Tuesday, June 28, 2011

Isra' Mikraj : Ibrah Keimanan Buat Diri


Janganlah sibuk mencari kelebihannya,
tetapi berusahalah menjadi LEBIH dengannya


Saban tahun pada 27 Rejab, pelbagai sambutan diadakan sempena mengingati peristiwa besar yang pernah dialami oleh Nabi s.a.w.

Kadang diisi dengan ceramah, kadang diisi dengan tazkirah-tazkirah, kadang juga diisi dengan malam-malam sambutan.

Peristiwa yang cukup sinonim dengan kita. Peristiwa apakah itu?

ISRA’ dan MIKRAJ.

Ya. Memang saban tahun diadakan sambutan.

Namun, sebesar manakah kesan sambutan Isra’ dan Mikraj itu ke atas iman kita sepertimana besarnya kesan Isra’ dan Mikraj itu sendiri kepada gerak kerja dakwah Rasul s.a.w.?

Isra’ yang membawa Nabi dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dan Mikraj yang mengangkat Nabi ke langit untuk bertemu Allah, ia merupakan peristiwa yang cukup besar dalam sejarah perkembangan dakwah Islam.

Meskipun menjadi bahan cercaan dan permainan kaum musyrikin, namun ia tidak sekalipun menghentikan kesungguhan dan semangat Nabi s.a.w.

Di mana rahsianya?


ISRA’ DAN MIKRAJ : DORONGAN UNTUK BANGUN DAN MENERUSKAN LANGKAHAN!

Dua peristiwa besar telah berlaku sebelum berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Ia hakikatnya peristiwa yang sangat menguji jiwa insani. Siapapun yang diuji demikian, pasti akan tersentuh jiwa kemanusiaannya.

Rasa sedih, dukacita, kepayahan, kesusahan dan sebagainya.

Namun, Allah Maha Agung. Ia tidak pernah meninggalkan orang yang bekerja di jalan-Nya tinggal keseorangan dalam kesedihan.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj merawat hati Nabi setelah diuji dengan dua peristiwa yang cukup menggetirkan ini.

Baginda terus bersemangat dan gencar dalam menggerakkan dakwah Islam.

Peristiwa apakah itu?

PERISTIWA PERTAMA : TAHUN DUKACITA

Nabi telah kehilangan dua orang yang paling disayangi dalam kehidupannya.

Isterinya sendiri, Ummul Mukminin Saidatina Khadijah telah pergi meninggalkan beliau. Isteri yang banyak menyokong dan mendokong perjuangan dakwah bersama baginda. Isteri yang sekian lama menjadi benteng kekuatan saat kelemahan. Isteri yang pernah menyelimutkan baginda saat dilanda keresahan ketika kali pertama turunnya wahyu.

Ya. Beliau telah pergi. Pergi untuk selama-lamanya.

Bahkan, ditambah lagi dengan pemergian bapa saudaranya, Abu Talib yang menjadi tulang belakang gerak kerjanya di Makkah.

Abu Talib, bapa saudara baginda yang sentiasa mempertahankan baginda. Biar dalam keadaan apa sekalipun, diancam, diugut, Abu Talib menjadi pelindung.

Abu Talib, insan yang banyak menyokong dan melindungi Nabi s.a.w., akhirnya pergi dalam keadaan tidak mengucapkan dua kalimah syahadah.

Sedihnya hati Nabi sudah tidak terkata lagi. Bapa saudara sendiri yang sejak kecil membelanya akhirnya mati bukan di jalan Islam.

Kehilangan dua orang ini mengakibatkan orang-orang musyrikin semakin ghairah untuk mengambil kesempatan dan mengancam Nabi s.a.w.

PERISTIWA KEDUA : DAKWAH YANG DITOLAK DI TAIF

Ingatkah lagi pada peristiwa Nabi dilontarkan dan dibaling dengan batu oleh hamba-hamba abdi, khadam dan kanak-kanak nakal di Taif?

Ketika mana berdarah kedua-dua kaki Nabi dilontar dengan batu, Zaid bin Harithah yang bersama dengan Nabi turut mengalami kecederaan hingga berdarah kepalanya kerana cuba melindungi Nabi s.a.w.

Dalam satu hadith yang diceritakan Aisyah r.anha., satu ketika Aisyah pernah bertanya kepada Rasul s.a.w. :

“Wahai Rasulullah, pernahkah engkau merasa lebih pahit dan sengsara dari hari Uhud?”

Jawab baginda : “Bahkan, iaitu ketika menghadapi bangsa kau (Arab) dan yang paling dahsyat sekali ialah ketika aku memperkenalkan diriku dan berdakwah di kalangan puak Ibn Yalil Abdi Kalal di mana tawaran dan dakwahku tadi tidak diterima langsung dan aku beredar dari situ dengan perasaan yang tak keruan. Bila sampai ke suatu tempat bernama Qiran Tha’alib, baru aku sedar, aku mengangkat kepala melihat ke atas, tiba-tiba sekumpulan awan meneduhiku dan aku nampak Jibril alaihissalam memanggilku dan berkata:

“Sesungguhnya Allah azzawajalla telah mendengar setiap perkataan bangsa kau dan tindakan mereka terhadap kau. Dan Allah telah mengutuskan Malaikat segala gunung untuk kau.”

“Suruhlah sekehendakmu.” Kata Rasulullah lagi.
Malaikat segala gunung tadi memanggil dan memberi salam kepadaku dan katanya:

“Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar perihal kaummu dan tindak balas mereka terhadap seruanmu. Aku ini malaikat segala gunung diutuskan oleh Tuhanmu dan perintahkanlah apa saja, untuk apa yang engkau mahu. Kalau mahu, aku boleh hempap ke atas mereka Bukit Al-Akhsyabin.”

Jawab Rasulullah : “ Tapi apa yang aku harapkan agar lahir dari keturunan mereka golongan yang menyembah Allah tanpa mensyirikkan-Nya.”

[HR Bukhari dan Muslim]


Dua peristiwa yang berlaku sebelum Isra’ dan Mikraj ini hakikatnya merupakan tamparan hebat bagi seorang yang memiliki jiwa kemanusiaan. Meskipun ia seorang Nabi, mahupun pendakwah sekalipun.

Kehilangan insan kesayangan dan dakwah ditolak dengan begitu teruk sekali, merupakan musibah yang menguji kesabaran dan kecekalan.

Kata Said Ramadhan Al-Buti dalam kitabnya Fiqh Sirah:

“Selepas itu disusuli dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj di mana peristiwa ini adalah kurniaan Allah kepada Muhammad s.a.w. untuk memperkuatkan dan memperbaharui keazaman dan menerangkan bahawa segala pancaroba yang dihadapi oleh Rasulullah bukanlah suatu angkara murka dari Allah…”

Itu adalah dua peristiwa yang berlaku sebelum Isra’ dan Mikraj.
Dakwah Nabi s.a.w. semakin gencar setelah menerima ‘pujukan’ dan ‘dorongan’ melalui peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Selepas peristiwa besar yang menjadi bahan tawa musyrikin Makkah itu, dakwah semakin berkembang ke Madinah. Perjanjian Aqabah Pertama telah menyaksikan sekitar 12 orang dari Madinah telah beriman dan membaiat Rasul s.a.w.


ISRA’ DAN MIKRAJ : PEMBANGUN JIWA SALAHUDDIN !

Isra’ dan Mikraj telah ditakdirkan berlaku melibatkan dua masjid yang mulia. Masjidil Haram di Makkah dan Masjidil Aqsa di Palestin.

Allah tidak akan menetapkan suatu perkara itu berlaku begitu sahaja jika tidak ada pengajaran atau ibrah daripadanya.

Peristiwa Isra’ ini telah memberi isyarat bahawa Palestin dan Masjid Al-Aqsa adalah berkait rapat dengan keimanan kita.

Kerana peristiwa Isra’ Mikraj ini adalah peristiwa yang hanya boleh diyakini dengan iman.

Jika difikirkan logik akal, memang tidak masuk akal sekali orang dapat pergi ke Masjdil Aqsa dari Masjidil Haram dalam hanya satu malam dan kembali semula sebelum Subuh. Tambahan pula, zaman Nabi s.a.w. belum wujud kapal terbang atau jet dan sebagainya.

Tetapi, hanya IMAN yang dapat membenarkan semua ini  bahawa Nabi s.a.w. benar-benar dibawa naik ke langit untuk bertemu Allah bagi menerima perintah solat dalam peristiwa Isra’ Mikraj.

Jadi, tanah Palestin dan Masjidil Aqsa berkait rapat dengan keimanan kita. Dan itu jugalah yang menjadi motivasi pembangun jiwa seorang panglima.

Panglima yang cukup sinonim. Salahuddin Al-Ayubi.

Motivasi dari peristiwa Isra menggerakkan jiwanya untuk bangun dan menyeru kaum muslimin supaya menentang dan menghalau musuh salibi durjana dari tanah Palestin.

Lalu, masih adakah Salahuddin Al-Ayubi lagi pada hari ini yang terinspirasi dari peristiwa Isra’ ini?


PENUTUP : MIKRAJ HAMBA MENUJU MULIA

Nabi s.a.w. dimikrajkan jasad dan roh baginda dalam peristiwa itu.

Kita hari ini tidak mungkin mengalami peristiwa itu lagi.

Namun, kita mampu untuk ‘MIKRAJ’ juga.

Perintah solat yang Nabi terima ‘direct’ dari Allah s.w.t. menunjukkan akan ketinggian nilai solat itu sendiri,  dan kita mampu ber‘MIKRAJ’ melalui solat kita untuk bertemu Allah.

‘MIKRAJ’kan roh kita saat kita solat. Pasti kita akan menemui titik perubahan yang sangat menakjubkan!

Hanya solat sahaja yang diperintahkan ‘direct’ melalui pertemuan Nabi s.a.w. dengan Allah Taala.

Perintah-perintah lain seperti puasa, haji dan sebagainya semua melalui wahyu.

Masyarakat yang meninggalkan solat masyarakat yang rosak. Biar setara mana sekalipun kemajuan dicapai, tetapi ia tidak memiliki apa-apa nilai di hadapan Allah kelak.

Orang yang solatnya kosong tanpa penghayatan, maka ia kerugian juga.

Solat itu sumber tenaga jiwa sebenarnya, kerana ia memiliki nilai yang sama dengan Isra’ Mikraj yang mengecas semula tenaga jiwa kepada Nabi s.a.w. untuk terus gencar dalam dakwah, kerana ia diperintah ‘direct’ dari atas langit.

Justeru, tingginya nilai solat menyebabkan wujud dalamnya hikmah untuk sesiapa sahaja yang inginkan perubahan dalam dirinya ke arah yang lebih baik.

Titik perubahan untuk maju ke hadapan bermula dari baiknya hubungan kita dengan Allah. Maju ke hadapan dalam nilaian IMAN adalah kita semakin dekat dengan Allah s.w.t. dalam apa jua yang kita lakukan.

Kita pula, setakat mana Isra’ Mikraj memberi impak dalam diari KEIMANAN kita?

Muhasabah diri.

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP