Thursday, June 10, 2010

Jiwa Ummat Yang Berjuang





Memetik satu kata-kata yang saya pernah terbaca : "Kalau takut mati, jangan bicara perjuangan !"
Ya... memang benar. Itulah hakikat PERJUANGAN, menuntut seribu PENGORBANAN daripada si pejuang.
Inilah yang dilalui dan dihadapi oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat di zaman awal Islam dahulu. Menempuh seribu satu kesusahan, membawa risalah Islam yang jauh berbeza daripada anutan masyarakat arab ketika itu, menyebabkan mereka ditentang dan diseksa dengan begitu zalim sekali. 


Bahkan hingga ke tahap Nabi sendiri diperlakukan dengan begitu hina oleh masyarakat jahiliah ketika itu, dilempar dengan perut unta, dicaci maki, dilempar dengan batu dan pelbagai lagi dugaan menimpa baginda. Namun, semuanya itu dilalui dan ditempuhi dengan penuh kesabaran semata-mata untuk memastikan Islam sampai kepada kita hari ini.


Ucapan Nabi yang selalu kita dengar apabila kafir Quraisy meminta baginda untuk menghentikan DAKWAH baginda, mengajak kepada Islam, jawapan yang tegas dan berani meskipun menerima pelbagai ancaman dan seksaan :


(لو وضعوا الشمس في يميني والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر، ما تركته حتى يظهره الله أو أهلك دونه )   
"Kalaulah sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, semata-mata untuk aku tinggalkan kerja ini, aku tidak akan tinggalkan kerja ini sehinggalah datang perintah Allah atau aku sendiri mati kerananya."


Inilah jiwa ummat yang berjuang, semakin keras diuji, semakin kuat pula keyakinannya kepada Allah. Semakin susah dugaan yang menimpa, makin bertambah pula kekuatan dalam dirinya menentang ideologi dan sistem jahiliah. Dalam dirinya, bencinya kepada jahiliah itu terlalu meluap-luap bagaikan bencinya dia dilempar ke dalam api neraka.


Benar, inilah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w., yang mafhumnya bermaksud:
Tidaklah seseorang mukmin itu merasai kemanisan iman kecuali setelah 3 perkara. 
1) Mencintai Allah dan Rasulnya lebih daripada yang lain
2) Mencintai seseorang kerana Allah
3) Benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana benci untuk dilempar ke dalam api neraka


PERISTIWA GAZA, INTIFADHAH (KEBANGKITAN) DAN SYAHIDNYA MUJAHIDIN PALESTIN


Hari ini dan beberapa tahun sebelum ini, selepas Intifadah 1 dan 2, beserta syahidnya tokoh-tokoh bumi Palestin seperti Syeikh Ahmad Yasin, Dr Abd Aziz Rantisi, Syeikh Solahuddin, Nizar Rayyan, Izzudin Al-Qassam dan ramai lagi rakyat Palestin yang bersama-sama memperjuangkan bumi Al-Quds ini, kita memerhatikan perkara yang sama berlaku di zaman Rasulullah s.a.w., berlaku juga pada rakyat Palestin yang berjuang mempertahankan bumi berkah ini.


   Intifadah Pertama yang berlaku pada 1987, diikuti Intifadhah Kedua pada tahun 2000 setelah Perdana Menteri Israel ketika itu, Ariel Sharon mendakwa mereka berkuasa ke atas masjid tersebut, serta berhasrat ingin meruntuhkannya dan membina sinagog (kuil) Yahudi di atas tanah itu. Atas sikap keji Ariel Sharon dan Yahudi itu, maka Intifadhah Kedua dilancarkan. 


     Rakyat Palestin dihinjak dan diasak dengan mesin-mesin perang Israel, kereta kebal, helikopter dan pelbagai lagi alatan perang mereka yang berteknologi tinggi. Saban hari, jumlah kematian & syuhada' meningkat. Namun, semua ini dilalui oleh rakyat Palestin dengan penuh sabar dan kuat. Malah, mereka tidak menjadi lemah dengan bertambahnya angka kematian, sebaliknya dengan kemampuan dan kekuatan yang ada pada mereka, dibalas perbuatan keji Yahudi itu dengan lebih kuat dan memberi ancaman yang besar kepada tentera Israel. 


Meskipun dengan hanya menggunakan batu serta alatan perang yang biasa, bukanlah berteknologi tinggi, namun, semua itu sudah cukup untuk menakutkan Israel.
Ya...memang benar. Hakikatnya, Israel sangat gerun dengan rakyat Palestin.


Perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan yang luar biasa. Disekat bantuan makan minum, senjata, dan pelbagai lagi keperluan hidup, namun mereka melalui semua dugaan itu dengan cekal dan sabar. Bahkan, hal itu tidak menjadi masalah pada mereka untuk bangkit mempertahankan bumi Al-Quds. Yakinnya mereka dengan janji dan pertolongan Allah, membuatkan mereka tidak pernah kalah dan putus asa dalam perjuangan mereka.


Lihatlah, hingga ke hari ini, tentera Israel masih gagal untuk menguasai bumi Gaza. 
Gaza... satu kawasan yang kecil, bukanlah luas sangat....
Nak dibandingkan negeri Perlis dengan Gaza, rasanya Perlis lebih besar...atau mungkin sama.


KEKUATAN MEREKA : DARI MANAKAH KEKUATAN ITU?


Saban hari mendengar rakyat di bumi Gaza, di Palestin mengasak kembali tentera Israel dengan kekuatan yang ada pada mereka, membuatkan saya rasa kagum. Bahkan, kalau diberi peluang, saya ingin bersama mereka di sana, melalui kehidupan yang mereka lalui, melalui TARBIYAH yang mereka lalui di sana, hingga membuatkan jiwa mereka begitu kental dan bersemangat. 
Benarlah apa yang pernah disebutkan satu ketika dahulu ketika syahidnya Syeikh Ahmad Yassin,  "Jika seorang daripada kami mati, akan lahir 10 lagi yang lebih kuat." 
Sememangnya, jihad mereka di sana berterusan. Perginya Syeikh Ahmad Yassin melahirkan puluhan ribu lagi mujahidin-mujahidin yang BERANI dan IKHLAS berjuang untuk ISLAM.


   Inilah kekuatan yang lahir daripada IMAN. Bagi saya, kekuatan sebegini tidak akan lahir sekiranya sumbernya bukan berpunca daripada iman dan keyakinan yang benar terhadap Allah s..w.t., terhadap hari kiamat. Bukankah hal ini telah dibuktikan satu ketika dahulu oleh generasi awal Islam yang telah Allah lakarkan kisah mereka ini dalam Al-Quran, surah Al-Imran, 110 yang bermaksud:


"Kamu adalah sebaik-baik umat dari kalangan manusia, kamu mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran, serta kamu pula berIMAN kepada Allah."


IMAN yang merasuk ke dalam jiwa mereka menjadikan mereka sanggup mengorbankan segala kepentingan duniawi, hatta nyawa mereka sendiri semata-mata untuk mengangkat kalimah Lailahaillallah serta memastikan Islam dipelihara. Inilah perkara yang sama dilalui oleh Bilal, Khalid Al-Walid, Sumayyah, Khubaib Ibn Adiy, dan ramai lagi sahabat Rasul s.a.w.


Kekuatan mereka tidak didorong oleh kekuatan fizikal mahupun kekuatan mental.
Kuatnya mereka bukan kerana teknologi canggih yang ada bersama-sama mereka.
Tapi kuatnya mereka kerana IKHLAS mereka terhadap Allah s.w.t. dalam kehidupan. Mereka yakin Allah yang akan memberi kekuatan dan kemenangan kepada mereka. Dalam masa yang sama, mereka taat kepada suruhan Allah, dan meninggalkan larangan-Nya. Mereka tinggalkan dosa dan maksiat yang menjadi hijab (halangan) antara mereka dengan Allah, hijab kepada kemenangan mereka.


Inilah kekuatan yang sebenar perlu dimiliki oleh semua ummat Islam pada hari.


KELEMAHAN UMMAT ISLAM HARI INI, APA PUNCANYA?


Menurut satu kajian yang dilakukan, ummat Islam merupakan ummat paling ramai di dunia ini berbanding Yahudi, Kristian dan lain-lain agama. Namun, jumlah yang ramai ini seolah-olahnya hanya jumlah yang kosong. Cuba kita himpunkan angka kosong, beribu angka kosong jika dihimpun sekalipun, tetapnya hasilnya adalah KOSONG....


Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:


"Kamu satu hari nanti akan dikerumuni oleh ummat-ummat lain sepertimana orang-orang yang makan mengerumuni makanannya.


Salah seorang sahabat bertanya: Adakah kerana kami sedikit ketika itu?


Bahkan kalian banyak ketika itu, tapi kalian bagaikan ghusa' (buih yang dihanyutkan banjir). Allah telah mencabut rasa takut musuh kalian terhadap kalian dan mencampakkan kepada kalian penyakit al-wahn.


Maka sahabat bertanya: Apakah al-wahn itu, wahai Rasulullah?


Rasulullah s.a.w. menjawab : Cintakan dunia dan takutkan mati."


Ummat Islam lemah hari ini, kerana meninggalkan apa yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Islam sudah tidak lagi diambil sebagai satu sistem hidup, hanya diambil sebagai ibadah umum dalam kehidupan sahaja seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain. Mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah, serta lupa bahawa dia adalah seorang HAMBA ALLAH. Akibatnya, lahirlah muslim yang lemah pegangannya. 


KITA PERLU KEMBALI...




Saya pernah sebutkan kepada pelajar-pelajar di sekolah saya, bahawasanya antara sumbangan utama bagi kita di sini, yang tidak mampu BERJIHAD bersama-sama rakyat Palestin khususnya di bumi Gaza, yang tidak berpeluang mengikuti konvoi membawa bantuan ke sana, kita di sini yang mampu kita lakukan adalah dengan kita memahami deen kita, cara hidup kita iaitu ISLAM.


Inilah sumbangan terbesar kita. 
Ya...saya tidak nafikan, sumbangan berbentuk maddi (kebendaan) juga penting, namun yang lebih penting adalah kita di sini berusaha untuk bersama-sama memahami Islam dengan lebih mendalam dan mengamalkannya dalam kehidupan. 


Tidak guna juga kita memberi sumbangan, tapi cara hidup kita di sini seperti cara hidup mereka, Yahudi Laknatullah yang menyeksa saudara-saudara kita di Palestin, maka kita sebenarnya secara senyap-senyap kita juga telah menyeksa saudara-saudara kita di sana.


Kita sibuk melaungkan kata-kata semangat untuk pembebasan Palestina, tapi, kita sebenarnya tidak faham apa tujuan kita berbuat demikian, maka tidak ada ertinya juga.


Marilah, 
saudara-saudaraku, sahabat-sahabatku dan semua ummat Islam sekalian,
Kita kembali kepada Islam yang sebenar, menerima Islam sebagai neraca ukur dalam kehidupan kita.


Kita taat kepada apa yang Allah perintahkan dalam kehidupan kita. Solat lima waktu kita tunaikan setiap hari. Kita sentiasa bercakap yang baik dan bergaul dengan orang lain dengan pergaulan yang baik. Kita berakhlak dengan akhlak Islam.


Kita tinggalkan juga apa yang Allah tidak suka, yang Allah larang. Berakhlak mazmumah (buruk), bercakap perkara-perkara keji dan sia-sia, dan larangan Allah yang lain kita usaha untuk tinggalkan.


KEKUATAN luar biasa yang dimiliki oleh generasi di Palestin hari ini, itu yang kita hajatkan pada diri saya, kita dan semua ummat Islam di seluruh dunia, itu yang menjadi rebutan kita! 
Kita bangkit dengan penuh kesedaran untuk membangunkan Islam yang sekian lama ditinggalkan oleh manusia.
Kita bangkit semula dengan IMAN kita!





0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP