia memiliki arah hendak dituju.

Namun, tidak semua sampai kepada cita-citanya itu, bukan?

Berapa ramai yang bercita-citakan SYURGA?
Ramai, bukan?

Namun, berapa ramai pula yang benar-benar sampai kepada SYURGA itu?


CITA-CITA AGUNG

Dalam kehidupan ini, cita-cita yang terbesar adalah bukanlah semata-mata kita berimpian untuk menjadi sebagai apa atau untuk memiliki apa dalam kehidupan.

Tetapi cita-cita terbesar adalah sejauh dan sebesar mana sumbangan kita dapat berikan untuk kehidupan kita di alam sana yang kekal abadi itu dengan apa yang kita miliki itu.

Ya. Kita memiliki pelbagai kemahiran, potensi, kemudahan dan sebagainya.

Tetapi berapa % daripada semua itu yang benar-benar menjadi saham kita untuk merebut syurga?

100 %?
90% ?
50% ?
10%?
1% sahaja ?
Atau 0 ?

Ramai yang memiliki sesuatu yang hebat di dunia ini, menjadi seorang doktor, jurutera, pakar itu dan pakar ini. Namun, ia tidak mampu memberikan saham sedikitpun untuk membantu mereka di alam akhirat sana.

Untung di dunia, muflis di akhirat !

Ada orang yang kerjanya hanya tukang kebun, tukang sapu sampah tetapi sahamnya yang tersimpan di akhirat berjuta-juta million, MashaAllah !

Kenapa begitu? Apa yang membezakan mereka?
Bukankah seorang doktor itu seorang yang bercita-cita tinggi?
Bukankah jurutera itu pekerjaan yang hebat?

Memang tidak dinafikan, menjadi doktor, jurutera dan lain-lain adalah cita-cita yang tinggi dan hebat, namun ada yang lebih tinggi daripada itu.

Cita-cita akhirat itu lebih tinggi daripada semua itu. Seorang doktor jika memiliki cita-cita akhirat, maka dia akan menjadi lebih hebat.

Bercita-citakan akhirat membuatkan manusia kenal siapa dirinya dan tujuan keberadaan dirinya di dunia ini.

Bercita-citakan akhirat membuatkan seseorang memiliki keazaman dan harapan yang jauh berbeza daripada manusia biasa.

Bercita-citakan akhirat menjadikan seorang manusia biasa menjadi luar biasa!


MEREALISASI CITA DENGAN CINTA

Ramai orang yang mungkin cinta untuk masuk ke syurga.

Cita-citanya adalah untuk mendapat hasanah (kebaikan) di dunia dan di akhirat. Tetapi tidak ramai yang mencintai USAHA untuk mencapai cita itu.

Lalu, mungkinkah seorang doktor menjadi doktor jika diri sepi tanpa usaha?

Jika kita cintakan syurga, maka kita juga perlu cintakan semua jalan yang membawa kepada CITA-CITA agung itu.

Orang yang cintakan CITA-CITA, tetapi benci untuk BERUSAHA, cuma berangan-angan sahaja.

Cita tidak mungkin tercapai tanpa usaha.

Usaha tidak mungkin diraih tanpa adanya cinta.


PENUTUP : BERCITA-CITALAH SEPERTI MEREKA

Generasi para sahabat Rasulullah s.a.w. adalah generasi akhirat.

Mereka memiliki wawasan seluas langit dan bumi. Wawasan yang disebutkan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Imran yang bermaksud:

“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Allah dan syurga yang seluas langit dan bumi …”

Cita-cita mereka mengjangkau atmosfera dunia ini. Lantaran itu, dunia ini suatu ketika pernah tunduk dengan apa yang mereka bawa dan ajarkan dalam kehidupan.

Kerana mereka memiliki cita-cita setinggi itu, dan mereka juga sangat cinta untuk membangunkan CITA itu, membuatkan mereka tidak pernah lelah dan penat dari berusaha dan berkorban.

Mereka tidak mahu jika hanya sekadar mereka sahaja memiliki CITA seperti itu, bahkan mereka ingin membangunkan CITA itu dalam jiwa manusia yang lain, agar manusia lain kenal apa yang telah mereka kenali, menyambung apa yang telah mereka usahakan.

Mereka adalah generasi SYURGA, di tangan mereka CITA-CITA ini mula dibangunkan, maka di tangan kita pula cita-cita ini perlu diteruskan !

5 comments:

Nadiah Abdah May 29, 2011 at 11:06:00 PM GMT+8  

salam...peringatan yang sangat baik..terima kasih...

muhasabah diri lepas baca entri saudara

Iman May 29, 2011 at 11:10:00 PM GMT+8  

Assalamualaikum...
entry yang menarik...
terselik peringatan dan semangat...
pengkongsian yang begitu bermakna...
syukran...

Unknown May 31, 2011 at 9:16:00 PM GMT+8  

@ Ummu Nuha :

Sama-sama. Moga bermanfaat. Muhasabah untuk diri saya juga sebenarnya.

Unknown May 31, 2011 at 9:17:00 PM GMT+8  

@ Iman:

Peringatan dan semangat adalah hembusan kebahagiaan daripada Allah ke dalam hati saudari. Saya hanya mampu berkongsi.

Moga bermanfaat. Afwan.

bugsphilic~~ July 11, 2011 at 5:50:00 PM GMT+8  

cukup terkesan dgn artikel ini.
syukran atas perkongsian.
mohon share ya :)

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP