Monday, March 7, 2011

On-Demand Generation




On-demand generation.

Apa dan siapa mereka itu?

Generasi yang diharap-harapkan.
Generasi yang menjadi rebutan dan harapan.
‘Demand’ untuk generasi ini sangat tinggi.

Tinggi dalam kalangan siapa?
Manusia?

Oh, tidak !
Kalau hanya ‘demand’ nya setakat dalam kalangan manusia, belum tinggi nilainya.
Biarpun manusia itu berpangkat, bergelar Dato’, Tun, Sultan, Perdana Menteri, Presiden dan sebagainya.
Biarpun manusia itu seorang hartawan, jutawan sekalipun milionair !

Permintaan untuk generasi ini sungguh laku di pasaran akhirat!
Menjadi rebutan bidadari syurga, doa para malaikat serta redha Allah serta syurga-Nya yang seluas langit dan bumi.
‘Demand’ untuk mendapatkan generasi ini sangat-sangat tinggi di sisi Allah s.w.t.

Ia bukan suatu yang mudah.
Tetapi ia tidak mustahil.

Kerna apa?
Kerana suatu ketika dahulu, Rasul s.a.w. dan para sahabat baginda telah membumikan hal itu.
Merekalah ‘on-demand’ generation yang mempunyai nilai tinggi dalam saham akhirat.


IMAN RAHSIA MENJADI GENERASI YANG ‘ON-DEMAND’ SEPERTI MEREKA

Mereka itu beriman kepada Allah dengan sebenarnya.

Iman mereka kepada Allah mendahului segala-galanya dalam kehidupan mereka.
Mendahului keluarga, harta kekayaan, kedudukan pangkat dan sebagainya.
Bagi mereka, semua itu tidak ada apa nilainya dibandingkan IMAN mereka.

Ya.
IMAN.

Merekalah generasi yang dirasuk oleh IMAN.
IMAN itu mengubah mereka menjadi manusia luar biasa.

Luar biasa yang bagaimana?
Luar biasa sehingga sanggup mati dan dibunuh demi akidah mulia ini.
Luar biasa sehingga terpaksa bermusuhan dengan sanak-saudara dan keluarga sendiri.

Khabbab Ibn Arat umpamanya, antara orang-orang yang awal masuk Islam.
Diseksa oleh tuannya dengan besi panas diletakkan di badannya.
Besi yang dipanaskan dalam relau dalam yang terlalu panas dan tinggi suhunya.
Besi panas yang akan menampakkan isi tubuh serta tulang-belulang.
Tetapi, kekuatan IMAN Khabbab jauh lebih hebat dari semua itu.

Abu Ubaidah Al-Jarrah, berhadapan dengan ayahnya.
Beliau terpaksa memilih sama ada untuk mengelak atau membunuh sahaja ayahnya.
Namun, ayahnya yang terlalu ghairah ingin membunuhnya menyebabkan beliau terpaksa bertindak mengangkat pedangnya.
Siapa yang tidak sedih bila terpaksa membunuh ayah sendiri?
Yang membesar dan menjaga kita.
Tetapi, IMAN Abu Ubaidah mendahului semua itu.


IMAN YANG DIZAHIRKAN SECARA BERKUMPULAN, NAMPAK KEKUATAN BERBANDING IMAN YANG DIZAHIRKAN SECARA INDIVIDU

Ketika kecil-kecil dulu, selalu kita mendengar kisah seorang ayah dengan anak-anaknya serta seberkas lidi penyapu.

Kisahnya ringkas, tetapi padat.
Suatu hari si ayah memanggil anak-anaknya. Ayahnya sudah hampir nazak.
Lalu ayahnya mengambil satu batang lidi penyapu, lalu diberikan kepada setiap anaknya.
Disuruhnya untuk cuba mematahkan batang lidi itu.
Pap !

Setiap anaknya berjaya mematahkan batang lidi itu.
Diberi pula seberkas batang lidi penyapu itu.
Disuruh pula setiap anaknya untuk cuba mematahkan seberkas batang lidi penyapu itu.

Tiada seorang pun yang dapat melakukannya.
Pesannya “Anak-anakku, jika kita berseorangan, kita akan lemah. Mudah tewas dan dikalahkan. Tetapi jika kita bersatu, kita akan kuat dan digeruni orang.”

Itulah nilai IMAN para sahabat.
Bukan berseroangan, tetapi secara berkumpulan.
Kekuatan IMAN mereka zahir secara berkumpulan, tidak secara individu.
IMAN yang bersatu dan diterjemah secara hidup-hidup dalam kalangan masyarakat.

Inilah rahsia yang menyebabkan musuh tunduk dan hormat pada mereka.
Abu Jahal umpamanya, orang yang kuat memusuhi dakwah Rasul s.a.w.
Benci dan dendamnya memang sudah tidak terkata lagi.
Tetapi, melihat perkembangan dakwah Rasul s.a.w. yang begitu positif, hati beliau sebenanrnya tertarik juga.
Melihat kemuliaan peribadi orang-orang yang bersama dengan Rasul s.a.w. menyebabkan hatinya turut terpikat.

Pernah suatu malam, beliau cuba mengintai dan mencuri dengar tazkirah yang disampaikan oleh Rasul s.a.w. kepada sahabat-sahabatnya. Ditakdirkan Allah, 2 orang lagi temannya daripada kafir Quraisy turut sama melakukan hal itu. Mereka bertembung lalu masing-masing bertanya apa yang dilakukan oleh mereka. Maka masing-masing memberi jawapan yang sama. Selepas itu, mereka berjanji tidak akan datang lagi selepas malam itu.

Namun, beberapa malam selepas itu, tanpa disedari, Abu Jahal dan 2 orang temannya itu telah merancang sekali lagi untuk mencuri dengar tazkirah Rasul s.a.w. Mereka sekali lagi bertembung. Masing-masing bertanya dan memberi jawapan yang sama.  Mereka berjanji sekali lagi untuk tidak datang lagi selepas peristiwa itu.

Namun, buat kali ketiganya, mereka sekali lagi bertembung. Kali ini, mereka benar-benar berjanji tidak akan datang lagi. Mereka benar-benar tidak datang lagi selepas itu.

Itu Abu Jahal. Musuh ketat Rasul. Namun, hatinya terpikat dengan kemuliaan IMAN yang dididik oleh Rasul s.a.w.

Bahkan ketika zaman Khalifah Saidina Umar Al-Khattab, orang-orang bukan Islam yang berada di bawah pemerintahan pemimpin bukan Islam berebut-rebut meminta orang-orang Islam menawan kota dan negara mereka.

Kenapa?
Kerana mereka melihat keadilan dan kemuliaan berada di bawah urustadbir orang-orang Islam.
Mereka melihat kebahagiaan bila negara dan kepimpinan diuruskan oleh orang-orang yang mempunyai IMAN.


PENUTUP : MARI MENCONTOHI MEREKA DALAM SEGENAP ASPEK

Mereka itu manusia.
Kita juga manusia.

Mereka tidak luar biasa begitu tanpa usaha.
Tetapi usaha mereka jauh melampaui tenaga dan kemampuan mereka.
Sehinggakan ada yang berkata kepada Rasul s.a.w. “Mintalah kepada Allah agar dikurangkan seksaan dan penindasan terhadap orang-orang Islam.”

Bahkan Rasul s.a.w. menjawab, “Umat-umat sebelum kalian ada yang digergaji kepalanya kerana mempertahankan akidahnya kepada Allah.”

Kita ini mungkin tidak sampai ke tahap itu.
Justeru, apa yang menghalang kita untuk berusaha mempertahankan iman dan terus meningkatkannya?

Mungkin ada yang bertanya, Bagaimana menjaga IMAN?
Bagaimana hidup secara beriman?

Ambillah pedoman dari sahabat-sahabat Rasul s.a.w.
Kisah-kisah yang penuh dengan contoh-contoh keimanan yang hidup dan dinamik !

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP