Para daie’
adalah orang yang sepatutnya sentiasa berusaha memelihara keterikatan hatinya
dengan Allah. Sebelum keterikatannya dengan mad’unya, terlebih utama adalah
untuk dia memastikan hatinya benar-benar terikat dengan Allah.
Sungguh
canggung rasanya, daie’ yang menyibukkan dirinya dengan kerja dakwah kepada
awam, dengan menyampaikan kuliah atau materi tarbiyah kepada anak buahnya,
tetapi hatinya kering roh, keterikatan hatinya dengan Allah terumbang-ambing.
Menunggu masa dilambung ombak tinggi, dipukul, dihempas, jatuh tiada bangun
lagi.
Justeru,
para daie’ perlu memberi perhatian terhadap wasail (jalan-jalan) yang sentiasa
dapat menyampaikan dirinya kepada keterikatan hatinya dengan Allah.
Maka, di
antara wasail itu, masjid adalah antara yang terpenting, juzuk penting daripada
juzuk-juzuk kehidupan para daie’. Pastinya apabila berbicara tentang masjid, fokus lebih terjurus ke arah lelaki berbanding wanita.
Ia menjadi
penting bukan kerana memenuhi keperluan dakwah semata-mata, tetapi kerana
sebelum menjadi keperluan dakwah, ia telah terlebih dahulu menjadi keperluan
diri kita sebagai mukmin, bekal penting di atas jalan pulang kita menuju
akhirat.
Daie’ yang
jauh dari masjid, sambilewa dan endah tidak endah dengan hubungannya dengan
masjid, mudah sekali untuk dijangkiti penyakit-penyakit yang merosakkan kerja
dakwahnya, juga tak jarang terjadi banyak masalah antara dirinya dengan
masyarakat, konflik double standard yang akan nantinya dipersoalkan.
Banyak
bercakap tentang Allah, tetapi jarang-jarang nampak di rumah Allah.