Ibu Bapa Derhaka?
Baru-baru ini, saya bermesej dengan seorang adik daripada sebuah sekolah yang pernah saya laksanakan program bersama beberapa orang sahabat saya untuk dia dan rakan-rakannya yang lain.
Pada mulanya saya hanya bertanyakan khabar dia dan peperiksaan yang sedang ditempuhinya.
Kemudian dia teruskan perbualan dengan bertanya:
"Macam mana nak rajin solat dan kuatkan iman?Boleh tak abang bagi tips atau nasihat?"
"Sepatutnya solat itu menguatkan IMAN dan yakin kita pada Allah, kerana Allah telah sebut dalam Al-Quran, solat itu mencegah kemungkaran, orang yang BERJAYA adalah orang beriman yang khsyuk dalam solatnya. Jadi abang boleh bagi tips kat awak:
1) Nak berjaya mestilah jaga hak Allah, solat itu adalah hak Allah terhadap kita yang mesti kita tunaikan. Orang yang tak solat ataupun mengabaikannya orang yang gagal.
2) Solatlah dalam keadaan kita faham makna ayat yang kita baca. Berusahalah untuk faham makna ayat dengan kita melazimi bacaan Al-Quran dan makna setiap hari. Sekurang-kurangnya 1 muka 1 hari.
3) Banyakkan berdoa supaya Allah jadikan kita hamba yang taat kepada Dia, berakhlak mulia, faham Islam dengan lebih mendalam.
4) Niat dan kesungguhan kita sangat penting kerana tanpa niat yang betul dan kesungguhan, kita tidak mampu buat perubahan pada diri." Ini antara jawapan yang saya balas padanya. [Read more...]
Balas adik tu, "Saya rasa macam malas nak solat. Saya pun tak tau. Kadang-kadang saya rasa rajin nak solat, kadang-kadang malas. Lagipun, saya nak bagitau abang, dalam rumah saya, saya sahaja yang selalu sembahyang. Yang lain kadang-kadang solat, kadang-kadang tidak. Hanya ikut gerak hati kalau nak solat. Kadang tak pernah solat langsung. Macam mana saya nak rasa solat bersama family?"
Ini bencana besar. Solat bila rasa nak solat.
Sedangkan solat itu tiang kepada Islam. Perlu buat bila masanya. Bukan buat mengikut rasa.
Runtuh Islam jika solat sebagai tiang asas tidak dipelihara.
Bukankah Rasul s.a.w pernah bersabda yang mafhumnya:
"Siapa yang meninggalkan solat secara sengaja, maka dia telah kafir secara nyata"
Tanya saya pada dia untuk benar-benar dapat kepastian,"Kamu berapa orang adik-beradik? Ayah mak solat tak?"
Jawab dia,"3 beradik. Kadang-kadang saja. Ayah pernah solat tapi tarawih saja."
MasyaAllah, hairan betul saya. Yang sunat dibuat, tapi yang wajib ditinggalkan.
Seolah-olah dibina bumbung rumah, tapi tanpa tiang?
Agak-agak, boleh jadi bumbung ke?
Ibu bapa sepatutnya menjadi contoh kepada anak-anak. Kehidupannya, kata-katanya, peribadinya, semuanya menjadi contoh dan ikutan kepada anak.
Kalaulah ibu bapa pun mengabaikan solat, bagaimana pula anak-anaknya ya?
Peribahasa Melayu ada berbunyi, "Ayah kencing berdiri, anak kencing berlari."
Fikir...
BAPA BOREK, ANAK RINTIK...
Anak itu dilahirkan dalam keadaan suci bersih, putih, bersih daripada dosa dan kotor. Ibu bapalah yang mencorak kehidupannya, sama ada menjadikan anaknya itu faham tujuan dan halatuju kehidupan, atau membiarkannya terkapai dibawa arus hedonisme yang kuat pengaruhnya hari ini.
Mendidik anak dengan cara hidup yang benar, Islam atau membiarkannya terperangkap dengan arus hidup jahiliah, yang bertongkatkan dosa dan maksiat.
Sabda Rasul s.a.w.:
"Anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapanyalah yang menYAHUDIkannya, atau menNASRANIkannya atau meMAJUSIkannya."
Kata saya pada adik itu, "Kamu cubalah ajak family solat bersama sekali sekala. Cuba ajak adik-beradik dulu. Kalau boleh, terangkan pada mereka tentang kewajipan solat, berdosa orang yang meninggalkan solat. Kamu pernah ajak family solat sekali?"
Jawab dia,"Pernah."
"Macam mana reaksi mereka (keluarga)?"
"Kadang-kadang saja mereka nak solat sekali."
"Cubalah terang dulu kepada mereka tentang kewajipan solat. Solat itu punca BAHAGIA dalam hidup. Tak tenang hati orang yang abaikan solat. Kalau memang dah tak boleh sangat, kamu kena cuba teruskan jaga solat 5 waktu. Cuba sikit-sikit. Jangan lupa berdoa untuk family supaya Allah tunjukkan jalan dan permudahkan. Kamu dah usaha ajak dan peringatkan, kalau mereka tak ikut juga, tak mengapa. Bukan dosa dan kesalahan kamu. Teruskan mengajak."
Anak biasanya mengikut sikap ayah dan maknya. Kadang-kadang menjadi lebih teruk.
Hari ini, pengabaian solat fardhu 5 waktu bukanlah sesuatu yang pelik dan luar biasa. Ditambah lagi dengan gejala maksiat dan dosa seperti buang anak dan zina yang seolah-olah sudah menjadi kebiasaan atau malakah dalam masyarakat negara ini.
Gejala dosa berleluasa dan menjadi kebiasaan dalam sebuah negara Islam?
DOSA RUMAHTANGGA, HUTANG YANG TERTUNGGAK
Ibu bapa bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka. Allah akan tanya tanggungjawab ini kelak.
Adakah ibu bapa berusaha menyediakan anak-anak mereka untuk jadi hamba Allah yang soleh, memahami Islam dalam hidup mereka?
Adakah ibu bapa telah menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak?
Bagaimana ibu bapa mendidik anak-anak mereka?
Allah akan tanya...
Dan Allah akan tanya....
Saya pernah terbaca dalam majalah SOLUSI, kadang-kadang ibu ayah lebih dahulu derhaka kepada anak-anak.
Tidak beri pendidikan yang sewajarnya.
Tidak tunjukkan contoh.
Tidak ajar anak tentang Islam.
Maka, akibatnya...
Anak-anak DERHAKA kepada ibu ayah.
Adik tu tanya lagi pada saya,"Saya nak tanya.Macam mana kalau kita nak tinggalkan perbuatan yang boleh mendatangkan dosa.? Seperti ponteng kelas, suka tengok benda lucah, mencuri, berbohong dan MELAWAN CAKAP IBU BAPA."
Saya berfikir sejenak. Kadang-kadang, dalam sesetengah kes,nak disalahkan anak-anak pun, rasa kesian. Kenapa?
Kerana mereka tidak diberi pendidikan yang betul. Sehingga tidak kenal yang mana haq (betul) dan yang mana batil (salah).
Lahir ke dunia sudah nampak kebiasaan-kebiasaan yang tidak baik macam itu, kemudian dibiarkan tanpa dididik, tidak diberitahu yang ini Allah suka, yang ini Allah tak suka, akhirnya mengakibatkan kebiasaan-kebiasaan tidak baik itu meresap masuk ke dalam jiwanya dan menjadi darah dagingnya.
"Semua tu boleh dilawan kalau kita jaga solat. Solat yang khusyuk mencegah kita melakukan maksiat dan mungkar. Jaga solat, Allah akan menjaga diri kita dari buat dosa. Solat itu NATIJAH IMAN kita kepada Allah. Kalau kita benar-benar yakin pada Allah, yakin pada hari pembalasan, janji Allah tentang syurga pada orang yang taat pada-Nya dan balasan neraka pada yang ingkar, kita akan laksanakan solat." jawab saya.
Saya tambah lagi," Maksiat dan dosa adalah kejahatan. Nak padamkan kejahatan, maka kenalah buat kebaikan. Kamu banyakkanlah kebaikan. Bantu mak ayah, cakap yang baik, baca al-quran, baca majalah-majalah yang baik dan Islamik seperti ASUH, SOLUSI dan lain-lain. Bila kita sibukkan diri kita dengan kebaikan, maka tidak ada ruang untuk kita lakukan kejahatan dan dosa. Banyakkanlah berdoa kepada Allah."
Saya hampir-hampir keliru bagaimana menjawab soalan adik ni.
Kenapa?
Kerana keluarga yang lebih dekat bersamanya pun mengabaikan soal yang fardhu dan wajib, soal dosa pahala, saya yang lebih jauh apa yang saya boleh buat selain mampu untuk menasihati.
Cuai dalam mendidik anak-anak. Allah pasti akan soal kita dengan tanggungjawab yang telah Allah beri ini.
Allah pasti akan beri balasan. Nilainya bukan sedikit.
Anak faham tentang yang haq dan yang batil, melalui ayah dan ibu.
Anak faham tentang Islam, melalui ayah dan ibu.
Kenapa?
Kerana ayah dan ibulah orang yang pertama bersama mereka ketika lahir.
Ayah dan ibulah orang yang memilih taski dan sekolah untuk mereka.
Ayah dan ibu yang memberi nafkah dan makan minum anak-anaknya.
Anak-anak tidak akan faham yang haq dan batil, jika ibu bapa tidak mendidik mereka dengan didikan yang betul. Ibu bapa bersalah kepada anak-anak apabila mengambil berat kecemerlangan akademik semata-mata dan mengabaikan kecemerlangan dalam akhlak dan syakhsiah. Akademik dipentingkan sehingga dihantar ke tuisyen dan kelas tambahan untuk cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM, tapi anak-anak buta huruf dalam mengenal dan membaca al-Quran tidak dipedulikan.
Allah pasti akan soal nanti...
Dalam hal pemilihan makan minum juga, ibu bapa telah melakukan kesalahan apabila memberi makan minum daripada sumber rezeki yang haram dan tidak jelas sumber pencariannya kerana makan minumnya itulah yang menjadi darah dagingnya. Anak-anak hidup dengan mata pencarian yang haram, menyebabkan hidup tidak ada keberkatan.
Inilah antara hutang ibu ayah kepada anak-anak yang banyak tertunggak pada hari ini, lalu mengharapkan anak-anak taat pada mereka.
Mana mungkin?
Hutang yang akan di'claim' di depan Allah nanti jika tidak selesai di dunia ini.
RUMAHTANGGA JUGA ADALAH IBADAH
Perkahwinan adalah sebahagian daripada sunnah Rasul s.a.w. Bahkan ia melengkapkan separuh daripada agama. Namun, perkahwinan atau rumahtangga yang bagaimana yang melengkapkan separuh daripada agama itu?
Cukupkah dengan hanya kita berkahwin semata-mata memenuhi tuntutan sunnah?
Cukupkah dengan hanya mendirikan rumah tangga untuk menyekat nafsu syahwah yang ditakuti akan melampaui batasnya?
Cukupkah mendirikan rumah tangga atas rasa seronok ingin beristeri semata-mata?
Atau apa...
Perkahwinan atau mendirikan rumah tangga itu sebenarnya adalah ibadah. Ibadah adalah untuk kita persembahkan kepada Allah s.w.t., Raja kepada sekalian alam, Raja segala raja.
Adakah kita nak persembahkan sesuatu yang busuk kepada Rabb kita sedangkan berjutaan sudah nikmat dikurniakan-Nya pada kita?
Adakah kita nak persembahkan rumahtangga kita yang tidak bersedia ini kepada-Nya?
Mahu dijawab apa nanti? Sedangkan rumahtangga, anak, isteri, suami, cucu adalah amanah yang akan disoal.
Jawapan apa yang ada pada kita?
Rumahtangga itu adalah wasilah atau jalan untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan. Anak, isteri, suami semuanya perlu saling melengkapi untuk membina Islam dalam keluarga.
Bersediakah kita dengan hal itu?
Atau dengan kata,"Ah, aku dah ada cukup duit,dah ada kerja pun, boleh sara anak isteri, apalagi nak dirisau."
Atau,"Aku dah ada rumah, dah ada kereta, cukup apa. Nanti aku carilah kerja."
Atau dengan janji cinta semata-mata,"Aku cinta dan sayang pada dia. Aku kena kahwin cepat dengan dia."
Atau apa lagi?
Kita anggap sudah bersedia?
Cukupkah dengan harta, kerja, cinta kita semata-mata? Ke mana kita nak bawa anak-anak dan isteri kita?
Dengan apa kita nak didik anak-anak dan isteri? Isteri pulak dengan apa nak bantu suami untuk gerakkan sebuah rumah tangga yang Allah redha?
Harta, pasti akan habis suatu hari nanti.
Kerja, mungkin bila-bila masa kita boleh hilang kerja atau diturunkan pangkat.
Cinta, benarkah itu cinta? Apa definisi cinta yang sebenarnya? Apa paksi cinta kita kepada dia?
Jika kita lebih cinta si dia daripada Allah, maka kita telah letakkan paksi yang salah pada diri kita.
Lalu,di mana persediaan kita yang kita kata sudah cukup itu?
Adakah perkahwinan atau rumahtangga yang bakal didirikan atau telah didirikan itu atas dasar IMAN atau tolakan-tolakan yang lain?
Kita telah bersedia untuk didik anak kita dengan apa yang Allah hendakkan?
Kita nak keluarga yang macam mana?
Kita nak anak-anak kita jadi macam siapa?
Macam Saidina Abu Bakar as-siddiq, Khalid Al-Walid, Saidina Ali bin Abi Thalib, Saidina Umar, Al-Barra', Zubair ibn Awwam?
Atau sebaliknya?
Kita perlu tanya diri. Supaya kita berusaha buat persediaan yang rapi untuk amanah Allah yang besar ini.
Orang yang meyakini pertemuannya dengan Allah pada hari pembalasan nanti, tidak akan mencuaikan amanah ini.
Amanah keluarga adalah amanah besar yang Allah akan tanya.
Kita tidak berkahwin dan mendirikan rumah tangga untuk keseronokan dan kepuasan nafsu, tetapi kita berusaha mendirikannya di atas tanggungjawab dan tuntutan IMAN kita kepada Allah.
Rumahtangga yang terbina atas IMAN itu, maka natijahnya pasti baik bersama Allah.
Keluarga adalah saham besar untuk kita di akhirat nanti.
Jika pelaburan yang dilakukan tidak bersungguh-sungguh di dunia ini, main letak je bila rasa nak letak, tak ukur masa, tak penuhi syarat, maka saham kita akan jatuh merudum di akhirat nanti.
Jika pelaburan dilakukan dengan jujur dan serius serta mengikut syarat, maka saham kita meningkat banyaklah di akhirat nanti. Bertambah-tambah untunglah kita!
Ini sekadar perkongsian saya. Saya hakikatnya bukanlah orang yang layak kerana saya belum berumahtangga. Cuma berkongsi cetusan hati. Maaf jika ada kesilapan.
5 comments:
Salam, apa yang anta perkongsian ini adalah realiti yang berlaku di dlm masyarakat. Sayu hati jika kita mendengar kisah2 mereka yang mengalaminya terutama adik2 yang sangat berhajat untuk melakukan perubahan.
Kerana itu tugas kita semakin banyak. Semoga Allah redha.
@ brohamzh : Memang benar apa yang anta kata. Kita sebenarnya tidak ada masa untuk buang masa. Perlu merancang masa untuk terus tingkatkan kesedaran tentang urgensi Tarbiyah & Dakwah.
assalamu'alaikum dik...
terima kasih di atas perkongsian yang penuh makna...
memang sukar jika masalah itu berpunca daripada kecuaian ibubapa sendiri... sebab anak sudah terbiasa dibesarkan dalam keadaan tidak menyintai Allah... apatah lagi dilazimi solat...
kebanyakan masyarakat hari ini memandang meninggalkan solat adalah sesuatu yang ringan dan biasa...
cuma akak nak kalau boleh adik sertakan sekali perawi hadith meninggalkan solat yang adik sebutkan di atas,
"Siapa yang meninggalkan solat secara sengaja, maka dia telah kafir secara nyata"
sebab yang akak pernah dengar, jumhur ulama' yang mengatakan demikian...
wallahu'alam..
@ ukhtiza li :
Jazakillah khair atas ingatan.
Ana dapat hadith ni daripada murabbi-murabbi di MATRI.
عن أنس عن النبي صلى الله عليه وسلم : { من ترك الصلاة متعمدا فقد كفر جهارا }
Dari Anas bin Malik r.a berkata:Telah bersabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, sesungguhnya dia telah kafir dengan nyata”
Ini setakat yang saya tahu.
Ada penambahan atau kesilapan, mohon diperbetulkan.
Ibubapa sy takberapa pentingkan agama sgt serta lalai dlm mendidik saya.Sewaktu sy mahu mula menutup aurat saya dimarahi dan dicerca.Saya diajar untuk berdua2an dengan lelaki.Saya juga taktahu menjaga adab dan amat sukar utk sy melakukan sesuatu dgn beradab sbb ibu saya bkn jenis beradab.Saya sering dihina bodoh, pemalas, menyusahkan orang.Setelah sy berkahwin itupon setelah bergaduh dgn ibu saya yg tak beri saya kawen cuma boleh bercinta saja, suami sy mengajar saya semula dgn Islam.Saya suka Islam tp sukarnya nk praktikkan walopon sy tahu sbb ibubapa sy tak mengamalkannya...mereka cuma pentingkan akademik, duit dan pangkat saje.Bila sy tegur, mrk buat sbb sy teguer kemudian buat blk perangai lama...mereka mahu sy sentiasa bersama.mrk tp mrk sdri jrg bersama sy...mahu ajak bual pon dimarah...sy tegur dgn kasar ibu sy suatu hari melalui sms, beritahu apa sy xpuas ati dgn.hrpn ibu sy akan blk ke pangkal jln tp sy difitnah pd sedara mara.Rupanya ibu sy mmg suka bawa mulut ttg sy.Apa saje sy buat dipandang negatif.Bila sy memakai jubah ibu sy mengata mcm sy seorang masuk syurga dgn memakai jubah...die mengata sdgkan dia masih berseluar pendek ...sy jd jauh hati dan tak sanggup nk berdepan dgn mereka krn yg sy rs cuma sedih dan marah.Sy ikutkan kata mrk walopon dosa.tp akhirnya ug dicerca adlh sy....mmg sy murung dan hampir gila...sy malas nk jumpa sedara mara dan keluarga saya..
Post a Comment