Tenaga-tenaga Muda Yang Dibazirkan
PEMUDA GENERASI AWAL ISLAM, SEMANGAT DAN KUAT TEKAD
Islam itu bermula di tangan para pemuda. Ya... memang benar. Para pemuda yang berjiwa kental, bercita-cita tinggi dan kuat keazaman mereka. Bermulanya dakwah Rasul s.a.w. pada umurnya ketika itu, 40 tahun... umur seorang pemuda...Disambut pula dakwah itu oleh Saidina Abu Bakar as-siddiq, yang umurnya lebih muda daripada Rasulullah s.a.w., kemudian Islam didokong oleh tenaga-tenaga muda seperti Saidina Ali, Umar al-khattab, Uthman Affan, Khalid Al-Walid, Zaid bin Harithah, Abu Ubaidah Al-Jarrah dan ramai lagi pemuda-pemuda yang lain.
Ya... Tenaga-tenaga muda inilah yang membantu dakwah dan mendokong Islam dengan sepenuh hati mereka hingga akhirnya Islam itu tersebar ke merata dunia. Bahkan di kalangan mereka ada yang meninggal dunia di negeri lain kerana kuatnya semangat dan azam untuk memastikan Islam sampai di segenap penjuru dunia, untuk memastikan bumi ini disinari dengan cahaya iman.
Huh...PEMUDA...!
Memang itulah kekuatan dan tenaganya. Dengan kemampuan yang ada pada dirinya, seboleh mungkin ingin dicapai apa yang dihajatinya, apa yang dikehendakinya. Cita-cita dan kemahuan dalam dirinya mengobarkan semangat dalam dirinya untuk melakukan apa sahaja asalkan tercapai impiannya itu.
Sebab itulah yang bernama PEMUDA itu adalah orang yang KUAT JIWANYA!!!
Orang yang SENANTIASA BERSEMANGAT !!!
Tetapi....
Tenaga muda yang bergelora dan membara semangat dalam dirinya ini perlu dipimpin dan dibimbing dengan IMAN.
Segala tindakannya perlu dibataskan dengan apa yang telah ISLAM tetapkan.
Inilah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap generasi awal Islam yang kebanyakan pendokong-pendokongnya adalah daripada kalangan pemuda. Dengan sabda Rasul sendiri menyatakan ketika penyebaran dakwah, "Orang muda menyokongku, orang tua pula mencanggahiku."
Memang benar...Tenaga MUDA itu satu ASET BESAR untuk Islam.
Namun, sedih sekali melihat dunia pada hari ini...
Tenaga-tenaga muda yang ada majoritinya tidak sama seperti dulu...
Hari ini, di mana-mana sahaja di seluruh dunia, ramai pemuda pemudi yang terlibat dengan gejala dosa dan gaya hidup yang negatif. Zina, rogol, ragut, seks bebas, gaya hidup yang terikut-ikut budaya Barat dan macam-macam lagi kes-kes DOSA dan MAKSIAT. Di sana sini, maruah sudah tidak dijaga, batas halal haram sudah tidak diambil peduli. Selesa dengan maksiat yang dilakukan, hilang ketakutan dan keyakinan terhadap Allah Yang Maha Memerhati.
KRISIS YANG MELANDA UMMAH
Inilah KRISIS ...! Krisis terbesar melanda ummat bilamana pemuda pemudinya diracuni dengan tipu daya dan helah JAHILIAH. Bahkan inilah yang digambarkan oleh As-Syahid Sayyid Qutb dalam bukunya 'Petunjuk Sepanjang Jalan' :
"Ummat pada hari ini berada dalam jurang kehancuran..."
Ya...DALAM...bukannya tepi, atas, belakang...
Tapi... di dalam jurang KEHANCURAN....Bukan hancurnya bangunan, rumah-rumah, pekerjaan-pekerjaan yang hebat dan sebagainya. Tapi kehancuran yang dimaksudkan di sini adalah berlakunya kerosakan dan kefasadan dalam cara hidup manusia baik dari aspek keperibadiannya, gaya hidupnya, aspek politik, ekonomi, sosial dan semua aspek kehidupan. Semuanya sedang menuju kepada jurang kehancuran kerana meninggalkan dan membelakangkan ISLAM sebagai sistem hidup.
Hal ini dibenarkan lagi oleh Muhammad Iqbal dalam ungkapan syairnya, menggambarkan tentang keadaan pemuda pada hari ini :
" Mereka ubah singa-singa yang berani menjadi kijang-kijang yang pengecut."
Ya...memang benar gambaran Muhammad Iqbal itu.
Semangat KEPEMUDAAN itu telah terhakis....
Ia padam dari jiwa remaja-remaja Islam pada hari ini bahkan mereka disibukkan pula dengan agenda jahiliah yang tidak pernah berhenti dan berputus asa untuk menghancurkan umat Islam.
GHAZWATUL FIKR (PERANG SARAF)
Ya...mereka tidak menyerang 'directly' secara fizikal. Tapi mereka rosakkan tenaga-tenaga muda kita dengan penyebaran ideologi-ideologi dan 'fikrah' mereka yang hari ini telah berjaya meresapi dan meracuni tenaga-tenaga muda kita. Mereka sibukkan kita dengan SEX (seks), SPORTS (sukan), SOCIAL (pergaulan dan budaya hidup bebas) dan pelbagai lagi agenda mereka yang lain.
Akhirnya, tenaga-tenaga muda kita menjadi lemah dan lalai. Disogok-sogok dengan HARTA, WANITA dan TAKHTA. Inilah yang digambarkan oleh Rasul s.a.w. kepada kaum Ansar dalam hadisnya ketika mana Abu Ubaidah pulang membawa harta daripada Bahrain, sabda Rasul yang bermaksud:
"Bergembiralah kamu dan harapkanlah apa yang menyukakan hati kamu. Maka demi Allah, bukan kemiskinan yang aku khuatiri ke atas kamu, tetapi apa yang aku khuatiri ialah dunia ini kelak akan dibentangkan seluas-luasnya di hadapan kamu sebagaimana dibentangkan kepada ummat terdahulu daripada kamu, maka kamu berlumba-lumba merebutnya sebagaimana yang mereka telah lakukan, kelak dunia akan membinasakan kamu sebagaimana ia telah membinasakan mereka itu."
Ya...hari ini, harta itu tidak datang dalam bentuk wang ringgit semata-mata. Tetapi ia wujud dalam pelbagai bentuk yang mengelabui mata para pemuda. Ia datang dalam bentuk kecanggihan teknologi seperti handset, mp3 dan sebagainya.
Mereka sibuk-sibukkan juga pemuda-pemuda Islam dengan wanita-wanita murahan mereka yang terdedah sana sini. Hinggakan iklan syampu dan apa-apa jua iklan, maka sasarannya adalah WANITA, kerana itu menjadi penarik minat lelaki dan siapa jua yang menonton.
Takhta, kedudukan dan pangkat yang sentiasa direbut-rebut, glamour yang sentiasa dikejar, menipu para pemuda kita.
INILAH TENAGA-TENAGA YANG TERBAZIRKAN OLEH PERANCANGAN JAHILIAH
Inilah tenaga-tenaga muda Islam yang telah banyak dibazirkan pada hari ini. Kita rasa sangat cemburu dan marah kerana JAHILIAH telah memanfaatkan tenaga-tenaga mereka ini tanpa disedari untuk melemahkan ummat Islam kembali. Hari ini, ummat Islam antara yang teramai di dunia, berjuta-juta penganutnya, namun tidak mampu menggencarkan usaha dan perang terhadap kuffar apabila melihat negara-negara Islam yang lain tertindas.
Pemuda dengan tenaganya yang begitu banyak, dengan semangatnya yang berkobar, hari ini dipadamkan oleh perancangan kuffar. Mereka dikelabui dengan keseronokan nafsu dan dunia yang sementara.
Kesannya, lahirlah pemuda yang lemah jiwanya, rendah cita-citanya dan keazamannya. Semangatnya terdorong oleh nafsu dan syaitan.
Akhirnya, semangat untuk berjuang demi deen yang mulia ini, Islam kian mereda dan kian terhapus. Bila tidak adanya PERJUANGAN, mana mungkin untuk Allah kurniakan kemenangan untuk kita.
Kata Imam Syafie' dalam petikan syairnya yang bermaksud:
"Bersakit-sakitlah dalam kehidupan, di situ terdapat kelazatan.
Lihatlah kepada air, bila ia bertakung (statik) baunya akan berubah menjadi busuk.
Dan kalau ia sentiasa mengalir, barulah keheningannya kekal."
Muhammad Al-Ghazali dalam bukunya (Islam Dan Tenaga-tenaga Yang Terbiar) telah menyatakan empat faktor yang mengakibatkan kemunduran pada ummat ini :
1) Kerosakan jiwa beragama
2) Kemerosotan nilai kemanusiaan
3) Kemalapan tenaga akliah atau mental
RAWATANNYA : DIDIKAN ISLAM
Para pemuda kita perlu kepada RAWATAN (muallajah).
Rawatan yang bagaimana?
Cukupkah dengan mencekup pasangan-pasangan khalwat dan zina, menyediakan pusat-pusat pemulihan akhlak, pusat-pusat pemulihan akidah dan ceramah semata-mata mampu menyelesaikan perkara ini?
OH...Sudah tentu tidak !
Penyelesaiannya mestilah kembali sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Tidak lain dan tidak bukan hanyalah dengan DIDIKAN ISLAM (Tarbiyah Islamiyah).
Hanya dengan cara ini saja, kita dapat mendidik manusia menjadi hamba yang patuh dan taat kepada Allah. Meninggalkan seruan-seruan jahiliah, panggilan-panggilan nafsu dan syaitan.
Kata seorang penyair Arab dalam untaian madah syairnya:
"Tidaklah kulihat kebahagiaan itu kerana banyaknya harta
Tetapi KETAQWAAN inilah kunci kebahagiaan."
Maka, saya pasti bilamana didikan ini meresap dalam jiwa para pemuda Islam, tenaga-tenaga yang ada ini tidak akan dibazirkan lagi dan tidak akan dapat dimanfaatkan oleh jahiliah.
Tetapi perlu diingat...
Usaha ini adalah usaha yang besar dan memerlukan komitmen, kesungguhan, kerendahan dan penyediaan hati dalam proses didikan ini.
Barulah akan melahirkan tenaga-tenaga muda yang iltizam dan komitmen dengan Islam sepertimana Salahuddin Al-Ayubi dan Sultan Muhammad Al-Fateh !!!
Biarlah generasi pemuda pada hari dididik dan lahir sebagaimana kisah para pemuda Kahfi (Ashabul Kahfi) yang Allah lakarkan kisah mereka itu dalam surah Al-Kahfi ayat 13-14 yang bermaksud:
"Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyeru selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran."
0 comments:
Post a Comment