Tuesday, November 30, 2010

Umur Singkat Tapi Berkat




Umur umat akhir zaman ini tidak panjang seperti umat-umat yang sebelumnya.

Ia tidak sepanjang umur umat Nabi Nuh a.s.Bahkan Nabi Nuh sendiri mampu hidup sehingga lebih kurang 1000 tahun. 

Dakwahnya berjalan selama hampir 950 tahun, namun hanya beberapa orang sahaja dari umatnya yang menyambut seruannya.

Umur umat ini terlalu singkat, sekitar 60-70 tahun majoritinya. Ada juga yang mencapai lebih sedikit daripada itu, namun jumlahnya tidak banyak.

Bahkan Nabi s.a.w. sendiri, Nabi dan Rasul kepada ummat ini, kembali bertemu Allah pada umur 63 tahun.
Singkatnya umur manusia zaman ini.

Namun, singkatnya umur umat ini, tidak bermaksud tipisnya peluang untuk mendapat ganjaran yang banyak seperti umat-umat terdahulu.

Bahkan, Allah telah menjanjikan kepada umat ini ganjaran yang berkali ganda hebatnya berbanding umat terdahulu.


1 KEBAIKAN = 10 PAHALA, NIAT BUAT BAIK = 1 PAHALA

Inilah tawaran terbaik daripada Allah, Pencipta Alam ini buat hamba-hambaNya.

Kasih dan belasnya Dia kepada kita, umat akhir zaman ini.

Mafhum sabda Nabi s.a.w. :
ومن همّ بحسنة فلم يعملها فعلِم الله أنه قد أشعرها قلبه وحرص عليها، كُتبت له حسنة. ومن همّ بسيئة لم تُكتب عليه ومن عملها كُتبت واحدة ولم تُضاعف عليه. ومن عمل حسنة كانت عليه بعشر أمثاله

Siapa yang berazam untuk melakukan kebaikan tetapi tidak membuatnya,maka Allah telah mengetahui bahwasanya hatinya sudah merasai (untuk melakukan kebaikan itu) dan sangat bersungguh-sungguh/semangat keatasnya (kebaikan tersebut),ditulis baginya 1 kebaikan dan Siapa yang berazam untuk melakukan kejahatan akan tetapi tidak melakukannya,tidak ditulis keatas dirinya dan siapa yang melakukannya (kejahatan),ditulis keatas drinya 1 kejahatan tanpa digandakannya(dosa).dan siapa yang melakukan 1 kebaikan,baginya 10 kali ganda.

~Riwayat Imam At-Tirmizi dan An-Nasai.

Ini baru ganjaran untuk satu amalan kebaikan.

Belum dikira lagi ganjaran yang Allah ingin beri dalam bulan Ramadhan seperti malam Al-Qadr yang ganjarannya lebih baik dari 1000 bulan, buat satu amal wajib ganjarannya seperti 70 amal wajib, buat 1 amal sunat ganjarannya seperti 1 amal wajib, ganjaran puasa sehingga 700 kali ganda dan lain-lain ganjaran.

Belum lagi dikira ganjaran membaca Al-Quran. Satu huruf bersamaan 10. Membaca ‘Bismillahirrahmanirrahim’ saja sudah mendapat 190 ganjaran. Inikan pula ditambah dengan membaca surah dan ayat tertentu.

Belum lagi dikira lain-lain lagi amalan-amalan yang Allah janjikan ganjaran-ganjaran istimewa dalamnya.

Baiknya Allah terhadap kita, bukan?

Kita manfaatkan atau tidak?

Firman Allah dalam surah Al-Mulk, 2 yang bermaksud:

“Yang menjadikan mati dan hidup bagi menguji siapakah di antara kamu yang terbaik amalannya?”

Allah beri kehidupan dunia untuk kita beramal dan Allah ciptakan kerehatan sebenar untuk kita di alam kubur.

Bandingkanlah tempoh masa antara kehidupan dunia dengan kehidupan di alam kubur (barzakh).

Semua manusia yang telah meninggal dunia akan berada di alam barzakh sebagai tempat persinggahan sementara menanti waktu ditiup sangkakala kedua untuk semua manusia dibangkitkan dan dihisab di Hari Kiamat.

Nabi s.a.w. sendiri telah berada di alam barzakh untuk tempoh yang agak lama, sejak lebih 1400 tahun yang lalu.

Umat-umat yang terdahulu? Sudah tentu lebih lama...

Kita? Kita sendiri tidak mengetahui bilakah masa kematian kita dan bilakah bakal berlakunya hari kebangkitan semula itu?

Umur kita di dunia ini sekejap sahaja, di alam barzakh itu mungkin berkali ganda lamanya untuk kita, mungkin juga tempoh masa yang sekejap untuk kita. 

Namun yang pasti, umur kita di negeri akhirat itu adalah INFINITI, tidak ada penghujungnya kerana selamanya kita di sana.

Justeru, jika umur kita di dunia ini hanya sesingkat itu, untuk apa kita sibuk-sibukkan diri untuk mengejar dunia yang terlalu sedikit nilainya ini?

Sebenarnya, dengan umur yang sesingkat ini, kita boleh mendapat kebahagiaan yang berkekalan lamanya untuk kehidupan kita yang lebih lama di alam seterusnya.

Namun, dengan umur sesingkat ini jugalah, kita bakal derita selama-lamanya di alam seterusnya itu.
Bagaimana mendapat BAHAGIA selama-lamanya itu?


CONTOHI SAHABAT NABI, MEREKA ORANG YANG BIJAK DALAM MEMANFAATKAN UMUR YANG SINGKAT

Sahabat Nabi adalah orang-orang yang bijak dalam memanfaatkan umur yang singkat ini.

Mereka telah dididik oleh Nabi s.a.w. supaya sentiasa merancang dan memilih yang terbaik untuk kehidupan ini.

Oleh sebab itu, para sahabat selalu bertanya Rasul s.a.w. amalan-amalan yang afdol (utama) dalam kehidupan mereka.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya:
Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah amalan yang paling utama?
Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya.
Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi?
Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua.
Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi?
Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.
Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan baginda.

[Riwayat Bukhari Muslim]

Bukan mereka memilih-milih dalam beramal, namun mereka mengutamakan yang lebih utama kerana kebaikan yang lebih utama itulah yang memanjangkan usia mereka yang singkat itu.

Memanjangkan usia yang singkat?

Apa maksudnya?

Ya. Kita ini hidup tidak lama.

Jika kita memilih amalan-amalan yang kecil nilainya dan tidak utama, maka kita telah terlepas sesuatu yang besar untuk umur kita yang singkat itu.

Bayangkanlah saya nak beri hadiah wang kepada anda, tapi anda yang kena pilih hadiah itu. RM 10 dan 10 sen. Mana yang anda mahu?

Semestinya RM 10 jadi pilihan anda, tak? Dengan RM10 kita boleh beli apa yang tidak boleh dibeli dengan 10 sen.

Nah, itulah yang para sahabat Nabi s.a.w. nampak.


Allah nak beri yang lebih besar, kenapa kita pilih yang lebih sedikit dan kecil nilainya?
Rugilah kita....

Dengan amalan kebaikan yang lebih utama, mereka akan dapat ‘cover’ usia mereka yang tidak panjang itu.
Mereka memilih keutamaan dalam kehidupan mereka.

Nabi s.a.w. sendiri, memanfaatkan masa selama 23 tahun kerasulannya untuk menyebarkan Islam, mempersiapkan satu generasi contoh kepada ummat manusia, bahkan sehingga ke hari ini ajarannya itu dapat dinikmati oleh kita.

Saidina Abu Bakar as-siddiq, beliau hanya memegang tampuk kepimpinan selama 2 tahun setengah sahaja. Namun beliau berjaya memerangi para pendusta, mengembalikan orang-orang yang murtad kepada Islam, bahkan sempat menakluk Rom dan Parsi.

Umur mereka tidak panjang, namun umur didikan mereka terus kekal hingga ke hari ini. Tidak hanya itu sahaja, bahkan ganjaran pahala terus-menerus sampai kepada mereka meskipun sudah tidak ada lagi di dunia ini.


KEUTAMAAN ITU PADA KUALITI DAN MUTU, BUKAN PADA KUANTITI

Singkatnya umur membuatkan para sahabat Nabi bijak dalam memilih amalan yang terbaik kualitinya dalam kehidupan mereka.

Bukanlah kuantiti atau banyaknya amalan menjadi ukuran, bukan juga panjangnya umur yang menjadi persoalan, tetapi mutu dan kualiti umur serta amalan itu yang diutamakan.

Bagaimana menilai kualiti dan mutu sesuatu amalan itu?

Sudah tentulah melalui ketetapan Allah dalam Al-Quran serta hadith-hadith Nabi s.a.w.

Firman Allah s.w.t. dalam surah As-Saff , 10-11:

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik buat kamu jika kamu mengetahui.”

Kata As-Syeikh Yusuf Al-Qardawi dalam bukunya, Fiqh Al-Awlawiyyat (Keutamaan Fiqh Menurut Al-Quran dan Sunnah):

“Manusia tidak boleh dinilai dari banyak bilangannya atau besar ukuran tubuhnya. Maka begitu jugalah umur manusia, tidak seharusnya dipandang dari panjangnya (lamanya hidup) kerana terkadang manusia diberi umur panjang tetapi tidak ada berkatnya. Manakala ada orang yang singkat usianya tetapi dapat berbuat banyak, melakukan pelbagai kebajikan, dan malah melakukan amal yang TERBAIK.”

Ibn Ato’ pula menyebut dalam bukunya, Hikam:

“Terkadang umur yang panjang tetapi sedikit amalnya, dan terkadang umur yang singkat tetapi banyak amalnya. Siapa yang diberkati umurnya, ia mendapat nikmat-nikmat Allah dalam tempoh (umur) yang singkat, walaupun tidak ada orang menunjukinya.”

Tokoh-tokoh ulama’ dan para cendekiawan Islam adalah orang yang wajar dicontohi dalam hal ini.

Meskipun mereka tidak lagi ada di atas dunia ini, namun ajaran dan didikan mereka terus berkembang dalam pemikiran dan jiwa ummat.

Ibn Qoyyim Al-Jauziyah meninggalkan karya-karya jiwa yang banyak menyentuh hati.

As-Syahid Imam Hasan Al-Banna sendiri meninggalkan satu kafilah dakwah yang diteruskan oleh para pengikutnya. Ajaran dan didikannya tidak pernah mati meskipun beliau sudah tidak ada.

As-Syahid Sayyid Qutb, karya-karya yang mahal dan berharga serta menyentuh hati, sehingga ke hari ini menjadi bahan rujukan dakwah dan harakah Islamiyah.

Ramai lagi tokoh-tokoh ulama’ Islam yang telah menunjukkan contoh dalam memanfaatkan umur yang singkat ini. Imam An-Nawawi, Abd Kadir Al-Jailani, Ibn Taimiyah, Imam Syafii serta ramai lagi.

Ajaran dan didikan mereka tidak hilang dengan pemergian mereka bahkan terus berkekalan hingga ke hari ini.


PENUTUP : ORANG YANG BIJAK MERANCANG UMURNYA

Nabi s.a.w. pernah bersabda yang mafhumnya:

“Orang yang paling bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya.”


Bahkan, As-Syahid Imam Hasan Al-Banna juga pernah menyebut:

“Orang yang bijak adalah orang yang mengolah seni kematiannya.”

Umur kita tidak panjang. Kita tidak tahu di mana dan bilakah penghujung kepada kehidupan ini.

Sementara Allah masih kurniakan peluang untuk kita terus hidup, manfaatkanlah.

Segeralah untuk melakukan KEBAIKAN hari ini, kerana kita tidak tahu apakah masih ada lagi esok untuk kita?

Jangan ditangguh, hayat untuk beramal hanya sekali, sekejap pula, janganlah kita siakan.

Hayat sekali lagi di akhirat hanya untuk ganjaran. Jika di sini kita siakan, rugi selamanya di sana.

Jika di sini kita manfaatkan, maka BAHAGIA menunggu kita di sana...

8 comments:

Unknown December 2, 2010 at 12:30:00 PM GMT+8  

Saya suka sgt ayat2 ni.

Jangan ditangguh, hayat untuk beramal hanya sekali, sekejap pula, janganlah kita siakan.

Hayat sekali lagi di akhirat hanya untuk ganjaran. Jika di sini kita siakan, rugi selamanya di sana.

Jika di sini kita manfaatkan, maka BAHAGIA menunggu kita di sana...

Teruskan berkarya =)

Unknown December 2, 2010 at 6:00:00 PM GMT+8  

@ raudhah : Moga Allah redha. Jazakillah khair. Kalau suka, mari sama manfaatkan UMUR ini dengan IMAN!

Moga Allah selamatkan kita.

Moga Allah beri kita bahagia.

Anonymous December 2, 2010 at 9:44:00 PM GMT+8  

mohon dikongsi ya .. ^_^

[[ afdholul rahman ]] December 2, 2010 at 10:12:00 PM GMT+8  

@ anonymous : tafaddhol. Moga Allah redha. Mohon kreditkan sumbernya...

Unknown December 3, 2010 at 1:57:00 PM GMT+8  

Assalamualaikum....
asif ya akhi, ana mohon izin untuk copy entry ini untuk perkongsian bersama, insyaallah... minta halalkan, syukran

Pena Daie December 5, 2010 at 7:56:00 AM GMT+8  

menarik!
teruskan..

Unknown December 5, 2010 at 6:44:00 PM GMT+8  

@ pencinta Allah...hamba biasa:

Dipersilakan. Doakan saya. Moga Allah redha.

Moga perkongsian mendekatkan kita dengan Allah.

@Zul Ikhwan Zahari :

Jazakallah khair. Doakan saya. Banyak lagi yang perlu saya perbaiki.

Moga Allah redha.

Anonymous October 12, 2014 at 9:11:00 AM GMT+8  

Ismi Mahadir bin Amboala

Salam, mohon izin share ye, amat baik artikel ni.

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP