Mengapa Tidak Kau Hargainya Sekarang?
Kasih IBU bawa ke syurga ! |
Momen bersama ibu adalah saat paling membahagiakan. Kalau ada yang bertanya apakah saat yang paling membahagiakan, maka jawapan saya adalah saat bersama ibu dan ayah.
Namun, pada post kali ini, izinkan saya berkongsi tentang IBU dahulu. Akan saya kongsikan pada post yang lain pula tentang AYAH.
Kenapa saya katakan itu adalah momen yang paling membahagiakan jiwa saya?
Kerana merekalah, hari ini saya adalah saya seperti hari ini.
Alhamdulillah dan Alhamdulillah.
Mereka itu wasilah untuk menumpahkan kasih Allah kepada kita.
Barangkali jika tidak ada mereka, saya pun tidak dapat mengagak di mana kehidupan saya hari ini?
Barangkali mungkin sesat di pedalaman dan di celahan belantara dunia yang maha menipu ini.
Barangkali menjadi salah seorang daripada pendukung-pendukung belantara itu.
MOMEN BAHAGIA ITU SERING TIDAK DIHARGAI
Bila bercakap perihal IBU, hati selalu sahaja rasa hiba, rasa hampir-hampir mahu menangis. Kenapa tidak, dari kecil hingga dewasa, MAK (panggilan kepada ibu saya) saya yang saya miliki itu benar-benar menjadi IBU TERBAIK buat saya dan adik-beradik sekeluarga.
Memang benar. Nilai kasih seorang IBU itu tiada tukar gantinya. Seorang IBU benar-benar mengenali anak-anaknya kerana anak-anak itu lahir dari perutnya. Anak itu lahir dengan penuh kesusahan dan kepayahan, namun ditanggung oleh seorang IBU dengan jiwa yang penuh kesabaran. Sebab anak itu lahir dengan jiwanya, sebab itulah seorang ibu lebih mengenali dan menghargai anak-anaknya.
Namun, sejak kecil bersama mak, kadang-kadang momen itu tidak dihargai dan tidak diambil peduli pun. Kadang-kadang ego kita yang lebih tinggi mengatasi segalanya membuatkan kita kadang-kadang melenting, menengking dan meninggikan suara kepada ibu.
Wujud perasaan seolah-olah kita yang betul, dan ibu kitalah yang salah, bukan?
Bila keinginan diri tidak tercapai, maka mulalah episod merajuk dan bermasam muka dengan ibu.
Bila hajat tidak diizinkan, mulalah meninggi suara.
Bila sudah remaja dan dewasa, kita malu pula untuk menzahirkan cinta dan sayang kita kepada ibu kita. Bukan apa, takut nanti dikata “anak mak”, “anak manja” dan sebagainya.
Kadang-kadang, antara kawan-kawan dan ibu, kita lebih mendahulukan kepentingan kawan-kawan kita ke atas diri kita berbanding kepentingan ibu.
Tetapi, istimewanya seorang IBU. Dia tidak pernah cerita tentang berapa harga KESABARAN yang sepatutnya kita bayar untuk melayan karenah kita itu, bukan?
Manusia bila sudah kehilangan, barulah dihargai. Adakah perlu menunggu sehingga IBU pergi menghadap Illahi, barulah kita akan memberikan penghargaan kepadanya, barulah ketika itu kita hendak menunjukkan prihatinnya kita kepada dia?
Maka, ketika itu prihatin pun sudah tiada harganya lagi.
MAK YANG SENTIASA TENANG DAN SABAR
Bila saya mengalami musibah pada tahun yang lepas, saya tertangis sendirian. Memang benar, waktu itu tidak ada ubat melainkan sabar dan redha dengan ujian Allah.
Dalam hidup selama ini, saat- saat itulah yang paling membuat diri rasa gementar, takut, dan wujud pelbagai macam perasaan. Namun, ketika itu, MAK datang dengan wajah yang tenang dan membahagiakan, menjadi teman setia di kala kegundahan hati, menghilangkan sedikit keresahan.
Melihat wajah MAK, rasa terubat sedikit kesusahan.
Ketika dalam kereta ketika hendak pergi berehat, MAK cuma memujuk saya dan sempat berpesan, “ Afdhol, solat sunat dua rakaat nanti. Minta Allah permudahkan segalanya.”
MasyaAllah, penuh ketenangan dan sentuhan nasihatnya ketika itu.
Saya jadi tenang, lega dan hilang gusar. Bukan apa, ketika itu,tidak disentuh langsung tentang kecuaian saya mengakibatkan terjadinya musibah itu. Mak memilih waktu yang sesuai untuk bercakap dengan saya tentang kecuaian saya itu.
Bila difikirkan semula peristiwa itu dan fasa-fasa lain dalam kehidupan, saya benar-benar rasa saya telah banyak menyusahkan MAK dan ABAH saya.
Walaupun saya tidak pernah nampak kerisauan di wajah mereka ketika di depan saya, tetapi saya tahu, MAK di belakang kami adik-beradik sudah pasti tertumpah air matanya. Cuma, mak sangat ‘bijak’ menyembunyikannya.
Mak sangat mengambil berat dengan luka di hati anak-anaknya, tetapi luka di hati mak, kadang-kadang tiada yang mengambil peduli, tetapi mak tetap terus dengan reaksinya yang tenang dan sabar di depan kami.
Saya pun jadi kagum dengan ketabahan mak.
MAK – DIA JUGALAH SEORANG ZAUJAH, UMMI, MURABBIYAH, DAIE’AH, DAN SEORANG SAHABAT
Mak antara orang-orang yang rajin keluar melaksanakan program-program Islam. Tetapi kesibukan mak itu tidak langsung menghalang beliau untuk benar-benar menjadi seorang mak kepada 6 adik-beradik kami. Ia tidak juga menghalang mak untuk menjadi zaujah (isteri) yang taat setia kepada abah.
Memang benar, saya akui didikan yang pertama adalah bermula di rumah saya bersama mak dan abah.
Saya masih terasa dan terkesan dengan didikan mereka sehingga kini biarpun kami berjauhan.
Hebatnya seorang IBU. Biar jauh, tetapi kesan didikannya itu tetap dirasai. Kerana saya hidup kini dengan doa mak yang tidak putus-putus.
Beliau mendidik kami dengan sabar. Memberi nasihat dan melayan karenah kami dengan tidak pernah jemu.
Beliau sangat teliti mendidik kami. Risaunya sangat mendalam apabila mendidik kami.
Sebab itulah, setiap orang daripada adik-beradik kami, ada nasihat tersendiri untuk masing-masing. Setiap orang tidak sama nasihatnya. Dan mak akan tetap kekal terus menjadi Penasihat Kanan kami 6 orang adik beradik selagi masih hidup.
Itulah hebatnya mak. Sabarnya mendidik kami. Biar sibuk dengan program Dakwah & Tarbiah di luar sekalipun, tetapi Dakwah & Tarbiah dalam rumah tangganya tidak dilupakan.
Mak, mak benar-benar menjadi CONTOH kepada kami semua.
PENUTUP : KALAU MAMPU KU HADIAHKAN SYURGA BUATMU …
Bercerita tentang mak, satu dua post pun tidak akan pernah cukup. Mana mungkin ditandingi jasanya dengan hanya cerita dalam satu dua post.
Sebab itu, dengan jasa dan nilai pengorbanan mak yang begitu tinggi itu, seandainya saya mampu, maka saya akan hadiahkan syurga buat mak.
Tetapi, syurga itu milik Allah, bukan? Saya hanya mampu berdoa untuk mak:
“Ya Allah, hadiahkanlah syurga Firdaus buat ibuku. Ya Allah, bahagiakanlah dia di syurgamu kerana dia telah membahagiakan kami di dunia ini dengan didikan untuk mengenal-Mu.”
Ada seorang pelajar pernah bertanya saya pada suatu hari:
“Ust, siapa perempuan yang ust paling cintai?”
Jawab saya : “Perempuan yang ust paling cintai adalah mak ust sendiri.”
Ya, memang benar. Siapa lagi mampu menandingi pengorbanannya yang tiada harganya itu?
Pengorbanan kerana rasa cintanya yang mendalam terhadap kita, anak-anaknya !
TERIMA KASIH, MAK!
4 comments:
sememangnya mcik Fadzilah seorang yg hebat..bersama dgn beliau buat ana rasa tenang,kata2 yg dituturkan ckup myakinkan.peribadinya ckup mgkagumkan.
Maka mmg benarlah bahawa dari benih yg baik akan tumbuhlah pohonan yang baik.. melahirkan 4 mujahid dan 2 mujahidah bknlah senang..
seringkali dlm halaqah beliau meluahkan,"hati ibu mana yang tidak risau dgn ank2, mcik pun bila ank2 jauh dari mcik, mcik slalu fikir,apa depa buat, mcm mna depa...skarang ni mak ayah bukan takat risau bila ank2 keluar rumah tapi dengan jahiliyah yg ada dlm rumah (TV,FB n etc) buat mak ayah lbih risau dgn ank2.."
Betapa hati mcik tetap risaukan ank2nya walau kini ank2 sudah mmbesar dewasa dan (pada pndangan ana)semuanya telah berjaya dididik dgn baik.
Moga redha Allah bersama kalian..
@ anonymous :
Terima kasih atas perkongsian rasa itu walau ana tak mengenali empunya tuan.
Mak tetap wanita yang paling hebat di hati saya.
Mak contoh untuk kami adik-beradik bekerja dengan lebih kuat.
Mak bawa kami untuk kenal jalan ke syurga. Teliti dan berhati-hati di atasnya.
Moga Allah kasihkan dia!
kali pertama bercakap dengan MC Fadzilah pada akhir tahun 2007 (kalau tak silap) semestinya untuk bercakap dengan enta.
tapi enta masih belum pulang dr PEWARIS. Tak mengapalah. Satu benda yang sangat menyentuh hati ana, apabila dia akan sentiasa bertanyakan siapa yang bercakap ini meskipun dalam seminggu itu sudah berpuluh kali ana hubungi.
alhamdulillah , ketegasan itu terpancar kembali pada diri anta.
meskipun ana bukanlah sesiapa untuk memberi komentar, apatah lagi bertemu dengan MC pun ana tak pernah.
semoga ketegasan seorang ibu itu menjadi pagar anak-anaknya daripada neraka dan semoga kasih seorang ibu itu menjadi jalan anak-anaknya menuju ke syurga
miss you
Perkongsian yang menyentuh jiwa~ Benar kata ent, mak - adalah zaujah, ummi,murabbiyah, da'ieah dn sahabat.
Mungkin mak kita berlainan cara, layanan, pemahaman, fikrah dan tarbiyahnya.Walaupun mungkin setiap orang mempunyai ibu yang berbeza, namun mereka punya satu persamaan -naluri keibuan.
Post a Comment