Dilema Antara Pengorbanan Dan Kebajikan Dalam Harakah Islam
Harakah
atau jamaah Islamiyah kebiasaannya mempunyai target atau matlamat tertentu
untuk dicapai sama ada dalam jangka masa pendek ataupun panjang.
Target-target
ini tercapai melalui komitmen ahli yang berada di dalam jamaah. Kerana harakah
Islamiyah adalah institusi ataupun gerakan yang tidak bersandarkan kepada
kerajaan atau mana-mana institusi kewangan besar, maka ia lebih banyak berdiri
atas infaq dan janaan ekonomi dalaman.
Bila kita
berbincang tentang merealisasikan target harakah, tidak kiralah sama ada target
itu berbentuk pendidikan, kemasyarakatan, politik atau ekonomi, maka ia pasti
tidak terpisah dengan istilah yang sangat maaruf dalam anggota harakah, iaitu
at-tadhiyah, yakni pengorbanan.
Persoalan
pengorbanan ini jika dibicarakan secara tunggal dengan meninggalkan istilah
kebajikan, ia pasti akan menimbulkan kecacatan dalam gerak kerja harakah.
Menghargai
Setiap Nilai Individu
Di dalam
harakah Islamiyah, ada yang muda dan ada yang tua. Semua unit-unit individu
yang ada ini adalah gabungan yang akan menjayakan gerak kerja dan perancangan
harakah.
Oleh kerana
atas unit-unit inilah harakah dapat berdiri, maka harakah atau jamaah Islam
perlulah menghargai unit-unit ini sebaik mungkin.
Kita jangan
hanya meminta mereka berkorban tetapi kita lupa menghargai apa yang telah
mereka korbankan sebelum-sebelum ini.
Kita jangan
terus-menerus berbicara tentang pengorbanan di hadapan mereka tetapi kita
abaikan aspek penghargaan untuk mereka.
Benar, kita
tak nafikan, bahawa pengorbanan itu sungguh banyak tahapannya sehingga akhirnya
mungkin akan meminta dikorbankan nyawa kita sendiri, namun itu tak menjadi
alasan untuk menghalalkan kecuaian pengurusan kita dalam menjaga kebajikan
anggota harakah.
Menghargai
nilai individu yang bersama dalam harakah adalah satu aspek penting kerana
harakah ini kebiasaannya berdiri atas dasar sukarela, bukannya dibayar gaji,
bahkan gaji mereka pula harus dikeluarkan.Jangan
dimusnahkan semangat sukarela ini dengan kecuaian kita dalam menghargai
nilai-nilai individu ini. Kelak, tarbiyah yang seringkali menjadi fokus harakah
akan terganggu. Untuk menghargai nilai-nilai individu ini adalah dengan kita
memelihara kebajikan, tidak mencuaikan hak mereka dan fokus pada keperluan
mereka.
Agama ini
tidak dapat dijaga kelangsungannya jika kebajikan manusia tidak terjaga, perut
lapar, keperluan hidup tidak mencukupi, rasa aman tidak ada.
Demikian
firman Allah s.w.t. dalam surah Quraisy :
“Maka
sembahlah Tuhan rumah ini (baitullah). Yang memberi makan kepada kamu ketika
kelaparan. Dan yang mengamankan kamu dari rasa takut.” [Quraisy : 3-4]
2 aspek
penting ini adalah antara keperluan utama hidup manusia dalam pembelajaran
ekonomi Islam yang akan membantu manusia dalam taat untuk beragama.
Dalam
konteks harakah juga, kita harus belajar melihat, apakah anggota yang telah
kita minta berkorban itu, makan pakainya telah cukup? Apakah hak-haknya untuk
meneruskan hidup seperti berkahwin, bekerja, menyara hidup berkeluarga itu
terpelihara bila bekerja untuk harakah? Apakah dalam hatinya terwujud rasa aman
ketika bekerja dalam harakah ataupun rasa serabut lagi bila bekerja dengan
harakah?
Soalan-soalan
ini adalah muhasabah supaya anggota harakah yang ramai meneruskan kerja-kerja
mereka bersama harakah dalam keadaan mereka benar-benar menikmati kerja mereka,
bukan kerana ditugaskan semata-mata, bukan kerana terhutang budi, bukan juga
kerana dipaksa.
Biar
pengorbanan yang lahir, adalah pengorbanan yang asli.
Agar
Tarbiyah Tidak Jadi Candu Yang Mengkhayalkan
Dalam fiqh
Aulawiyyat, kita belajar menimbang mana yang menjadi keperluan dan keutamaan
kita dalam beramal.
Dalam
harakah, kebiasaannya ada marhalah-marhalah (tahapan-tahapan) amal tertentu
yang ingin dicapai. Di setiap marhalah itu pula ada keperluan-keperluannya.
Namun,
sentiasalah bila berkembang marhalah ataupun harakah telah naik ke tangga
marhalah yang baru, ada perkara-perkara asas yang tetap tidak boleh diabaikan.
Misalnya,
jika harakah telah naik ke marhalah baru, seperti mahu memasyarakatkan harakah,
maka ada banyak perkara baru akan dilaksanakan biasanya. Namun, kesibukan
dengan perkara baru ini jangan sampai melupakan kepada perkara-perkara asas
yang membantu menjayakan perancangan-perancangan baru ini.
Perkara-perkara
asas seperti hak dan kebajikan ahli terutamanya dalam konteks perbincangan ini.
Itu adalah
aulawiyyat dalam menjaga kelangsungan harakah di mata masyarakat.
Jangan
sampai pengurusan dalaman yang teruk dan cuai menjadi imej tidak baik ketika
mencapai fokus memasyarakatkan harakah.
Tarbiyah
sepatutnya berperanan mengembangkan potensi, membaiki hal-hal yang tidak baik
menjadi baik, mengubah yang tidak terancang menjadi lebih terancang, namun jika
sebaliknya yang berlaku, itu barangkali ada masalah dalam tarbiyah kita.
Agar
tarbiyah tidak menjadi candu yang mengkhayalkan orang dan mendiamkan mereka
dari bersuara tentang hak mereka, maka kita perlu selalu melakukan semakan dan
pantauan terhadap keperluan hidup ahli terutama pada mereka yang banyak bekerja
untuk harakah tetapi sedikit masukan gaji untuk diri dan keluarga mereka.
Sebab itu
penting juga apa yang disebutkan sebagai tarbiyah idariah (pendidikan aspek
pengurusan) terutamanya dalam pengurusan harta dan kewangan.
Saya masih
teringat kata-kata guru saya di sini yang menjadi tempat menadah kitab fiqh
mazhab Hanafi, katanya, “Orang yang kuat ibadah, wara’ belum tentu dia
dapat mengurus harta dengan baik.”
Ketika itu
kami berbicara tentang satu bab iaitu Al-Hajr iaitu bab yang membicarakan
tentang terhalangnya hak untuk membelanjakan harta diberikan kepada orang-orang
yang safih (bodoh) dalam masalah pengurusan kewangan disebabkan bimbang
kecuaian mereka dalam menguruskan wang itu.
Harta
Itu Fitnah Untuk Semua
Dalam
Al-Quran, Allah s.w.t. berfirman :
“Sesungguhnya
harta kamu dan anak-anak kamu adalah fitnah.”
Fitnah yang
perlu difahami di sini bukanlah aspek yang menjauhkan kita dari kerja tarbiyah
semata-mata di dalam harakah, tetapi juga aspek kecuaian dalam menguruskan hak
untuk mereka yang berhak mendapatkannya.
Mungkin
sesetengah orang memandang aspek harta ini hanya aspek keduniaan sehingga cuai
menguruskan hak orang lain terhadapnya.
Kita jangan
tersilap. Allah s.w.t. berpesan di dalam Al-Quran agar kita tak melupakan
bahagian kita di dunia.
Kita tidak
mengambil harta untuk letakkan di hati, tetapi jika kita cuai menguruskan harta
terutama yang menjadi hak orang lain, itu lebih teruk sebenarnya.
Berada
dalam tarbiyah juga tidak bermaksud kita tidak terlepas dari fitnah harta.
Biasanya orang yang berada dalam tarbiyahlah, lebih besar fitnah harta dan cara
pengurusannya.
Dalam
harakah, ada orang-orang yang ikhlas sudi bekerja untuk institusi harakah
kebiasaannya dengan gaji yang rendah berbanding institusi kerajaan. Orang-orang
begini, pada pandangan saya, jangan diambil lagi dari mereka infaq seperti mana
anggota-anggota harakah lain yang bekerja di luar institusi harakah yang lebih
banyak sumber gajinya. Bahkan, orang-orang begini, sekiranya dipanggil
memberikan ceramah atau menguruskan program,bantulah aspek kewangan mereka
dengan membayar tambang perjalanan mereka paling kurang ataupun memberikan
sedikit imbuhan sebagai menghargai usaha mereka.
Jangan kita
pergunakan atas nama anggota seharakah, maka kita biarkan dia gunakan duitnya
sendiri untuk datang ke program yang kita rancang sedangkan kita sedia tahu
akan kesusahannya sendiri dalam masalah kewangan. Memang dia sendiri tidaklah
akan meminta, tetapi kita sendiri yang merancang program, atas dasar kesedaran
dan sikap profesional kita sendiri, maka bayarlah pada kadar yang berpatutan
kepadanya.
Aneh jika
kita mencuaikan hak sedemikian di dalam harakah kerana kalau kerja di luar
harakah pun, kalau kita jemput orang untuk datang beri ceramah, biasanya akan
dibayar, tetapi dengan anggota seharakah, kita buat ala-balai saja.
Ini adalah
kecuaian yang akan menyebabkan imej pengurusan harakah menjadi buruk.
Pada aspek
pengurusan sebegini juga jika berterusan untuk masa panjang, ia akan
menyebabkan orang jemu dengan teori tarbiyah kita dan akhirnya meninggalkan
harakah.
Sebab itu,
penting untuk kita melakukan muhasabah pada perkara-perkara sebegini. Jangan
pula nanti bila ada yang meninggalkan harakah kerana cuainya pengurusan kita
dalam menjaga kebajikan anggota, kita pula menggolongkan orang-orang itu
sebagai al-mutasaqitun (golongan yang gugur). Itu salah sebenarnya.
Sebenarnya
bukan salah orang-orang yang meninggalkan harakah secara keseluruhannya, tetapi
salah kita juga kerana mencuaikan aspek pengurusan kebajikan.
Penutup
: Berkorban Jangan Sampai Terkorban !
Tarbiyah
yang dilaksanakan harakah sepatutnya bersifat realiti, waqie’ dan membumi. Ia
bukan sekadar teori-teori manis di bibir sahaja, tetapi ia perlu wujud dalam
perlaksanaan.
Anggota-anggota
harakah masing-masingnya adalah unit-unit individu yang berpotensi. Jangan kita
cari mereka ketika mahu digunakan saja. Habis diguna, tak dilihat lagi dan
dibuang mereka itu begitu saja. Jangan begitu.
Telitilah
pada aspek-aspek sebegini, aspek penghargaan dan kebajikan. Biar ada
keseimbangan antara pengorbanan dan kebajikan anggota. Barulah orang merasa
aman dan tenang bekerja bersama, bahkan terdorong untuk melakukan kerja harakah
dengan lebih berprestasi lagi.
Perlu
dibuka ruang untuk dialog, bincang dan kritikan. Biar ada ruang untuk saling
mengimbang antara anggota dan pimpinan harakah.
Panjang perjalanan
harakah, jangan sampai perkara-perkara yang dirasakan kecil sebegini
membantutkan gerak kerja harakah.
Berkorbanlah
tetapi jangan sampai terkorban !
0 comments:
Post a Comment