Saturday, August 6, 2011

Energi Para Pendosa



Diri ini kerdil, tetapi bisa menjadi besar di hadapan Allah dengan TAUBAT ...


Dosa itu sebenarnya satu halangan.

Sesiapa sahaja yang memiliki dosa , maka masih ada penghalang antara dirinya dengan syurga Allah.

Ada penghalang itu, bukannya bermaksud dia tidak berhak memasuki syurga Allah.

Dia berhak, cuma dihalang, umpamanya anda dan saya.

Anda ingin berlari kepada saya. Tetapi di tengah perjalanan, anda dihalang oleh sebuah tembok besar yang menghalang anda untuk sampai kepada saya.

Bila dihalang, maka apa yang akan anda lakukan?

Orang yang bersungguh-sungguh, dia akan mencuba dengan pelbagai apa cara sekalipun, melompat, memanjat, menggunakan tali dan sebagainya, supaya sampai kepada saya.

Tetapi, orang yang malas dan memang tidak mahu, maka biarlah tembok itu kecil sekalipun, dia hanya akan terduduk terus sambil mengeluh panjang, dengan harapan tembok itu akan hilang sendiri.

Mungkinkah tembok itu boleh hilang sendiri?

Tidak mungkin sekali.

Maka, begitulah dosa.


TAHNIAH, WAHAI PARA PENDOSA !

Orang yang melakukan dosa sengaja atau tidak sengaja, ia telah membina tembok demi tembok halangan untuk dia sampai ke syurga Allah.

Bayangkanlah jika hari ini, anda telah melakukan satu dosa, ditambah lagi dengan dosa-dosa kelmarin, dosa tahun lepas, maka agaknya berapa lama anda akan sampai merentasi tembok-tembok dosa yang telah anda bina itu?

Beratnya kesan dosa. Kita semua tahu hakikat itu.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda yang mafhumnya bermaksud:

“Sungguh, ketika seorang mukmin melakukan satu dosa, maka satu titik hitam akan ditorehkan di hatinya, namun apabila ia bertaubat, menarik diri dari perbuatan itu dan meminta ampun, maka hatinya akan dibersihkan kembali. Tetapi sebaliknya, jika semakin sering dia melakukan dosa, maka titik hitam tersebut akan semakin bertambah hingga akan semakin hitam…. (HR Tirmizi, No.3334)

Dan semua manusia akan tetap berdosa kecuali Nabi dan Rasul. Itu juga adalah hakikat.

Kalau sudah dosa itu berat kesannya, maka kenapa Allah menjadikan manusia itu tetap akan berdosa?

Hah. Di sinilah letaknya jawapannya.

Supaya dengan dosa itu, ia menjadi ‘booster’ kepada kita untuk memacu dan bergerak ke arah yang lebih baik.

Supaya dengan dosa itu, manusia mengenal jalan mana yang baik, jalan mana yang merosakkan.

Supaya dengan dosa itu, manusia nampak jalan untuk mengubah dirinya.

Bagaimana dosa boleh menjadi ‘booster’ pula sedangkan ia asalnya adalah penghalang kita untuk lebih dekat dengan Allah?

Ya. Ia akan menggerakkan hati dan menolak jiwa untuk ke hadapan bila kita telah sedar dan bertaubat atas dosa-dosa itu.

Ingatkah lagi pada peristiwa Malik bin Dinar?

Seorang ulama’ sufi yang asalnya dahulu seorang pegawai kerajaan yang selalu hidup dalam keadaan maksiat dan berfoya-foya.

Namun, kesedaran yang diturunkan Allah membangunkan jiwanya untuk mewakafkan dirinya untuk agama Allah.

Dia itu, yang selepas berdosa, jauh lebih baik daripada sebelumnya.


BERGERAK DENGAN ENERGI, RAMADHAN SEBAGAI BEKALAN

Anda, wahai para pendosa, tidak mungkin anda berjalan dan bergerak dengan lebih baik sekiranya tidak ada bekalan.

Biarpun anda sedar dan telah bertaubat atas dosa-dosa anda, tetapi anda tetap perlukan bekal untuk hati anda terus subur dalam menggerakkan diri untuk melakukan kebaikan.

Maka, Ramadhan adalah hadiah daripada Allah untuk anda dan kita semua.

Kerana kita adalah pendosa. Maka, kita perlukan bekalan untuk bergerak terus dalam kehidupan dengan jiwa yang Rabbani.

Jiwa yang Rabbani adalah jiwa yang sarat diisi dengan buah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.
Bekal-bekal yang meneguhkan langkahan di jalan kebaikan dan membangunkan kreativiti dalam menjauhi dosa.

Lihatlah peristiwa Abu Bakar al-Misky, seorang tabiin yang cukup menjaga dirinya kerana memilki TAQWA dalam hatinya.

Beliau diuji dengan tawaran zina daripada seorang wanita, tetapi itu tidak mengghairahkannya, bahkan menambah ketakutannya kepada Allah.

Kreatifnya beliau menghadapi bencana dosa itu, beliau mengambil taik dan melumurkan di seluruh badannya. Maka ketika itu, sudah tentulah wanita itu tidak mahu lagi kepada dia.

Kesan TAQWA itu, ia melahirkan jiwa yang sensitif dan kreatif bila menghadapi masalah dosa.

Sebab itulah Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Dan berbekallah kamu, maka sebaik-baik bekal adalah TAQWA.”

Maka, Ramadhan adalah medan terbaik untuk mendapatkan bekal itu. Dan sememangnya Ramadhan disediakan oleh Allah untuk itu.


PENUTUP : JADI LUAR BIASA DENGAN ENERGI PENDOSA !

Kita semua tahu bahawa kita adalah pendosa.

Maka, bila kita tahu kita adalah pendosa, kita perlu bergerak meninggalkan dosa.

Orang yang tahu dan sedar dirinya adalah pendosa, maka dia akan selalu bimbang dan risau.

Kenapa?

Supaya dirinya tidak jatuh lagi ke lembah kehinaan itu.

Maka dari situ, ia berusaha bangkit dan menuju ke arah kemuliaan dengan kesungguhan. Bahkan, ia sentiasa berwaspada supaya tidak jatuh lagi dalam perjalanan itu.

Orang yang sentiasa merasakan dirinya bersih, tidak berdosa, maka itu yang lebih dirisaukan kerana lebih mudah jatuh ke dalam lembah kehinaan itu.

Bila rasa diri bersih, maka dia akan merasakan tidak perlu lagi kepada taubat.

Tetapi bila rasa diri berdosa, maka dia akan merasai kegentingan dan urgensi untuk bertaubat.

Hebat energi para pendosa, tetapi bukanlah bermakna saya menyuruh anda supaya melakukan dosa.

Keluarlah daripada kepompong dosa, supaya anda dapat terbang bebas dalam taman-taman kemuliaan !

7 comments:

I.Am.A.Student August 6, 2011 at 11:36:00 AM GMT+8  

Mohon share di blog ana ya. Jzklh.

Unknown August 6, 2011 at 11:50:00 AM GMT+8  

@ Bintu Rahim:

Silakan. Moga bermanfaat.

Unknown August 6, 2011 at 12:06:00 PM GMT+8  

assalamualaikum

perkongsian yg sgt mnarik...
merenung seketika =.=''

Unknown August 6, 2011 at 12:20:00 PM GMT+8  

@ Titisan Hujan

Wslm.

Syukran. Moga renungan membawa kepada amal !

MF August 6, 2011 at 11:15:00 PM GMT+8  

Dosa itu penghalang kita kpd Allah dan syurgaNya... pngunaan anologi yg ckup baik!

Jzkk akh.. truskn mnulis, smoga Allah redha

Unknown August 7, 2011 at 7:25:00 AM GMT+8  

@ Hariz Khair Ad-Deen:

Barakallah fik.

Dosa itu pendinding antara kita dengan Allah !

Unknown January 19, 2013 at 2:28:00 AM GMT+8  

assalamualaikum....
aku cuman mau tanya, jika aku terus berdoa untuk orang yang aku sayang namun dia pendosa besar..akankah tuhan mengabulkan doa ku sehingga dia toubat dan sadar akan dosa nya...??????
sipapun boleh jawab...
thanks,,,

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP