Rindu Bau Ramadhan
~ Rindu.... teramat-amat rindu ! Moga Allah sempatkan pertemuan itu ~ |
Terasa begitu singkat masa. Sedar-sedar, sudah berada di Rejab rupanya.
Rejab. Bila bercakap tentang Rejab, barangkali ada yang mungkin akan bertanya, “Apa kelebihan Rejab? Apa kelebihan berpuasa dalam Rejab? “
Itu sudah menjadi kebiasaan majoriti manusia. Mana mungkin ‘bekerja tanpa upah’.
Maka, bermulalah episod mencari dan menjadi hadis-hadis palsu sebagai rujukan.
Saya tidak ingin membahaskan tentang sebarang hadis berkaitan kelebihan Rejab. Bagi saya, kelebihan Rejab ada satu sahaja bagi majoriti kita.
Satu sahaja? Huh, apa dia yang satu tu?
Berada di Rejab menandakan kita semakin mendekati gerbang TAQWA, iaitu bulan Ramadhan.
Itulah sahaja kelebihannya. Justeru, bagaimana menghargai kelebihan itu?
‘WARMING UP’ RAMADHAN DI MATRI : SATU PENGALAMAN
Saya masih ingat suasana Ramadhan di sekolah lama saya, Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah. Biah (suasana) Ramadhan di sana terasa begitu berbeza.
Apa yang berbezanya? Bezanya terasa begitu hangat dan hidup sekali suasana Ramadhan di sana.
Seawal Rejab, para pelajar sudah diwar-warkan akan persediaan menuju Ramadhan. Bermula Rejab, semakin ramai pelajar melaksanakan puasa sunnah iaitu hari Isnin dan Khamis.
Sebelum Rejab lagi, telah ada yang biasa berpuasa Isnin dan Khamis, namun kedatangan Rejab satu yang special kerana ia mendekati Ramadhan, maka lebih ramai menyemarakkan persediaan menuju Ramadhan. Rasulullah s.a.w. sendiri bahkan pernah mengajar satu doa kepada sahabat ketika masih berada di Rejab.
اللهمّ باركلنا في رجب و شعبان وبلغنا رمضان
“Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”
Doa inilah yang diajar oleh murabbi saya, Ust Abd Hadi Othman setiap kali masuk ke Rejab. Bahkan beliau sering memuji dan memberi dorongan kepada pelajar yang sering berpuasa sunat.
Boleh bayangkan sahaja, pelajar yang hampir seramai 800 orang, biasanya penuh setiap kali waktu solat di musolla. Namun, tiba hari Isnin dan Khamis sahaja, kadang-kadang tinggal hanya suku atau separuh sahaja daripada musolla.
Kenapa tinggal suku atau separuh sahaja? Kerana ramai yang berpuasa. Biasanya, suasana berbuka diserikan dengan doa dan pelajar-pelajar yang bermurah hati menyumbangkan kuih-kuih, makanan-makanan dan minuman kepada talam-talam yang lain.
Semua itu dilakukan sebagai persediaan menuju Ramadhan. Ada juga yang kadang-kadang cuba berpuasa setiap hari.
Abang-abang dan kakak-kakak senior pula sibuk merancang bersama bimbingan murabbi-murabbi yang ada untuk menyemarakkan lagi suasana Ramadhan. Biarlah masuk ke Ramadhan macam orang biasa-biasa masuk ke dalam bulan Syawal !
Sudah pasti program yang dirancang bermula sebelum Ramadhan lagi. Qiamullail, puasa sunat beramai-ramai sekali sekala, melukis poster, menerbitkan risalah Ramadhan, membacakan hadis berkaitan Ramadhan, tazkirah-tazkirah ringkas sebagai peringatan, semua itu adalah program-program untuk menghidupkan jiwa Ramadhan.
Bilangan pelajar-pelajar yang solat dhuha di musolla (surau) sekolah semakin bertambah. Kekerapan itu lebih jelas ketika masuk sahaja Ramadhan.
Tidak kurang juga, biasanya diadakan ‘countdown’ menuju Ramadhan. Dihitung-hitung berapa hari lagi untuk sampai kepada Ramadhan. Semua usaha dilaksanakan untuk menambah kecintaan pelajar untuk lebih bersungguh-sungguh dalam mengejar TAQWA.
Dalam kumpulan-kumpulan halaqah yang kecil, topik utama perbincangan sudah pasti adalah berkaitan Ramadhan.
Pendek kata, semuanya berkisar tentang persediaan ke Ramadhan. MashaAllah, mashaAllah !
Supaya Ramadhan yang dilalui tidak sama seperti mana yang pernah dilalui sebelum ini.
COUNTDOWN UNTUK MEREBUT SIJIL TAQWA, BERSEDIAKAH KITA?
Biasanya, countdown dilakukan untuk hari-hari tertentu sahaja yang dianggap penting. Umpamanya hari kebangsaan, sambutan-sambutan atau event-event tertentu sahaja.
Justeru, mari kita masukkan dalam kalendar hidup kita satu event penting yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh seorang muslim.
R A M A D H A N
Kita bukan semata-mata menghitung hari untuk sampai kepada Ramadhan itu, tetapi kita menghitung berapa hari lagi yang tinggal sebagai peluang untuk kita melakukan persediaan secukup-cukupnya sebelum masuk’merebut’ sijil TAQWA dalam Ramadhan.
Justeru, countdown kita bukanlah countdown yang kosong. Menghitung-hitung hari menuju Ramadhan tanpa persediaan bukanlah sikap seorang mukmin.
Bermula Rejab, bermula sekarang, kita sudah perlu mula ‘warming up’ supaya kita bersedia untuk yang lebih ‘advance’ dalam Ramadhan.
Orang yang bersukan tanpa warming up, biasanya lebih mudah mengalami kekejangan, terseliuh dan sebagainya. Kerana dia bermain terus tanpa ada persediaan dari segi fizikalnya.
Begitulah juga Ramadhan. Masuk tanpa persediaan jiwa, fizikal dan mental hanya mengakibatkan kita melaluinya seperti biasa, seperti bulan-bulan yang lain juga sedangkan Ramadhan itu bulan yang teramat-amat ‘special’.
Akhirnya, ramai yang keluar dari Ramadhan menjadi 'lebih kejang' daripada sebelum masuk ke Ramadhan.
Dari Abi Mas’ud Al-Ghifari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Jikalau para hamba itu mengetahui apa yang ada dalam Ramadhan, nescaya mereka akan berangan-angan agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan.” [Riwayat Ibn Khuzaimah]
PENUTUP : RAMADHAN DINANTI, BEKALAN BUAT DIRI
Ramadhan itu sekali sahaja setahun. Nilai sehari berpuasa di dalam Ramadhan tidak pernah akan sama dengan nilai berpuasa sehari dalam bulan yang lain.
Ramadhan itu bukan semata-mata untuk puasa, tetapi ia ada nilai tambah bagi seorang mukmin.
Ia memberi bekal kekuatan di perjalanan menuju Allah. Ia membersihkan jiwa supaya kita lebih tenang menghadapi ujian-ujian kehidupan yang mendatang.
Kalau semata-mata Ramadhan ini untuk berpuasa sahaja, maka ia tidak ada apa yang ‘special’.
Kalau semata-mata Ramadhan ini untuk khatam Al-Quran, maka ia tidak miliki nilai yang hebat.
Tetapi Ramadhan bukan semata-mata untuk itu. Ia datang untuk melahirkan lebih ramai lagi hamba-hamba Rabbani, bukanlah hamba Ramadhani. Hamba Rabbani itu, kesannya berpanjangan sepanjang tahun. Tetapi hamba Ramadhani, ia setakat 30 Ramadhan sahaja.
Bagi seorang daie’, bulan ini adalah bulan yang sangat dinanti-nantikan. Kerana ia menjadi medan tazkiyatun nafs TERHEBAT sepanjang tahun .
Bekalan terbesar untuk meneruskan dan menggencar projek membangunkan ummah !
3 comments:
Salam. cetusan idea dn nasihat yg sangat baik. Sejajar dgn seruan anta, ana cadangkan anta teruskan post seterusnya dgn action plan...sbg panduan pembaca menterjemah teori ke dlm bentuk praktikal dlm khdpn sehari-hari..
smg perkongsian anta dpt dimanfaatkan bersama...wA.
@ Anonymous :
Syukran. InsyaAllah akan cuba diusahakan.
Jazakallah khair atas doanya.
salam,
alhamdulillah..bertapa indahnya hasil nukilan saudara..
teruskan..perjuangan murni ini..
Post a Comment