Thursday, July 7, 2011

Allah Tidak Terjejas Tanpa Kita


~ BERSYUKUR untuk meruntuhkan KUFUR dalam diri !


Dulu, sewaktu di MATRI, murabbi-murabbi dan senior-senior sentiasa memulakan ucapan dan tazkirah mereka dengan kalimah SYUKUR.

Ada penyampaian sahaja, maka mesti bermula dengan perkataan ‘SYUKUR’.
Kekerapan itu membuatkan saya sentiasa berfikir.
 ‘KENAPA AKU PERLU BERSYUKUR?’

Bukan saya tidak biasa, bahkan sudah berpuluh kali penyampaian, tetap sama. SYUKUR adalah kalimah awal sebagai muqaddimah penyampaian.

Hari ini, kalimah yang sama terungkap di bibir saya pada setiap kali awal penyampaian saya. Bukan kerana merutini adat orang berceramah, tetapi kerana ia adalah kemuliaan yang tidak dapat dipisahkan dalam segenap kehidupan.

 Kenapa kita perlu bersyukur? Perlukah bersyukur? Namun, bagaimanakah pula untuk bersyukur?

Maka, saya terfikir akhirnya bahawa syukur itu adalah manifestasi keimanan kita kepada Allah.
Kita menerima ‘hak milik-Nya’, maka kita berterima kasih kepada-Nya kerana sudi menganugerahkan kepada kita hak milik-Nya.

Namun, terima kasih sahaja tidak mencukupi. Syukur itu lebih daripada sekadar ucapan ‘TERIMA KASIH’.

Syukur yang sebenar itu menjauhkan kita dari KEKUFURAN.

KUFUR itu hakikatnya  berlawanan dengan IMAN. Ia hanya menjanjikan kecelakaan, bukan bahagia.


KEHIDUPAN INI, IA BUKAN MILIK KITA

Allah tidak memberi kehidupan ini kepada kita sebenarnya. Tetapi sebenarnya, Allah MEMINJAMKAN ia kepada kita.

Barang pinjam bukanlah barang yang kekal abadi. Esok lusa atau bila-bila, ia pasti perlu dipulangkan ke tangan tuan asal.

Kerana ia adalah ‘BARANG PINJAM’.

Barang pinjam, bila tidak dijaga sebaiknya, dipulangkan dalam keadaan tidak sejahtera seperti asal (fitrah), maka sudah tentu akan menimbulkan kemarahan tuan empunya barang.

Saya pernah merasai pengalaman itu. Dan saya tahu betapa peritnya dimarahi oleh pemilik barang itu dalam keadaan dia benar-benar menaruh kepercayaan terhadap kita, tetapi dikhianati kepercayaan itu apabila kita memulangkan barang pinjam itu dalam keadaan rosak atau tidak baik.

Allah s.w.t., bagaimana?

Bukankah barang pinjam Allah itu adalah seluruh kehidupan kita?
Sudah kita hitung berapa banyaknya hutang kita kepada Allah dalam kehidupan ini?
Kemampuan kita untuk membayar segala ‘hutang’ itu,  pernahkah kita terfikir?

Justeru, bila kita mengetahui bahawa kehidupan ini seluruhnya adalah pinjaman daripada Allah, maka kita perlu sentiasa berfikir bagaimana untuk menjadikannya sejahtera di akhirat kelak bila minta ‘dipulangkan’ semula.

Ada satu cara sahaja. Jadikan kehidupan ini sebagai mihrab !

Apa itu mihrab?

Mihrab adalah medan ubudiah (perhambaan) kita kepada Allah.
Ya. Kehidupan ini adalah untuk itu.


ALLAH TIDAK AKAN PERNAH TERJEJAS HANYA KERANA KITA

Janganlah disangka bila kita melupakan Allah dalam kehidupan, maka hal itu akan memudharatkan Allah.
Jangan disangka bila kita menggunakan ‘barang pinjam’ ini sewenang-wenangnya, maka kuasa Allah berkurangan.

Bahkan kemuliaan Allah tidak pernah berkurang walaupun semua manusia tidak mahu bersyukur. Kemuliaan Allah juga tidak bertambah walau semua manusia tunduk beriman dan patuh kepada Allah.

Allah tidak akan pernah terjejas dengan berimannya kita ataupun tidak.

Allah itu Maha Agung. Ia memiliki kerajaan yang besar. Segala yang di langit mahupun di bumi ini semua miliknya.

Makhluk-makhluk lain tunduk dan patuh kepada-Nya. Apalah sangat dibandingkan dengan kita yang kerdil ini.

Adakah menjejaskan keagungan Allah bila kita tidak beriman, tidak bersyukur?
TIDAK. Tidak sekalipun.

Bahkan, sebaliknya. Kitalah yang bakal terjejas, kerugian dan kehinaan kerana meninggalkan pesanan-pesanan Allah.

Kerana ramainya manusia yang tidak tahu bersyukur, maka Allah sentiasa mengingatkan kita dalam Al-Quran.

(أفَلا تَشْكُرُونَ)
“Apakah kalian tidak bersyukur?”

Bukankah ayat itu selalu bergema dan kedengaran dalam Al-Quran yang mulia itu?

Dan Allah telah mengingatkan kita sekali lagi dalam surah Al-Imran, ayat 144:

Maksudnya : (… dan (ingatlah), sesiapa Yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang Yang bersyukur (akan nikmat Islam Yang tidak ada bandingannya itu).

Juga dalam ayat 145:

Maksudnya : (…dan (dengan Yang demikian) sesiapa Yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa Yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang Yang bersyukur.)


Bersyukur adalah manifestasi IMAN yang sebenar kepada Allah. Orang yang tidak tahu bersyukur, maka ia hakikatnya mendekati kekufuran.

Kita tidak beriman untuk kepentingan Allah, tetapi sebenarnya untuk diri kita.


PENUTUP : ANGAN-ANGAN PANJANG YANG TIDAK MEMBERI JAMINAN

Kita tahu akan keterbatasan manusia.
Kita tahu betapa luasnya kekuasaan dan pengetahuan Allah.

Dengan segala maksiat dan dosa yang mengiringi kehidupan kita setiap hari, apakah kita masih mengharapkan syurga Allah?

Angan-angan panjang tidak akan menyelamatkan kita di mahkamah Allah kelak.

Akhirat kelak, segala-galanya akan dihitung. Waktu itu, barang pinjam yang ada pada diri kita inilah akan bercakap mewakili diri kita.

Ia akan menyebut semua yang telah kita lakukan di dunia ini dengan barang pinjam yang Allah beri itu. Kita tidak dapat lagi menipu atau berbohong pada hari itu.

Maka, ketika itu, siapa yang rugi, siapa yang hina?

Manusia yang tidak bersyukur atau Allah Maha Agung?

Instrospeksi diri !

0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP