Wednesday, August 31, 2011

Istimewa : Medan Baru Di LangitIlahi (LI)



~ Bersama mereka yang hebat-hebat di depan musolla MATRI


Hari ini, post khas. Tetapi saya tidak terbitkan di sini. Kalau tidak di sini, di mana?

Hehe.

Hari ini, hari pertama, minggu pertama saya menghantar post @ karya saya di LangitIlahi.com.

Alhamdulillah, Allah mengizinkan untuk bersama dengan barisan penulis yang hebat-hebat. Mereka yang pernah saya kenali sepanjang hidup dan banyak membimbing saya.


Siapa mereka?

Sunday, August 28, 2011

Ramadhan Pergi, Merdekakah Diri?


Tinggal sehari, berdoalah untuk diri !

Sedih. Sedih yang teramat.^^

Ramadhan kali ini tinggal sehari saja lagi. Dan ia akan tinggalkan kita, tinggalkan buat selama-lamanya.

Rugi, rugilah orang yang tidak mengisinya dengan baik. Rugilah orang yang tidak melayannya dengan istimewa.

Ramadhan tahun hadapan, ia sesuatu yang belum pasti. Kita semua akan mati, tetapi bila, itu adalah kuasa Ilahi.

Ramadhan kali ini, bila kita melayannya seperti seorang kekasih, kita akan terasa sangat hiba dan jantung pun berdegup kencang bila tiba di saat-saat akhir sebegini. Kenapa?

Friday, August 26, 2011

Semasa : Somalia, Untuk Kita Sebenarnya



Lihatlah mereka. Anak-anak kecil yang hidup menderita.


Kita di penghujung Ramadhan. Semakin hampir menuju Aidilfitri, hari bahagia bagi mereka yang menempuh Ramadhan sepenuh jiwa.

Ada orang, rasa sedih Ramadhan hendak tinggalkan dia.
Ada orang, rasa gembira kerana Syawal makin menjelma.

Namun, biar apapun suasananya, alhamdulillah, kita di Malaysia sangat bersyukur kerana Allah masih terus menjaga kita.

Menjaga daripada apa?

Wednesday, August 24, 2011

Aidilfitri, Bukan Kamu Yang Punya



~ Revolusi diri sebelum Aidilfitri !

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, dan Ramadhan ini akan pergi.

Di Malaysia, sambutan untuk kedatangan Syawal sangat meriah.

Di sana sini, di pasaraya, di shopping complex, kita tidak akan rasa aneh jika mendengar dendangan lagu-lagu Syawal sudah dimainkan. Bahkan, seawal 1 Ramadhan lagipun, ada pasaraya yang telah ‘semangat’ memasang lagu-lagu Syawal.

Berjalan sedikit sahaja, kita akan nampak poster dan banner promosi jualan Aidilfitri bergantungan di merata-rata tempat.

Itu belum kira lagi, berderet-deret kedai pakaian dan baju raya bersaing menjual barangan masing-masing sebagai persediaan menyambut Syawal.

Serius. Betapa seriusnya masyarakat kita membuat persediaan untuk menyambut Syawal. Haha. ^^

Ramadhan? Tidak pula seserius itu. Itulah masalah bila kita melihat keutamaan pada yang bukan utama.


AIDILFITRI, LAYAKKAH KITA?

Tuesday, August 23, 2011

Lailatul Qadr : Fast Track Menuju Allah



 Ramadhan Untuk Perubahan
~ Picture by maramissetiawan.wordpress.com


Kita sudah berada di pusingan akhir Ramadhan. Pusingan 10 malam akhir yang sangat dinanti-nantikan.
                                                                                   
10 malam akhir yang digesa oleh Rasulullah s.a.w. supaya kita bersungguh-sungguh di dalamnya.

Kenapa perlu bersungguh-sungguh?

Kerana di dalam 10 inilah, salah satu malam daripada malam-malamnya adalah Lailatul Qadr.

Dari Aisyah r.a. disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Carilah lailatul qadr itu pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.”
[HR Imam Bukhari]

Malam yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Qadr ayat 2, yang bermaksud:

“Malam Al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Dengan kata lain, siapa yang beramal dan melakukan kebaikan pada malam itu, dia seolah-olah telah melakukannya selama 1000 bulan.

Maka, ramailah yang teruja dan berebut-rebut untuk menghidupkan malam-malam akhir ini.


LAILATUL QADR : SHORTCUT KEHIDUPAN KERANA UMUR KITA TIDAK PANJANG

Dalam setahun, Ramadhan hanya sekali.

Dalam sekali Ramadhan itulah, Allah cuma anugerahkan sekali sahaja malam Al-Qadr.

Supaya dengan sekali itu, manusia mencari dan merebutnya. Kalaulah malam Al-Qadr itu ada saja setiap malam dalam bulan Ramadhan, maka ia menjadi tidak apa-apa pada manusia. Ia akan hilang keistimewaannya pada mata manusia.

Kenapa?

Sunday, August 21, 2011

KPI Ramadhan, Di Mana Kita?



~ Banyak yang tepat atau banyak yang tersasar?

Ramadhan sudah berlalu 20 hari. Hari ini, kita sudah berada pada hari yang ke-21.

Tinggal beberapa hari sahaja lagi Ramadhan akan meninggalkan kita.

Kita perlu bertanya dan memuhasabah diri, apakah hari-hari yang telah berlalu dalam Ramadhan ini telah meninggalkan kesan TAQWA dalam diri?

Bagaimana performance TAQWA kita sepanjang Ramadhan ini?

Adakah kita terkesan dengan ibadah-ibadah yang kita laksanakan?

Apakah hari-hari yang berlalu dipergunakan sepenuhnya untuk mencapai matlamat TAQWA itu?

Dan adakah kita masih memberi ruang kepada nafsu untuk menipu kita selepas hari-hari yang telah berlalu ini?

Kita perlu bertanya dan muhasabah. Supaya dengan Ramadhan ini, kita semakin dekat dengan Allah.

Bagaimana dekat dengan Allah? Bagaimana mengetahui kita memperoleh TAQWA atau tidak?

Tidak. Kita memang tidak pernah tahu, kita ini benar-benar beroleh TAQWA atau tidak.

Tetapi, kita boleh mengetahui ciri-ciri orang bertaqwa itu apa dan bagaimana.

Maka, kita mempunyai IKPI yang lebih utama dari KPI manusia. Apa itu?

Iman Key Performance Indicator. Penanda Aras atau Indikator Pengukur bagi Keimanan.


IKPI 1 : PENINGKATAN SYAKHSIAH MUKMIN

Ramadhan bukan sekadar melahirkan orang yang rajin beribadah dan taat kepada Allah, tetapi ia adalah ‘training centre’ yang melahirkan orang-orang yang memiliki syakhsiah mukmin.

Ramadhan merupakan pusat pembersihan sifat-sifat yang mazmumah (buruk). Sifat mazmumah itu adalah kotoran-kotoran yang menyebabkan jiwa rasa malas untuk menghidupkan rasa cinta kepada Allah.

Bila cinta itu mati, maka keinginan untuk beribadah pun semakin lemah.
Bila cinta itu mati, maka kita kehilangan juga cita-cita tertinggi dalam kehidupan.

Sedangkan cita-cita tertinggi mukmin adalah Allah s.w.t.

Orang yang menempuh Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap redha Allah, maka dia akan berusaha merawat dan membersihkan kotoran-kotoran yang ada pada dirinya, supaya dengan itu ia mampu untuk merebut semula cinta Allah yang agung itu.

Kotoran yang dihasilkan oleh karat-karat jahiliah yang berpaut dan menyelimuti kehidupan manusia hari ini, mengakibatkan manusia semakin hari semakin jauh daripada Allah.

Allah Yang Maha Mengetahui sentiasa tahu hamba-Nya yang lemah ini tidak kuat menghadapi cabaran tanpa bekal tenaga dan persediaan yang cukup.

Maka, Allah sediakan Ramadhan. Allah sediakan Ramadhan untuk kita manfaatkan, supaya dengan itu kita mampu membersihkan diri dan mengecas stamina IMAN untuk terus hidup dengan kecintaan Allah.

Orang yang hidup dengan cinta Allah, jiwanya sentiasa peka dan sensitif, bahkan akan sentiasa memuhasabah dirinya:

“Amalan ini, apakah Allah cinta dan suka padanya? ”

“Adakah Allah suka atau tak suka dengan apa yang aku buat ini?”

Perhitungan itu akan membuatkan kita sentiasa menjaga semua aspek, kerana kita hendak menjaga cinta Allah terhadap kita supaya tidak tercemar hubungan cinta itu.

Maka, cinta itulah yang memberi dorongan untuk kita terus menjaga kualiti iman kita dengan menjaga peribadi dan akhlak kita.


IKPI 2 : KEPERLUAN BERAMAL ‘update version’

Kita semakin hari, umur semakin meningkat. Bila umur meningkat, maka kita perlukan sesuatu yang sesuai di peringkat umur kita, betul tak?

Bila di umur 18, perasaan kita bukan lagi seperti budak yang baru berumur 8 tahun, bukan?
Kalau budak yang berumur 8 tahun sibuk mencari-cari barang-barang permainan seperti robot, kereta mainan dan sebagainya, adakah orang yang berumur 18 tahun pun seperti itu?

Tidak. Orang yang berumur 18 tahun, bukan itu lagi yang menjadi keperluan diri.

Maka, syuur (perasaan) untuk merasai kegentingan beramal itu lebih-lebih lagi. Ia perlu sentiasa di‘update’, agar IMAN kita juga up-to-date.

Sebab apa perlu sentiasa di‘update’?

Supaya kita tidak melakukan ibadah dengan sebahagian atau separuh hati. Mana mungkin kita sebagai hamba menyerahkan hanya separuh hati kepada Allah dalam mentaatinya.

Supaya bila IMAN ‘up-to-date’, maka kita miliki rasa seronok untuk melakukan kebaikan.

Bila IMAN tidak ‘up-to-date’, maka rasa bosan dan jemulah yang lebih kuat mendominasi jiwa.
Bila IMAN tidak ‘up-to-date’, mulalah terbit bibit-bibit keterpaksaan dalam melaksanakan tanggungjawab perhambaan.

Maka, Ramadhan adalah medan untuk itu. Bahkan, lebih lagi daripada itu, untuk ‘update’ iman dalam skala yang lebih besar daripada biasa berbanding bulan-bulan sebelum ini supaya sesuai dengan keperluan kita selepas Ramadhan nanti.

Sepatutnya, bila meninggalkan Ramadhan, maka kita semakin ghairah untuk beramal.

Kenapa?

Kerana IMAN yang kita miliki adalah IMAN ‘update version’.

Software Antivirus umpamanya, bila di‘update’, maka ia lebih seronok dan selesa digunakan berbanding yang tidak di‘update’.

Maka, begitulah IMAN yang sepatutnya kita miliki selepas Ramadhan. Ia melahirkan rasa seronok untuk beramal kebaikan di jalan Allah s.w.t.

Ada orang yang masuk ke dalam Ramadhan, tetapi IMANnya tetap begitu juga. Tidak ‘up-to-date’. Maka, dia adalah orang yang rugi.


PENUTUP : TAQWA ADALAH KPI ALLAH

TAQWA itu KPI di sisi Allah. Kedudukan hamba di sisi Allah diukur dan dinilai daripada ketaqwaan.

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat yang bermaksud:

“Sesungguhnya sebaik-baik orang di kalangan kamu adalah yang paling berTAQWA.”

Mungkin sukar bagi kita untuk mengetahui apakah kita termasuk dalam kalangan orang bertaqwa atau sebaliknya, tetapi tidak sukar bagi kita untuk melakukan penelitian pada diri apakah KPI yang dimiliki oleh orang bertaqwa itu sudah ada pada kita?

Justeru, ukurlah TAQWA kita dengan KPI Iman. Apakah akhlak dan peribadi kita telah kita cermati?

Adakah 20 hari yang telah berlalu telah mencetuskan perasaan yang membuak-buak dalam diri kita untuk terus melakukan peningkatan dalam ibadah kita kepada Allah untuk 10 hari seterusnya dan bulan-bulan seterusnya?

Hitung dan koreksilah diri.

Supaya kita tidak termasuk orang yang rugi.

Supaya KPI kita cemerlang bila berdiri di depan ‘Bos’ kita nanti.

Tuesday, August 16, 2011

'Blueprint' Kebangkitan


~ Ayuh, bangkitkan diri anda untuk membangkitkan ummah !


Hari ini, saya terbaca satu perkataan yang entah kenapa menarik hati saya.

BLUEPRINT. Apa yang anda tahu atau faham tentangnya?

Blueprint itu maksudnya rencana terperinci ataupun pelan terperinci.

Saya terfikir untuk tulis satu post berkaitan dengannya. Tambahan pula, sambutan ulang tahun Nuzul Al-Quran dalam taqwim Illahi semakin dekat.

Maka, saya rasa amat bersesuaian sekali.

Jom, bangunkan diri dan ummah !

Membangunkan satu ummah bukanlah kerja mudah. Ia perlukan pelan yang teliti dan terperinci.

Ditambah pula dengan cabaran dan tipudaya jahiliah yang licik pada hari ini, menyebabkan kerja itu semakin hari semakin memerlukan kosentrasi dan perancangan yang sangat teliti.

Namun, sebenarnya, blueprint itu telah lama ada, cuma tinggal hendak direalitikan dan dibumikan sahaja.


BLUEPRINT PEMBANGUN GENERASI AL-QURAN UNIK

Ia pelan yang sangat terperinci disediakan oleh Allah untuk kita supaya dengannya, kita mampu membangunkan diri dan ummah.

Ia memiliki seribu satu energi luar biasa yang membangunkan jiwa dan menggelorakan rasa.

Itulah Al-Quran. Al-Quran dan hanya Al-Quran.

Lihatlah, telah banyak peribadi-peribadi hebat dicetak hasil didikan Al-Quran di zaman Rasul s.a.w.

Mereka itu telah membentuk satu ummah yang kuat dan disegani oleh dunia.


YOU ARE A LEADER!

Mereka itu adalah saf kepimpinan dunia satu ketika dulu.

Banyak negara berada di bawah kekuasaan mereka satu masa dahulu.

Bahkan, orang-orang bukan Islam berebut-rebut meminta tentera Islam supaya masuk menawan negara mereka kerana mereka diperintah oleh pemimpin bukan Islam yang zalim dan suka menindas rakyat.

Mereka tidak bermula daripada atas.

Mereka itu juga dulu bermula daripada bawah, daripada tiada apa-apa, kemudian belajar menguasai pelbagai perkara.

Mereka bermula daripada sifar, bergerak meningkat kepada 1,2, 3 dan seterusnya.

Mereka yang dahulunya tidak mengenali Allah, satu masyarakat yang jahil dan hidup di atas assabiyah kabilah, lalu bangun sebagai satu ummah untuk menjatuhkan jahiliah, serta membangunkan Islam di dunia.

Mereka kuat dan hebat selepas menerima energi tarbiyah Al-Quran.

Sebab apa?

Sebab mereka tidak sekadar membaca Al-Quran seperti seorang pesakit membaca panduan merawat penyakit daripada doktornya. Tetapi, mereka membaca panduan itu, kemudian memakan ubat itu mengikut dos yang telah ditetapkan.

Berbeza dengan kita. Kita lebih suka membaca sahaja. Kurang tadabbur dan memberi masa untuk mendalami ayat-ayat Al-Quran.

Mana mungkin pesakit boleh sembuh jika hanya membaca panduan rawatan daripada doktor tanpa memakan ubatnya?


‘INSTALL’ VISI UKHRAWI

Maka, kita perlu ‘install’ visi ukhrawi dalam kehidupan.

Sebab apa saya sebutkan ‘INSTALL’?

Tak boleh ke kalau saya sebutkan ‘SET’ ke, atau ‘TETAPKAN’?

Istilah ‘INSTALL’ itu biasanya kita gunakan dalam komputer bila kita ingin menggunakan satu software (perisian), bukan?

Maka, apa yang kita perolehi apabila kita mengINSTALL’ sesuatu software atau perisian?

Adakah kita hanya akan dapat satu file sahaja selepas ‘INSTALL’ itu?

Kebiasaannya, selepas ‘INSTALL’, kita akan dapat folder-folder dan file-file seperti panduan dan lain-lain yang berkaitan dengan software yang kita ‘INSTALL’ itu, betul tak?

Folder atau file lain itu bukanlah tidak ada kaitan, tetapi ia ada kaitan dengan software yang kita inginkan tadi itu supaya dapat digunakan dengan baik.

Maka, visi ukhrawi itu lebih-lebih lagilah.

Tidak cukup hanya sekadar ‘SET’ atau menetapkan sahaja visi ukhrawi, tetapi tidak miliki cara dan usaha untuk sampai kepada visi tersebut.

Maka, dengan kata yang lebih sesuai, kita perlu INSTALL visi ukhrawi itu !

Tetapi, bagaimana?

Para sahabat Rasul s.a.w. adalah orang yang paling awal meng‘INSTALL’ visi ukhrawi dalam kehidupan mereka usai menerima didikan Al-Quran.

Bila ‘INSTALL’ visi ukhrawi dalam diri, maka visi itu akan menguasai diri sehingga mempengaruhi gerak geri.

Dia tidak boleh duduk diam kalau ada satupun perbuatannya yang tidak memberi untung kepada akhiratnya.

Dia tidak boleh duduk diam kalau amalannya itu terlalu kecil untuk memberi sumbangan kepada dirinya di hari akhirat nanti.

Maka, proses untuk ‘INSTALL’ itu perlukan Al-Quran.


PENUTUP : AL-QURAN, DAN AL-QURAN SAHAJA

Al-Quran is the first !

Dalam sejarah Islam, peribadi-peribadi yang lahir daripada didikan Al-Quran itu sangat produktif dan solutif.

Imam Syafi’e sendiri umpamanya pernah menceritakan:

“Aku telah menghafal Al-Quran ketika aku berumur tujuh tahun dan aku menghafal kitab Al-Muwattha’ (kitab karya Imam Malik) ketika aku berumur sepuluh tahun.”

Nah, lihat hasilnya !

Imam Syafi’e hari ini adalah tokoh yang paling dihormati dan disegani bahkan ilmunya masih digunapakai hingga hari ini.

Saidina Umar, berubah setelah menerima pengaruh Al-Quran dari surah Toha.

Tokoh gerakan kontemporari seperti Hasan Al-Banna dan Sayyid Qutb bahkan mendahulukan Al-Quran sebelum yang lain-lain.

Bahkan, ketika dalam hukuman penjara, Sayyid Qutb diberkati Allah untuk terus menulis karya agungnya, Tafsir Fi Zilal yang sangat-sangat menyuntik semangat dan menyentuh jiwa.

Lihatlah, mereka yang satu ketika dahulu tidak ada apa-apa, hari ini dikenali dunia kerana mereka benar-benar meletakkan Al-Quran itu di jiwa.

Inilah sebabnya sepertimana kata as-syahid Sayyid Qutb dalam bukunya, Petunjuk Sepanjang Jalan:

“Sumber utama yang dicedok oleh generasi pertama itu adalah Al-Quran dan Al-Quran sahaja.”

Kita bagaimana?

Nuzul Quran semakin dekat. Ramadhan juga semakin hari, makin menghampiri penghujung.

Lalu, kita perlu segera evaluasi, di mana kedudukan Al-Quran dalam diri kita?

Ledakan potensi bermula dengan didikan Al-Quran !

Monday, August 8, 2011

Memborong Ramadhan Yang Sukses !



~ Mahukannya ? Mari dapatkan !!!


Ramadhan adalah hadiah daripada Allah yang penuh berkah. Ia bulan perjuangan untuk menentukan perjalanan hidup kita dalam bulan-bulan seterusnya.

Di dalamnya, Allah menyediakan kilang penyucian jiwa yang terbesar sekali dalam kehidupan mukmin.

Sebab itu, ganjaran akhirnya adalah “…moga-moga kamu berTAQWA.”

Hanya di dalam bulan ini sahaja, Allah rangkumkan sekali natijah kepada proses yang dilalui selama sebulan itu dengan TAQWA.

Tetapi, bukan mudah untuk memperoleh produk TAQWA.

Kalau kita tidak bekerja keras dan bersungguh-sungguh dalam kilang Ramadhan ini, maka jangan haraplah produk TAQWA itu akan terhasil !


BERJUANG UNTUK MENANG !

Kita berjuang untuk menang.

Mana ada orang yang berjuang, matlamatnya untuk kalah, bukan?

Ya. Mungkin kadang-kadang tidak tercapai matlamat itu, tetapi sekurang-kurangnya usaha kita itu biar menuju ke arah itu.

Justeru, kalau matlamatnya untuk menang, mengapa tidak dirancang perjuangan sebulan ini supaya kita benar-benar sampai kepada matlamat MENANG itu?

Menang itu bila beroleh TAQWA.
Menang itu bila kita terus beramal soleh selepas Ramadhan.
Menang itu bila kita berjaya mengawal nafsu kita dalam segenap hal.

Kita semua obsesi untuk meraih syurga Allah, bukan?

Nun di sana, ternanti-nanti sang bidadari. Tidak mahukah?

Bidadari-bidadari idaman yang menjadi kerinduan pemuda syurga, bak firman Allah s.w.t. dalam surah Ar-Rahman, 70-78 yang bermaksud:

“Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik- baik lagi cantik-cantik. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Bidadari-bidadari) yang jelita, putih bersih, dipingit dalam rumah.  Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? mereka tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin.  Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?  mereka bertelekan pada bantal-bantal yang hijau dan permadani-permadani yang indah. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Maha Agung nama Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan karunia.”

MashaAllah ! MashaAllah!

Indahnya memang tiada terkata !

Bukanlah saya mahu sogok-sogok anda dengan cerita bidadari. Tetapi inilah JANJI ILLAHI.

Tetapi, bagaimana mendapatkannya?

Kalau hanya ingin duduk sahaja, berharap dan berangan-angan semata-mata, tutup sahajalah mata kerana syurga hanya layak untuk orang yang merealisasikan usaha dengan jiwanya.

Jalan ke syurga bukanlah jalan yang ditaburi bunga, disembur wangian, dipenuhi sanjungan dan pujaan, tetapi jalan ke syurga sebaliknya adalah jalan yang ditaburi dengan duri, perlukan kesungguhan dan kewaspadaan dalam perjuangan, keinginan dan cita-cita yang tinggi serta istiqamah dalam menentang arus-arus yang menghalangnya.


HABISKAN WAKTU DENGAN AMAL BERMUTU

Jika kita inginkan kemenangan dalam bulan Ramadhan ini, maka kita perlu segera merebut peluang-peluang amal yang ada.

Kita perlu merancang waktu supaya semua yang kita lakukan menjadi nilai ibadah di sisi Allah, barulah kita tidak kerugian.

Biar nanti bekerja pun menjadi ibadah.
Biar nanti berjalan pun mendapat pahala.
Biar nanti bercakap, berbincang dan bermesyuarat pun membangunkan IMAN !

Barulah nanti, waktu-waktu di musim Ramadhan ini menjadi bermutu.

Biar amalan bernilai ibadah, maka proses pembersihan jiwa lebih mudah berlaku, dan kita pun rasa lebih dekat dengan Allah s.w.t.

Ramai orang berpuasa, tetapi kadang-kadang masa dihabiskan dengan banyak tidur berbanding membaca Al-Quran.

Ramai juga orang berbuka puasa, tetapi yang lebih difikirkan adalah bagaimana boleh makan sepuas-puasnya ketika berbuka.

Maka, berbuka puasa yang asalnya adalah ibadah tidak menjadi nilai ibadah kepada kita.

Ramai juga orang bersahur, tetapi berapa ramai yang bersahur setelah selesai melaksanakan qiamullail?

Sunnah bersahur itu dilewatkan. Jika kita bangun hanya semata untuk sahur, sahur sahajalah yang kita dapat.

Tetapi, jika kita plus temujanji dengan Allah, bangun awal sedikit untuk qiamullail paling kurang 2 rakaat, maka kita dapat extra bonus pembersihan jiwa daripada Allah.

Itu kan lebih manis. Tidak mahu?

Sedangkan dengan qiamullail itulah kita boleh menempah bidadari di syurga.

Kalau tanpa 2 rakaat qiamullail itu, huh, bidadari yang sepatutnya menjadi milik kita itu mungkin lebih mengharapkan pemuda lain memilikinya.

Siapa tahu, kan?


PENUTUP : RAMADHAN YANG SUKSES !

Ramadhan menyapa kita setiap tahun.

Ada orang yang merancang untuk benar-benar dapatkan TAQWA di hujung Ramadha.

Ada orang yang merancang amalannya sepanjang Ramadhan.

Tetapi yang lebih ramai, biasanya merancang untuk Syawal seawal 1 Ramadhan.

Akhirnya, lebih banyak mengabaikan amalan dan hanya menuai kerugian di penghujung Ramadhan, walaupun mungkin dirasakan bagi dirinya tidak rugi.

Tidak rugi kerana dia tidak memandang TAQWA sebagai suatu bekal yang besar.
Tidak rugi kerana dia tidak memandang Ramadhan ini dari kacamata Allah, apa yang Allah inginkan ke atas kita dengan Ramadhan ini.

Maka, dia rugi serugi-ruginya.

Jangan biarkan diri kita sepi dari mengejar dan bersaing untuk memperbanyakkan amal, dan meningkatkan kualiti amal supaya kita ‘terpilih sebagai graduan TAQWA’ usai Ramadhan nanti.

Mahukan Ramadhan yang sukses?

Bergeraklah untuk menjadi graduan TAQWA !

Sunday, August 7, 2011

Syurga Lebih Rindu Padanya



 ~Syurga rindu orang yang berusaha sepenuh tenaga 


Syurga, ia satu motivasi buat kita semua.

Motivasi yang menolak keinginan, menambah rasa cinta dan mengghairahkan perasaan beramal demi untuk mendapatkannya.

Ramai yang berhajatkan syurga bila mendengar cerita-cerita kenikmatan dan keindahan di dalamnya.

“Sesunggunya mereka yang beriman dan beramal saleh, tentulah Kami tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan yang baik. mereka Itulah (orang-orang yang) bagi mereka surga 'Adn, mengalir sungai-sungai di bawahnya; dalam surga itu mereka dihiasi dengan gelang mas dan mereka memakai pakaian hijau dari sutera Halus dan sutera tebal, sedang mereka duduk sambil bersandar di atas bangku-bangku yang indah. Itulah pahala yang sebaik-baiknya, dan tempat istirahat yang indah”

[Al-Kahfi :31-32]

Banyak kisah-kisah tentang syurga yang Allah patrikan dalam Al-Quran.

Ia tidak lain selain bertujuan untuk meningkatkan motivasi kita untuk beramal.

Tambahan pula dalam Ramadhan ini, Nabi s.a.w. bersabda dalam riwayat Abi Hurairah yang bermaksud:

“Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan penuh berkah yang di dalamnya Allah mewajibkan puasa, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu….” [HR Imam Ahmad]

Maka, semakin ramailah yang meng’imarahkan suasana Ramadhan ini dengan lebih banyak beribadah daripada biasa.

Kalau yang jarang-jarang solat, bulan Ramadhan ini, dia mula me‘rajin’kan diri untuk solat.

Kalau yang jarang-jarang baca Al-Quran, masuk Ramadhan, dia menjadi lebih akrab dengan Al-Quran.

Kalau yang memang sudah rajin beribadah sebelumnya, Ramadhan itu jadi satu ‘pitstop’ yang amat dinantikannya supaya dia lebih akrab dengan Allah.

Kenapa begitu?

Kerana masing-masing ingin merebut syurga Allah. Orang yang memasuki Ramadhan, tetapi tidak ada rasa persaingan untuk merebut syurga Allah, maka dia rugi.

Sudahlah di luar Ramadhan, memang tidak bersaing langsung, masuk Ramadhan pun tidak miliki perasaan untuk bersaing merebut syurga Allah, maka orang ini bukan setakat syurga tidak rindukan dia, bahkan dia sendiri pun tidak rindukan syurga !


BAGAIMANA MENJADI LELAKI DAN WANITA YANG DIRINDUKAN SYURGA?

Kita rindu kepada syurga, itu satu perkara yang biasa.

Ya. Memang biasa. Siapa yang tidak rindu syurga, bukan?

Tanyalah siapapun, mana ada orang yang tidak mahukan kenikmatan di dalamnya.

Tetapi, yang lebih luar biasa adalah menjadikan syurga itu rindu kepada kita.

Syurga rindu kepada kita?
Bagaimana mungkin syurga rindukan kita?

Ya, mungkin susah tetapi tidak mustahil.

Kalau ingin jadi pemuda pemudi yang luar biasa, maka kita perlu berusaha menjadikan diri kita dirindui syurga.

Syurga memanggil-manggil namanya, kerana rindu untuk memasukkannya ke dalam kenikmatan-kenikmatan yang berada di dalamnya.


ZUBAIR IBN AWWAM, PEMUDA RINDUAN SYURGA

Baca betul-betul, pemuda rinduan syurga, bukan pemuda rindukan syurga !

Beliau adalah sahabat Nabi s.a.w. yang mendapat jolokan ‘pengikut setia Nabi’.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :

“Setiap Nabi mempunyai pengikut setia, pengikut setiaku adalah Zubair Ibn Al-Awwam.”

Beliau adalah daripada kalangan 10 sahabat Nabi s.a.w. yang dijanjikan syurga dan di kalangan 6 orang yang dipercayai oleh Saidina Umar Al-Khattab dalam memilih khalifah seterusnya selepas beliau.

Beliau memilih Islam sebagai kehidupannya ketika umurnya 15 tahun, umur yang masih muda dan segar. Sejak kecil lagi, beliau terlatih sebagai penunggang kuda dan pemanah yang cekap.

Ketegasannya dalam mempertahankan Islam sebagai akidah dapat dilihat ketikamana pak ciknya sendiri menyeksa beliau, lalu meminta beliau meninggalkan jalan IMAN dan ajaran Nabi s.a.w., tetapi dijawab kepada pak ciknya dalam keadaan umurnya yang masih muda itu:

“Tidak ! Demi Allah, aku tidak akan kembali kepada jahiliah sekali lagi.”

Diriwayatkan, tidak ada peperangan yang tidak disertai oleh Zubair Ibn Awwam sepanjang hidup bersama Nabi s.a.w.

Sehinggakan, beliau menerima banyak ‘medal-medal’ di tubuhnya menandakan keperwiraannya dan penyertaannya dalam peperangan bersama Nabi s.a.w.

Bahkan, sahabat menjadi kehairanan melihat tubuhnya kerana terlalu teruknya kesan-kesan luka yang dialami beliau sehingga sahabat pun bertanya kepadanya:

“Aku melihat kesan di tubuh engkau yang tidak pernah aku lihat sebelum ini.”

Maka dijawab beliau tanpa ada rasa sakit dan ingin meminta belas:

“Demi Allah, aku tidak pernah mendapatkan kesan-kesan ini kecuali ketika aku bersama Nabi s.a.w dan berada di jalan Allah.”

Dalam Perang Uhud, selepas tentera Quraisy meninggalkan tapak Uhud dan bertolak ke Makkah, Nabi s.a.w. telah menugaskan beliau bersama Abu Bakar untuk mengikuti tentera Quraisy dan mengejar mereka supaya mereka menyangka tentera Islam masih kuat dan tidak merancang untuk menyerang Madinah bagi meneruskan peperangan.

Abu Bakar dan Zubair telah memimpin 70 orang tentera. Walaupun mereka mengejar jumlah tentera yang jauh lebih besar daripada mereka, tetapi strategi yang digunakan oleh mereka menyebabkan tentera Quraisy menyangka telahan mereka bahawa tentera Islam telah kalah tersilap. Dengan strategi yang digunakan oleh Abu Bakar dan Zubair itu, tentera Quraisy mempercepatkan langkahan mereka menuju Makkah.

Dalam Perang Yarmouk, Zubair Ibn Awwam umpama sebuah bala tentera dalam dirinya. Ketika sahabat-sahabatnya mula berundur bila melihat bala tentera Rom yang lebih besar, dia melaungkan, “Allahu Akbar ! Allahu Akbar!” serta merempuh bala tentera Rom itu berseorangan, dia memanah ke sana sini dan tidak ada satu yang tersasar.

Bahkan dikisahkan, jikalau ada 100 000 orang tentera sekalipun bersama-sama dengan dia dalam peperangan, kita seolah-olah melihat hanya dia yang benar-benar berperang, dan seolah-olahnya tanggungjawab berperang dan kemenangan itu hanya terletak pada dirinya sahaja.

Beliaulah yang disabdakan Nabi s.a.w. yang bermaksud:

“Talhah dan Zubair adalah jiranku di dalam syurga.”

MasyaAllah. MasyaAllah.

Apa lagi yang lebih hebat daripada janji Nabi s.a.w. sendiri?


PENUTUP : MEMBENTUK PERIBADI YANG MERINDUKAN DAN DIRINDUI SYURGA

Kita tidak mahu cinta tidak berbalas.

Kita tidak mahu kerinduan berakhir dengan angan-angan kosong semata-mata.

Jika syurga yang kita inginkan, maka jalan SYURGA sahajalah yang kita perlu lalui.

Kita perlu membentuk peribadi-peribadi SYURGA.

Ada 3 kategori peribadi manusia, tetapi hanya 1 yang berhak ke syurga : 

     (1)   QUITTERS    = Jenis orang yang nak cepat sampai ke destinasi. Tetapi gopohnya dia menyebabkan   dia tidak sentiasa berada di jalan yang sebenar. Keinginan untuk cepat sampai menyebabkan kadang-kadang dia ‘skip’ proses untuk membentuk dirinya, mengakibatkan dia terhenti terus di tengah perjalanan setelah didatangkan ujian.

      (2)   CAMPERS    = Orang yang cepat berputus asa. Biarpun kesusahan dan masalah dihadapi hanya tidak sebesar mana, tetapi kerana jiwanya kecil, tidak sabar maka dia cepat berputus asa dengan kesusahan dan halangan-halangan yang ada.

    (3)   CLIMBERS      = Inilah jenis yang kita inginkan. Jalan ke syurga itu susah. Tetapi, tetap terus mendaki dan mendaki serta berusaha untuk sampai kepada tujuan itu. Memang, di pertengahan jalan akan diuji dengan gamitan-gamitan yang akan menghentikan usaha pendakian, tetapi orang yang tetap terus sabar dan optimis, maka dia akan sampai kepada tujuan itu.

Kita hendak bentuk peribadi seorang CLIMBERS (pendaki) seperti Zubair Ibn Awwam.

Biar seribu halangan di depan, tetapi bila IMAN mendominasi kehidupan, maka HALANGAN itu sebaliknya menjadi batu loncatan untuk berlaku peningkatan.

Inginkan syurga atau SYURGA menginginkan anda?

Mana yang lebih besar?

Pilihlah dan gencarkan usaha ke arah itu !

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP