Gaza : Nilai Kejiwaan Untuk Kita Sebenarnya !
Saya pernah miliki cita-cita untuk ke Gaza. Lama dulu. Pernah sekali, saya menghubungi Doktor Arbaie' dan Brother NoorAzman (antara aktivis Mavi Marmara), memaklumkan hajat itu. Kalau tak silap saya, waktu itu sekitar tahun 2009. Sewaktu isu Palestin ini masih belum hangat diperkatakan. Saya bersama seorang lagi sahabat saya, Suhaib Shapiee diminta untuk SMS nama, no. IC, alamat dan ada lagi beberapa detail. Tetapi, bila teringatkan kisah itu, saya jadi tergelak dengan diri sendiri. Kenapa?
Ya. Waktu itu, saya baru usai menduduki SPM pada tahun sebelumnya. Waktu itu, antara calon yang dicari adalah doktor serta ustaz. Saya?
Oh, sudah tentulah jauh sekali kriteria itu. Tetapi, sehingga sekarang masih menyimpan impian itu. Tetapi, saya tidak meletakkan impian itu sebagai keutamaan. Ada keutamaan yang lebih utama bagi saya. Andai ada peluang, diizinkan Allah, alhamdulillah.
Bagi saya, ada yang lebih penting untuk kita perhatikan dan introspeksi diri dalam isu Gaza ini. Saya tidak kata pergi ke Gaza itu sesuatu yang tidak penting, bahkan ia teramat penting untuk menghentikan kekejaman Israel yang mendirikan 'Tembok Ketakutan'nya itu untuk menghadang kemaraan rakyat Gaza.Tetapi, tidak semua berpeluang ke sana, bukan?
Lalu, mari kita ambil pengajaran bersama di sini. Kenapa saya kata itu adalah 'Tembok Ketakutan'? Apa kaitannya pula dengan nilai kejiwaan ?
Ayuh, kita telusuri !
GAZA : BESARKAH IA?
Gaza itu adalah sebahagian daripada bumi Palestin. Cuma sebahagian kecil, bukan separuh.
Terlalu kecil rasanya dibandingkan dengan negara haram Israel yang jauh lebih besar itu. Bahkan, dalam satu perbandingan, dibandingkan antara Gaza dengan negeri Perlis. Ternyata Perlis yang merupakan negeri terkecil di Semenanjung Malaysia ini lebih besar daripada Gaza itu.
Ya. Memang Gaza itu tersangat-sangat kecil. Namun, jiwa rakyatnya tidak sekecil itu. Jiwa mereka besar. Gagah dan kuat.
Berapa tahun lamanya warga Palestin itu menanggung derita sengsara diperlakukan dengan begitu kejam oleh rejim Zionis itu?
Setahun? Dua tahun? Tiga tahun?
Tidak. Bahkan 60 tahun lebih lamanya.
Tempoh masa yang begitu panjang dan lama.
Apa yang membuatkan mereka itu begitu kental mempertahankan negara itu?
Hinggakan tinggal kawasan yang cuma ‘sekangkang kera’ itu sahaja, namun perjuangan masih kuat diteruskan.
Pertubuhan dunia/ antarabangsa manakah yang benar-benar datang menolong dan membela mereka?
Tiada. Kalau adapun, nampaknya seolah-olah Israel itu lebih hebat daripada gabungan-gabungan negara lain yang begitu banyak dan jauh lebih besar itu.
Kenapa? Kerana dominasi mereka tetap diteruskan ke atas rakyat Palestin meskipun amaran, tunjuk perasaan dilaksanakan.
Sekadar resolusi kosong, permeteraian Perjanjian Damai selama beberapa kali, serta gencatan senjata yang akhirnya ‘mimpi ngeri’ itu tetap terus dirasai oleh warga Palestin khususnya Gaza.
Tetapi, kenapa selama itu mereka ditinggalkan begitu, dibunuh sanak-saudara, kaum keluarga, hidup kelaparan serba tidak cukup, namun, mereka tetap sabar dan menyimpan harapan yang tinggi bahawa satu hari nanti umat akan membuka matanya?
Bayangkanlah kita di tempat mereka. Sehari pun sudah cukup untuk menentukan siapa diri kita sebenarnya. Kita belum tentu dapat menahan diri walau hanya sehari seperti mereka. Kita belum tentu akan terus berharap dan berharap dunia luar akan membuka matanya kepada kita, menghulur bantuan, meringankan bebanan, seandainya kita diuji seumpama mereka.
Tetapi, mereka di Gaza, harapan mereka teramat besar dan tinggi. Kerana mereka mempertahankan tanah wakaf untuk ummat Islam.
Namun, mereka tidak sekadar menyimpan harapan yang kosong. Harapan yang disertai dengan keazaman serta usaha yang bersungguh-sungguh, itu adalah hasil didikan iman yang mereka lalui.
Itulah sebab wujudnya ‘Tembok Ketakutan’ itu.
ISRAEL YANG PENAKUT ITU, SEBESAR TEMBOK ITU SEBENARNYA KETAKUTAN DALAM JIWA MEREKA.
Bila diteliti kembali, sebenarnya, Israel telah menggunakan bahan keluli yang dikenali sebagai ‘Super Strength Steel’.
Apa kelebihan keluli jenis ini? Tahan daripada pemotongan, penebukan dan letupan bom.
Sejauh mana pembinaannya? Sejauh 102km (ruj) bahkan dibina juga di bawah tanah kononnya untuk menghalang penyeludupan senjata-senjata haram.
Saya kira anda pun lebih arif dan tahu fakta tentangnya.
Saya tidak ingin bahaskan soal ketebalan atau kepanjangan tembok itu.
Tetapi, yang ingin saya persoalkan adalah kenapa timbul idea sehingga sebegitu sekali?
Logiknya, rakyat Gaza yang tidak miliki apa-apa itu, makanan disekat, perubatan dihalang, senjata tidak dibenarkan, apakah mereka itu mampu memberi ancaman kepada Israel?
Mari kita berfikir secara logik. Setelah 60 tahun lebih hidup di bawah kekejaman mereka, bukankah 60 tahun itu suatu masa yang lama, bahkan kalau nak diikutkan, mereka sudahpun menguasai hampir majoriti Palestin, lalu apa perlunya tembok itu?
Dan lagi, sejumlah rakyat yang kecil di Gaza itu berbanding mereka di Israel yang jauh lebih ramai, adakah itu juga menjadi satu ancaman buat mereka?
Maka di sinilah jawapannya. Itulah tembok ‘Ketakutan’ yang telah sedia terbina dalam jiwa mereka sebelum terbinanya tembok besar itu.
Ketakutan mereka kepada sejumlah rakyat Gaza yang kecil tanpa kelengkapan hidup yang cukup itu membuatkan mereka jadi begitu cemas dan takut hingga terpaksa mendirikan benteng setebal dan sepanjang itu.
Lalu, mari kita perhatikan. Apakah rahsia kekuatan rakyat Gaza di kawasan sekecil itu sehingga mampu memberi ancaman kepada rejim Israel yang jauh lebih canggih dan lengkap daripada mereka?
AL-QURAN MASDAR(SUMBER) KEKUATAN UTAMA
Teringat saya kepada seorang Syeikh dari Palestin yang pernah datang ke Malaysia sebelum ini. Matanya buta, tetapi mata hatinya celik jauh melampaui kecelikan orang-orang yang celik matanya.
Antara pesannya, “Mulailah dari mencintai Al-Quran. Didikan itu telah melahirkan satu generasi yang beramal untuk akhirat.”
Itulah rahsia kekuatan jiwa mereka. Al-Quran dan Al-Quran sahaja.
Mereka tidak mengutip ayat-ayat Allah itu sekadar untuk dihafal atau dilagukan, bahkan menjadi satu inspirasi kekuatan jiwa buat diri mereka.
Bahkan, seorang budak lelaki Palestin, iaitu Ibrahim Nizar Rayyan selalu berdoa agar Allah kurniakan syahid kepada dirinya. Berapa umurnya ketika itu? 16. Baru 16 tahun.
Tetapi, amalannya mendahului orang yang berumur 61 tahun barangkali. Dia selalu qiamullail dan berpuasa sunat.
Ibunya yang mendengar doanya, bahkan membenarkannya. Akhirnya, dia berjaya membunuh seorang ahli nuklear Zionis.
Mari kita tanya diri kita dan masyarakat kita, di manakah anak-anak muda kita yang berumur 16 tahun dan ke atas hari ini?
PENUTUP : MEMAKNAKAN USAHA KITA KE SANA DAN DI SINI
Jika anda sudah pun berkali-kali menghulurkan sumbangan, Alhamdulillah.
Jika anda masih belum, masih ada kesempatan untuk itu.
Marilah memaknakan sumbangan kita itu. Tidak cukup hanya sekadar menyumbang wang ringgit, tenaga dan sebagainya untuk membantu proses meruntuhkan ‘Tembok Kematian’ itu.
Ada yang lebih penting daripada itu. Adakah hati kita juga di ‘proses’ ketika membantu proses itu? Sudah robohkah tembok penghadang antara kita dengan Allah?
Palestin bukan semata-mata sebuah negara, tetapi ia adalah kehidupan orang Islam. Kerana negara itu bukan diwakafkan untuk individu, tetapi untuk ummat.
Kita boleh melihat perbezaan yang jelas. Mereka adalah Islam. Kita juga adalah Islam. Tetapi, pada suatu sudut, kita perhatikan kita dan mereka hampir-hampir tidak sama. Lalu, di manakah kurangnya kita?
Palestin itu sebuah kisah kekuatan jiwa. Ia bukan kisah penglipur lara. Sekadar bercerita untuk membangkitkan rasa, akhirnya dilupakan begitu saja.
Kalau di sini, kita sibuk bercerita tentang gejala zina dan buang anak, di Palestin, ceritanya adalah tentang mengejar mati syahid yang mulia.
Kalau di sini, kita masih bercerita tentang Sang Kancil dan Si Buaya kepada anak-anak sebelum tidur, tetapi cerita mereka di sana adalah cerita benar dari Al-Quran dan sirah Nabi dan para sahabat.
Jika di sini, kita bercerita tentang pemilihan antara syurga dan neraka, di sana mereka sibuk memilih syurga mana yang akan mereka masuki !
Jika di sini, kita sibuk bercerita tentang sibuknya kita, bekerja seharian untuk mencari nafkah untuk diri dan keluarga, tetapi mereka di sana tidak pernah bercerita tentang sibuknya mereka bekerja untuk UMMAH.
Lalu, mari menilai diri !
Siapa yang sepatutnya mengambil iktibar daripada semua ini?
Mereka di Palestin atau kita yang di sini?
Tepuk dada, Tanya IMAN !
1 comments:
Semoga ALLAH membantu usaha kita membantu saudara se Islam.
Post a Comment