Saturday, September 26, 2009

Kita Di Depannya ...

Saya bawakan sebuah kisah seorang bilal di sebuah masjid.
Bilal ni seorang yang sangat rajin azan. Tiap-tiap kali waktu solat, dia pasti akan azan, panggil orang solat.
Memang dia azan setiap hari ikhlas untuk memanggil manusia menghadap Allah.
Allah takdirkan satu hari, ada sebuah keluarga Kristian berpindah masuk ke rumah berdekatan masjid itu.

Keluarga Kristian ini mempunyai seorang anak gadis yang perawan.
Bilal yang pada mulanya azan untuk memanggil orang solat lama kelamaan mula bertukar niat, azannya adalah semata-mata untuk dapat melihat anak gadis keluarga Kristian itu.
Setiap kali dia mengumandangkan "Hayya Alal Falah", maka mukanya beralih ke sebelah kiri dan setiap kali itu jualah dia ternampak kelibat si anak gadis itu.
Akhirnya, kerana tidak tahan lagi, setiap hari pasti akan terpandang wajah si anak gadis itu, maka si bilal pun terus berjumpa dengan bapa kepada gadis perawan itu. Dia mengutarakan hajatnya untuk memperisterikan si gadis itu.
Si bapa bersetuju. Tetapi mestilah dengan satu syarat. Si bilal mestilah masuk agama Kristian dan meninggalkan Islam. Si bilal yang selama ini azan memanggil orang solat itu akhirnya tergadai akidah hanya kerana terpautnya hati pada seorang perempuan.

Begitulah kita di depan manusia. Selalu mencari kemuliaan dan kedudukan di depan mata manusia.
Tanpa kita sedari, kemuliaan yang kita kejar-kejar, mengharapkan pujian dan penghargaan daripada manusia ini, belum tentu lagi meletakkan kita dalam 'list' orang yang dimuliakan dan mendapat penghargaan daripada Allah Al-Khaliq.

Manusia selalu lupa akan kekerdilan dirinya di depan Allah, Rabb yang menciptanya, menguasainya dan menghisab amalnya.
Berkedudukan tinggi, berpangkat besar, memiliki harta kekayaan, perempuan cantik dan sebagainya, kadang-kadang membuat manusia lupa akan tanggungjawab.
Leka dan lalai dengan apa yang dimiliki menjadikan manusia semakin tamak untuk mengejar 'tanah sekangkang kera' di depan mata berbanding 'tanah seluas langit dan bumi' yang Allah janjikan.

Mencari nama dan glamour di depan manusia, berlumba untuk memperbanyak harta, dan sibuk mengejar dunia yang fana, tidak kekal abadi.
Perintah Allah dilupakan, larangan-Nya kita abaikan, kita dijangkiti oleh virus 'al-wahn'. Virus yang Rasulullah maksudkan dalam hadisnya sebagai cintakan dunia dan takutkan mati.



Kita perlu sedar. Setiap yang hidup pasti akan mati. Tiada siapa pun yang akan terlepas daripada 'panggilan' Malaikat Maut. Bila 'on-call', kita akan 'pergi' untuk selamanya.
Pergi ke mana?
Kita akan singgah di satu tempat persinggahan 'R&R' sebelum menuju ke destinasi seterusnya yang kekal abadi. Tapi R&R kali ini akan jadi begitu 'special' untuk orang yang mati dalam ketaatan dan kebaikan sebaliknya akan menjadi azab bagi yang mati dalam kemaksiatan dan kemungkaran.
Marilah buat persiapan untuk 'on-call' yang kita tak tahu bila masanya itu.
Mungkin sekejap lagi, mungkin bila kita dah tidur malam nanti, mungkin esok lusa.
Siapa yang tahu ?
Tiada siapa yang tahu...
Semuanya tercatat dalam takdir Allah.


Tiada siapa selamat balik bertemu Allah, melainkan orang yang datang kepada Allah dengan membawa HATI SEJAHTERA. Hati yang hidup dengan makrifat Allah dan cahaya Rabbani.
Kita yang selama ini mencari mulia di sisi manusia dengan kemurkaan Allah, tunggulah penghinaan ke atas diri kita pada hari itu. Tetapi, orang yang mencari mulia di sisi Allah biarpun dengan marahnya manusia, maka hari itu dia akan dimuliakan Allah.
Bagaimana mencari mulia di sisi Allah?
Allah telah berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:


"Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah orang yang bertaqwa"

Mari hitung diri.
Kata Saidina Umar:

"Hisablah diri anda sebelum anda dihisab"

Tidak mahukah kita ganjaran kekal abadi di sana? Tiada guna berseronok dengan kenikmatan dunia yang sementara dan akan hilang satu hari nanti. Harta kekayaan kita akan hancur musnah, rasa sedap dan lazat akan hilang, glamour di depan manusia, kita pasti akan dilupakan, isteri dan sanak-saudara pasti akan mati.


Manusia akan dihimpunkan nanti di Padang Mahsyar. Daripada zaman Nabi Adam a.s. hinggalah kepada kita. Pada hari itu, tidak ada yang akan selamat melainkan orang-orang yang mendapat naungan Allah. Kemurkaan Allah sangat dahsyat pada hari itu sehinggakan para Nabi pun takut untuk menghadap Allah. Manusia pada hari itu akan berjalan meminta pertolongan daripada Nabi Adam a.s. sehinggalah kepada Nabi Isa a.s. Minta pertolongan untuk dimudahkan hisab ke syurga.
Tapi mereka pun takut menghadapi kemurkaan Allah melainkan Nabi Muhammad s.a.w. yang memberi harapan semula kepada kita. Nabi Muhammad s.a.w. yang akan berjumpa meminta syafaat untuk ummatnya.



Begitu dahsyatnya azab Allah pada hari itu.
Ada manusia yang lemas dalam peluhnya sendiri, ada yang merasakan matahari sejengkal di atas kepalanya, ada yang dibangkitkan dalam keadaan buta.

Pada hari itu, manusia dengan diri masing-masing. Tiada siapa yang akan mengambil peduli nasib orang lain. Masing-masing sibuk menghitung diri masing-masing.


Janganlah kita jadi orang yang terlambat.
Allah gambarkan dalam surah as-Sajdah ayat 12 yang bermaksud:



"Wahai Tuhan kami, kami telah lihat dan dengar, maka kembalikanlah kami(ke dunia) untuk beramal soleh, sesungguhnya kami termasuk orang-orang yang yakin."

Inilah gambaran orang-orang yang membawa 'buah tangan yang busuk' di depan Allah nanti.
Bila dah nampak betapa nikmatnya syurga Allah dan azabnya seksa neraka, barulah menyesal.
Adakah kita juga ingin termasuk dalam golongan ini?
Sediakanlah 'buah tangan' terbaik untuk balik bertemu dan berdepan dengan Allah.

Allah janjikan dalam satu hadis qudsi:


Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi s.a.w. bersabda: Allah berfirman: "Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh apa yang tak pernah dilihat oleh mata, tak pernah didengari oleh telinga, tidak pernah terlintas dalam hati dan pemikiran."

Marilah mencari mulia di depan-Nya...

4 comments:

brohandzalah September 26, 2009 at 6:42:00 AM GMT+8  

MasyaAllah.

Moga diri kita dirahmati dan dilindungi dengaNya yang sentiasa berada di sisi setiap hamba-hambaNya.

Perkongsian yang baik...

ghufran September 27, 2009 at 4:45:00 AM GMT+8  

wah...x sangka na...

Uqbah Azam October 16, 2009 at 3:25:00 PM GMT+8  

moga kita thabat di jalan-NYA.

insyaALLAH. nice writing btw....
^_^

Ahmad Zulfadhli Zulkefli November 13, 2009 at 8:43:00 AM GMT+8  

betapa kerdilnya kita di sisi allah.. allah tidak memerlukan sebaliknya kita memerlukan allah sentiasa.. jika kita jauh dari allah maka allah akan jauh dari kita.. jangan sesekali kita melupakan allah kerana aalah juga akan melupakan kita...

psst: Hi! Salam ziarah. Jom xchange link & sila komen entri blog saya di http://putraalmaliki.via.my/ . TQ.

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP