Tuesday, March 29, 2011

Hidup Dengan Kasih-Nya !


Mata ~ Nikmatnya sahaja sudah tidak terbayar


Bumi Allah ini Maha Luas. Nak dibandingkan dengan alam semesta yang lebih besar ini, sudah tentulah lebih-lebih dan maha-maha luas lagi.

Bandingkan pula diri kita dengan semua itu, terasa sungguh tidak ada apa-apa pada diri ini.

Meneropong dari bulan sahaja sudah tidak nampak batang tubuh manusia yang kecil ini, apalagi dari kejauhan luar galaksi ini.

Betapa kerdilnya kita …

Namun, Allah Maha Teliti. Maha Mengetahui.

Sekecil mana pun makhluknya, sebesar mana pun alam ini, namun semua itu dalam genggaman dan pengetahuan Allah.

Bila kita lahir, bila pula kita akan mati, kita akan kahwin dengan siapa, dan lain-lain itu semua dalam pengetahuan Allah. Gembirakah kita, sedihkah kita, marahkah , semuanya Allah tahu.

Itu kita yang kecil. Yang seolah-olah seperti kuman saiznya bila dilihat dari kejauhan alam yang luas ini.

Galaksi ini, sistem suria ini, bintang-bintang yang bergemerlapan, semua itu dalam genggaman Allah. Allah yang mengatur perjalanan sistem alam ini sehingga tidak berlaku sedikit pun perlanggaran antara planet-planet dalam sistem suria ini.
Itu baru planet dalam sistem suria. Belum dikira bintang-bintang yang pelbagai jenisnya dan galaksi-galaksi yang hebat-hebat itu.

Lalu, ada satu persoalan mahu saya timbulkan.
Kalau yang sekecil-kecil perkara pun di dalam aturan Allah s.w.t., dan sebesar-besar perkara pun dalam pengetahuan-Nya, lalu, apakah tanda bagi semua ini?

  
BUKANKAH INILAH TANDA KASIH SAYANG ALLAH YANG SANGAT TINGGI NILAINYA?

Maka saya memikirkan satu jawapan. Inilah tanda kasih sayang Allah kepada kita.

Kenapa pula saya katakan ini tanda kasih sayang Allah?

Ya. Cuba anda bayangkan seketika, jikalau sesaat sahaja Allah s.w.t. buat tidak tahu atau abaikan alam ini, apa yang akan berlaku?

Huhu. Sudah tentulah habis planet-planet akan berlanggaran, manusia hidup tidak tentu arah, gunung-ganang hancur, lautan akan bergelora di sana sini.

Itu nilai kasih sayang Allah yang tiada tandingannya.

Kalau Allah tidak sayangkan kita, maka habislah kehidupan kita ini. Tidak terurus. Tiada terarah. Terkontang-kanting mencari halatuju.  Dibiarkannya kita menguruskan sendiri segalanya. Mungkinkah kita menguruskan kehidupan ini sendiri?

Kalau Allah tidak sayangkan kita, tidak diberi-Nya nikmat-nikmat yang begitu banyak yang tiada terhitung ini. Cubalah anda kira sudah berapa hari anda memiliki mata yang sihat dan mampu melihat dengan baik?

Mampukah kita membayar balik jumlah itu kepada Allah hanya untuk nikmat penglihatan?
Kalaulah nikmat yang Allah beri ini, semuanya dikenakan cukai, ada cukai mata, cukai hidung, cukai mulut, dan lain-lain cukai hanya semata-mata untuk syurga Allah, maka pastinya tidak ada siapa yang layak ke syurga-Nya.

Kalau Allah tidak sayangkan kita, tidak dijaga-Nya alam semesta yang luas ini, malah dibiarkan-Nya supaya berlanggaran satu sama lain, yang akhirnya membawa bencana kepada kita juga. Tetapi, berlakukah begitu?

Tidak. Bahkan Allah menjaga dan memelihara kita. Kadang-kadang, Allah datangkan ujian dan kesusahan sekali sekala untuk memberi peringatan supaya kita tidak melupakan-Nya. Bukannya bermaksud Allah membiarkan kita ketika itu.

Allah Yang Maha Penyayang. Rugi sangat-sangat bilamana kita meninggalkan-Nya kerana Dia tidak pernah tinggalkan kita.


INSPIRASI UBUDIAH YANG BERTERUSAN

Allah menzahirkan lagi kasih-Nya kepada kita dalam ayat 133, Al-Imran:

133. dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,


Sudah beri kita nikmat yang banyak, tetapi Allah tetap tidak pernah berhenti kasihkan kita.

Masih menjanjikan untuk hamba-Nya syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. MashaAllah.

Dalam syurga itu, segalanya ada. Ia tidak seperti yang kita bayangkan. Ia tidak seperti apa yang pernah kita lihat. Ia tidak sama dengan apa yang kita pernah dengar. Bahkan, ia lebih baik dari semua itu.
Hebatnya Allah menginspirasi kita ke syurga-Nya.

Justeru, masihkah ada halangan untuk kita manfaatkan kehidupan ini semata-mata untuk ubudiah kepada Allah?

Allah mahu supaya kita ini selamat sejahtera berada dalam syurga-Nya yang sangat hebat itu.
Allah tidak mahu kita ini terjerumus bersama kaum-kaum yang telah derhaka kepada-Nya satu ketika dahulu.

Lalu, semua itu hanya akan tercapai bila kita meletakkan Allah benar-benar sebagai Rabb & Illah dalam kehidupan kita.

Tidak cukup sekadar itu, maka kita perlu istiqamah dan berterusan dalam perhambaan kita kepada Allah.

Barulah Allah sayangkan kita.
Barulah Allah kasihkan kita.

3 comments:

auramurni March 31, 2011 at 8:31:00 AM GMT+8  

Assalam..
nice entry..
semua nikmat2 2 free..
tiada cukai..hehe
Alhamdulillah!! Memang Allah mengasihi kita semua..mari sama-sama berbalas kasih wlpn tidak akn terbalas.. =))

[[ afdholul rahman ]] March 31, 2011 at 10:56:00 AM GMT+8  

@ auramurni :

Kasih Allah tak pernah tinggalkan kita. Kita shj yg selalu tinggalkannya. Syukran.

Nazihah@Jiha April 3, 2011 at 7:57:00 AM GMT+8  

istiqamah! muhasabah diri..syukron atas pringatan ini

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP