Friday, December 12, 2008

[[ Menguruskan Kesibukan ]]

Oleh : afra_penang91@yahoo.com

Terkadang diri kita dihambat oleh pelbagai kesibukan dalam kehidupan kita. Sekejap bergerak ke sana sekejap bergerak ke sini. 24 jam dalam sehari seolah-olahnya tidak mencukupi bagi insan yang benar-benar menggunakan sepenuh masa dalam kehidupannya. Bekerja di waktu siangnya dan balik ke rumah menguruskan hal di rumah pula. Ini tidak pula dikira dengan kerja-kerja yang lain. Bagi yang sudah berumah tangga, dirinya disibukkan pula dengan anak isteri. Itulah lumrah hidup manusia hari ini. Kekadang, kepenatan datang menyelimuti diri kita setelah sehari suntuk menghabiskan tenaga kita untuk kehidupan ini. Bukan kita minta untuk penat, namun itulah realiti kehidupan, sebuah perjuangan yang meminta kita berkorban untuk kesenangan masa depan kita. Kepenatan inilah yang menyebabkan kita mudah menjadi tidak selesa dengan keadaan sekeliling mengakibatkan kita cepat stress, marah dan sedih. Tambahan pula orang yang sedang berhadapan dengan kita tidak memahami keadaan kita, maka gunung berapi yang sedang menggelegak pun dengan cepatnya meletusla!!! Kalau tak meletus pun kemarahan, ia tetap tersimpan dalam hati kita menjadi nanah yang busuk yang lama kelamaan akan menjauhkan kita dari orang tersebut.


Sebenarnya Islam telah mengajar kita untuk bersikap sabar dalam menempuh kehidupan kita kerana ini adalah sebahagian daripada akhlak Islam. Malahan, Rasulullah s.a.w. sendiri adalah insan yang banyak bersabar dalam menyebarkan risalah Islam. Baginda dicaci, dimaki hamun, dilemparkan dengan perut unta dan pelbagai seksaan lain namun baginda tetap bersabar. Baginda juga adalah manusia yang sibuk. Namun kesibukan baginda untuk Islam, maka itu adalah satu keuntungan. Baginda bersabar dalam menyebarkan risalah Islam, menguruskan pentadbiran negara dan hal-hal ketenteraan serta tugas-tugas lain. Tidak pernah kita dengar Rasulullah marah kerana tanggungjawab dan urusan yang mesti diselesaikan oleh baginda. Bahkan baginda disayangi oleh sahabat-sahabatnya dan dihormati oleh pihak musuh lantaran kemuliaan dan kebijaksaan baginda dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Justeru, marilah kita memeriksa amal kita kembali. Adakah kesibukan yang kita hadapi sekarang ini benar-benar kesibukan yang diredhai Allah? Kesibukan yang membawa keuntungan untuk Islam? Kesibukan yang meruntuhkan jahiliyah?

Atau

Kesibukan kita sekadar memberi keuntungan untuk anak isteri kita? Kesibukan meruntuhkan kesabaran dan ketenangan diri kita? Kesibukan yang mendatangkan kemurkaan Allah?

Suaikanlah kesibukan kita dengan kehendak dan tuntutan syariat Islam. As-Syahid Imam Hasan Al-Banna sendiri bahkan pernah meninggalkan wasiat di mana salah satu wasiatnya adalah " Kewajipan itu lebih banyak daripada masa." Biarlah beribu sekalipun tugas kita dan biarlah kita penat dengan tugas kita asalkan semua itu mengundang kita ke kamar redha dan cinta Allah Yang Maha Esa.

Menangani kesibukan yang ada dengan cara yang efisien perlulah melalui perancangan yang rapi dan teratur. Apabila kita merancang untuk tugas dan tanggungjawab yang ada pada kita, maka biarlah rancangan itu sesuai dengan kemampuan kita. Hal ini supaya taklif yang berada di atas bahu kita ini dilaksanakan dengan kaedah yang baik dan bernatijahkan juga kepada kebaikan. Kata Saidina Ali:

" Kebenaran yang tidak bersistematik akan dikalahkan oleh kebatilan yang bersistematik"
Perancangan yang baik akan memberi kesan yang baik kepada jiwa kita. Sesibuk manapun kita, kita tetap boleh bersabar dan bertenang kerana kita telah merancang dan mengurus dengan baik. Ambillah contoh daripada junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sebenarnya banyak melakukan kerja dalam tanzim (perancangan) yang sistematik. Kita ambil contoh daripada peristiwa hijrah Nabi ke Madinah bersama Abu Bakar as-siddiq.
Strategi 1 Ali ganti tempat tidur Rasulullah
Strategi 2 Rasulullah pilih Gua Tsur sebagai tempat persembunyian
Strategi 3 Rasulullah tugaskan Abdullah ibn Abi Bakr dapatkan berita dari Makkah (informasi)
Strategi 4 Tugaskan Asma' bt Abi Bakr bawa makanan dan minuman
Strategi 5 Tugaskan Amir bin Fuhairah bawa kambing untuk perah susu, padam kesan tapak kaki mereka
Lihatlah daripada peristiwa hijrah ini dan ambillah ibrah. Uruskanlah diri kita dengan baik dan bersistem dan berusahalah merancang agar kesibukan kita tidak menjadi sesuatu yang sia-sia. Berkemungkinan kita akan terlepas pandang terhadap kerja yang masih belum selesai apabila terlalu sibuk. Justeru, jadilah orang yang bijak dalam menguruskan diri dan tanggungjawab agar semua itu dilaksanakan sesuai dengan tuntutan syar'ie.







Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP