Friday, September 25, 2009

Aidilfitri : Menangkah Kita?


Sehari sebelum Aidilfitri menjelang tiba, saya dapat mesej daripada seorang sahabat kira-kira pada 10.58 pagi. Mesejnya pelik, berbunyi begini:


"As'kum... 1st ana nk minta maaf dr SKULL smpi PHALANGES atas sgala PARALLEX ERROR & ZERO ERROR & sgla INVOLUNTARY ACTION yang dibuat tanpa CONSCIOUS CONTROL. Ana jga nk mohon maaf mybe ana terover control ana punya PNEUMATIC mybe jga ana x ikut nta pnya MOULDING shinggakn nta mghsilkan REACTION yg jauh bezany dgn ana pnya HYPOTHESIS (rmaln awal)... Ana harap mesej ni dpt mnjd CATALYST utk nta mnaikkn MOMENTUM & PROBABILITY nta dlm melakukan REFORMATION 4 OUR SUCCESS dsmpg mrapatkn GAP2 antara kta without OBSTACLE yg bleh mghsilkn WAVE2 yg x mnyenangkn kita smua! SELAMAT HARI RAYA! MAAF ZAHIR & BATIN! ... :) "


Selepas Isya' malam tu, bila pengumuman raya telah disampaikan di televisyen, mulalah masuk puluhan mesej raya daripada teman-teman dan sahabat.


Mesej yang saya terima di atas adalah mesej paling awal sebelum pengumuman raya. Pagi-pagi lagi dah hantar. Mungkin sahabat saya sorang ni dah 'teropong awal', yakin nampak anak bulan.


"Ni kalau hantar tahun lepas ni, boleh gak dapat A Biologi dengan Fizik," saya tersenyum sendirian apabila membaca mesej di atas.
Masuk habis istilah Bio dengan Fizik hanya semata-mata nak ucapkan "SELAMAT HARI RAYA".


Alhamdulillah, dapat habiskan Ramadhan. Rasa sekejap sangat masa yang berlalu. 
Ramadhan berlalu hari demi hari, akhirnya tibalah Idul Fitri. Terasa rugi juga ada masa-masa terluang yang terbuang dalam bulan Ramadhan tanpa pengisian. 
Tapi masa dah berlalu, tetap tidak boleh nak ditarik balik.


Pengisian-pengisian Ramadhan sebenarnya memberi impak besar kepada hamba yang benar-benar manfaatkannya. Sebab itulah, seluruh alam bergembira dengan kehadiran Ramadhan, menangisi pemergiannya.


Jika kita di kalangan orang yang beruntung selepas keluar dari madrasah Ramadhan, maka pastilah kita akan menyambut ketibaan IdulFitri dengan penuh kepuasan dan kegembiraan.
Puas dan gembira kerana Allah telah bersih dan sucikan diri kita sepenuhnya selama sebulan di bulan Ramadhan.
Puas dan gembira kerana diri kita seolah-olah kembali ke zaman bayi, tiada dosa dan noda.
Puas dan gembira juga kerana Allah telah kurniakan bekalan terbaik untuk menempuh kehidupannya, iaitu bekal KETAQWAAN.


Oleh sebab itulah dalam post kali ini, kita menilai diri kita, adakah kita termasuk golongan yang menang setibanya Idul Fitri?
Adakah kita termasuk dalam janji Allah akan diampunkan dosa-dosa kita yang lalu?
Adakah kita mencapai hakikat TAQWA kepada Allah apabila keluar dari madrasah ini?


Bukan senang untuk memiliki taqwa. Ia adalah 'pakaian' termahal. Tiada yang boleh menandingi.


Apakah taqwa itu boleh kita beli?
Sudah tentulah tidak...


Taqwa bukan barang jualan, bukan juga harta warisan.
Kumpulan nasyid terkenal tanah air, Raihan pernah mendendangkan sebuah nasyid bertajuk 'Iman Mutiara'. Dalam nasyid mereka ada sebahagian rangkap berbunyi:



Iman tak dapat diwarisi
Dari seorang ayah yang bertaqwa

Ia tak dapat dijual-beli

Ia tiada di tepian pantai






Taqwa adalah kurniaan Allah kepada hamba-hambaNya yang Dia kehendaki.
Hatta ayah kita seorang alim atau seorang wali sekalipun, si ayah tetap tidak dapat mewariskan taqwa kepada anaknya. Keimanan dan ketaqwaanlah menjadikan kita mulia di dunia dan akhirat. Allah sebut dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:


"... Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu..."


Allah letakkan darjat orang taqwa itu paling mulia di sisinya. Sebab itu, rugilah kita jika kita tidak termasuk dalam golongan yang muttaqin. Bahkan Allah sebut dalam Al-Imran ayat 133 yang bermaksud:



"dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,"


Allah sediakan pula ganjaran syurga seluas langit dan bumi untuk yang bertaqwa.
Tidak mahukah kita?

Sebab itulah, natijah taqwa yang diperolehi daripada bulan Ramadhan adalah sebagai bekal terbaik sepanjang kehidupan kita. Allah sebut dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud:



"Dan berbekallah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa"


Bagaimana nak bertaqwa?
Kita boleh rujuk buku Abdullah Nasih Ulwan bertajuk "Menuju Ketaqwaan".
Beliau gariskan beberapa panduan untuk menjadi orang bertaqwa:


1) Mua'hadah (Perjanjian)


Kita membuat perjanjian antara diri kita dengan Allah untuk terus menjaga syariatnya.
Dalam surah an-Nahl ayat 91:


“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah
kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan
nama Allah) sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu
sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.


2) Muraqabah (Rasa Allah Maha Melihat)


Kita sentiasa rasa Allah itu bersama kita sepanjang masa, Maha Melihat dan Maha
Mengetahui segala perbuatan kita. Firman Allah dalam surah As-Syu'ara ayat 218 hingga 219:


“(Allah) Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan) sembahyang
dan (melihat) gerak gerimu di antara orang-orang yang sujud.”


3) Muhasabah (Penilaian Diri)


Kita menilai hari-hari yang telah lepas. Apakah yang telah kita habiskan dengan umur kehidupan kita yang telah lepas? Kita menilai untuk membuat pembaikan. Allah berfirman dalam surah Al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud:


“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan
mengerjakan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri
melihat dan memerhatikan apa yang telah lepas dari amalan-amalannya untuk hari esok (akhirat) dan sekali lagi diingatkan, bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya
Allah amat meliputi pengetahuan akan segala yang kamu kerjakan.”


4) Mua'qabah (Denda)


Dalam membuat perubahan terhadap diri, kita meletakkan beberapa 'denda' sebagai hukuman ke atas diri kita jika melakukan kesalahan dan dosa.
Kita mestilah istiqamah dengan hukuman yang telah kita tetapkan.
Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 179 bermaksud:


“Dan dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orangorang
yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa.”


5) Mujahadah (Kesungguhan)


Hendak kepada sesuatu yang mahal, maka memerlukan pengorbanan dan kesungguhan yang tinggi untuk mendapatkannya.
Sanggup menempuh segala kesusahan, cabaran dan mehnah untuk memperoleh taqwa.
Sabar dalam melakukan kebaikan dan ketaatan kepada Allah, sabar juga dalam menjauhi kemaksiatan dan kemungkaran. Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69 bermaksud:


“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke
jalan-jalan kami (yang menjadikan mereka bergembira dan beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang
berusaha memperbaiki amalannya.”





Secara mudahnya, kita berusaha melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya dalam masa yang sama kita berhati-hati dan berwaspada terhadap perkara syubhah (boleh menjatuhkan kita ke dalam perkara haram).


Oleh sebab itu, marilah lakukan analisis ke atas diri kita.
Natijah Ramadhan adalah untuk terus MENANG dengan KETAQWAAN sepanjang hayat...
Wallahu a'lam.






0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP