Monday, December 22, 2008

Antara Kejayaan Dan Kegagalan...

Cuba tonton iklan ini....


Iklan ini memberi beberapa ibrah dan pengajaran kepada kita. Si ayah menahan keinginan anaknya kepada pelbagai perkara yang tidak penting semata-mata untuk masa depan anak. Anaknya minta dibelikan itu dan ini namun ditolak oleh ayahnya secara lembut dan hikmah. Si ayah memikirkan kepentingan masa depan anaknya itu lantaran menolak kehendak anaknya untuk membeli itu dan ini. Meskipun kasihan dengan nasib si anak yang tidak memperolehi barang yang dihajati, namun si ayah tetap berpegang dengan prinsipnya sendiri. Biarlah anaknya susah di masa sekarang untuk kebahagiaan masa depan. Biarlah si anak tidak mendapat kemahuannya sekarang demi sesuatu yang lebih baik dan lebih menguntungkan untuk dirinya di masa depan.

Itulah lumrah kehidupan kita sebenarnya. Siapa yang berusaha bersungguh-sungguh pasti akan memperolehi hasil yang baik. Setakat mana kesungguhan kita dalam melaksanakan tugas dan kerja kita, setakat itulah pula hasil yang kita dapat. Dalam klip video di atas, si ayah telah berjaya merancang untuk masa depan anaknya (dalam realiti mereka). Beliau bersabar dengan karenah anaknya yang meminta itu ini sehinggalah apabila anaknya telah dewasa dan menyatakan hasratnya untuk menyambung pelajaran, barulah ketika itu si ayah mengeluarkan wang yang disimpannya selama ini untuk kegunaan anaknya. Si ayah berpuas hati ketika itu.

Begitu jugalah kita, sama ada berpuas hati atau tidak, kitalah yang menentukannya dengan kesungguhan dan keseriusan dalam kerja kita. Kita mahu kepada kejayaan dalam pelbagai bidang. Kita mengimpikan sebuah kehidupan yang penuh dengan kejayaan. Kita bercita-cita untuk menjadi seorang yang hebat dan berwawasan dalam hidup kita. Tetapi apa usaha yang telah kita lakukan untuk mencapai kejayaan yang kita benar-benar impikan itu.

Junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah mencintai seseorang yang ketika beramal, dia bersungguh-sungguh dalam amalannya"


Bahkan As-syahid Imam Hasan Al-Banna telah berkata:


"Antara diri kita dengan kejayaan adalah putus asa"



Justeru, dalam setiap amal perbuatan kita, buatlah yang terbaik. Sesungguhnya Allah tidak menilai kepada natijah dan hasil kerja kita tetapi Allah menilai usaha kita. Jikalau Allah menilai kepada hasil usaha kita, nescaya akan habislah semua orang yang mengalami kegagalan. Sangat beruntung pulalah buat orang yang berjaya. Tetapi, Allah tidak memandang semua itu. Allah menilai kepada usaha dan ikhtiar kita. Lebih kuat usaha kita, lebih sayang Allah terhadap kita.


Jauhilah sikap mudah berputus asa. Orang yang mudah berputus asa adalah orang yang telah kalah sebelum berjuang. Tidak ada erti putus asa dalam kamus hidup seorang insan sebenarnya. Kesungguhan dan keseriusanlah yang akan mematikan dan menjauhkan sikap putus asa daripada diri kita. Kita berhajat kepada sesuatu (mestilah berlandaskan syariat segala keinginan), maka berusahalah mendapatkannya dengan cara yang baik. Berkemungkinan kita tidak dapat melihat natijah dan hasilnya di masa sekarang, namun jika usaha kita itu diteruskan oleh anak cucu kita, maka berlipat kali gandalah ganjaran pahala yang akan kembali kepada kita. Umpama kita membina sebuah syarikat perniagaan. Mungkin semasa hayat kita tidak berkesempatan menyaksikan syarikat kita berubah menjadi sebuah empayar perniagaan yang besar. Empayar itu hanya terbina semasa hayat anak cucu kita. Sungguh Allah tidak melihat kepada empayar perniagaan yang sudah luas terbina itu, tetapi Allah menilai usaha kita untuk membina semua itu. Lantaran itu, dalam apa pun pekerjaan, berusahalah dengan sehabis baik untuk mencapai kejayaan yang sebenar. Jangan mengalah sebelum berjuang. Pantang berundur sebelum maju.


0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP