Saturday, April 23, 2011

Ujian Itu Proses Untuk 'Naik Pangkat'

Batu besar susah dihanyut air, tetapi batu kecil, air perlahan pun
sudah mampu menghanyutkannya.

Manusia hidup dengan ujian. Satu hakikat yang memang tidak dapat dipisahkan.

Namun, berbeza manusia, berbeza juga cara memandang dan menerima ujian.

Bahkan, ujian yang diterima itu sebenarnya berbeza-beza bagi setiap manusia. Kalau bentuk ujian itu sama saja, maka dunia ini akan hilang warnanya.

Bukan semua diuji dengan kesusahan dan musibah di setiap masa. Bukan semua pula yang sentiasa diuji kesenangan. Ada masa-masanya, kita sendiri tidak menjangka akan berlaku ujian yang sebegitu kepada kita.

Kerana lemahnya dan kerdilnya kita, kita pun tidak dapat menjangkakan ujian apa yang Allah akan dan sedang beri kepada kita. Sehingga kadang-kadang kita mungkin terlupa kita sedang diuji sekarang ini.

Ya. Memang itulah realitinya. Kita lemah.

Maka, itulah TUJUAN ujian. Untuk MENGUATKAN dan MENGINGATKAN kita.
Lalu, bagaimana kita memandangnya?


UJIAN DARI ALLAH ADALAH PROSES IMAN

Allah telah menguji manusia berabad lamanya sejak dulu lagi. Umat yang menyatakan iman kepada Allah, maka itulah yang diuji terlebih dahulu.

Mengapa yang menyatakan iman diuji dahulu sedangkan dia sudah yakin kepada Allah?
Adakah Allah nak menyusahkan hamba-Nya dengan ujian-ujian sebegini?

Oh, sudah tentu tidak !
Allah uji yang beriman dahulu sebagai tanda penghargaan atas iman kepada-Nya.
Allah menghargai kita kerana kita beriman kepada-Nya, sebab itulah kita diuji dahulu.

Supaya selepas diuji itu, maka kita lebih bersedia untuk dinaikkan 'pangkat' kita ke 'jawatan' yang lebih tinggi di sisi Allah. Tidak mahukah kita pengiktirafan dan tawaran 'naik pangkat' dari Allah itu?

Maka, jika kita berhajatkan kepada tawaran itu, ujian Allah perlu ditempuhi dengan hati yang sabar dan bersungguh-sungguh serta redha pula kepada Allah.

Barulah selepas itu, kita lulus dalam kelayakan untuk menerima tawaran itu.

Ada hadkah tawaran itu? Tidak sekali-kali. Bahkan, tawarannya terbuka untuk sesiapa sahaja yang sanggup menempuh ujian Allah ini dengan sabar dan hati yang redha, maka terus akan dinaikkan 'pangkat' nya di sisi Allah.

Itulah tujuan ujian. Mengangkat MARTABAT IMAN di sisi Allah. Bukan sengaja diuji, tetapi Allah ingin memuliakan manusia di sisi-Nya.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Ankabut, ayat 69 yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak deen Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka gembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya."


BAGAIMANA GENERASI AWAL MEMANDANG UJIAN?

Ujian ke atas mereka itu lebih berat dan hampir tidak tertanggung rasanya. Bahkan pernah dikatakan kepada Nabi s.a.w. :

"Wahai Rasulullah s.a.w., mintalah kepada Allah agar dikurangkan seksaan dan penindasan ke atas umat Islam."

Tetapi Rasulullah s.a.w. memujuk mereka dengan sabdanya yang mafhumnya berbunyi begini:

"Umat sebelum kamu bahkan ada yang digergaji kepala kerana mempertahankan akidahnya kepada Allah..."

Bukan sedikit ujian ke atas generasi awal itu. Mereka diuji hingga ke tahap perlu memilih sama ada antara akidah atau nyawa mereka sendiri.

Namun, mereka tidak minta dihentikan ujian. Mereka cuma minta dikurangkan sedikit. Bukan mereka menyerah kalah, namun ujian yang menimpa mereka terlalu berat melampaui batas kemanusiaan mengakibatkan mereka hilang sedikit kesabaran.

Hingga ada yang dijamah dengan besi panas di atas kepala, dijemur di tengah panas dengan berpakaian besi, dihempap batu besar, dilempar dengan najis unta.

Kalaulah kita di tempat mereka, apakah masih ada kesanggupan pada diri kita?

Sungguh, Allah memang menguji generasi itu satu persatu. 13 tahun di Makkah begitu, namun mereka sabar dan redha.

13 tahun bukan tempoh yang sekejap, bahkan dalam tempoh 13 tahun itu mereka tidak diizinkan untuk menentang seksaan yang dilakukan oleh kafir Quraisy. Bukan kerana takut atau lemahnya mereka, bahkan jika mereka bangun untuk menentang, nescaya mereka pasti mampu. Tetapi, mereka melihat dengan wawasan yang lebih jauh untuk kemenangan lebih besar di masa depan.

Biarlah mereka berat diuji sekarang, kelak Islam berkembang dengan senang.
Biarlah mereka derita dalam seksaan, supaya masa nanti umat mengukur sebuah teladan iman.

Sabar dan redha mereka itu menyebabkan Allah mengangkat keyakinan mereka ke martabat lebih tinggi.


PENUTUP : RAHSIA KEKUATAN MEREKA UNTUK KITA

Kita akan terus menerus diuji. Kerana kita sudah menyatakan IMAN kita, maka sebagai penghargaan Allah untuk kita, kita lebih dahulu akan diuji oleh Allah supaya martabat iman kita di sisi Allah terus dipertahankan dan ditingkatkan.

Tetapi, menempuh ujian perlu dengan persediaan dan kekuatan. Bukan kekuatan fizikal jadi ukurannya, tetapi kekuatan jiwa. Ada orang diuji dengan masalah yang kecil sahaja, tetapi kerana jiwa lemah menyebabkan masalah menjadi besar. Ada orang diuji dengan masalah yang besar, tetapi kerana jiwanya kuat menyebabkan masalah itu menjadi kecil sahaja baginya.

Kita perlu keyakinan dan kekuatan seperti para sahabat generasi awal. Mereka itu kuat menahan ujian seksaan kerana memiliki kekuatan jiwa.

Mana datangnya kekuatan itu? Daripada IMAN mereka kepada Allah.

Mereka sentiasa jaga KEIKHLASAN mereka beriman kepada Allah, menyebabkan Allah ikhlas juga untuk menjaga IMAN mereka biar ditimpa ujian sebesar mana sekalipun.

Kita ini kadang-kadang tidak ikhlas beriman kepada Allah. Ada kala bersungguh menunaikan kewajipan-Nya, ada kala sambil lewa. Bagaimanalah Allah akan menjaga IMAN kita? Mari muhasabah semula!

Allah akan terus menguji dan menguji kita. Mungkin hari ini diujinya kesabaran kita. Esok lusa, kita didatangkan pula dengan ujian keikhlasan, ujian persahabatan dan lain-lain.

Bagaimana kita memandang ujian?

Kalau sekadar untuk menempuhinya, ramai sudah menempuhinya. Bezanya hanya gagal dan berjaya.
Gagal bila IMAN tidak tertingkat dengan ujian. Berjaya bila semakin menancap keyakinan di hati terhadap Allah dan jalan-Nya.

Lalu, bagaimana menjadi di kalangan yang berjaya itu?

Mari lakukan anjakan...!

Sunday, April 17, 2011

Fajar Impian

~ Masih ada harapan

Apa ada kata mampu ku gambarkan,

Melihat ummat ini dalam kelukaan,

Sukmaku dicengkam rasa kepedihan,

Bila terkenang pada sebuah keagungan,

Yang suatu ketika dulu sarat harapan.


Aku merenung masa,

Bila ada yang tertanya,

Apakah masih berbaki harapan untuk ummat ini?

Bila gemilang sinar matahari kelmarin,

Tenggelam hilang di ufuk dunia,

Melenyapkan sinar suatu keagungan silam.


Hampir aku terbaring keputus asaan,

Melihat semua ini seolah tiada lagi jalan,

Duka nestapa menambah kekecewaan,

Lantas timbul di benak harapan,

Apa ada alasan buatku mencipta 'perhentian',

Di sebuah perjalanan menuju syurga harapan?

Sedang Nabi pun kuat dalam kepayahan.


Kerna motivasi Rabbani itu tegar di hati,

Tidak pantas untuk aku berhenti,

Terusku terinspirasi dengan janji hakiki,

Memacu momentum diri,

 Buat secebis harapan untuk direalisasi,

Kerna ku tahu kesementaraan terbenam sang Matahari,

Esoknya bakal menyingsing fajar impian buat ummat ini.



Coretan jiwa
~ Fajar Impian ~
10.40 malam di Penang
:: Penyejuk Jiwa ::

Saturday, April 16, 2011

Belantara Dunia Itu


Belantara dunia yang kau puja,

Memaut cinta manusia pada indahnya dia,

Lantas tafakur aku seketika,

Di penghujung senja,

Memerhati manusia yang leka dengannya,

Membuat aku sebak dan hiba,

Detik naluriku membisik kata,

 'Manusia sudah lupa.'


Belantara dunia itu juga mengundang derita,

Bila sirna iman di jiwa,

Tertanamlah angan-angan si munafik dan cita-cita sang pendusta,

Berapa ramai sudah tertipu dengan kesementaraannya?

Akhirnya mengundang celaka,

Di penghujung usia.


Belantara dunia yang kau cinta itu,

Indah zahirnya memang sudah tiada terkata,

Ia bermanis-manis kepada pelamarnya,

Tetapi sayangnya,

Membalas kerinduan sang perindunya,

Dengan hadiah 'kecewa' dan 'hina'.


Lantas, membuat aku jadi tertanya,

Mengapa 'rumah busuk' ini jadi buruannya?

Mencintainya dan merinduinya sepenuh jiwa,

Sedang hakikat belantara ini,

Telah banyak rindu dikhianatinya,

Telah banyak cinta dirosakkannya,

Sirna manusia dihinakannya,

Maka, belumkah cukup itu semua?




Coretan Hati
~ Belantara Dunia ~
10.07 di Penang
:: Penyejuk Jiwa ::

Saturday, April 9, 2011

Sampai Bila Akan Bercinta Dengan Dosa?

~ Perjalanan itu jauh. Lemah tenaga jiwa bila ber'dosa' tidak
memampukan ia untuk menanggung jarak perjalanan itu.

Dosa itu suatu yang melukakan jiwa. Ia melemahkan langkahan untuk menuju Allah.

Namun, hakikatnya semua manusia itu pasti akan berdosa. Kerana Allah tidak ciptakan manusia ini dengan memiliki 'standard ketaatan' yang sama seperti malaikat.

Manusia ini diciptakan dengan nafsu. Dia pasti akan tersilap. Dari kesilapan itu, perlunya pembaikan. Namun, gagal mengawal nafsu pula adalah satu bencana.

Memang Allah ciptakan kita dengan kepastian bahawa kita ini tidak pernah terlepas dari dosa. Kenapa?

Supaya kita ini meluangkan masa untuk melihat dan memuhasabah diri, lalu, kita membuat perubahan ke arah yang lebih baik.

Supaya kita lebih teliti dalam menjaga diri untuk mengejar cinta Allah.

Kita semua berhajat kepada cinta Allah, bukan?
Lalu, adakah Allah beri 'selonggok' macam itu sahaja cinta-Nya?
Oh, sudah tentu tidak!

Allah beri jalan untuk kita mencapai cinta-NYA. Allah tidak campakkan begitu sahaja. Kalaulah Allah buat begitu, maka pastinya kita tidak menghargai nilai cinta itu, kerana begitu mudah untuk mendapatkannya.


MAKSIAT DAN DOSA MELEMAHKAN PERJALANAN HATI MENUJU CINTA ITU

Sesiapa sahaja pasti pernah berbuat dosa. Baik anda, baik diri saya sendiri. Tetapi, bagaimana hati kita ketika dalam keadaan begitu?

Selesakah kita? Takutkah atau bagaimana perasaan ketika itu?

Perjalanan menuju cinta Allah ini sebenarnya banyak halangannya. Antara halangan terbesar adalah dosa kita sendiri.

Kalaulah diibaratkan sebuah kereta yang sedang bergerak, tayar pecah hanya kerana paku-paku kecil, adakah mampu lagi ia meneruskan perjalanan? Tidak, kecuali setelah dibaiki.

Begitulah dosa dalam kehidupan kita. Sekecil manapun dosa itu, ia tetap menjadi penghalang kita untuk merebut cinta Allah. Ia akan melemahkan jiwa kita, menyebabkan kita lesu dalam usaha menggapai cinta agung itu.

Kita perlu bersyukur apabila Allah sudi untuk anugerahkan cinta-Nya kepada kita. Kenapa?

Anda bayangkanlah, Sultan tidak pernah mengenali anda. Siapalah anda di mata Sultan.Anda hanya orang kampung, yang bekerja pun biasa-biasa saja. Tidaklah bergaji mahal, tidaklah berkedudukan tinggi. Tetapi, suatu hari, Sultan memanggil anda dan memberi anugerah sebagai tanda sayangnya kepada anda. Daripada ramai rakyatnya, cuma anda seorang sahaja yang terpilih, apa perasaan anda ketika itu?

Itu cuma seorang Sultan. Allah yang lebih besar daripada Sultan itu, Pemilik segala-galanya, ingin mengnugerahkan cinta kepada kita yang hina ini. Rasa-rasa, layakkah kita? Tetapi, Allah tetap juga ingin anugerahkan cinta-Nya kepada kita.

Allah ingin beri, kenapa kita tidak berusaha untuk mengambilnya?

Kalaulah seorang Sultan tadi ingin berikan anugerah kepada kita, tiba-tiba beberapa hari sebelum mendapat anugerah itu, kita telah membuat sesuatu yang menyebabkan Sultan itu murka, Agak-agaknya masih ada lagikah anugerah untuk kita?

Lalu, mengapa tidak dengan Allah? Bukankah sepatutnya bila Allah ingin anugerahkan sesuatu yang besar kepada kita yang hina ini, kita menyambutnya dengan baik?

Maka, bagaimana menyambut cinta Allah itu?


BERSIHKAN DIRI DENGAN TAUBAT

Sebenarnya, Allah masih lagi memberi peluang kehidupan kepada kita hingga saat ini supaya kita memanfaatkannya untuk bertaubat.

Kata As-Syahid Imam Hasan Al-Banna :

"Sekiranya anda ingin memperbaharui hubungan dengan Allah, mulailah dengan BERTAUBAT "

Kita tidak menuju Allah dengan membawa jasad kita ini. Tetapi, kita akan bertemu Allah dengan membawa jiwa kita ini.

Lalu, dengan apa kita mengisi jiwa kita ini?

Jiwa ini kekuatannya hanyalah bila bersandar pada Pemilik asalnya. Ia akan menjadi lemah bila bergantung kepada selain Pemiliknya.

Sekiranya kita mengisi jiwa ini dengan maksiat dan dosa, maka perjalanannya untuk menggapai cinta Allah itu semakin hari semakin lemah sekiranya kita tidak SEGERA bertaubat.

Bertaubat adalah untuk mensucikan jiwa kita. Jiwa yang bersih suci barulah dapat memberi kekuatan kepada badan untuk menggerakkan amal untuk mencapai cinta Allah.


PENUTUP : CINTAKAH KTIA PADA IA?

Anda inginkan cinta Allah, bukan? Lalu, mengapa tidak kita bersihkan halangan-halangan di sepanjang jalan ini untuk sampai ke matlamat cinta Allah itu?

Dosa dan maksiat itu hanya keseronokan bersifat sementara. Yang me'nikmati'nya di dunia akan menjamah api neraka Allah di akhirat. Yang resah dan risau kerana 'ter'jerumus ke dalamnya, maka dia perlu segera bangkit dan bertaubat.

Perkongsian daripada murabbi saya, Abu Munzir:

"Sekiranya kita ingin buktikan cinta kita kepada Allah, maka bangunlah pada waktu malam dan tunaikan solat sunat 2 rakaat ketika orang lain sedang tidur."

Dosa hanya melambatkan usaha kita untuk menggapai cinta Allah. Ia cuma melemahkan hati kita, menambah luka di jiwa serta memadam kebaikan.

Abdullah bin Mubarak berpesan:

"Aku perhatikan dosa itu mematikan hati dan mempertahankannya adalah kehinaan, meninggalkan dosa adalah KEHIDUPAN bagi hati, menundukkannya sangat baik bagi jasmani, dan yang merosak agama adalah para penguasa dan ulama' serta pakar yang jahat."


Orang yang selesa dengan dosa, maka dia perlu segera memeriksa dirinya adakah dia sedang BERCINTA dengan DOSA, atau BERCINTA dengan ALLAH?

Mari melihat contoh para sahabat dari kata-kata Ibn Qoyyim Al-Jauziyah dalam bukunya Mengetuk Pintu Keampunan Allah :

"Ssesiapa sahaja yang menghayati kehidupan para sahabat, tentu akan menemui bahawa mereka selalu beramal soleh yang disertai dengan rasa kekhuatiran, sedangkan kita memadukan antara kekurangan, bahkan antara antipati dan ketenangan."


Justeru, rancang TAUBAT anda setiap hari !

Tuesday, April 5, 2011

Gaza : Nilai Kejiwaan Untuk Kita Sebenarnya !


~ Cuma batu. Entah kenapa itu menjadi ancaman kepada Israel?

Saya pernah miliki cita-cita untuk ke Gaza. Lama dulu. Pernah sekali, saya menghubungi Doktor Arbaie' dan Brother NoorAzman (antara aktivis Mavi Marmara), memaklumkan hajat itu. Kalau tak silap saya, waktu itu sekitar tahun 2009. Sewaktu isu Palestin ini masih belum hangat diperkatakan. Saya bersama seorang lagi sahabat saya, Suhaib Shapiee diminta untuk SMS nama, no. IC, alamat dan ada lagi beberapa detail. Tetapi, bila teringatkan kisah itu, saya jadi tergelak dengan diri sendiri. Kenapa?

Ya. Waktu itu, saya baru usai menduduki SPM pada tahun sebelumnya. Waktu itu, antara calon yang dicari adalah doktor serta ustaz. Saya? 

Oh, sudah tentulah jauh sekali kriteria itu. Tetapi, sehingga sekarang masih menyimpan impian itu. Tetapi, saya tidak meletakkan impian itu sebagai keutamaan. Ada keutamaan yang lebih utama bagi saya. Andai ada peluang, diizinkan Allah, alhamdulillah.

Bagi saya, ada yang lebih penting untuk kita perhatikan dan introspeksi diri dalam isu Gaza ini. Saya tidak kata pergi ke Gaza itu sesuatu yang tidak penting, bahkan ia teramat penting untuk menghentikan kekejaman Israel yang mendirikan 'Tembok Ketakutan'nya itu untuk menghadang kemaraan rakyat Gaza.Tetapi, tidak semua berpeluang ke sana, bukan?

Lalu, mari kita ambil pengajaran bersama di sini. Kenapa saya kata itu adalah 'Tembok Ketakutan'? Apa  kaitannya pula dengan nilai kejiwaan ?

Ayuh, kita telusuri !


GAZA : BESARKAH IA?

Gaza itu adalah sebahagian daripada bumi Palestin. Cuma sebahagian kecil, bukan separuh.

Terlalu kecil rasanya dibandingkan dengan negara haram Israel yang jauh lebih besar itu. Bahkan, dalam satu perbandingan, dibandingkan antara Gaza dengan negeri Perlis. Ternyata Perlis yang merupakan negeri terkecil di Semenanjung Malaysia ini lebih besar daripada Gaza itu.

Ya. Memang Gaza itu tersangat-sangat kecil. Namun, jiwa rakyatnya tidak sekecil itu. Jiwa mereka besar. Gagah dan kuat.

Berapa tahun lamanya warga Palestin itu menanggung derita sengsara diperlakukan dengan begitu kejam oleh rejim Zionis itu?

Setahun? Dua tahun? Tiga tahun?

Tidak. Bahkan 60 tahun lebih lamanya.
Tempoh masa yang begitu panjang dan lama.

Apa yang membuatkan mereka itu begitu kental mempertahankan negara itu?
Hinggakan tinggal kawasan yang cuma ‘sekangkang kera’ itu sahaja, namun perjuangan masih kuat diteruskan.

Pertubuhan dunia/ antarabangsa manakah yang benar-benar datang menolong dan membela mereka?
Tiada. Kalau adapun, nampaknya seolah-olah Israel itu lebih hebat daripada gabungan-gabungan negara lain yang begitu banyak dan jauh lebih besar itu.

Kenapa? Kerana dominasi mereka tetap diteruskan ke atas rakyat Palestin meskipun amaran, tunjuk perasaan dilaksanakan.

Sekadar resolusi kosong, permeteraian Perjanjian Damai selama beberapa kali, serta gencatan senjata yang akhirnya ‘mimpi ngeri’ itu tetap terus dirasai oleh warga Palestin khususnya Gaza.

Tetapi, kenapa selama itu mereka ditinggalkan begitu, dibunuh sanak-saudara, kaum keluarga, hidup kelaparan serba tidak cukup, namun, mereka tetap sabar dan menyimpan harapan yang tinggi bahawa satu hari nanti umat akan membuka matanya?

Bayangkanlah kita di tempat mereka. Sehari pun sudah cukup untuk menentukan siapa diri kita sebenarnya. Kita belum tentu dapat menahan diri walau hanya sehari seperti mereka. Kita belum tentu akan terus berharap dan berharap dunia luar akan membuka matanya kepada kita, menghulur bantuan, meringankan bebanan, seandainya kita diuji seumpama mereka.

Tetapi, mereka di Gaza, harapan mereka teramat besar dan tinggi. Kerana mereka mempertahankan tanah wakaf untuk ummat Islam.

Namun, mereka tidak sekadar menyimpan harapan yang kosong. Harapan yang disertai dengan keazaman serta usaha yang bersungguh-sungguh, itu adalah hasil didikan iman yang mereka lalui.

Itulah sebab wujudnya ‘Tembok Ketakutan’ itu.


ISRAEL YANG PENAKUT ITU, SEBESAR TEMBOK ITU SEBENARNYA KETAKUTAN DALAM JIWA MEREKA.

Bila diteliti kembali, sebenarnya, Israel telah menggunakan bahan keluli yang dikenali sebagai ‘Super Strength Steel’.

Apa kelebihan keluli jenis ini? Tahan daripada pemotongan, penebukan dan letupan bom.

Sejauh mana pembinaannya? Sejauh 102km (ruj) bahkan dibina juga di bawah tanah kononnya untuk menghalang penyeludupan senjata-senjata haram.

Saya kira anda pun lebih arif dan tahu fakta tentangnya.

Saya tidak ingin bahaskan soal ketebalan atau kepanjangan tembok itu.
Tetapi, yang ingin saya persoalkan adalah kenapa timbul idea sehingga sebegitu sekali?

Logiknya, rakyat Gaza yang tidak miliki apa-apa itu, makanan disekat, perubatan dihalang, senjata tidak dibenarkan, apakah mereka itu mampu memberi ancaman kepada Israel?

Mari kita berfikir secara logik. Setelah 60 tahun lebih hidup di bawah kekejaman mereka, bukankah 60 tahun itu suatu masa yang lama, bahkan kalau nak diikutkan, mereka sudahpun menguasai hampir majoriti Palestin, lalu apa perlunya tembok itu?

Dan lagi, sejumlah rakyat yang kecil di Gaza itu berbanding mereka di Israel yang jauh lebih ramai, adakah itu juga menjadi satu ancaman buat mereka?

Maka di sinilah jawapannya. Itulah tembok ‘Ketakutan’ yang telah sedia terbina dalam jiwa mereka sebelum terbinanya tembok besar itu.

Ketakutan mereka kepada sejumlah rakyat Gaza yang kecil tanpa kelengkapan hidup yang cukup itu membuatkan mereka jadi begitu cemas dan takut hingga terpaksa mendirikan benteng setebal dan sepanjang itu.

Lalu, mari kita perhatikan. Apakah rahsia kekuatan rakyat Gaza di kawasan sekecil itu sehingga mampu memberi ancaman kepada rejim Israel yang jauh lebih canggih dan lengkap daripada mereka?


AL-QURAN MASDAR(SUMBER) KEKUATAN UTAMA

Teringat saya kepada seorang Syeikh dari Palestin yang pernah datang ke Malaysia sebelum ini. Matanya buta, tetapi mata hatinya celik jauh melampaui kecelikan orang-orang yang celik matanya.

Antara pesannya, “Mulailah dari mencintai Al-Quran. Didikan itu telah melahirkan satu generasi yang beramal untuk akhirat.”

Itulah rahsia kekuatan jiwa mereka. Al-Quran dan Al-Quran sahaja.

Mereka tidak mengutip ayat-ayat Allah itu sekadar untuk dihafal atau dilagukan, bahkan menjadi satu inspirasi kekuatan jiwa buat diri mereka.
Bahkan, seorang budak lelaki Palestin, iaitu Ibrahim Nizar Rayyan selalu berdoa agar Allah kurniakan syahid kepada dirinya. Berapa umurnya ketika itu? 16. Baru 16 tahun.
Tetapi, amalannya mendahului orang yang berumur 61 tahun barangkali. Dia selalu qiamullail dan berpuasa sunat.

Ibunya yang mendengar doanya, bahkan membenarkannya. Akhirnya, dia berjaya membunuh seorang ahli nuklear Zionis.

Mari kita tanya diri kita dan masyarakat kita, di manakah anak-anak muda kita yang berumur 16 tahun dan ke atas hari ini?

Meskipun jatuh, tetapi akan tetap bangun !

PENUTUP : MEMAKNAKAN USAHA KITA KE SANA DAN DI SINI

Jika anda sudah pun berkali-kali menghulurkan sumbangan, Alhamdulillah.
Jika anda masih belum, masih ada kesempatan untuk itu.

Marilah memaknakan sumbangan kita itu. Tidak cukup hanya sekadar menyumbang wang ringgit, tenaga dan sebagainya untuk membantu proses meruntuhkan ‘Tembok Kematian’ itu.

Ada yang lebih penting daripada itu. Adakah hati kita juga di ‘proses’ ketika membantu proses itu? Sudah robohkah tembok penghadang antara kita dengan Allah?

Palestin bukan semata-mata sebuah negara, tetapi ia adalah kehidupan orang Islam. Kerana negara itu bukan diwakafkan untuk individu, tetapi untuk ummat.

Kita boleh melihat perbezaan yang jelas. Mereka adalah Islam. Kita juga adalah Islam. Tetapi, pada suatu sudut, kita perhatikan kita dan mereka hampir-hampir tidak sama. Lalu, di manakah kurangnya kita?

Palestin itu sebuah kisah kekuatan jiwa. Ia bukan kisah penglipur lara. Sekadar bercerita untuk membangkitkan rasa, akhirnya dilupakan begitu saja.

Kalau di sini, kita sibuk bercerita tentang gejala zina dan buang anak, di Palestin, ceritanya adalah tentang mengejar mati syahid yang mulia.

Kalau di sini, kita masih bercerita tentang Sang Kancil dan Si Buaya kepada anak-anak sebelum tidur, tetapi cerita mereka di sana adalah cerita benar dari Al-Quran dan sirah Nabi dan para sahabat.

Jika di sini, kita bercerita tentang pemilihan antara syurga dan neraka, di sana mereka sibuk memilih syurga mana yang akan mereka masuki !

Jika di sini, kita sibuk bercerita tentang sibuknya kita, bekerja seharian untuk mencari nafkah untuk diri dan keluarga, tetapi mereka di sana tidak pernah bercerita tentang sibuknya mereka bekerja untuk UMMAH.

Lalu, mari menilai diri !

Siapa yang sepatutnya mengambil iktibar daripada semua ini?

Mereka di Palestin atau kita yang di sini?

Tepuk dada, Tanya IMAN !

Sunday, April 3, 2011

Surat Cinta Untuk Jiwa

Hati ini perlu sentiasa diperhati dan diperiksa dengan teliti ...

Makan. Satu keperluan kepada semua manusia. Bolehkah manusia hidup tanpa makanan?

Boleh, tetapi itu hanya di akhirat sekiranya syurga menjadi destinasi akhir.

Di dunia, tidak!  Manusia bukan malaikat, yang diciptakan tanpa nafsu. Manusia perlu makan untuk hidup. 

Kalau tidak makan, sudahnya tentulah anda akan lapar, bukan?

Letih, tidak larat, tidak bertenaga, dan sebagainya.

Bagaimana, anda sudah makan? Sedap makanan anda hari ini?

Kalau sedap, alhamdulillah. Kalau tidakpun, sekurang-kurangnya anda masih ada makanan untuk dimakan.

Itu keperluan tubuh. Jiwa ini ada keperluan 'makanan'nya juga.

Bila pula masanya itu untuk 'makanan' jiwa? Kalau kita seharian makan ada sarapan (breakfast), makan tengah hari (lunch), makan malam (dinner), minum tengah malam (supper) dan sebagainya, bukan?

Itu mungkin bagi yang berkemampuan. Kalau yang agak kurang berkemampuan, mungkin sekali sehari makan.

Maka, bagaimana pula 'makanan' jiwa? 


'MAKANAN' JIWA ITU SUDAH SEDIA TERHIDANG, AMBIL SAHAJALAH ...

Jiwa bila tidak diberi 'makan', maka jiwa itu akan kegersangan. Jiwa yang gersang, lemah dan tidak bermaya sekali-kali tidak dapat menggerakkan tubuh untuk melakukan segala amal kebaikan.

Sekalipun, amal itu sekecil mengangkat duri yang menghalang perjalanan.

Lalu, di manakah akan anda perolehi bekalan untuk jiwa anda itu?

Maka, kembalikanlah diri kita kepada Sang Pemilik jiwa ini.
Siapakah yang menciptakan kita dan seluruh isi alam semesta ini?
Allah s.w.t. Allah yang menciptakan kita.

Bukankah seorang mekanik, pembuat kereta lebih mengetahui tentang hal pembuatan dan pembaikan kereta daripada seorang doktor?

Bukankah seorang doktor lebih mengetahui tentang hal kesihatan dan jenis-jenis penyakit serta rawatannya berbanding seorang guru?

Nah, di situ sudah terletak logiknya.
Bukankah Allah yang menciptakan kita?
Lalu, bukankah segala urusan jiwa dan alam ini di bawah pengetahuan dan urusan-Nya?

Off course !

Jadi, anda hanya akan memperoleh bekalan untuk jiwa anda bila anda kembali mendekati-Nya.


BAGAIMANA MENDEKATI ALLAH? KITAKAN TAK NAMPAK ALLAH ...

Ya. Memang kita tidak nampak Allah.

Tetapi kita telah nampak 'kasih' Allah pada kita.

Bukankah Allah telah kirimkan kasih-Nya melalui Al-Quran Kalamullah itu?
Bukankah Allah telah hantar 'surat-surat cinta-Nya' kepada kita?

Bagaimanakah perasaan dan tindakbalas anda bila menerima surat daripada kekasih hati?
Rasa seolah-olah tiada apa yang lebih berharga lagi dalam dunia ini selain daripada kasih anda dan dia, bukan?

Lalu, apa yang kita lakukan saat membaca dan menerima 'surat-surat cinta-Nya' itu?
Cuma baca tanpa perasaan? Ataupun cuma menghafal skrip 'surat-surat cinta' itu?
Atau kita bacanya dengan penuh gaya dan pelbagai lenggok bacaan yang menarik perhatian orang lain sahaja seperti gurindam, syair, puisi dan yang sebaris dengannya yang dideklamasi penuh perasaan?

Atau kita mengambil surat itu, membaca satu ayat ke satu ayat hingga tertangis sendirian, tersenyum, membuak-buak kerinduan saat membaca surat itu hingga membuatkan anda mengikut segala arahan-arahan dalam surat itu?

Lalu, bertambahlah kerinduan kita untuk bertemu dengan 'Penulis surat cinta itu.' Kerana kita sudah jatuh hati kepada-Nya, menyebabkan kita ghairah dan tidak tahan lagi untuk mendapatkan balasan cinta dan kasih-Nya.

Allah. Allah. Allah.

Terima kasih ya Allah, jika itu yang dirasakan sekarang.

Maka, dekatilah 'kasih'-Nya itu..
Bukan saja-saja Dia mengurniakan kita Al-Quran itu. 
Tetapi, kita saja yang selalu lupa bahawa itu adalah tanda kasih dan kecintaan-Nya kepada kita.

Dalam Al-Quran itu ada segalanya. Ada ubat untuk kerinduan, kecintaan. Ada rawatan untuk kesedihan dan luka-luka hati. Ada berita dan kisah yang memotivasikan.

Maka, adakah kita mengambil ibrah dari semua itu?

As-Syahid Sayyid Qutb dalam bukunya LailahaIllallah Manhaj Hidup Muslim menggambarkan seperti berikut:

"Seandainya anda melihat orang yang sedang sakit membuka buku tentang pengubatan dan mengira bahawa dengan membacanya ia akan dapat sembuh dari penyakitnya, maka apa yang anda dapat katakan tentang orang itu? Tentu anda akan mengatakan bahawa orang tersebut tidak siuman dan perlu dihantar ke hospital sakit jiwa? Akan tetapi, tidakkah anda sedar bahawa anda sendiri melakukan hal yang sama kepada buku yang dikirimkan oleh Doktor terpandai untuk menyembuhkan penyakit-penyakit anda?"


MAKA, AMBIL BERATLAH DENGAN 'BREAKFAST', 'LUNCH', 'DINNER' DAN 'SUPPER' JIWA ANDA....

Satu perkongsian yang menarik daripada murabbi saya, Pak Cik Rosdi Baharom ataupun famous dengan gelaran Abu Munzir sewaktu penyampaian beliau di KTD, katanya, "Sebelum kita bersarapan pagi, kita perlu pastikan jiwa kita sudah bersarapan."

Mari kita tanya diri kita...
Apakah sarapan jiwa kita pada hari ini?

Dan izinkan saya berkongsi sebahagian sarana-sarana 'hidangan-hidangan' harian untuk 'makanan jiwa' itu secara ringkas. Banyak sarana-sarana untuk mengisi jiwa kita sebenarnya. Saya kongsikan sebahagian sebagai ingatan untuk saya dan kita semua. Cuma terpulang kepada kita bagaimana kita mengisinya.

(1) Qiamullail atau bangun malam

Kata Abu Munzir, "Cara PALING BAIK untuk jernihkan hati adalah untuk bangun solat 2 rakaat ketika orang lain sedang tidur."

(2) Solat 5 waktu sehari

Kewajipan kita semua yang asasi. Stesen pembersihan dan penyucian jiwa yang paling berkesan. Firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perkara keji dan mungkar."

(3) Tadabbur dan tilawah Al-Quran

Satu sarana yang memberangsangkan ! Saat ini, jika anda menghayati bacaan ayat-ayat Allah s.w.t., anda akan temukan kemanisan yang tiada tandingannya !

Ia bukan sekadar untuk dijadikan zikir, tetapi ia untuk difikir sedalam-dalamnya.

(4) Zikir dan wirid al-ma'thurat

Zikir dan kumpulan wirid yang ma'thur, dikumpulkan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna bersumberkan hadith-hadith Nabi s.a.w. Sangat mengesankan jiwa !

(5) Doa

Pemilik jiwa ini bukanlah kita. Tetapi Pemilik jiwa ini adalah Pemilik kepada alam semesta yang luas ini. Allah s.w.t. Sentiasalah berdoa, memohon hidayah dan penyucian jiwa daripada-Nya. Berdoalah dalam keadaan penuh rasa kerdil, lemah dan tidak memiliki apa-apa kerana kita sememangnya tidak memiliki apa-apa pun. Semua yang ada bersama kita hanyalah pinjaman dari-Nya. 'Barang pinjam' jika tidak digunakan dengan baik, malah dipinjamkan secara percuma pula, maka tunggulah saat dihukum.


PENUTUP : BUKANLAH YANG KUAT ITU TUBUH, TETAPI JIWA

Satu kisah di Palestin yang mungkin sudah anda biasa dengar. Kisah seorang budak berumur 10 tahun syahid bernama Faris Audah. Ada apa yang istimewa pada dirinya? Tidak ada apapun yang istimewa. Dia seperti kanak-kanak lain. Sasakah tubuhnya? Tidak.

Tetapi, jiwanya lebih gagah dan berani. Apa yang menolak dirinya untuk menentang kereta kebal Israel yang jauh lebih besar dari dirnya, dilengkapi dengan pelbagai macam alat-alat yang canggih? Sedangkan dirinya hanya berbekal batu-batu kecil?

Kerana jiwanya ...
Jiwanya saban hari disiram dengan kesuburan cinta dan kasih untuk bertemu Rabb-Nya.
Sebab itu, dia tidak pernah takut. Namun, tentera Israel yang pengecut itu takut menghadapi seorang budak yang hanya berbekalkan batu-batu kecil.

Itu kekuatan mereka yang sentiasa menyiram jiwa mereka supaya sentiasa subur. Dibajai dengan cermat, diairi secukupnya. 

Kita hidup bukanlah dengan jasad ini, tetapi kita hidup dengan jiwa.
Lalu, cukupkah dengan hanya beri makan kepada tubuh, tetapi kita mengabaikan 'makanan' jiwa kita? 

Sudah tentu tidak. Kenapa?
Kerana jiwa ini perlukan kekuatan untuk menggerakkan diri kita melakukan kebaikan!

Friday, April 1, 2011

Fikirlah Untuk Bergerak dan Bekerja !


Ayuh, bergerak dan bekerja ! Perjalanan masih jauh ...


Islam hari ini dalam keadaan ghurbah. Asing. Pelik.

Hari ini, Islam dipandang dan dilihat sebagai sesuatu yang begitu asing. Nampak Islam, seolah-olah seperti nampak ‘alien’.

Hari ini, Islam diukur dengan neraca yang dipamerkan oleh umat Islam itu sendiri. Kadang-kadang, neraca yang dipamerkan tidak sepadan dengan Islam yang sebenar itulah mengakibatkan Islam di salah tafsir dan dipandang serong.

Islam kembali dagang seperti mana ia bermula. Terlalu sedih rasanya melihat ummat dihenjak-henjak oleh jahiliah pada hari ini. Bahkan, ada pula umat Islam sendiri yang ‘menyerahkan  diri’ untuk dilunyai-lunyaikan oleh kufar. Sudahlah luka kelmarin tidak sembuh, hari ini luka bertambah besar menjadi barah.

Inilah yang disebut oleh Dr Majdi Al-Hilali:

“Hari demi hari, luka-luka baru menjaluri tubuh ummat, sedangkan luka-luka semalam belum menampakkan tanda-tanda akan sembuh.”


LUKA YANG MEMBARAH KESAN DARI SUASANA YANG MENCEDERAKAN

Hakikatnya, pada hari ini, anak-anak umat Islam dibesarkan dalam keadaan dan suasana yang ghurbah (asing). Suasana yang ada tidak membangkitkan kesedaran jiwa dan menghilangkan kepekaan terhadap apa yang berlaku kepada ummat pada hari ini.

Kata Abul A’la Al-Maududi:

“Mencari hidayah dalam keadaan ghurbah(asing) umpama orang yang memanjat gunung berbanding orang yang selesa dalam keadaan ghurbah(asing) umpama orang yang menuruni gunung.”

Sesiapa yang mencari peluang untuk pembinaan dan peningkatan diri dalam suasana yang meruntuhkan jiwa ini, maka pasti Allah akan menambah kefahaman dan keyakinannya terhadap deen ini.

Tetapi, orang yang hidup selesa dalam suasana yang rosak ini, tidak ada rasa kegentingan perlu berbuat sesuatu, maka keselesaan itu akan membuatkan jiwanya terus lemah dan lemah.

Kata Said Hawwa dalam Al-Islam:

“Orang yang dalam ghurbah ini umpama orang yang dalam kebakaran sedangkan dia sedang tidur.”

Apa anda buat bila rumah sudah terbakar?
Sudah tentu anda akan lari keluar, bukan?

Masihkah sempat untuk anda tidur? Tidak.

Anda perlu kejutkan orang yang tidur sehingga dia bangun kerana rumahnya sedang terbakar. Dia perlu bangun dan selamatkan dirinya.

Itulah gambaran suasana yang ada pada hari ini.

Lalu, masihkah ada ruang untuk kita berehat tatkala kita tahu suasana yang ada pada hari ini bakal mencederakan kita?


FIKIRLAH UNTUK BERGERAK DAN BEKERJA !

“Ana ni lemah, anta lainlah, qowie.”

“Aku ni tak layak nak nasihat-nasihat orang. Aku pun bukannya baik sangat.”

“Aku ada kena jaga rumah hari ini. Sorilah, tak dapat ikut halaqah.”

Alasan. Alasan. Dan alasan.

Kalau kiamat besok, apakah sempat kita beralasan dengan Allah?

“Allah, aku tak sempat nak pergi halaqah. Aku kena jaga rumah.”

Haha. Layakkah kita memberi alasan sebegitu dibandingkan dengan nikmat Allah yang sekian lamanya kita menikmati ini?

Hari ini, ramainya umat Islam yang menjadi PENUMPANG. Menumpang sebuah kereta yang sedang bergerak menuju ke gaung. Tetapi, ‘penumpang’ tidak pula berkata apa-apa, tidak menghalang, bahkan mengikut sekali masuk ke gaung.

Kita perlu berhenti menjadi hanya sekadar PENUMPANG. Kita perlu menjadi seorang PEMANDU.

Kita yang sepatutnya ‘MEMANDU’. Barulah kita boleh menentukan halatuju kita dengan betul.

Berhentilah mereka-reka alasan. Usahlah kita menjadi orang yang LEMAH dan TERPEDAYA.

Orang yang mencipta alasan untuk lemah, dia telah terpedaya dengan syaitan.

Bayangkanlah, anda sudah berada dalam rumah yang terbakar, lalu anda masih memberi alasan, “Aku mengantuk lah. Engkau keluarlah dulu. Aku nak tidur kejap.”

Tidak rasa pelikkah begitu?
Justeru, apa yang kita perlu buat sekarang?

Fikirlah apa yang mampu kita buat dan sumbangkan untuk Islam.
Bukannya sibuk memikirkan, “Aku ni lemah, engkau tu qowie.”

Tidak.Tidak. Kita perlu berhenti memikirkan siapa lemah, siapa kuat.
Yang perlu kita rancang sekarang adalah bagaimana menjadi kuat.
Kejarlah apa-apa sahaja peluang dan wasilah untuk kita sumbangkan sesuatu kepada deen ini.

Mustahil kita ini terlalu lemah hingga tidak mampu buat apa-apa untuk Islam.

Bilal bin Rabah, cuma seorang hamba. Tidak memiliki apa-apa. Tetapi Bilal merancang untuk menjadi kuat. Diseksa, dijemur di padang pasir, dipakaikan baju besi, dihempap batu besar, tetapi dia kuat mempertahankan akidahnya.

Amr Ibn Jamuuh, seorang tua dan cacat pula. Meskipun tempang sebelah kakinya, namun jiwanya kuat mendorong beliau untuk menyertai perang Uhud bersama Rasul s.a.w. Beliau mencari alasan untuk menjadi kuat. Katanya kepada Rasul s.a.w. :

“Wahai Rasulullah, anak-anakku hendak menghalangku berperang bersamamu. Demi Allah, daku ingin berjalan dengan penuh kebanggaan dengan kakiku yang tempang ini di syurga.”

Air yang mengalir nampak lebih segar dan menyegarkan.

PENUTUP :  TIDAK BERGERAK = JIWA LEMAH, LUKA MEMBARAH

Kita perlu bergerak dan bekerja. Jika kita tidak bekerja, jiwa kita akan terus lemah dan lemah. Kerana kita tidak proses ia untuk menjadi kuat.

Janganlah menjadi seperti ‘ayam daging’. Cuma tunggu diberi makan. Malas mencari makan sendiri. Hinggalah gemuk. Ia cuma menunggu masa untuk disembelih. Kita yang tidak bekerja dan terus biarkan diri dalam kelemahan, maka tunggulah masa ‘disembelih’ oleh kufar.

Imam Syafie menggambarkan dalam puisinya:

Bagi orang-orang yang berakal dan berilmu,
Tinggalnya di rumah tiada nikmat keselesaannya,
Maka tinggalkanlah tanah air dan berdaganglah ke tempat yang jauh,
Di sana akan didapatinya gantian bagi orang-orang yang ditinggalkannya.
Bersakit-sakitlah dalam kehidupan, di situlah letak kelazatan,
Lihatlah air bila ia bertakung baunya berubah menjadi busuk,
Dan kalau ia sentiasa mengalir, barulah keheningannya kekal.

Singa tidak akan bertemu mangsanya jika ia tidak meninggalkan rimbanya,
Begitu juga panah tidak akan bertemu sasarannya jika tidak tinggalkan busarnya,
Lihatlah pula Matahari yang bergemerlapan indah, kalau ia tetap tinggi di perut langit,
Nescaya akan dibosani oleh orang Ajam mahupun Arab yang memandangnya.

Bijih yang berharga tidaklah bernilai jika dibiarkan di tempatnya,
Begitulah juga kayu gaharu kalau ia ditinggalkan di buminya,
samalah ia dengan kayu-kayu lain yang bakal dibuat kayu api.
Kalau kedua-duanya (bijih dan gaharu) diambil keluar dari tempatnya,
Lihatlah betapa tinggi mutunya laksana emas.

Jadi, bergerak dan bekerjalah !

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP