Surat Cinta Untuk Jiwa
Hati ini perlu sentiasa diperhati dan diperiksa dengan teliti ... |
Makan. Satu keperluan kepada semua manusia. Bolehkah manusia hidup tanpa makanan?
Boleh, tetapi itu hanya di akhirat sekiranya syurga menjadi destinasi akhir.
Di dunia, tidak! Manusia bukan malaikat, yang diciptakan tanpa nafsu. Manusia perlu makan untuk hidup.
Kalau tidak makan, sudahnya tentulah anda akan lapar, bukan?
Letih, tidak larat, tidak bertenaga, dan sebagainya.
Bagaimana, anda sudah makan? Sedap makanan anda hari ini?
Kalau sedap, alhamdulillah. Kalau tidakpun, sekurang-kurangnya anda masih ada makanan untuk dimakan.
Itu keperluan tubuh. Jiwa ini ada keperluan 'makanan'nya juga.
Bila pula masanya itu untuk 'makanan' jiwa? Kalau kita seharian makan ada sarapan (breakfast), makan tengah hari (lunch), makan malam (dinner), minum tengah malam (supper) dan sebagainya, bukan?
Itu mungkin bagi yang berkemampuan. Kalau yang agak kurang berkemampuan, mungkin sekali sehari makan.
Maka, bagaimana pula 'makanan' jiwa?
'MAKANAN' JIWA ITU SUDAH SEDIA TERHIDANG, AMBIL SAHAJALAH ...
Jiwa bila tidak diberi 'makan', maka jiwa itu akan kegersangan. Jiwa yang gersang, lemah dan tidak bermaya sekali-kali tidak dapat menggerakkan tubuh untuk melakukan segala amal kebaikan.
Sekalipun, amal itu sekecil mengangkat duri yang menghalang perjalanan.
Lalu, di manakah akan anda perolehi bekalan untuk jiwa anda itu?
Maka, kembalikanlah diri kita kepada Sang Pemilik jiwa ini.
Siapakah yang menciptakan kita dan seluruh isi alam semesta ini?
Allah s.w.t. Allah yang menciptakan kita.
Bukankah seorang mekanik, pembuat kereta lebih mengetahui tentang hal pembuatan dan pembaikan kereta daripada seorang doktor?
Bukankah seorang doktor lebih mengetahui tentang hal kesihatan dan jenis-jenis penyakit serta rawatannya berbanding seorang guru?
Nah, di situ sudah terletak logiknya.
Bukankah Allah yang menciptakan kita?
Lalu, bukankah segala urusan jiwa dan alam ini di bawah pengetahuan dan urusan-Nya?
Off course !
Jadi, anda hanya akan memperoleh bekalan untuk jiwa anda bila anda kembali mendekati-Nya.
BAGAIMANA MENDEKATI ALLAH? KITAKAN TAK NAMPAK ALLAH ...
Ya. Memang kita tidak nampak Allah.
Tetapi kita telah nampak 'kasih' Allah pada kita.
Bukankah Allah telah kirimkan kasih-Nya melalui Al-Quran Kalamullah itu?
Bukankah Allah telah hantar 'surat-surat cinta-Nya' kepada kita?
Bagaimanakah perasaan dan tindakbalas anda bila menerima surat daripada kekasih hati?
Rasa seolah-olah tiada apa yang lebih berharga lagi dalam dunia ini selain daripada kasih anda dan dia, bukan?
Lalu, apa yang kita lakukan saat membaca dan menerima 'surat-surat cinta-Nya' itu?
Cuma baca tanpa perasaan? Ataupun cuma menghafal skrip 'surat-surat cinta' itu?
Atau kita bacanya dengan penuh gaya dan pelbagai lenggok bacaan yang menarik perhatian orang lain sahaja seperti gurindam, syair, puisi dan yang sebaris dengannya yang dideklamasi penuh perasaan?
Atau kita mengambil surat itu, membaca satu ayat ke satu ayat hingga tertangis sendirian, tersenyum, membuak-buak kerinduan saat membaca surat itu hingga membuatkan anda mengikut segala arahan-arahan dalam surat itu?
Lalu, bertambahlah kerinduan kita untuk bertemu dengan 'Penulis surat cinta itu.' Kerana kita sudah jatuh hati kepada-Nya, menyebabkan kita ghairah dan tidak tahan lagi untuk mendapatkan balasan cinta dan kasih-Nya.
Allah. Allah. Allah.
Terima kasih ya Allah, jika itu yang dirasakan sekarang.
Maka, dekatilah 'kasih'-Nya itu..
Bukan saja-saja Dia mengurniakan kita Al-Quran itu.
Tetapi, kita saja yang selalu lupa bahawa itu adalah tanda kasih dan kecintaan-Nya kepada kita.
Dalam Al-Quran itu ada segalanya. Ada ubat untuk kerinduan, kecintaan. Ada rawatan untuk kesedihan dan luka-luka hati. Ada berita dan kisah yang memotivasikan.
Maka, adakah kita mengambil ibrah dari semua itu?
As-Syahid Sayyid Qutb dalam bukunya LailahaIllallah Manhaj Hidup Muslim menggambarkan seperti berikut:
"Seandainya anda melihat orang yang sedang sakit membuka buku tentang pengubatan dan mengira bahawa dengan membacanya ia akan dapat sembuh dari penyakitnya, maka apa yang anda dapat katakan tentang orang itu? Tentu anda akan mengatakan bahawa orang tersebut tidak siuman dan perlu dihantar ke hospital sakit jiwa? Akan tetapi, tidakkah anda sedar bahawa anda sendiri melakukan hal yang sama kepada buku yang dikirimkan oleh Doktor terpandai untuk menyembuhkan penyakit-penyakit anda?"
MAKA, AMBIL BERATLAH DENGAN 'BREAKFAST', 'LUNCH', 'DINNER' DAN 'SUPPER' JIWA ANDA....
Satu perkongsian yang menarik daripada murabbi saya, Pak Cik Rosdi Baharom ataupun famous dengan gelaran Abu Munzir sewaktu penyampaian beliau di KTD, katanya, "Sebelum kita bersarapan pagi, kita perlu pastikan jiwa kita sudah bersarapan."
Mari kita tanya diri kita...
Apakah sarapan jiwa kita pada hari ini?
Dan izinkan saya berkongsi sebahagian sarana-sarana 'hidangan-hidangan' harian untuk 'makanan jiwa' itu secara ringkas. Banyak sarana-sarana untuk mengisi jiwa kita sebenarnya. Saya kongsikan sebahagian sebagai ingatan untuk saya dan kita semua. Cuma terpulang kepada kita bagaimana kita mengisinya.
(1) Qiamullail atau bangun malam
Kata Abu Munzir, "Cara PALING BAIK untuk jernihkan hati adalah untuk bangun solat 2 rakaat ketika orang lain sedang tidur."
(2) Solat 5 waktu sehari
Kewajipan kita semua yang asasi. Stesen pembersihan dan penyucian jiwa yang paling berkesan. Firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perkara keji dan mungkar."
(3) Tadabbur dan tilawah Al-Quran
Satu sarana yang memberangsangkan ! Saat ini, jika anda menghayati bacaan ayat-ayat Allah s.w.t., anda akan temukan kemanisan yang tiada tandingannya !
Ia bukan sekadar untuk dijadikan zikir, tetapi ia untuk difikir sedalam-dalamnya.
(4) Zikir dan wirid al-ma'thurat
Zikir dan kumpulan wirid yang ma'thur, dikumpulkan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna bersumberkan hadith-hadith Nabi s.a.w. Sangat mengesankan jiwa !
(5) Doa
Pemilik jiwa ini bukanlah kita. Tetapi Pemilik jiwa ini adalah Pemilik kepada alam semesta yang luas ini. Allah s.w.t. Sentiasalah berdoa, memohon hidayah dan penyucian jiwa daripada-Nya. Berdoalah dalam keadaan penuh rasa kerdil, lemah dan tidak memiliki apa-apa kerana kita sememangnya tidak memiliki apa-apa pun. Semua yang ada bersama kita hanyalah pinjaman dari-Nya. 'Barang pinjam' jika tidak digunakan dengan baik, malah dipinjamkan secara percuma pula, maka tunggulah saat dihukum.
PENUTUP : BUKANLAH YANG KUAT ITU TUBUH, TETAPI JIWA
Satu kisah di Palestin yang mungkin sudah anda biasa dengar. Kisah seorang budak berumur 10 tahun syahid bernama Faris Audah. Ada apa yang istimewa pada dirinya? Tidak ada apapun yang istimewa. Dia seperti kanak-kanak lain. Sasakah tubuhnya? Tidak.
Tetapi, jiwanya lebih gagah dan berani. Apa yang menolak dirinya untuk menentang kereta kebal Israel yang jauh lebih besar dari dirnya, dilengkapi dengan pelbagai macam alat-alat yang canggih? Sedangkan dirinya hanya berbekal batu-batu kecil?
Kerana jiwanya ...
Jiwanya saban hari disiram dengan kesuburan cinta dan kasih untuk bertemu Rabb-Nya.
Sebab itu, dia tidak pernah takut. Namun, tentera Israel yang pengecut itu takut menghadapi seorang budak yang hanya berbekalkan batu-batu kecil.
Itu kekuatan mereka yang sentiasa menyiram jiwa mereka supaya sentiasa subur. Dibajai dengan cermat, diairi secukupnya.
Kita hidup bukanlah dengan jasad ini, tetapi kita hidup dengan jiwa.
Lalu, cukupkah dengan hanya beri makan kepada tubuh, tetapi kita mengabaikan 'makanan' jiwa kita?
Sudah tentu tidak. Kenapa?
Kerana jiwa ini perlukan kekuatan untuk menggerakkan diri kita melakukan kebaikan!
1 comments:
subbahanallah..trma kasih sang blogger.sdkit sbyk trgerak ht ini..:'(
Post a Comment