Sunday, July 3, 2011

Kau Matahari Yang Tidak Pernah Terbenam



Matahari ~ Hakikatnya tidak pernah terbenam,
cahayanya yang menaungi Sang Rembulan


Dunia ini tidak lengkap tanpa kehadiran ‘WANITA’ atau ‘PEREMPUAN’ atau ‘NISA’.

Kebahagiaan itu terasa tidak sempurna jika tidak ada Hawa untuk Nabi Adam a.s.

Bahkan, kehadiran seorang wanita bernama Saidatina Khadijah di sisi Nabi s.a.w.lah yang menjadi penguat dan pembangun semangat untuk meneruskan misi dakwahnya dengan penuh kesabaran.

ISTIMEWA. Ungkapan terbaik untuk menggambarkan seorang manusia bernama ‘WANITA’. Apatah lagi bila ia seorang muslimah. Maka, nilainya melambung tinggi melebihi harga dunia ini.

Dunia ini hilang warna warninya jika tidak ada wanita, jika hanya ada lelaki sahaja.

Dalam kehidupan saya sendiri, yang menjadi sumber inspirasi diri saya juga adalah ‘WANITA’.

Mereka yang pernah saya kenal sepanjang hidup, kehidupan mereka menjadi pendorong untuk saya terus membangunkan cita-cita kehidupan nan tinggi ini dengan penuh asa dan kesungguhan.


AURA ‘WANITA’ SEJAK DAHULU HINGGA SEKARANG

Seorang wanita itu, kecantikan dan keayuannya begitu memikat bahkan lebih hebat daripada sinar Sang Matahari.

Pengaruhnya begitu besar dan sangat hebat. Ramai lelaki yang ‘jatuh’ dan ‘tewas’ hanya kerana seorang wanita.

Begitu hebat ‘aura’ seorang ‘WANITA’.  Kelembutannya sahaja boleh mencairkan sesiapa sahaja yang memandangnya.

Jika kita teliti semula kisah Firaun dan isterinya, Asiah, maka kita akan mendapati hal ini. Bukankah Firaun seorang yang berhati keras dan kejam?

Pada asalnya, Firaun telah mengeluarkan arahan agar membunuh semua anak-anak lelaki yang baru lahir kerana dibimbangi akan menjatuhkan pemerintahan beliau. Namun, apabila Nabi Musa yang baru lahir yang dihanyutkan oleh ibunya melalui sungai dan sampai ke istana Firaun, ia tidak jadi hendak membunuh bayi itu.

Kenapa? Kerana seorang ‘WANITA’. Hati yang keras bertukar menjadi lembut. Pujuk rayu isterinya, Asiah akhirnya menyebabkan Nabi Musa diambil dan dibela dalam istana beliau.


PANTULAN CAHAYAMU YANG MENERANGI DUNIA

Perkataan ‘CANTIK’ itu sangat sinonim dengan seorang ‘WANITA’ atau ‘PEREMPUAN’.

Namun, kecantikan seorang wanita itu hakikatnya bukan semata-mata nilaian luaran. Kecantikan yang sebenar bukanlah pada muka yang putih dan cerah, bukan juga pada jenis perhiasan yang dipakainya.

Tetapi, kecantikan sebenar adalah pada IMAN yang ada pada dirinya.

Dengan apa ia menghiasi AKHLAKNYA?
Bagaimana ia memandang KEHIDUPANNYA ?
Siapa Allah dalam hatinya?

Hari ini, ramai wanita muslimah di atas dunia ini. Namun, daripada ramai-ramai itu, berapa orang sahaja yang melihat dirinya sebagai  SUMBER PAHALA untuk membawa orang lain ke syurga Allah?

Tidak ramai.

Barangkali bila disebutkan wanita solehah, ada yang menilai ‘kesolehahan’ itu pada pemakaian tudung labuhnya.
Barangkali juga ada yang menilai muslimah mukminah itu pada ‘jalan menunduk-nundukkan kepala’.

Bagi saya, itu belum lagi wanita yang solehah. Kalau hendak mengukur pada tudung labuhnya sahaja, hari ini, ramai yang bertudung labuh, tetapi maksiat dan dosa kecil adalah kebiasaan.

‘Jalan menundukkan kepala’ sampai tidak kenal muslihat dunia pun tidak ada gunanya juga.

Wanita solehah itu hakikatnya bukanlah orang yang banyak menghabiskan masanya untuk kepentingan dunia. Tetapi, dunia ini digunakannya untuk mencapai kejayaan lebih besar di akhirat.

Ia tidak banyak memandang kepada perkara-perkara yang remeh dan tidak memiliki nilai untuk dibawa pulang ke akhirat.

Sebab itu, wanita solehah itu adalah pantulan cahaya syurga.


TELADAN WANITA SYURGA

Sejarah wanita-wanita teladan pada zaman Nabi-nabi yang lepas telah menjadi contoh kepada kehidupan wanita hari ini.

Mereka adalah sebenar-benar wanita syurga yang diperlihatkan oleh Allah s.w.t. contoh kehidupan dan diceritakan kisah mereka dalam Al-Quran dan hadis.

Asiah, isteri kepada Firaun, meskipun hidup bersama seorang suami yang kejam, hidup dalam kemewahan, namun Asiah tidak tunduk kepada semua itu. Bahkan, di celah kemewahan dan kesenangan itu, beliau bangun untuk taat kepada Allah dan menolak segala kebahagiaan yang sementara itu.

Saidatina Khadijah Al-Khuwailid, isteri kepada Nabi s.a.w., mewakafkan kekayaan dan kehidupan yang dimilikinya untuk Islam. Sepanjang kehidupannya bersama Nabi, dia pendokong tegar yang sentiasa membantu perjuangan dakwah Nabi baik di saat senang mahupun susah. Lantaran itu, Nabi s.a.w. sentiasa teringat-ingatkan beliau meskipun selepas beberapa lama pemergiannya.

Dalam suatu riwayat, diceritakan Fatimah Az-Zahra binti Rasulullah s.a.w. pernah mengalami kelaparan beberapa hari. Pada suatu hari, Ali r.a. melihat wajahnya pucat lesi, lantas beliau bertanya kepadanya; “Apa yang tidak kena denganmu, wahai Fatimah?”

“Sejak 3 hari lepas, kita tidak mempunyai makanan di rumah!” jawab Fatimah ringkas.
Ali berkata, “Lalu kenapa engkau tidak memberitahuku?”
Ia menjawab, “Sesungguhnya ayahanda Rasulullah pernah berkata pada malam pernikahan kita: “Wahai Fatimah, jika Ali r.a. datang kepadamu dengan membawa sesuatu, maka makanlah dan jika Ali tidak membawa apa-apa, maka janganlah bertanya kepadanya.”

MasyaAllah. Rasa nak menangis bila terbaca kisah ini. Bila dibandingkan dengan kita, pernah tak ada satu hari atau sekalipun rumah kita tidak pernah memiliki apa-apa untuk dimakan?

Tetapi, hebatnya dan sabarnya Fatimah, sudahlah makanan tidak ada, tidak pula diminta-minta kepada Ali sedang Ali itu suaminya.


PENUTUP : KAU TIDAK AKAN PERNAH TERBENAM

Di sepanjang zaman, terdapat ramai wanita-wanita solehah menjadi sumber pembangun jiwa.

Mereka telah melahirkan para mujahid, pejuang-pejuang yang menyebarluaskan lagi deen Allah di muka bumi ini.

Namun, terdapat juga wanita-wanita yang menjadi fitnah dan ancaman. Mereka menjadi punca lemahnya perjuangan, rendahnya cita-cita dan kurang keazaman.

Justeru, wanita solehah perlu terus bersinar gemilang agar tidak ada ruang bagi wanita-wanita yang menjadi fitnah besar dunia ini untuk melemahkan perjuangan membangunkan deen Allah s.w.t.

Bagaimana agar anda terus bersinar gemilang?

Tetaplah berusaha memenuhi dan menjadi wanita ACUAN Allah !


Wahai wanita solehah,

Senyum indahhmu membangkitkan cinta,
Tiap bait katamu bak mutiara berharga,
Kau wanita umpama sang suria,
Yang tidak pernah terbenam selamanya.

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP