Sunday, July 31, 2011

Ramadhan Kareem !



Selamat Menyambut Ramadhan ! 


Waktu terus berlalu. Saat berganti saat. Bulan berganti bulan. Ramadhan yang lepas telah lama berlalu.

Hari ini, Ramadhan baru bakal tiba lagi.

Ramadhan yang bakal tiba itu, tempohnya singkat, terlalu singkat.

Ia datang dan akan berlalu pergi juga seperti Ramadhan yang telah lepas.

Bezanya hanya pada diri kita. Adakah dengan tempoh sesingkat ini, kita benar-benar menunggunya untuk dimanfaatkan sepenuhnya?

Atau kita hanya menunggunya semata-mata sebagai ‘track’ untuk kita berjumpa dengan Syawal?

Yang mana, yang mana lebih utama di hati kita?

Mari, mari kita cermin diri.

Ramadhan bakal tiba. Apakah aku masih aku yang dahulu?

Atau...

Aku sekarang lebih baik dan bertambah maju di depan Allah?

Atau....?


1 SYAWAL MATLAMAT RAMADHAN, BENARKAH?

Ringkasnya, orang yang di hatinya benar-benar menantikan peluang Ramadhan ini, maka kesungguhannya itu dapat dilihat sebelum Ramadhan lagi. Bahkan, bila tiba Ramadhan, dia sibuk berebut dan menghitung-hitung amalnya, mengira cukup atau tidak kerana ‘tamak’nya dia terhadap rahmat dan keampunan Allah dalam bulan ini.

Sebaliknya, bila 1 Syawal menjadi matlamat kita dalam menempuh Ramadhan, maka Ramadhan yang sepatutnya banyak pengisiannya itu menjadi tidak terisi.

Apa yang menjadi pengisian bila 1 Syawal dilihat sebagai matlamat Ramadhan?

Tidak banyak.

 Yang dilihat hanya berpuasa dan berbuka.  Kemudian, tarawih sebagai rutin dalam Ramadhan.

 Ditambah pula kebiasaan di kebanyakan negeri yang ada ‘more’, maka itulah sahaja makna Ramadhan dalam kehidupan.

Selebihnya hanya bermain di sekitar persediaan menyambut 1 Syawal. Baju raya bagaimana, kuih raya berapa jenis, nak raya di mana dan sebagainya.

Bila TAQWA bukan matlamat dalam Ramadhan, maka pembaziran berlaku ketika membeli kuih-muih di bazar Ramadhan dan ketika berbuka puasa.

Sedangkan, sunnah berbuka puasa itu dengan sedikit tamar dan air, sepatutnya menjadi sumber membentuk TAQWA dalam Ramadhan, akhirnya berubah tidak memberi kesan apapun, bahkan mendatangkan pula dosa kerana berlaku pembaziran.


KEMBALI MELIHAT KE BELAKANG, UBAHLAH UNTUK YANG DI DEPAN !

Kita semua maklum akan matlamat Ramadhan yang utama iaitu TAQWA.
                                   
“Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana orang-orang sebelum kamu agar kamu menjadi orang-orang BERTAQWA.” [Al-Baqarah:183]

Kalau TAQWA itu tidak ada apa-apa, masakan Allah sediakan satu bulan khas semata-mata untuk itu?

Kalau TAQWA itu cuma perkara remeh sahaja, masakan Allah bersusah-susah membelenggu jin dan syaitan dalam bulan rahmat ini?

Sedangkan Allah telah menyebut dalam ayat lain dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Dan berbekallah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah bekal TAQWA.”

Lalu, jika sebaik-baik bekal adalah TAQWA, kenapa kita tidak berusaha menjadikan setiap apa yang kita lakukan dalam Ramadhan kali ini sebagai sumber pembentukan TAQWA dalam diri kita?

Dari awal hari kita bermula dengan sahur, beri’tikaf, baca Al-Quran, solat-solat sunat, berbuka puasa, qiamullail, mentelaah buku dan amalan lain, bukankah semua itu tujuannya untuk membentuk TAQWA?

Maka, mari kita muhasabah kembali ke belakang. Ramadhan yang telah lepas, di manakah keciciran yang wujud dalam amalan kita?

Barangkali kita bersahur, tetapi bersahur hanya sebagai rutin, untuk mengalas perut sebelum mula berpuasa, tidak untuk membentuk TAQWA.

Barangkali kita membaca Al-Quran, tetapi bacaan Al-Quran pun matlamatnya hanya untuk dikhatamkan 30 Juz Al-Quran, maka tidak diperoleh TAQWA.

Kita melakukan banyak kebaikan, tetapi tidak mampu menjana momentum TAQWA dalam diri.

Lalu, di mana silapnya?

Maka, kita perlu memperbaiki permulaan kita untuk Ramadhan kali ini.

Supaya Ramadhan kali ini memberi hasil lumayan untuk kegunaan kita di masa 11 bulan akan datang nanti.

Supaya Ramadhan kali ini menjamin dan menjadi peguam kita di depan Allah s.w.t.


PENUTUP : AHLAN WASAHLAN, YA RAMADHAN

Sabda Rasul s.a.w. yang mafhumnya bermaksud:

“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan perhitungan (mengharapkan redha Allah), maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

Ramadhan bakal menemui kita sekali lagi.

Seronoknya menyambut Ramadhan bergantung kepada bagaimana kita menyediakan diri untuknya.

Jika kita bersungguh-sungguh menghiasi Ramadhan dengan persediaan jiwa yang rapi, maka kita akan menikmati kemanisan Ramadhan.

Jika kita sambilewa menantikan kehadirannya, seolah-olah seperti bulan-bulan yang lain juga, maka hadiah ‘TAQWA’ daripada Allah itu seolah-olahnya tidak ada nilainya bagi kita.

Allah beri pelbagai hadiah, dan inilah hadiah terbesar Allah kepada kita.
Jika kita tidak menghargainya, kita tidak akan memperolehinya sehingga bila-bilapun.

Justeru, mari betulkan ‘routemap’ kita untuk menempuh Ramadhan.

Hujung destinasinya adalah TAQWA, bukanlah 1 Syawal yang kita nantikan.

Jika TAQWA berjaya digapai, maka 1 Syawal itu akan menjadi lebih mahal !

1 comments:

fieha August 1, 2011 at 1:10:00 AM GMT+8  

salam ramadhan..jom banyakkan amalan di bulan mulia ni :)

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP