Tuesday, November 30, 2010

Umur Singkat Tapi Berkat




Umur umat akhir zaman ini tidak panjang seperti umat-umat yang sebelumnya.

Ia tidak sepanjang umur umat Nabi Nuh a.s.Bahkan Nabi Nuh sendiri mampu hidup sehingga lebih kurang 1000 tahun. 

Dakwahnya berjalan selama hampir 950 tahun, namun hanya beberapa orang sahaja dari umatnya yang menyambut seruannya.

Umur umat ini terlalu singkat, sekitar 60-70 tahun majoritinya. Ada juga yang mencapai lebih sedikit daripada itu, namun jumlahnya tidak banyak.

Bahkan Nabi s.a.w. sendiri, Nabi dan Rasul kepada ummat ini, kembali bertemu Allah pada umur 63 tahun.
Singkatnya umur manusia zaman ini.

Namun, singkatnya umur umat ini, tidak bermaksud tipisnya peluang untuk mendapat ganjaran yang banyak seperti umat-umat terdahulu.

Bahkan, Allah telah menjanjikan kepada umat ini ganjaran yang berkali ganda hebatnya berbanding umat terdahulu.


1 KEBAIKAN = 10 PAHALA, NIAT BUAT BAIK = 1 PAHALA

Inilah tawaran terbaik daripada Allah, Pencipta Alam ini buat hamba-hambaNya.

Kasih dan belasnya Dia kepada kita, umat akhir zaman ini.

Mafhum sabda Nabi s.a.w. :
ومن همّ بحسنة فلم يعملها فعلِم الله أنه قد أشعرها قلبه وحرص عليها، كُتبت له حسنة. ومن همّ بسيئة لم تُكتب عليه ومن عملها كُتبت واحدة ولم تُضاعف عليه. ومن عمل حسنة كانت عليه بعشر أمثاله

Siapa yang berazam untuk melakukan kebaikan tetapi tidak membuatnya,maka Allah telah mengetahui bahwasanya hatinya sudah merasai (untuk melakukan kebaikan itu) dan sangat bersungguh-sungguh/semangat keatasnya (kebaikan tersebut),ditulis baginya 1 kebaikan dan Siapa yang berazam untuk melakukan kejahatan akan tetapi tidak melakukannya,tidak ditulis keatas dirinya dan siapa yang melakukannya (kejahatan),ditulis keatas drinya 1 kejahatan tanpa digandakannya(dosa).dan siapa yang melakukan 1 kebaikan,baginya 10 kali ganda.

~Riwayat Imam At-Tirmizi dan An-Nasai.

Ini baru ganjaran untuk satu amalan kebaikan.

Belum dikira lagi ganjaran yang Allah ingin beri dalam bulan Ramadhan seperti malam Al-Qadr yang ganjarannya lebih baik dari 1000 bulan, buat satu amal wajib ganjarannya seperti 70 amal wajib, buat 1 amal sunat ganjarannya seperti 1 amal wajib, ganjaran puasa sehingga 700 kali ganda dan lain-lain ganjaran.

Belum lagi dikira ganjaran membaca Al-Quran. Satu huruf bersamaan 10. Membaca ‘Bismillahirrahmanirrahim’ saja sudah mendapat 190 ganjaran. Inikan pula ditambah dengan membaca surah dan ayat tertentu.

Belum lagi dikira lain-lain lagi amalan-amalan yang Allah janjikan ganjaran-ganjaran istimewa dalamnya.

Baiknya Allah terhadap kita, bukan?

Kita manfaatkan atau tidak?

Firman Allah dalam surah Al-Mulk, 2 yang bermaksud:

“Yang menjadikan mati dan hidup bagi menguji siapakah di antara kamu yang terbaik amalannya?”

Allah beri kehidupan dunia untuk kita beramal dan Allah ciptakan kerehatan sebenar untuk kita di alam kubur.

Bandingkanlah tempoh masa antara kehidupan dunia dengan kehidupan di alam kubur (barzakh).

Semua manusia yang telah meninggal dunia akan berada di alam barzakh sebagai tempat persinggahan sementara menanti waktu ditiup sangkakala kedua untuk semua manusia dibangkitkan dan dihisab di Hari Kiamat.

Nabi s.a.w. sendiri telah berada di alam barzakh untuk tempoh yang agak lama, sejak lebih 1400 tahun yang lalu.

Umat-umat yang terdahulu? Sudah tentu lebih lama...

Kita? Kita sendiri tidak mengetahui bilakah masa kematian kita dan bilakah bakal berlakunya hari kebangkitan semula itu?

Umur kita di dunia ini sekejap sahaja, di alam barzakh itu mungkin berkali ganda lamanya untuk kita, mungkin juga tempoh masa yang sekejap untuk kita. 

Namun yang pasti, umur kita di negeri akhirat itu adalah INFINITI, tidak ada penghujungnya kerana selamanya kita di sana.

Justeru, jika umur kita di dunia ini hanya sesingkat itu, untuk apa kita sibuk-sibukkan diri untuk mengejar dunia yang terlalu sedikit nilainya ini?

Sebenarnya, dengan umur yang sesingkat ini, kita boleh mendapat kebahagiaan yang berkekalan lamanya untuk kehidupan kita yang lebih lama di alam seterusnya.

Namun, dengan umur sesingkat ini jugalah, kita bakal derita selama-lamanya di alam seterusnya itu.
Bagaimana mendapat BAHAGIA selama-lamanya itu?


CONTOHI SAHABAT NABI, MEREKA ORANG YANG BIJAK DALAM MEMANFAATKAN UMUR YANG SINGKAT

Sahabat Nabi adalah orang-orang yang bijak dalam memanfaatkan umur yang singkat ini.

Mereka telah dididik oleh Nabi s.a.w. supaya sentiasa merancang dan memilih yang terbaik untuk kehidupan ini.

Oleh sebab itu, para sahabat selalu bertanya Rasul s.a.w. amalan-amalan yang afdol (utama) dalam kehidupan mereka.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya:
Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah amalan yang paling utama?
Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya.
Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi?
Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua.
Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi?
Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.
Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan baginda.

[Riwayat Bukhari Muslim]

Bukan mereka memilih-milih dalam beramal, namun mereka mengutamakan yang lebih utama kerana kebaikan yang lebih utama itulah yang memanjangkan usia mereka yang singkat itu.

Memanjangkan usia yang singkat?

Apa maksudnya?

Ya. Kita ini hidup tidak lama.

Jika kita memilih amalan-amalan yang kecil nilainya dan tidak utama, maka kita telah terlepas sesuatu yang besar untuk umur kita yang singkat itu.

Bayangkanlah saya nak beri hadiah wang kepada anda, tapi anda yang kena pilih hadiah itu. RM 10 dan 10 sen. Mana yang anda mahu?

Semestinya RM 10 jadi pilihan anda, tak? Dengan RM10 kita boleh beli apa yang tidak boleh dibeli dengan 10 sen.

Nah, itulah yang para sahabat Nabi s.a.w. nampak.


Allah nak beri yang lebih besar, kenapa kita pilih yang lebih sedikit dan kecil nilainya?
Rugilah kita....

Dengan amalan kebaikan yang lebih utama, mereka akan dapat ‘cover’ usia mereka yang tidak panjang itu.
Mereka memilih keutamaan dalam kehidupan mereka.

Nabi s.a.w. sendiri, memanfaatkan masa selama 23 tahun kerasulannya untuk menyebarkan Islam, mempersiapkan satu generasi contoh kepada ummat manusia, bahkan sehingga ke hari ini ajarannya itu dapat dinikmati oleh kita.

Saidina Abu Bakar as-siddiq, beliau hanya memegang tampuk kepimpinan selama 2 tahun setengah sahaja. Namun beliau berjaya memerangi para pendusta, mengembalikan orang-orang yang murtad kepada Islam, bahkan sempat menakluk Rom dan Parsi.

Umur mereka tidak panjang, namun umur didikan mereka terus kekal hingga ke hari ini. Tidak hanya itu sahaja, bahkan ganjaran pahala terus-menerus sampai kepada mereka meskipun sudah tidak ada lagi di dunia ini.


KEUTAMAAN ITU PADA KUALITI DAN MUTU, BUKAN PADA KUANTITI

Singkatnya umur membuatkan para sahabat Nabi bijak dalam memilih amalan yang terbaik kualitinya dalam kehidupan mereka.

Bukanlah kuantiti atau banyaknya amalan menjadi ukuran, bukan juga panjangnya umur yang menjadi persoalan, tetapi mutu dan kualiti umur serta amalan itu yang diutamakan.

Bagaimana menilai kualiti dan mutu sesuatu amalan itu?

Sudah tentulah melalui ketetapan Allah dalam Al-Quran serta hadith-hadith Nabi s.a.w.

Firman Allah s.w.t. dalam surah As-Saff , 10-11:

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik buat kamu jika kamu mengetahui.”

Kata As-Syeikh Yusuf Al-Qardawi dalam bukunya, Fiqh Al-Awlawiyyat (Keutamaan Fiqh Menurut Al-Quran dan Sunnah):

“Manusia tidak boleh dinilai dari banyak bilangannya atau besar ukuran tubuhnya. Maka begitu jugalah umur manusia, tidak seharusnya dipandang dari panjangnya (lamanya hidup) kerana terkadang manusia diberi umur panjang tetapi tidak ada berkatnya. Manakala ada orang yang singkat usianya tetapi dapat berbuat banyak, melakukan pelbagai kebajikan, dan malah melakukan amal yang TERBAIK.”

Ibn Ato’ pula menyebut dalam bukunya, Hikam:

“Terkadang umur yang panjang tetapi sedikit amalnya, dan terkadang umur yang singkat tetapi banyak amalnya. Siapa yang diberkati umurnya, ia mendapat nikmat-nikmat Allah dalam tempoh (umur) yang singkat, walaupun tidak ada orang menunjukinya.”

Tokoh-tokoh ulama’ dan para cendekiawan Islam adalah orang yang wajar dicontohi dalam hal ini.

Meskipun mereka tidak lagi ada di atas dunia ini, namun ajaran dan didikan mereka terus berkembang dalam pemikiran dan jiwa ummat.

Ibn Qoyyim Al-Jauziyah meninggalkan karya-karya jiwa yang banyak menyentuh hati.

As-Syahid Imam Hasan Al-Banna sendiri meninggalkan satu kafilah dakwah yang diteruskan oleh para pengikutnya. Ajaran dan didikannya tidak pernah mati meskipun beliau sudah tidak ada.

As-Syahid Sayyid Qutb, karya-karya yang mahal dan berharga serta menyentuh hati, sehingga ke hari ini menjadi bahan rujukan dakwah dan harakah Islamiyah.

Ramai lagi tokoh-tokoh ulama’ Islam yang telah menunjukkan contoh dalam memanfaatkan umur yang singkat ini. Imam An-Nawawi, Abd Kadir Al-Jailani, Ibn Taimiyah, Imam Syafii serta ramai lagi.

Ajaran dan didikan mereka tidak hilang dengan pemergian mereka bahkan terus berkekalan hingga ke hari ini.


PENUTUP : ORANG YANG BIJAK MERANCANG UMURNYA

Nabi s.a.w. pernah bersabda yang mafhumnya:

“Orang yang paling bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya.”


Bahkan, As-Syahid Imam Hasan Al-Banna juga pernah menyebut:

“Orang yang bijak adalah orang yang mengolah seni kematiannya.”

Umur kita tidak panjang. Kita tidak tahu di mana dan bilakah penghujung kepada kehidupan ini.

Sementara Allah masih kurniakan peluang untuk kita terus hidup, manfaatkanlah.

Segeralah untuk melakukan KEBAIKAN hari ini, kerana kita tidak tahu apakah masih ada lagi esok untuk kita?

Jangan ditangguh, hayat untuk beramal hanya sekali, sekejap pula, janganlah kita siakan.

Hayat sekali lagi di akhirat hanya untuk ganjaran. Jika di sini kita siakan, rugi selamanya di sana.

Jika di sini kita manfaatkan, maka BAHAGIA menunggu kita di sana...

Tuesday, November 23, 2010

Dakwah : Berbicaralah Melalui Hati

HATI - Pusat interaksi manusia 
Manusia hidup dengan hati (qalbu) dan perasaan.

Dua nikmat besar yang Allah kurniakan untuk manusia itu menjadi 'manusia'.

Tanpa keduanya, kita tidak akan jadi manusia.

Kita akan jadi umpama robot, tiada hati untuk memilih hidup, hanya menanti disuruh. Tiada perasaan untuk merasai nikmat hidup.

Itulah kehidupan ROBOT. Ia dicipta untuk menanti arahan untuk dilaksanakan, baik atau buruk arahan itu bukan masalah bagi robot kerana dia tidak memiliki hati untuk memahami baik dan buruk. Ia juga tidak akan rasa apa-apa meskipun disuruh melakukan kehancuran mahupun kemusnahan.
Kerana ia tidak memiliki hati dan perasaan.

Berbeza dengan manusia yang Allah ciptakan.
Dia punya hati untuk menentukan baik buruk hidup ini.
Dia miliki perasaan untuk menikmati pahit manis hidup.

Sebab itulah, manusia berhubung melalui hati.
Kita tidak dapat menyentuh hati itu dengan tangan, namun kita mampu buat ia tersentuh.


SENTUHAN MEREKA YANG MEMBUAT HATI SAYA TERTARIK

    Saya pernah bersama sekumpulan manusia 'ajaib'. Hehe. Bagi saya, mereka ajaib. Anda mahu tahu kenapa? Kerana kehidupan mereka yang benar-benar menyentuh hati saya.

UST DAHLAN - Beliau tidak pernah jemu mendidik. Kesungguhan ....
Mereka yang banyak mendidik saya; Al-Marhum Mudir yang saya cintai,  Ust Dahlan Md Zain, Ust Omar Hj Salleh, Ust Abd Hadi Othman, Cikgu Abduh, Ust Abd Karim Hashim dan ramai lagi.


UST ABD HADI - Gaya penyampaian bersahaja dan menarik

Mereka memperlihatkan contoh yang hidup pada saya dan semua anak didik mereka.
Ya. Mereka itu adalah orang-orang yang berbicara dan berhubung melalui hati.

Sekali bersama mereka, membuatkan kita ingin bersama dengan mereka beberapa kali lagi. Sehinggalah membawa kita untuk memahami kehidupan dan perjuangan mereka.

Pada saya, mereka tidak hidup di atas sesuatu yang sia-sia. Mereka hidup di atas iman dan keyakinan kepada Allah. Keyakinan itu jugalah yang mereka cuba sampaikan kepada anak didik mereka.

Umur mereka sudah menjangkau setengah abad, namun mereka masih terus gagah dan kuat berbakti. Mereka tidak pernah jemu mendidik. Hatta dalam kesakitan sekalipun, tetap gigih datang untuk memberi didikan.

Al-Marhum Ust Dahlan yang saya kasihi, pernah satu ketika dia sakit. Sakitnya memang terlalu teruk sehingga tidak dapat bangun. Namun, adakala hari yang beliau rasa kuat sedikit untuk ke MATRI, beliau akan datang dan masuk ke kelas untuk mengajar. Beliau tidak pernah mencari alasan untuk tidak hadir meskipun dalam keadaan belum sembuh sepenuhnya. Pernah sekali beliau datang sekejap, hampir-hampir sahaja beliau pengsan kerana penyakitnya itu datang semula.

Lihatlah kesungguhannya dalam mendidik. Tidak pernah ada rasa jemu. Meskipun sakit, namun beliau gagahkan juga langkah ke sekolah semata-mata untuk mendidik anak-anak muridnya.

Banyak lagi contoh pada beliau yang menyentuh hati. Namun, saya tidak akan nukilkan semuanya di sini.

Ust Omar Hj Salleh, beliau seorang yang menjaga masa dan teratur dalam urusannya. Khutbah dan penyampaiannya menarik hati saya. Ada sesuatu yang istimewa dalam penyampaiannya, isi, gaya dan semangatnya. Ada contoh (qudwah) di situ.

Bahkan kesungguhannya dalam hal mendidik juga tidak kurangnya. Beliau pernah dimasukkan ke hospital atas masalah jantungnya yang tersumbat. Sepatutnya usai pembedahan, beliau sepatutnya bercuti kerana diberi cuti yang lama oleh doktor. Pembedahannya agak berisiko kerana tulang dadanya dibelah dan akan mengambil masa yang lama untuk pulih. Namun, tak sempat cutinya habis pun, beliau datang dan mengajar di MATRI. Katanya, bosan lama-lama berehat di rumah.

Ust Abd Hadi Othman, guru Al-Quran saya yang santai dan bersahaja penyampaiannya. Sebenarnya, hanya tiga tahun sahaja 'masa perguruan' sebenar saya dengannya. Bermula saya tingkatan 5 hinggalah Khassah 2. Namun, sejak tingkatan 1 lagi saya memang teringin sangat berguru dengan beliau. Alhamdulillah, Allah izin juga walaupun pada masa-masa akhir di MATRI. Sebenarnya, sebelum naik ke tingkatan 5 itu, beliau sudah pun memberi tunjuk ajar secara tidak langsung kepada saya.

Beliau tidak pernah jemu datang untuk memberi kuliah subuh di musolla MATRI. Biarpun biasanya anak-anak muridnya majoritinya 'syahid' (biasanya ramai yang tidur) semasa kuliahnya, namun beliau tidak pernah jemu mengulang-ulang nasihat dan peringatannya. Kadang-kadang, ayat yang disampaikan tu lebih kurang sama setiap minggu, namun itulah yang membuatkan peringatan demi peringatan itu lekat di kepala anak-anak muridnya.

Inilah contoh-contoh murabbi saya yang berbicara melalui hati mereka ke hati mad'u mereka.
Rindu betul pada mereka ini.

Saya rasa untuk post ini, cukuplah saya nukilkan contoh-contoh itu daripada murabbi-murabbi saya.

Mereka yang mempunyai hati yang hidup. IKHLAS dalam usaha mendidik.

Sebab itu, mereka mampu untuk berbicara kepada hati manusia. Ramai yang tertawan dengan peribadi dan perjuangan mereka termasuklah saya.

Hati yang hidup itu mampu menghidupkan hati orang lain pula.

UST OMAR - Kuat usaha dan gigih mendidik

DAKWAH KITA ADALAH DAKWAH HATI

Inilah sasaran sebenar dalam mengajak manusia kepada Allah.

Kita berdepan dengan manusia, bukannya robot. Manusia yang ada hati dan perasaan.

Maka corak dan teknik dakwah itu perlulah disesuaikan mengikut keperluan sasaran kita.
Sasaran kita adalah hati manusia, bukannya jasadnya itu.

Sebab itulah, hati kita yang menjadi pusat interaksi dengan hati manusia lain perlu sentiasa dijaga dan dipelihara kebersihannya. Bersihnya hati akan melahirkan amalan-amalan yang bersih dan baik. Hati yang kotor dan sarat dengan dosa akan melahirkan amalan-amalan dan peribadi yang buruk dan busuk.

Saidatina Aishah meriwayatkan hadith dari Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Manusia itu matanya sebagai petunjuk, telinganya sebagai saluran (pendengaran), lidahnya sebagai jurubahasa, tangannya sebagai sayap, kakinya sebagai utusan sedang hatinya itu ibarat raja pada dirinya. Jika raja itu baik, maka baik pula seluruh bala tenteranya."

Hati yang bersih, sentiasa memelihara hubungan dengan Allah, yakin dengan hari pembalasan, maka Allah akan membantu keberkesanan dalam usaha dakwahnya.

Ya. Tidak dinafikan natijah dan hidayah itu milik Allah. Tetapi, usaha dakwah kita perlu kreatif,dirancang dan berstrategi supaya dapat menembusi hati mad'u (orang yang didakwah).

Abbas As-Siisi dalam bukunya, 'Bagaimana Menyentuh Hati ?' pernah menukilkan sebuah kisah di mana beliau sengaja memijak kaki seseorang dalam perjalanannya menuju ke satu tempat. Beliau menjadikan peristiwa itu sebagai asbab (sebab) untuk beliau dapat berkenalan dengan mad'u barunya itu.

Inilah kreativiti seorang DAI'E (orang yang mengajak kepada Allah).

Selain iman yang menguasai dirinya dan bersih hati serta keperibadiannya, seorang dai'e juga perlu mempunyai fan (seni) dan strategi dalam berdakwah supaya dia dapat benar-benar berbicara kepada hati manusia.

Dakwah itu bukan bil lisan (melalui kata-kata) sahaja, bahkan dakwah yang lebih berkesan adalah bil hal (keperibadian dan contoh yang baik).

Dakwah bil hal yang telah merangsang kejayaan generasi awal dalam menyebarkan sistem hidup Islam kepada masyarakat.


SENI-SENI YANG MEMIKAT HATI SAYA 

Bagi saya, MATRI adalah tempat subur dengan perkara-perkara yang menyentuh hati saya. Saya senaraikan beberapa perkara yang pernah saya lalui di sana sebagai sebahagian daripada sarana-sarana yang akan memikat hati objek dakwah kita.

(1) Sentiasalah bertanya khabar dan mengambil berat tentang hal kesihatannya, pelajarannya, makan minumnya

(2) Berilah hadiah yang tarbawi dan terbaik sebagai tanda penghargaan atas perkenalan/ persahabatan


(3) Berutus surat yang mengandungi kata-kata nasihat, Al-Quran dan hadith, kata-kata ulama' muktabar serta 'ayat-ayat cinta'. Ayat-ayat cinta yang dimaksudkan adalah yang memberi inspirasi dan dorongan kepada mad'u seperti pujian.


(4) Ajak keluar makan bersama, tidur bersama, musafir bersama. KEBERSAMAAN mengikat lagi    ukhhuwah.


(5) Sentiasa mengadakan ruang-ruang untuk perbincangan-perbincangan yang mendekatkan hubungan dengan Allah dan menambah kefahaman terhadap Islam.


(6) Berilah risalah-risalah ringkas atau makalah-makalah kecil sebagai cenderahati (bukan cenderamata) untuk dirinya.


(7) Sentiasa hadiahkan SENYUMAN yang membahagiakan 


(8) Bertutur kata dan berperibadi mulia sehingga dia melihat kita sebagai contoh yang dekat dengan dirinya

Inilah antara 8 daripada banyak lagi seni dakwah yang saya perolehi di sana.
Seni-seni yang berbicara melalui hati.

Tetapi, AWAS! Saya ingatkan seni-seni ini mestilah digunakan dalam batas syara'. Melebihi daripada batas syara', maka ia telah menjadi keburukan untuk kita kerana mengubah matlamat asal.

Matlamat kita tetap sama dan tidak akan berubah. Mengajak manusia kepada memperhambakan Allah dalam sistem kehidupan, mengambil Islam sebagai cara hidup.


PENUTUP : KITA PERLUKAN LEBIH RAMAI ORANG SEPERTI MEREKA

Ya. Kita perlukan lebih ramai orang yang MAMPU berbicara melalui hati seperti mereka (murabbi-murabbi saya).

Sentuhan dan tarikan pada keperibadian mereka membuatkan orang minat untuk kenal pada Islam.

Tindakan, kata-kata mereka, peribadi mereka mencerminkan ISLAM itu sendiri.

Mereka hidup di atas sesuatu yang HAK (benar). IMAN yang menjadi noktah bidayah (titik tolak) kepada diri mereka untuk terus bekerja dan mendidik serta mendidik sehingga tiba masa mereka dipanggil pulang oleh Allah.

Mereka tidak jemu serta tidak pernah putus asa.

Mereka sentiasa GIGIH dan SABAR ..!

Kita perlukan lebih ramai tenaga seperti itu.

AYUH, JOM PRAKTIS BICARA MELALUI HATI !

Monday, November 22, 2010

Rasional Berpandukan Iman


Manusia seringkali berdepan masalah dalam kehidupan.

'Bumi mana tidak ditimpa hujan', kan?

Tidak ada manusia yang tidak ada masalah dalam kehidupannya, walau se'perfect' mana sekalipun orang itu, walau sehebat mana sekalipun orang itu, walau apa pun jawatan dan kedudukan yang dia miliki.

Semua orang akan berdepan dengan masalah.
Hatta, orang yang kurang waras itu pun ada 'masalah dia sendiri'.

Saya, anda dan kita semua telah, sedang dan akan menghadapi masalah.

Cuma bagaimana cara kita merawat dan menyelesaikan masalah yang kita hadapi itu?

Masalah yang wujud sebenarnya adalah sebahagian daripada ujian kehidupan. Tanpanya, kita tidak akan memahami onar serta denai dalam kehidupan ini. Kita tidak tahu apa erti kesusahan hidup. Kita tidak akan pandai menghargai kesenangan dan kenikmatan yang bersama diri kita.

Ya. Masalah yang wujud itulah sebenarnya ujian yang mematangkan kita.


RASIONAL DALAM MENYELESAIKAN MASALAH

Berdepan dengan masalah bukannya sesuatu yang mudah, tak?
Namapun masalah.
Namun, itu bukanlah menjadi penghalang kita untuk menyelesaikan masalah kita secara rasional.

Tidak dinafikan, masalah yang dihadapi oleh manusia berbeza-beza mengikut situasi dan kemampuan yang ada pada dirinya.
Mungkin pada ayah dan mak, soal kerja,sarahidup, pendidikan, dan karenah anak-anak selalu menjadi bahan perbincangan yang kritikal.
Bagi anak-anak pula, mungkin masalahnya tertumpu pada soal pembelajarannya, cara pemikirannya barangkali !
Seorang guru tumpuan masalahnya pada anak-anak murid yang mungkin nakal dan tidak mahu dengar cakap.
Seorang doktor mungkin pada masalah kesibukan tugasannya sehingga tidak ada ruang untuk anak dan isteri di rumah.
Dan sebagainya...

Ya. Masing-masing berdepan dengan masalah. Kecil mahupun besar.

Namun, orang-orang yang beriman kepada Allah, meskipun diuji dengan pelbagai masalah, perkara utama dalam kamus hidupnya ketika itu sudah tentulah KESABARAN.

Bukankah Nabi s.a.w. pernah bersabda yang mafhumnya:

"Ajaib sungguh orang beriman. Segala urusan mereka menjadi baik bagi mereka. Sekiranya mereka diuji dengan kesenangan, maka mereka BERSYUKUR, maka kebaikanlah buat diri mereka. Sekiranya mereka diuji dengan KESUSAHAN atau KEMUDHARATAN, maka mereka BERSABAR, maka kebaikanlah buat diri mereka."

Sabar.Sabar. Dan sabar.
Allah sedang mengujimu, bisik hati.

Bila berdepan dengan masalah, maka berusahalah untuk selesaikan masalah secara RASIONAL.
Ya. Kadang-kadang kita kalah dengan masalah yang kita hadapi. Bahkan kita menambah masalah yang ada pada kita bilamana kita berdepan dengan masalah secara EMOSIONAL.

Bagaimana nak rasional lagi jikalau masalah yang datang itu merampas segala-galanya dalam kehidupan kita?
Kadang-kadang timbul persoalan sebegini apabila ditimpa dengan masalah yang terlalu berat rasanya untuk kita. Seolah-olah, dalam dunia ini, masalah kitalah yang paling besar dan berat sekali.

Sebab itu, biarlah kita berdepan dengan masalah dalam keadaan IMAN kita bersedia. Diuji dengan mehnah tribulasi yang besar sekalipun, namun ia tidak mematahkan semangat dan tekad kita untuk terus hidup dan bekerja.

IMAN meyakinkan kita bahawa dalam setiap masalah, Allah jugalah yang akan membantu. Allah pasti akan buka 'jalan keluar' kepada kita apabila kita yakin kepada-Nya.

IMAN akan menampakkan pada kita bahawa masalah itu sebenarnya kecil saja, yang lebih besar adalah bagaimana kita menghadapinya?

Emosional tidak sekali-kali mampu membantu kita menyelesaikan masalah kita secara baik.
Ya. Mungkin kita akan lega sikit, puas sekejap, setelah kita menangisi ujian yang mendatangi kita itu.
Tidak mengapa, menangislah !
Mungkin kita rasa marah dalam keadaan emosional itu akan menyelesaikan masalah kita, tetapi sebenarnya tidak. Kelegaan itu hanya sementara. Ia tidak menyelesaikan apa pun, sebaliknya menambah keruh lagi permasalahan itu.

Ketika kita marah, maka syaitan sudah pun sebenarnya berjaya ke atas diri kita. Sebab itu, nak marah pun biarlah dengan cara yang rasional.

Fikirlah secara RASIONAL, jangan biarkan masalah kita diselubungi dengan penilaian yang EMOSIONAL, maka penyelesaiannya pasti lebih PROFESIONAL.


Pandanglah masalah dari sudut yang luas,
berhenti melihat dari sudut yang sempit

RASIONAL KITA ADALAH BERPANDUKAN IMAN

Ketika kita sedang berat dan rasa terbeban menanggung masalah itu, rasailah bahawa Allah tidak akan uji kita dengan masalah itu melainkan sebenarnya kita mampu.

Jadilah orang yang MENANG !

Orang yang menang itu tidak cepat berputus asa, kuat keinginan serta sentiasa beri harapan lagi pada dirinya.

Maka, dia tidak akan cepat mengalah dengan ujian yang diberi.

Orang yang kalah pula, tidak habis-habis disalahkan segala-galanya. Dia menyalahkan orang itu, orang ini. Lebih teruk, menyalahkan Tuhan !

Di sinilah, kita perlu melihat titik bermula (noktah bidayah) dalam kehidupan kita. IMAN itu yang menjadi titik mula kita, asas dalam kehidupan. Kekuatan sebenar itu terletak pada iman. Penyelesaian sebenar itu ada pada iman kita kepada Allah.

Inilah rasional mukmin.
Penyelesaian terhadap segala masalah dipertimbangkan di atas neraca iman.
Segala-galanya dipertimbangkan atas neraca itu.
Bolehkah kalau aku buat macam ni?
Kalau aku buat macam ni, jadi macam mana pula lepas ni?
Kalau aku marah-marah ni, bila akan selesai masalah?
Aku buat macam ni, Allah bagi ke?
Bukan Rasul larang ke buat macam ni?
Al-Quran sebut macam mana?

Dipertimbangkan segala persoalan yang menerpa dalam minda secara rasional mengikut iman.
Bukannya hasutan nafsu dan bisikan iblis jadi neracanya.
"Aku punya hal, aku punya sukalah nak buat macam mana ...."
Akhirnya, masalah kecil menjadi besar.
 Yang besar, tidak dapat diselesaikan.

Firman Allah dalam surah Al-Jathiyah, ayat 23 yang bermaksud:

"Maka pernahkah kamu melihat orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci mati pendengarannya dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya, maka siapakah yang akan memberi petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat) maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran."


PANDANGLAH DARI SUDUT POSITIF

Ada hikmahnya masalah itu berlaku pada kita. Lihatlah dari sudut yang positif.

Berhentilah memandang masalah sebagai masalah, tetapi pandanglah masalah sebagai peluang dan ruang untuk kita dapat lebih banyak manfaat.

Masalah pun boleh beri manfaat ke?
Ya. Sudah tentu, bilamana kita memandangnya dari sudut positif.

Kita akan lebih matang dalam memahami selok-belok kehidupan. Kita telah biasa menghadapi situasi yang berat, tidak ada masalah bagi kita jika berdepan dengan situasi yang lebih ringan atau hampir-hampir serupa seperti itu.
Jiwa kita kuat kerana telah dilatih dengan masalah yang kita hadapi sebelum ini.

Kita akan berusaha untuk buat yang lebih baik dalam kehidupan kita. Masalah yang kita hadapi itu sebagai pemangkinnya.

Iman dan keyakinan kepada Allah semakin bertambah kerana sabar dalam menghadapi masalah dan menyelesaikannya secara rasional.

Lebih penting, usaha kita menangani masalah itu dikira sebagai pahala dan ibadah bilamana kita ikhlas kepada Allah.

Inilah MANFAATNYA ...

Manis bukan, natijah daripada penyelesaian yang rasional berpandukan iman itu?

Tuesday, November 16, 2010

KHAS : HARGA PENGORBANAN ITU

KORBAN DI MATRI 2008
Nilai PENGORBANAN itu tinggi. Jika tidak, masakan Allah menguji Qabil dan saudaranya, Habil untuk membayar harga itu. Habil yang IKHLAS itu berjaya. Diterima dan diangkat kibasy terbaik yang dikorbankannya.

Begitu juga Allah menguji Nabi Ibrahim a.s. dan Ismail a.s. Kehidupan Ibrahim a.s. sendiri mencerminkan pengorbanannya. Dianiaya oleh Namrud si zalim, dibakar oleh kaumnya. Namun, CINTA dan YAKIN terhadap Allah menyelamatkannya. [ Read more ... ]

Thursday, November 11, 2010

Pengumuman : Kem Minda Kreatif




PENGUMUMAN PENTING !

Kem Minda Kreatif anjuran Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) akan dianjurkan di setiap negeri Semenanjung Malaysia.




Kem ini terbuka kepada peserta antara tingkatan 1 hingga 6 lelaki dan perempuan.
Segera maklumkan anak-anak anda, adik-beradik, saudara-mara dan kawan-kawan serta daftarlah dengan segera. Tempat TERHAD !
Berikut saya senaraikan maklumat yang ada pada saya tentang kem minda kreatif (KMK) bagi setiap negeri: [Read more ...]

Perkongsian : Facebook dan Saya



Pagi itu, saya buka internet macam biasa, singgah ke laman Facebook untuk tengok komen-komen terbaru yang masuk di wall saya.

Ada beberapa komen baru. Takpa, saya membaca sekejap.

Kemudian, saya klik di 'News Feed' dan melihat status update rakan-rakan maya di FB. Ada komen yang menyenangkan dan meransang untuk kebaikan, alhamdulillah.
Melihatnya membahagiakan hati dan terdorong hati untuk melakukan kebaikan.

Namun, ada juga komen-komen yang menyakitkan hati saya. Komen-komen yg tiada unsur kasih, hormat, bahkan menambah bisa di hati serta tidak ada dorongan untuk kebaikan langsung !
Komen-komen yang  bersifat pentingkan diri, benci, berunsur hedonisme serta menjemukan ! [ Read more... ]

Sunday, November 7, 2010

لا إله إلا الله - Deklarasi Cinta Kepada Allah


لا إله إلا الله 
Tiada Illah yang di sembah melainkan Allah.

Kalimah yang acapkali diulanglafazkan dalam kehidupan seharian.

Dalam kalimah syahadah yang pendek itu.

Diulang berpuluh kali, kekadang beratus kali dalam tahlil dan bacaan yasin di kampung-kampung.

Ia dimasukkan juga sebagai lafaz azan yang terakhir.

Bahkan dibaca dalam solat berulang kali.

Ia sering diulang-ulangkan. Kalimahnya pendek sahaja.
La Ilaha Illa Allah.
Namun, mengandungi erti yang cukup besar buat kehidupan kita. [ Read more ... ]

Wednesday, November 3, 2010

Make Me Strong - Sami Yusuf


Words: Sami Yusuf

Music: Sami Yusuf
Produced by Sami Yusuf


I know I’m waiting
Waiting for something
Something to happen to me
But this waiting comes with
Trials and challenges
Nothing in life is free
[ Read more ... ]

Lorong Kematian

Jauh tapi DEKAT...
Semua yang hidup itu pasti akan mati.
Ya. Itu KEPASTIAN.
Tiada yang boleh menyangkal mahupun melawan hakikat itu.

Ia adalah ketetapan buat setiap makhluk.
Tidak ada yang boleh mengelak mahupun menangguhkan atau mempercepatkan.
Saat roh akan bercerai dari jasad.
Saat perpisahan dengan semua sanak saudara dan keluarga.
Saat perpisahan dengan harta dan kedudukan kita.
Saat perpisahan dengan segala milik kita di dunia.

Itulah saat-saat yang tidak dapat dielak.
Kita pasti akan mati, namun ke mana akan kita lorongkan diri kita untuk hayat yang kekal abadi itu? [ Read more ... ]

Monday, November 1, 2010

Tekad Mereka Kuat Serta Luar Biasa




Islam suatu ketika dahulu, telah datang bersama sebuah generasi manusia yang hebat.

Mereka adalah lead generation, satu generasi yang bukan saja menjadi contoh kepada semua umat manusia, malahan menjadi pemimpin kepada umat manusia.

Bukanlah hebat mereka itu kerana membawa kemajuan pada pembangunan, malahan mereka juga asalnya adalah bangsa yang begitu terkebelakang, jauh ditinggalkan dalam aspek pembangunan. [ Read more ... ]

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP