Seni Sesama Kader
Bukan semua
soalan sesuai ditanya, bukan semua soalan yang sesuai ditanya itu pula, sesuai
dengan tempat dan orang yang ditanya.
Seperti
bertanya soalan bahasa arab tinggi kepada pelajar bahasa arab sekolah rendah.
Soalan begitu sesuai ditanya, tetapi tidak sesuai pada orang dan tempatnya.
Kalau ia ditanya pada pelajar tingkatan 4 dan 5 pun belum tentu dapat dijawab,
inikan pula ditanya kepada pelajar sekolah rendah.
Ia
perumpamaan yang mudah difahami, harap-harapnya.
Bahkan
bertanya soalan ini ada hubungkaitnya dengan kisah Bani Israil dalam surah
Al-Baqarah, yang mana apabila mereka bertanya, itu menunjukkan kelemahan cara
fikir dan akhirnya menyusahkan mereka semula.
Menyedari
Kepelbagaian
Harakah
atau jemaah mengumpulkan orang dari kepelbagaian latar belakang, dari pelbagai
cara fikir.
Ada yang
sebelum masuk ke pintu jemaah, ia adalah orang yang memang hidup dalam suasana
masyarakat yang tidak baik, suasana maksiat, kemudian direzekikan Allah
kefahaman Islam melalui pintu harakah atau jemaah Islam tertentu, lalu dia pun
berubah menjadi jauh lebih baik dari hidupnya sebelum ini.
Ada yang
sebelum masuk ke pintu jemaah, adalah orang yang kritikal cara fikirnya, ia
telah belajar pelbagai aliran fikir dan pernah membuat penilaian pada semua
yang dia pelajari. Dia mungkin memilih jemaah Islam tertentu menjadi ruang
bekerjanya kerana baginya itu wadah terbaik setelah dia membuat penilaian. Pun
begitu, wadah itu tidaklah lepas dari penilaian dirinya itu. Kalau jemaah Islam
sendiri memungkiri perkara pinsip dalam Islam, boleh jadi sikapnya sebelum ini
yang bersedia berkhidmat bersama jemaah itu akan berubah.
Ada yang
masuk ke pintu jemaah dari keadaan dia kosong. Dia memang mengenalinya, menjadi
anak-anak harakah sejak kecil, sejak dia belum mampu membuat pilihan untuk
dirinya. Itu adalah satu nikmat buatnya, alhamdulillah, kerana membesar dalam
lingkungan mereka yang bercita-cita besar untuk Islam. Pun begitu, yang
membesar dalam suasana harakah itu juga akan menerjah ke suasana luar, hidup
dalam suasana kepelbagaian idea dan cara fikir dalam masyarakat, berdepan
dengan pelbagai wacana dalam masyarakat, semua itu akan mempengaruhi semula dirinya
dalam menentukan halatujunya dalam berharakah.
Pelbagai
orang, pelbagai latar belakang pendidikan, pelbagai cara fikir.
Ia adalah
mustahil untuk menyatukan semua orang di atas satu cara fikir. Sering kita
kumandangkan di dalam gerak kerja berjemaah tentang wihdatul fikr yakni
kesatuan pemikiran. Saya berpendapat, kita perlu cerakinkan dalam hal apa kita
boleh bersatu pemikiran kita, dalam hal bagaimana pula kita boleh berbeza.
Dalam
berharakah, tidak semua perkara kita perlu wehdatul fikr. Kita boleh
berwehdatul fikr tapi pada perkara-perkara melibatkan prinsip. Demikian Imam
Al-Banna menggariskan 20 Usul dalam Rukun Al-Fahmu kerana di situ menghimpunkan
perkara-perkara prinsip dalam berfikir, dalam soal iman dan akidah, dalam soal
akhlak dan adab, dalam soal bersiasah dan pelbagai lagi.
Apa Yang
Mengikat Kebersamaan Kita Di Dalam Jemaah?
Saya
merasakan yang mengikat kebersamaan kita di dalam jemaah bukanlah semata-mata
platform, bukanlah juga di mustawa mana kita berada, bukanlah juga sudah berapa
tahun nta dan nti di dalam jemaah. Itu semua tidak bermakna apapun di depan
Allah kalau ikatan iman terlerai di antara kita.
Justeru,
apabila kita back to basic, kita akan menyedari bahawa berada dalam harakah
hanyalah satu kerugian sekiranya kita tidak dapat mempertahankan ikatan iman
kita, antara kita dengan diri kita, antara kita dengan saudara-saudara kita,
yang merupakan perkara prinsip dalam hidup kita sebagai muslim.
Berbalik
kepada ikatan iman ini juga, kita perlu mula membasmi dan merawat soalan-soalan
sensitif dalam berjemaah, yang tidak perlu atau tidak signifikan pun.
“Nta
mustawa mana?”
tanya seorang al-akh dalam keadaan menyindir kepada seorang budak yang
kelihatan baru tetapi sudah menjadi pengendali program training tarbiyah itu.
“Nta
anak ikhwah mana?”, “Nta anak siapa ya?” tanya seorang pak cik kepada seorang remaja,
yang mana remaja itu ayahnya tidaklah pernah mengikuti harakah yang dia ikuti
itu pun. Serba salah hendak dijawab. Akhirnya jawapan yang keluar, “Pak cik tak
kenal kut ayah saya. Dia tak ikut j ni.” “Oh, ye ke.” Dan pak cik itu pun
berlalu pergi.
Alangkah
dukacita dan terkilannya beberapa kader baru yang mengikuti dakwah ini, bila
berdepan soalan-soalan sedemikian. Mereka bagaikan berdepan salah besar, kerana
terlalu muda, tetapi diangkat di posisi yang sedikit tinggi, kerana ayah mereka
mungkin bukan dari kalangan orang J, lalu mereka ditinggalkan dengan persoalan
‘nta anak siapa’ tanpa ada keinginan pun dari orang lama itu untuk berkenali
dengan keluarga kader yang baru itu dengan baik, sedangkan, bukankah mengenali
keluarga kader baru itu juga bahagian dari seni dan fiqh dakwah yang kita
pernah pelajari?
Soalan itu
seakan-akan sebuah perlekehan, sebuah sindiran. Ditanya bukan untuk mengambil
berat, tetapi ditanya seakan-akan untuk memaksudkan, ‘nta kalau mustawa
ni baru layak, sekarang ni nta tak layak pun.’, ‘oh, nta anak ni
rupanya.bagus-bagus.kalau nta bukan anak siapa-siapa, ana malas peduli.’
Ke mana
kita buang neraca syakhsiah ad-daeiah kita dalam konteks ini?
Ia menjadi
semacam kasta jahiliah sebelum Islam, kalau engkau dari kabilah sekian-sekian
yang dikenali, aku hormat kau.
Soalan yang
tidak sesuai ditanya, apatah lagi pada tempat dan orangnya.
Kedudukan
Yang Lebih Mulia
Bukanlah
yang lebih tinggi mustawanya itu lebih mulia di sisi Allah. Kalau Allah telah
menghapuskan kasta kemuliaan sesama manusia melainkan Allah sebut, hanya yang
bertaqwa yang paling mulia di sisi-Nya, maka ia satu masalah besar kalau
melalui mustawa, kasta itu wujud semula tanpa sedar. Kasta antara orang yang
sudah lama dan yang baru ikut. Kasta antara mustawa bertaraf general atau
mustawa bertaraf prebet biasa saja.
Abu Zar
sahabat yang wara’, kalahlah kita. Kita pun mungkin tak semisal itu. Tetapi Abu
Zar ketika terlepas mengatakan pada Bilal ‘wahai hamba hitam’, Bilal tanpa
tunggu mengadu pada Nabi. Nabi demikian mendengar hal itu, tidaklah kerana
kewarakan Abu Zar, mendiamkan hal itu, sebaliknya lantas memberi hukum yang
membuat Abu Zar rasa bersalah dengan mengatakan, ‘Wahai Abu Zar, engkau adalah
seorang yang dalam dirimu masih ada jahiliah.’
Sebab itu,
jangan kita terperangkap dengan banyaknya solat dan lamanya duduk di mihrab
sujud di masjid. Kalau seorang daie’ bagus ibadahnya tetapi bermulut kotor atau
kasar, lebih-lebih lagi sesama kader yang mahu menyerahkan hidupnya untuk
dakwah, maka salahnya itu haruslah ditegur dan tidak dibiarkan.
Ibadah
bagus tidaklah menyelamatkan lisan manusia yang buruk di depan Tuhan kelak.
Bercakap
yang baik dengan baik atau diam.
Penutup
: Bagaimana Kita Mendekati? Sebuah Muhasabah.
Mustawa,
saya pasti ia bukan disusun di dalam sebuah jemaah untuk mewujudkan kasta,
tetapi untuk mudah memobilisasi anggota harakah. Namun, barangkali kerana ada
sikap-sikap yang belum kita bersihkan dari diri kita, maka sebahagian kita
menjadikan mustawa itu sebagai kasta tanpa sedar.
Saya
berharap agar sikap sebegini dimuhasabah kerana kita sudah masuk ke era dakwah
bersama masyarakat, kita bukan lagi duduk dalam lingkungan sesama kita saja
untuk kita bertanya soalan-soalan sesempit itu.
Ramai anak
muda dari luar mahu bersama dakwah, kita jangan sempitkan ruang untuk mereka,
jangan sempitkan dada mereka untuk bersama dakwah ini.
Muhasabahlah
cara kita mendekati terutama dalam lingkungan kita sesama kadar harakah. Fiqh
dakwah yang kita belajar adalah untuk membentuk peribadi, bukan untuk kita guna
ketika mahu mencari orang baru saja. Habis dijumpa orang baru, kita pun buat
tidak tahu. Habis madu sepah dibuang, kata pepatah melayu.
Peribadi
itu adalah sikap yang bukan buat-buat, tetapi ia memang adalah diri kita,
tindakbalas yang lahir dari apa yang ada dalam diri kita.
Mari
sama-sama perbaiki, cara bercakap, cara bergaul, cara bertanya serta cara
berfikir. Semoga kita dapat memikat orang bukan kerana kehebatan platform kita,
atau bukan kerana mengambil kesempatan atas kelemahan orang, tetapi memang
benar-benar kerana nilai peribadi yang ada pada kader-kader dakwah kita tidak
kiralah dari mustawa manapun.
0 comments:
Post a Comment