Wednesday, September 23, 2009

Dua Nikmat Yang Manusia Lupa ...

Saya pergi ke sebuah rak buku di rumah saya. Saya mencari sebuah buku untuk dijadikan rujukan dalam menyiapkan kerja-kerja saya.

"Susah betul nak jumpa buku ni. Maklumlah buku lama."
getus hati aku.

"Alhamdulillah, jumpa juga."

Tapi sayang...
Buku ni nampaknya macam sudah lama tak dibuka...
Berhabuk...
Berdebu...

"Fuh... Fuh..., bersin juga aku nanti ni." Aku menghembus-hembus sikit buku yang baru saja dijumpai itu.

"Takpalah, boleh baca lagi. Mungkin kena 'perelok' sikit buku ni nanti."

Salam Aidilfitri kepada semua pembaca. Maaf zahir dan batin.
Taqabbalallahu minna wa minkum. Minal aidhin wal faizhin.
Moga kita tergolong dalam golongan orang yang BERTAQWA setelah menempuh sebulan Ramadhan. Sebuah madrasah ulung umat Islam, mendidik hati dengan kesabaran dalam ketaatan. Dijanjikan dengan pelbagai macam GANJARAN bukan sahaja ganjaran dunia, bahkan ganjaran akhirat berlipat kali ganda.

Pertamanya saya minta maaf kerana sudah lama tidak meng'update' blog saya. Atas beberapa sebab, saya tidak sempat untuk menambah bahan dalam blog ini. Cerita di atas tadi lebih kurang dengan cerita blog saya yang tak sempat diupdate ni.

Apapun, walaupun lama tidak diupdate, tapi harapannya isinya masih terus segar dan elok serta bermanfaat untuk kita semua.


Saya suka petik satu hadis Nabi s.a.w. yang mafhumnya bermaksud:

Daripada Abdullah ibn Abbas r.a. Nabi s.a.w. bersabda: " Dua nikmat yang ramai manusia sering dilupakan oleh manusia: Nikmat kesihatan dan masa lapang."
(HR Bukhari)

Nikmat KESIHATAN dan MASA LAPANG...
Memang benar apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w.
Kita selalu lupa apabila Allah beri kita kesihatan. Kita juga selalu lupa yang apabila berada dalam kelapangan masa. Apabila mata berpejam celik, esoknya kita sakit, maka ketika itu barulah kita mencari-cari Allah, menyesali nikmat kesihatan yang telah 'pergi' dari diri kita. Apabila kita mula hilang kesempatan masa untuk bersama anak isteri, keluarga dan masyarakat kita, maka kita menyesali kelapangan masa yang ada bersama kita suatu ketika dahulu.

Memang inilah sikap makhluk bernama 'manusia'.

Suka menghitung dan menyesali nikmat yang telah pergi dan tiada pada dirinya. Bila ada, tidak disyukuri. Bila tiada, menyesal tak berhenti.

Bukankah Allah s.w.t. telah bersumpah dengan masa bahkan menyatakan bahawa manusia itu semuanya rugi...
Mari kita rujuk maksud surah Al-Asr:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran."

Allah telah nyatakan semua manusia rugi...
Kecuali orang yang memenuhi 4 syarat yang Allah tetapkan iaitu:

(1) Beriman
(2) Beramal soleh
(3) Berpesan dengan al-hak (kebenaran)
(4) Berpesan dengan as-sabr (kesabaran)

Maka orang ini tidak akan tergolong dalam golongan yang rugi.

Mari kita muhasabah diri.
Apakah dengan nikmat masa dan kesihatan yang Allah beri selama ini mendekatkan kita dengan akhirat ataupun menjauhkan kita daripada membuat persiapan untuk ke sana?


Dalam satu hadis yang bermaksud:
"Daripada Abdullah ibn Abbas r.a. , Nabi s.a.w. bersabda: Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara: Muda sebelum engkau tua, sihat sebelum engkau sakit, kaya sebelum engkau miskin, kelapangan sebelum engkau sibuk dan hidup sebelum engkau mati."

[HR Al-Hakim]

Sementara kita masih muda, maka manfaatkanlah masa muda ini. Jika sudah tua tidak terdaya, maka apa lagi yang mampu kita lakukan ketika itu selain duduk menanti simpati dan pertolongan anak-anak?

Kesihatan yang ada, manfaatkanlah untuk kebaikan. Apabila kesakitan menimpa diri kita, maka ketika itu tidaka ada gunanya menyesali nikmat kesihatan yang suatu ketika dulu kita miliki.

Harta dan kekayaan, janganlah sampai kita dilalaikan dengannya. Harta dan kekayaan kita akan musnah, hancur juga suatu masa nanti. Ia tidak akan pernah kekal bersama kita. Janganlah kita berasa bangga dengannya. Manfaatkanlah harta di jalan Allah.

Kesempatan masa yang bersama kita sekarang ini gunakanlah seluruhnya untuk kebaikan. Cubalah untuk menjauhkan diri daripada menggunakan walaupun sedetik dari masa hidup kita untuk maksiat dan kejahatan.

Akhirnya, manfaatkanlah seluruh kehidupan ini dengan KEBAIKAN dan KETAATAN kepada Allah. Sebelum maut datang menyelimuti tubuh kita, buatlah persediaan secukupnya bertemu Allah. Kita tidak tahu bilakah ajal kita. Oleh sebab itulah, daripada awal kehidupan hinggalah akhir hayat, maka kita ada satu projek penting yang mesti dilaksanakan. Jika tak dilaksanakan, maka kita semua akan menyesal. Inilah Fannul Maut (Projek Mati).

Sekiranya kita ingin kesudahan yang baik, maka kita akan membuat persediaan sebaik-baiknya dengan masa dan kesihatan yang ada pada kita.

Janganlah kita tergolong dalam golongan yang lalai dan lupa terhadap dirinya.

Hidup di dunia ini sementara, akhirat jua kekal selamanya...
Wallahu a'lam.



1 comments:

Kayun October 17, 2010 at 1:13:00 PM GMT+8  

salam.saya mai buat rujukan d sini.hihi tq

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP