Friday, April 1, 2011

Fikirlah Untuk Bergerak dan Bekerja !


Ayuh, bergerak dan bekerja ! Perjalanan masih jauh ...


Islam hari ini dalam keadaan ghurbah. Asing. Pelik.

Hari ini, Islam dipandang dan dilihat sebagai sesuatu yang begitu asing. Nampak Islam, seolah-olah seperti nampak ‘alien’.

Hari ini, Islam diukur dengan neraca yang dipamerkan oleh umat Islam itu sendiri. Kadang-kadang, neraca yang dipamerkan tidak sepadan dengan Islam yang sebenar itulah mengakibatkan Islam di salah tafsir dan dipandang serong.

Islam kembali dagang seperti mana ia bermula. Terlalu sedih rasanya melihat ummat dihenjak-henjak oleh jahiliah pada hari ini. Bahkan, ada pula umat Islam sendiri yang ‘menyerahkan  diri’ untuk dilunyai-lunyaikan oleh kufar. Sudahlah luka kelmarin tidak sembuh, hari ini luka bertambah besar menjadi barah.

Inilah yang disebut oleh Dr Majdi Al-Hilali:

“Hari demi hari, luka-luka baru menjaluri tubuh ummat, sedangkan luka-luka semalam belum menampakkan tanda-tanda akan sembuh.”


LUKA YANG MEMBARAH KESAN DARI SUASANA YANG MENCEDERAKAN

Hakikatnya, pada hari ini, anak-anak umat Islam dibesarkan dalam keadaan dan suasana yang ghurbah (asing). Suasana yang ada tidak membangkitkan kesedaran jiwa dan menghilangkan kepekaan terhadap apa yang berlaku kepada ummat pada hari ini.

Kata Abul A’la Al-Maududi:

“Mencari hidayah dalam keadaan ghurbah(asing) umpama orang yang memanjat gunung berbanding orang yang selesa dalam keadaan ghurbah(asing) umpama orang yang menuruni gunung.”

Sesiapa yang mencari peluang untuk pembinaan dan peningkatan diri dalam suasana yang meruntuhkan jiwa ini, maka pasti Allah akan menambah kefahaman dan keyakinannya terhadap deen ini.

Tetapi, orang yang hidup selesa dalam suasana yang rosak ini, tidak ada rasa kegentingan perlu berbuat sesuatu, maka keselesaan itu akan membuatkan jiwanya terus lemah dan lemah.

Kata Said Hawwa dalam Al-Islam:

“Orang yang dalam ghurbah ini umpama orang yang dalam kebakaran sedangkan dia sedang tidur.”

Apa anda buat bila rumah sudah terbakar?
Sudah tentu anda akan lari keluar, bukan?

Masihkah sempat untuk anda tidur? Tidak.

Anda perlu kejutkan orang yang tidur sehingga dia bangun kerana rumahnya sedang terbakar. Dia perlu bangun dan selamatkan dirinya.

Itulah gambaran suasana yang ada pada hari ini.

Lalu, masihkah ada ruang untuk kita berehat tatkala kita tahu suasana yang ada pada hari ini bakal mencederakan kita?


FIKIRLAH UNTUK BERGERAK DAN BEKERJA !

“Ana ni lemah, anta lainlah, qowie.”

“Aku ni tak layak nak nasihat-nasihat orang. Aku pun bukannya baik sangat.”

“Aku ada kena jaga rumah hari ini. Sorilah, tak dapat ikut halaqah.”

Alasan. Alasan. Dan alasan.

Kalau kiamat besok, apakah sempat kita beralasan dengan Allah?

“Allah, aku tak sempat nak pergi halaqah. Aku kena jaga rumah.”

Haha. Layakkah kita memberi alasan sebegitu dibandingkan dengan nikmat Allah yang sekian lamanya kita menikmati ini?

Hari ini, ramainya umat Islam yang menjadi PENUMPANG. Menumpang sebuah kereta yang sedang bergerak menuju ke gaung. Tetapi, ‘penumpang’ tidak pula berkata apa-apa, tidak menghalang, bahkan mengikut sekali masuk ke gaung.

Kita perlu berhenti menjadi hanya sekadar PENUMPANG. Kita perlu menjadi seorang PEMANDU.

Kita yang sepatutnya ‘MEMANDU’. Barulah kita boleh menentukan halatuju kita dengan betul.

Berhentilah mereka-reka alasan. Usahlah kita menjadi orang yang LEMAH dan TERPEDAYA.

Orang yang mencipta alasan untuk lemah, dia telah terpedaya dengan syaitan.

Bayangkanlah, anda sudah berada dalam rumah yang terbakar, lalu anda masih memberi alasan, “Aku mengantuk lah. Engkau keluarlah dulu. Aku nak tidur kejap.”

Tidak rasa pelikkah begitu?
Justeru, apa yang kita perlu buat sekarang?

Fikirlah apa yang mampu kita buat dan sumbangkan untuk Islam.
Bukannya sibuk memikirkan, “Aku ni lemah, engkau tu qowie.”

Tidak.Tidak. Kita perlu berhenti memikirkan siapa lemah, siapa kuat.
Yang perlu kita rancang sekarang adalah bagaimana menjadi kuat.
Kejarlah apa-apa sahaja peluang dan wasilah untuk kita sumbangkan sesuatu kepada deen ini.

Mustahil kita ini terlalu lemah hingga tidak mampu buat apa-apa untuk Islam.

Bilal bin Rabah, cuma seorang hamba. Tidak memiliki apa-apa. Tetapi Bilal merancang untuk menjadi kuat. Diseksa, dijemur di padang pasir, dipakaikan baju besi, dihempap batu besar, tetapi dia kuat mempertahankan akidahnya.

Amr Ibn Jamuuh, seorang tua dan cacat pula. Meskipun tempang sebelah kakinya, namun jiwanya kuat mendorong beliau untuk menyertai perang Uhud bersama Rasul s.a.w. Beliau mencari alasan untuk menjadi kuat. Katanya kepada Rasul s.a.w. :

“Wahai Rasulullah, anak-anakku hendak menghalangku berperang bersamamu. Demi Allah, daku ingin berjalan dengan penuh kebanggaan dengan kakiku yang tempang ini di syurga.”

Air yang mengalir nampak lebih segar dan menyegarkan.

PENUTUP :  TIDAK BERGERAK = JIWA LEMAH, LUKA MEMBARAH

Kita perlu bergerak dan bekerja. Jika kita tidak bekerja, jiwa kita akan terus lemah dan lemah. Kerana kita tidak proses ia untuk menjadi kuat.

Janganlah menjadi seperti ‘ayam daging’. Cuma tunggu diberi makan. Malas mencari makan sendiri. Hinggalah gemuk. Ia cuma menunggu masa untuk disembelih. Kita yang tidak bekerja dan terus biarkan diri dalam kelemahan, maka tunggulah masa ‘disembelih’ oleh kufar.

Imam Syafie menggambarkan dalam puisinya:

Bagi orang-orang yang berakal dan berilmu,
Tinggalnya di rumah tiada nikmat keselesaannya,
Maka tinggalkanlah tanah air dan berdaganglah ke tempat yang jauh,
Di sana akan didapatinya gantian bagi orang-orang yang ditinggalkannya.
Bersakit-sakitlah dalam kehidupan, di situlah letak kelazatan,
Lihatlah air bila ia bertakung baunya berubah menjadi busuk,
Dan kalau ia sentiasa mengalir, barulah keheningannya kekal.

Singa tidak akan bertemu mangsanya jika ia tidak meninggalkan rimbanya,
Begitu juga panah tidak akan bertemu sasarannya jika tidak tinggalkan busarnya,
Lihatlah pula Matahari yang bergemerlapan indah, kalau ia tetap tinggi di perut langit,
Nescaya akan dibosani oleh orang Ajam mahupun Arab yang memandangnya.

Bijih yang berharga tidaklah bernilai jika dibiarkan di tempatnya,
Begitulah juga kayu gaharu kalau ia ditinggalkan di buminya,
samalah ia dengan kayu-kayu lain yang bakal dibuat kayu api.
Kalau kedua-duanya (bijih dan gaharu) diambil keluar dari tempatnya,
Lihatlah betapa tinggi mutunya laksana emas.

Jadi, bergerak dan bekerjalah !

4 comments:

Qawiem Khairi April 1, 2011 at 3:04:00 PM GMT+8  

Subhanallah,
cantiklah pengolahan gaya nasihat,
senang kata bila nk buat buku?
mcm abg hilal? huhu.. (",)

InsyaAllah. akan cuba utk mempraktikn,
nk tya.. knp dlm bloglist ana tunjuk nta aka "Penyejuk Jiwa" dh 3 bulan x update?
tp bila masuk ke sini..
dh byak yg anta update,
trpaksala ana cover baca blik apa yg tertinggal..

kim salam kt Qawiem Baqi ya..
~ mQ ~

Unknown April 1, 2011 at 3:29:00 PM GMT+8  

@ ~MQ ~

Tak sampai tahap lagi nak buat buku. Haha. Ana bkn sebaik itu.

Cuma sedikit sbg perkongsian. Ana pun tak pasti sbb apa dia tak update. Nnt ana check balik.

Syukran atas kunjungan. ^_^

mamariz April 2, 2011 at 4:28:00 PM GMT+8  

Tak sampai tahap lagi nak buat buku. Haha. Ana bkn sebaik itu.

-macammana kalau semua penulis jawab macam jawapan akhi..confirm xda buku terjual di pasaran..nak tunggu baik macam mana tu baru nak buat buku..sekadar renungan bersama-

Anonymous April 3, 2011 at 7:55:00 AM GMT+8  

bagaimana pula dgn bdk wanita lpsan stp,rasany perlukah mrk kuar cr keja or lbih baik duk umah ja?? hrp dpt mmbantu :)

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP