KPI Ramadhan, Di Mana Kita?
~ Banyak yang tepat atau banyak yang tersasar? |
Ramadhan sudah berlalu 20 hari. Hari ini, kita sudah berada pada hari yang ke-21.
Tinggal beberapa hari sahaja lagi Ramadhan akan meninggalkan kita.
Kita perlu bertanya dan memuhasabah diri, apakah hari-hari yang telah berlalu dalam Ramadhan ini telah meninggalkan kesan TAQWA dalam diri?
Bagaimana performance TAQWA kita sepanjang Ramadhan ini?
Adakah kita terkesan dengan ibadah-ibadah yang kita laksanakan?
Apakah hari-hari yang berlalu dipergunakan sepenuhnya untuk mencapai matlamat TAQWA itu?
Dan adakah kita masih memberi ruang kepada nafsu untuk menipu kita selepas hari-hari yang telah berlalu ini?
Kita perlu bertanya dan muhasabah. Supaya dengan Ramadhan ini, kita semakin dekat dengan Allah.
Bagaimana dekat dengan Allah? Bagaimana mengetahui kita memperoleh TAQWA atau tidak?
Tidak. Kita memang tidak pernah tahu, kita ini benar-benar beroleh TAQWA atau tidak.
Tetapi, kita boleh mengetahui ciri-ciri orang bertaqwa itu apa dan bagaimana.
Maka, kita mempunyai IKPI yang lebih utama dari KPI manusia. Apa itu?
Iman Key Performance Indicator. Penanda Aras atau Indikator Pengukur bagi Keimanan.
IKPI 1 : PENINGKATAN SYAKHSIAH MUKMIN
Ramadhan bukan sekadar melahirkan orang yang rajin beribadah dan taat kepada Allah, tetapi ia adalah ‘training centre’ yang melahirkan orang-orang yang memiliki syakhsiah mukmin.
Ramadhan merupakan pusat pembersihan sifat-sifat yang mazmumah (buruk). Sifat mazmumah itu adalah kotoran-kotoran yang menyebabkan jiwa rasa malas untuk menghidupkan rasa cinta kepada Allah.
Bila cinta itu mati, maka keinginan untuk beribadah pun semakin lemah.
Bila cinta itu mati, maka kita kehilangan juga cita-cita tertinggi dalam kehidupan.
Sedangkan cita-cita tertinggi mukmin adalah Allah s.w.t.
Orang yang menempuh Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap redha Allah, maka dia akan berusaha merawat dan membersihkan kotoran-kotoran yang ada pada dirinya, supaya dengan itu ia mampu untuk merebut semula cinta Allah yang agung itu.
Kotoran yang dihasilkan oleh karat-karat jahiliah yang berpaut dan menyelimuti kehidupan manusia hari ini, mengakibatkan manusia semakin hari semakin jauh daripada Allah.
Allah Yang Maha Mengetahui sentiasa tahu hamba-Nya yang lemah ini tidak kuat menghadapi cabaran tanpa bekal tenaga dan persediaan yang cukup.
Maka, Allah sediakan Ramadhan. Allah sediakan Ramadhan untuk kita manfaatkan, supaya dengan itu kita mampu membersihkan diri dan mengecas stamina IMAN untuk terus hidup dengan kecintaan Allah.
Orang yang hidup dengan cinta Allah, jiwanya sentiasa peka dan sensitif, bahkan akan sentiasa memuhasabah dirinya:
“Amalan ini, apakah Allah cinta dan suka padanya? ”
“Adakah Allah suka atau tak suka dengan apa yang aku buat ini?”
Perhitungan itu akan membuatkan kita sentiasa menjaga semua aspek, kerana kita hendak menjaga cinta Allah terhadap kita supaya tidak tercemar hubungan cinta itu.
Maka, cinta itulah yang memberi dorongan untuk kita terus menjaga kualiti iman kita dengan menjaga peribadi dan akhlak kita.
IKPI 2 : KEPERLUAN BERAMAL ‘update version’
Kita semakin hari, umur semakin meningkat. Bila umur meningkat, maka kita perlukan sesuatu yang sesuai di peringkat umur kita, betul tak?
Bila di umur 18, perasaan kita bukan lagi seperti budak yang baru berumur 8 tahun, bukan?
Kalau budak yang berumur 8 tahun sibuk mencari-cari barang-barang permainan seperti robot, kereta mainan dan sebagainya, adakah orang yang berumur 18 tahun pun seperti itu?
Tidak. Orang yang berumur 18 tahun, bukan itu lagi yang menjadi keperluan diri.
Maka, syuur (perasaan) untuk merasai kegentingan beramal itu lebih-lebih lagi. Ia perlu sentiasa di‘update’, agar IMAN kita juga up-to-date.
Sebab apa perlu sentiasa di‘update’?
Supaya kita tidak melakukan ibadah dengan sebahagian atau separuh hati. Mana mungkin kita sebagai hamba menyerahkan hanya separuh hati kepada Allah dalam mentaatinya.
Supaya bila IMAN ‘up-to-date’, maka kita miliki rasa seronok untuk melakukan kebaikan.
Bila IMAN tidak ‘up-to-date’, maka rasa bosan dan jemulah yang lebih kuat mendominasi jiwa.
Bila IMAN tidak ‘up-to-date’, mulalah terbit bibit-bibit keterpaksaan dalam melaksanakan tanggungjawab perhambaan.
Maka, Ramadhan adalah medan untuk itu. Bahkan, lebih lagi daripada itu, untuk ‘update’ iman dalam skala yang lebih besar daripada biasa berbanding bulan-bulan sebelum ini supaya sesuai dengan keperluan kita selepas Ramadhan nanti.
Sepatutnya, bila meninggalkan Ramadhan, maka kita semakin ghairah untuk beramal.
Kenapa?
Kerana IMAN yang kita miliki adalah IMAN ‘update version’.
Software Antivirus umpamanya, bila di‘update’, maka ia lebih seronok dan selesa digunakan berbanding yang tidak di‘update’.
Maka, begitulah IMAN yang sepatutnya kita miliki selepas Ramadhan. Ia melahirkan rasa seronok untuk beramal kebaikan di jalan Allah s.w.t.
Ada orang yang masuk ke dalam Ramadhan, tetapi IMANnya tetap begitu juga. Tidak ‘up-to-date’. Maka, dia adalah orang yang rugi.
PENUTUP : TAQWA ADALAH KPI ALLAH
TAQWA itu KPI di sisi Allah. Kedudukan hamba di sisi Allah diukur dan dinilai daripada ketaqwaan.
Firman Allah dalam surah Al-Hujurat yang bermaksud:
“Sesungguhnya sebaik-baik orang di kalangan kamu adalah yang paling berTAQWA.”
Mungkin sukar bagi kita untuk mengetahui apakah kita termasuk dalam kalangan orang bertaqwa atau sebaliknya, tetapi tidak sukar bagi kita untuk melakukan penelitian pada diri apakah KPI yang dimiliki oleh orang bertaqwa itu sudah ada pada kita?
Justeru, ukurlah TAQWA kita dengan KPI Iman. Apakah akhlak dan peribadi kita telah kita cermati?
Adakah 20 hari yang telah berlalu telah mencetuskan perasaan yang membuak-buak dalam diri kita untuk terus melakukan peningkatan dalam ibadah kita kepada Allah untuk 10 hari seterusnya dan bulan-bulan seterusnya?
Hitung dan koreksilah diri.
Supaya kita tidak termasuk orang yang rugi.
Supaya KPI kita cemerlang bila berdiri di depan ‘Bos’ kita nanti.
0 comments:
Post a Comment