Friday, June 11, 2010

Antara Takdir Allah dan Redha Sang Hamba





Alhamdulillah, Allah buka juga peluang untuk post ini. Sedikit perkongsian. Moga Allah redha.
Mengingatkan peristiwa yang menimpa saya tempoh hari, saya berasa syukur kerana masih diberi peringatan secara 'direct' daripada Allah s.w.t. 
Kadang-kadang, payah dan sulit untuk menerima hakikat itu, tapi kita ini adalah hamba Allah, serba lemah dan kekurangan, maka kita mengakui kelemahan itu dan menerima qadha' dan qadar Allah dengan penuh redha.

UJIAN ALLAH UNTUK IMAN SAYA, KITA DAN ANDA SEMUA

Kita tidak melafazkan IMAN dan KALIMAH TAUHID ini secara percuma tanpa melalui ujian dan halangan. Kerana janji Allah sw.t untuk hamba-Nya yang mengaku beriman dalam surah Al-Ankabut,2:

"Apakah mereka menyangka Kami akan membiarkan mereka mengatakan: Kami beriman, sedangkan mereka belum diuji?"

Saat ujian Allah menimpa kita tidak kiralah sama ada ujian itu berbentuk kesenangan atau kesusahan, maka saat inilah akan terlihat dan tertampak dengan jelas keimanan kita kepada Allah. Keikhlasan kita dalam memperhambakan diri kepada Allah s.w.t.

Ya...Memang benar. 
Yang diberi nama ujian itu tidak semestinya SUSAH, bahkan ada juga yang SENANG. Sama juga dalam peperiksaan, ada soalan yang mudah bagi kita, ada juga soalan yang susah. Namun, biasanya lebih ramai terperangkap dengan soalan yang mudah, cuai dan sebagainya, kerana ia MUDAH. Maka apabila ia mudah, ramailah yang mengabaikannya dan kurang memberi perhatian.

Ramai juga manusia yang terperangkap dengan ujian kesenangan daripada Allah s.w.t. Namun, ada juga yang tidak SABAR dan tidak TAHAN dengan ujian kesusahan yang Allah timpakan ke atas dirinya.
Inilah natijah dan hasilan daripada IMAN...
Bagaimana iman kita, maka begitulah hasilnya apabila menerima ujian Allah...
Ada yang sabar, tahan, cekal, tidak tertipu....
Ada yang terpedaya, lemah, tidak sabar, dan cepat mengeluh....

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, 155 yang bermaksud:

"Dan Kami uji mereka dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan pengurangan daripada harta mereka, jiwa dan buah-buahan. Maka berilah berita gembira pada orang-orang yang sabar." 

Maka ujian yang datang, kita pasti tidak akan berputus asa dan berasa lemah jika kita redha dan sabar menerima ketentuan Allah. Bahkan, ujian yang datang menguatkan lagi iman dan keyakinan kita kepada Allah s.w.t. dan janji-Nya.

Allah sambung ayat ini dengan firman-Nya:

"Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan Innalillahi Wa Inna Ilaihi Raji'un (Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nya lah kami dikembalikan.)"


KITA REDHA, ORANG LAIN PULA YANG PESIMIS

"Anta jangan naik dengan dia, nanti anta pula yang kena."

"Anta tak takut ke jadi macam si fulan hari tu, bahaya la anta naik dengan dia. Nanti..."

Haha....
Sedikit perbualan sinis yang saya dengar-dengar sewaktu nak bawa beberapa sahabat ke rumah mudir saya, Ust Dahlan.
Rasa-rasanya kalau ikut 'bad-tempered' saya yang dulu, memang dah lama kena orang yang cakap macam tu.
Tapi, itu bukan penyelesaiannya. Yang penting, dia faham kenapa berlakunya peristiwa yang menimpa diri saya itu. Saya doakan, moga Allah beri hidayah dan bukakan pintu hatinya.

Ini masalah lain pula. Kadang-kadang, kita yang ditimpa musibah atau ujian tersebut, kita boleh bersabar dan kuatkan diri. Namun, kadang-kadang orang yang bersama dan dekat dengan kita, tidak kiralah dia tu kawan kita ke, saudara-mara kita ke dan siapa pun jua, mereka lebih susah menerima dan memahami keadaan itu.
Hakikatnya, mereka juga sebenarnya diuji iman mereka ketika itu. 
Orang yang melihat dan mendengar saudaranya ditimpa musibah, mereka juga sebenarnya diuji iman mereka sama ada mereka boleh menerima ujian yang menimpa saudara mereka itu sebagai taqdir Allah dan mereka redha dengan apa yang terjadi, atau mereka menganggap musibah itu disebabkan oleh kecuaian manusia atau sebab-sebab yang lain dan mereka akhirnya seolah-olah berperwatakan orang yang tidak redha dengan ketentuan Allah.

Bahkan ada yang bersikap pesimis. Perbualan tadi sebagai contohnya. 
Ya...bukan saya berniat membela diri saya, tapi saya cuba tampilkan yang haq (benar) sahaja. Kalaulah ada 100 orang dalam dunia macam ni, maka sudah cukup untuk merosakkan hubungan persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiyah).



Bahkan, iman yang dimilikinya juga boleh rosak, kerana tidak redha dengan takdir Allah dan kemudian merosakkan pula hubungan persaudaraan dek sangkaan-sangkaan negatif dan busuk hati terhadap saudara sendiri.


Mana tidaknya...jika musibah yang berlaku itu menyebabkan dia menuding jari menyalahkan saudaranya itu, tidak melihat dari sudut yang lebih luas bahawa musibah atau ujian yang berlaku itu datang daripada Allah Yang Maha Kuasa untuk menguji imannya, keyakinannya kepada qadha' dan qadar Allah.


Akhirnya...
Musibah yang berlaku tidak meningkatkan iman dan keyakinan kita dengan Allah...
Iman luntur kerana menyalahkan yang lain sebagai penyebab musibah.




SEBAB MUSABBAB DALAM UJIAN ALLAH, EKSPERIMEN IMAN


Ya... memang benar. Apa-apa musibah atau ujian yang berlaku pun, mesti ada sebab musabbabnya.. Tapi, bukan ini yang paling utama.
Sebab musabbab ini hanya sebagai pengajaran untuk manusia supaya membuat perubahan dan peningkatan dalam diri. 
Dan yang paling penting... Allah nak meyakinkan kita lagi bahawa sesuatu yang berlaku itu ada sebabnya dan ada pula HIKMAHNYA


Mustahil alam ini tercipta dengan sendirinya, kan?
Begitu jugalah musibah yang menimpa manusia. Tsunami, banjir, accident, sakit dan sebagainya semua ini hanya sebab musabbab dalam ujian yang menimpa kita.


Takkanlah bila berlaku tsunami, kita nak menyalahkan alam pula?
Sungguh tidak matang jika kita berfikiran begitu....
Berlaku kemalangan atau accident, kita menyalahkan orang, fizikal kenderaan, kondisi jalan raya dan sebagainya....
Berlaku banjir, nak salahkan hujan yang turun?
Atau sistem perparitan yang tidak elok?


Lucu betul...Inilah sikap manusia.
Tidak habis-habis menuding jari ke sana ke sini menyalahkan itu dan ini.
Akhirnya masalah yang sebenar tidak juga selesai....


MASALAH IMAN DAN KEYAKINAN KEPADA ALLAH...
IMAN KEPADA QADHA' DAN QADAR ALLAH...


Musibah tidak menambah iman kita, malah mengurangi pula tingkatan iman kita. Rugi betul...rugi...


Inilah EKSPERIMEN IMAN terhadap diri kita. Kadang-kadang ada yang cepat 'meletup' dalam eksperimen ini kerana tidak sabar dan tidak kuat, ada yang menunjukkan tindakbalas menjadi lebih keruh pula kerana sangkaan-sangkaan dan prejudis yang tidak pernah habis dalam dirinya, ada yang jernih, elok dan tetap bersih kerana sabar dan kuatnya dia menghadapi ujian Allah.


PENUTUP CERITA SAYA....


Memang Allah beri hikmah yang cukup besar selepas musibah yang menimpa saya itu. Saya bertambah akrab dengan sahabat-sahabat saya, malahan Allah Yang Maha Luas Pengetahuan-Nya dan Maha Pengasih terhadap hamba-Nya memberi saya pelbagai lagi hikmah dan anugerah selepas musibah itu. 


Umpamanya, mudir saya sendiri, Ust Dahlan beri keizinan pada saya seorang sahaja untuk menggunakan kereta Proton Wira beliau yang lama untuk saya datang menemani beliau di rumahnya setiap hari. Meskipun beliau tahu saya terlibat dalam kemalangan, tapi beliau sendiri yang minta saya 'drive' kereta itu ke rumahnya hampir-hampir 3 minggu atau sebulan.... 


Sebab itulah, wahai sang hamba...
Musibah apa pun yang menimpa...
Redhalah dan sabar menerima...
Kita ni hamba yang tidak ada apa...
Namun, iman yang ada pada kita...
Itulah yang menguatkan jiwa...


Wallahu a'lam.

2 comments:

mizzjo June 28, 2010 at 4:30:00 PM GMT+8  

terima kasih kerana menulis artikel ini. saya sedang mengalami ujian yg agak besar (pada saya) dalam hidup & kadang2 rasa susah utk tidak putus asa dgn rahmat Allah.

terima kasih sekali lagi kerana artikel ini memberi semangat kepada saya.

BERKAT ESHOP January 23, 2011 at 3:29:00 PM GMT+8  

terima kasih atas perkongsian yg sgt bermanfaat ini...

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP