Monday, August 8, 2011

Memborong Ramadhan Yang Sukses !



~ Mahukannya ? Mari dapatkan !!!


Ramadhan adalah hadiah daripada Allah yang penuh berkah. Ia bulan perjuangan untuk menentukan perjalanan hidup kita dalam bulan-bulan seterusnya.

Di dalamnya, Allah menyediakan kilang penyucian jiwa yang terbesar sekali dalam kehidupan mukmin.

Sebab itu, ganjaran akhirnya adalah “…moga-moga kamu berTAQWA.”

Hanya di dalam bulan ini sahaja, Allah rangkumkan sekali natijah kepada proses yang dilalui selama sebulan itu dengan TAQWA.

Tetapi, bukan mudah untuk memperoleh produk TAQWA.

Kalau kita tidak bekerja keras dan bersungguh-sungguh dalam kilang Ramadhan ini, maka jangan haraplah produk TAQWA itu akan terhasil !


BERJUANG UNTUK MENANG !

Kita berjuang untuk menang.

Mana ada orang yang berjuang, matlamatnya untuk kalah, bukan?

Ya. Mungkin kadang-kadang tidak tercapai matlamat itu, tetapi sekurang-kurangnya usaha kita itu biar menuju ke arah itu.

Justeru, kalau matlamatnya untuk menang, mengapa tidak dirancang perjuangan sebulan ini supaya kita benar-benar sampai kepada matlamat MENANG itu?

Menang itu bila beroleh TAQWA.
Menang itu bila kita terus beramal soleh selepas Ramadhan.
Menang itu bila kita berjaya mengawal nafsu kita dalam segenap hal.

Kita semua obsesi untuk meraih syurga Allah, bukan?

Nun di sana, ternanti-nanti sang bidadari. Tidak mahukah?

Bidadari-bidadari idaman yang menjadi kerinduan pemuda syurga, bak firman Allah s.w.t. dalam surah Ar-Rahman, 70-78 yang bermaksud:

“Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik- baik lagi cantik-cantik. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Bidadari-bidadari) yang jelita, putih bersih, dipingit dalam rumah.  Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? mereka tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin.  Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?  mereka bertelekan pada bantal-bantal yang hijau dan permadani-permadani yang indah. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Maha Agung nama Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan karunia.”

MashaAllah ! MashaAllah!

Indahnya memang tiada terkata !

Bukanlah saya mahu sogok-sogok anda dengan cerita bidadari. Tetapi inilah JANJI ILLAHI.

Tetapi, bagaimana mendapatkannya?

Kalau hanya ingin duduk sahaja, berharap dan berangan-angan semata-mata, tutup sahajalah mata kerana syurga hanya layak untuk orang yang merealisasikan usaha dengan jiwanya.

Jalan ke syurga bukanlah jalan yang ditaburi bunga, disembur wangian, dipenuhi sanjungan dan pujaan, tetapi jalan ke syurga sebaliknya adalah jalan yang ditaburi dengan duri, perlukan kesungguhan dan kewaspadaan dalam perjuangan, keinginan dan cita-cita yang tinggi serta istiqamah dalam menentang arus-arus yang menghalangnya.


HABISKAN WAKTU DENGAN AMAL BERMUTU

Jika kita inginkan kemenangan dalam bulan Ramadhan ini, maka kita perlu segera merebut peluang-peluang amal yang ada.

Kita perlu merancang waktu supaya semua yang kita lakukan menjadi nilai ibadah di sisi Allah, barulah kita tidak kerugian.

Biar nanti bekerja pun menjadi ibadah.
Biar nanti berjalan pun mendapat pahala.
Biar nanti bercakap, berbincang dan bermesyuarat pun membangunkan IMAN !

Barulah nanti, waktu-waktu di musim Ramadhan ini menjadi bermutu.

Biar amalan bernilai ibadah, maka proses pembersihan jiwa lebih mudah berlaku, dan kita pun rasa lebih dekat dengan Allah s.w.t.

Ramai orang berpuasa, tetapi kadang-kadang masa dihabiskan dengan banyak tidur berbanding membaca Al-Quran.

Ramai juga orang berbuka puasa, tetapi yang lebih difikirkan adalah bagaimana boleh makan sepuas-puasnya ketika berbuka.

Maka, berbuka puasa yang asalnya adalah ibadah tidak menjadi nilai ibadah kepada kita.

Ramai juga orang bersahur, tetapi berapa ramai yang bersahur setelah selesai melaksanakan qiamullail?

Sunnah bersahur itu dilewatkan. Jika kita bangun hanya semata untuk sahur, sahur sahajalah yang kita dapat.

Tetapi, jika kita plus temujanji dengan Allah, bangun awal sedikit untuk qiamullail paling kurang 2 rakaat, maka kita dapat extra bonus pembersihan jiwa daripada Allah.

Itu kan lebih manis. Tidak mahu?

Sedangkan dengan qiamullail itulah kita boleh menempah bidadari di syurga.

Kalau tanpa 2 rakaat qiamullail itu, huh, bidadari yang sepatutnya menjadi milik kita itu mungkin lebih mengharapkan pemuda lain memilikinya.

Siapa tahu, kan?


PENUTUP : RAMADHAN YANG SUKSES !

Ramadhan menyapa kita setiap tahun.

Ada orang yang merancang untuk benar-benar dapatkan TAQWA di hujung Ramadha.

Ada orang yang merancang amalannya sepanjang Ramadhan.

Tetapi yang lebih ramai, biasanya merancang untuk Syawal seawal 1 Ramadhan.

Akhirnya, lebih banyak mengabaikan amalan dan hanya menuai kerugian di penghujung Ramadhan, walaupun mungkin dirasakan bagi dirinya tidak rugi.

Tidak rugi kerana dia tidak memandang TAQWA sebagai suatu bekal yang besar.
Tidak rugi kerana dia tidak memandang Ramadhan ini dari kacamata Allah, apa yang Allah inginkan ke atas kita dengan Ramadhan ini.

Maka, dia rugi serugi-ruginya.

Jangan biarkan diri kita sepi dari mengejar dan bersaing untuk memperbanyakkan amal, dan meningkatkan kualiti amal supaya kita ‘terpilih sebagai graduan TAQWA’ usai Ramadhan nanti.

Mahukan Ramadhan yang sukses?

Bergeraklah untuk menjadi graduan TAQWA !

0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP