Virus Nifaq Dalam Barisan Dakwah
Selalu yang
dipesan oleh Rasul s.a.w. itu melalui ciri nifaq atau munafiq ada tiga. Apabila
berjanji, memungkiri, apabila diberi kepercayaan dia mengkhianati, apabila
bercakap ia berdusta.
Sifat yang
dipesan bukan untuk kita carinya pada susuk tubuh orang lain, tetapi lebih
dipesan agar kita berhati-hati dengan diri kita sendiri daripada terjebak
dengan sikap sedemikian. Kalau musyrik itu sudah teruk, bahkan menjadi munafiq
jauh lebih teruk. Lantaran itu, Allah menjanjikan neraka terbawah, terpanas
untuk orang munafiq.
Luarnya
Islam, dalamnya terisi kotoran kekufuran. Terzahir seakan-akan orang terdekat
dengan orang mukmin, tetapi hatinya ternyata jauh sekali daripada mempunyai
ikatan bersama mereka.
Begitulah
ancaman yang terpaksa dihadapi oleh baginda s.a.w. pasca pembentukan daulah di
Madinah. Ia ternyata sebuah ujian yang berat, jauh lebih berat daripada apa
yang dihadapi ketika mereka di Makkah.
Memahami
Perbezaan Cabaran Makkah Dan Cabaran Madinah
Ujian
dakwah di Makkah ternyata tidaklah juga sesenang mana. Ia bahkan harus
menanggung kesedihan dan kelukaan yang sangat dalam. Diseksa, ditindas,
dipulaukan, disisihkan oleh masyarakat sendiri, ada yang dibunuh, dihalang dari
beribadah.
Meski
dakwah berlangsung dalam keadaan tidak seselesa mana ketika itu, namun ia
memberi kebaikan dari sudut terzahir secara jelas siapa mukmin siapa yang
kafir. Siapa yang benar-benar mahu mendokong kebenaran dan siapa pula yang
hatinya berpenyakit, ego terhadap kebenaran dan memilih untuk terus berdiri di
belakang kebatilan. Ada garis pemisah yang jelas di situ antara yang muslim
dengan yang musyrik.
Itu suatu
yang mungkin sangat berbeza dengan apa yang dihadapi oleh muslim pada fatrah
dakwah Madinah.
Mungkin pada awalnya, sebagaimana disebutkan oleh Dr Munir Muhammad Ghadban dalam bukunya Manhaj Haraki Lissirah An-nabawiyyah, ketikamana Nabi s.a.w. mula-mula tiba di Madinah dan melakukan usaha penyatuan masyarakat seterusnya sehinggalah kepada proses pembentukan sebuah negara, belumlah lagi timbul secara jelas bibit-bibit nifaq pada ketika itu.
Yang ada
ketika itu hanyalah di kalangan beberapa orang Yahudi yang berusaha masuk
menjadi pengintip di kalangan muslim atas sebab ingin memusnahkan barisan
muslim dari dalam.
Mereka itu
sebagaimana firman Allah s.w.t :
“Segolongan
(lain) dari Ahli Kitab berkata (kepada sesamanya) : Perlihatkanlah
(seolah-olah) kamu beriman kepada apa yang diturunkan kepada orang-orang
beriman (sahabat-sahabat Rasul) pada permulaan siang dan ingkarilah ia pada
akhirnya, supaya mereka (orang-orang mukmin) kembali (kepada kekafiran).”
[Al-Imran : 72]
Ciri-ciri
munafiq ini menjadi dominan pasca peperangan Badar, ketikamana muslim telah
menang ke atas kekufuran. Peperangan pertama buat muslim yang dikenali juga
sebagai Al-Furqan, yang menjadi pembeda antara al-haq dan al-batil, yang
menjadi penentu hidup mati dakwah, telah dimenangkan mereka oleh Allah s.w.t.
atas musyrikin Makkah.
Ini
menyebabkan haibah (kehebatan) muslimin itu seakan-akan tersebar dan merisaukan
orang-orang musyrikin di Madinah yang turut sama menentang Nabi s.a.w. Dengan
kemenangan itu, mereka merasakan bahawa mereka tidak akan berjaya jika mereka
menunjukkan permusuhan secara jelas terhadap baginda s.a.w. Orang seperti
Abdullah bin Ubai terutamanya, yang terkenal sebagai kepala munafiq, mempunyai
kegilaan terhadap posisi sebagai ketua Madinah, menjadi lebih licik dengan
menyusup masuk dalam barisan kaum muslimin dan berlakon sebagai muslim.
Status
mereka yang dahulu asalnya adalah musyrik kini bertukar menjadi status seorang
munafiq, yang jauh lebih bahaya dan lebih merisaukan.
Cabaran
kufur tidak lagi dihadapi secara terang-terangan sebagaimana yang mereka hadapi
di Makkah, tetapi cabaran itu sekarang terjelma dalam bentuk yang sangat sulit
dibuktikan kerana ia tumbuh dari barisan muslim yang sama juga. Susuk Abu Jahal
wujud, tapi dalam rupa bentuknya sebagai seorang yang menyusup dalam kalangan
muslimin.
Fatrah
Madinah kini menjadi lebih sulit dan sukar kerana telah bercampur aduk muslim
tulen dengan muslim yang menyamar. Ia juga tidak mustahil berlaku dalam saf
dakwah. Antara kader yang tulen keinginan dan kesungguhannya untuk dakwah
dengan kader yang menyusup masuk atas kepentingan dunia tertentu seperti
merebut kedudukan dalam jemaah dakwah atau ingin dikenali atau kerana
ikut-ikutan semata-mata.
Ciri
Munafiq Yang Kita Perlu berhati-hati
Di dalam
sebuah tazkirah Subuh di Masjid Yarmouk, seorang pensyarah di Universiti
Yarmouk, Dr ‘Esh Lababneh menceritakan, bahawa yang termasuk dalam golongan
munafiq ini bukanlah dari kalangan mereka yang bodoh dan tidak cerdik. Bahkan,
mereka itu semisal juga para musyrikin di Makkah yang terdiri daripada kalangan
cerdik pandai, tetapi hatinya tidak jujur terhadap keinginan kepada kebenaran
Islam.
Apabila
berjanji, dia memungkiri.
Apabila
diberi kepercayaan, dia mengkhianati.
Apabila
bercakap, ia berdusta.
3 ciri
utama munafiq disebut oleh Nabi s.a.w. Cuba diukur diri kita melalui skala
sikap ini, apakah pada diri kita punya sikap semisal ini?
Kita pergi
kepada contoh yang tidak begitu jauh dengan diri kita, iaitu janji masa kita
dengan orang lain. Sepatutnya tarbiyah melalui gerakan dakwah mendidik diri
kita bahawa masa mempunyai hubungan erat dengan iman. Siapa yang tidak menjaga
masanya, maka imannya sebenarnya bermasalah.
Begitu juga
orang yang banyak kali berjanji bertemu pada masa sekian-sekian dengan orang
tertentu, tetapi selalu memungkirinya, apakah wujud rasa bersalah dalam diri
kita atau kita tidak merasakan itu satu kesalahan ataupun kita rasakan itu
bukanlah apa sangat pun? Seperti janji bertemu melalui waktu usrah pada waktu
sekian-sekian, ataupun janji mesyuarat pada waktu tertentu. Terjagakah janji
kita pada sudut sekecil masa itu?
Kemudian,
dalam gerak kerja dakwah secara organisasi. Kita tidak dapat tidak, akan
berdepan dengan cabaran hubungan sesama kader dakwah di dalam satu organisasi. Cabaran
yang mungkin berakar dari perbezaan cara fikir dan latar belakang tarbiyah yang
berbeza. Kadangkala, cabaran hubungan itu sehingga membuatkan kita merasa
terlalu tidak senang atau tidak selesa dengan seseorang di dalam gerakan dakwah
yang kita ikuti.
Terlampau
meluap rasa benci boleh mengheret kita masuk ke dalam kancah berbohong dan
berdusta terhadap orang lain dan atas nama orang lain.
Sebab itu,
cintalah pada kadar yang sederhana dan benci juga pada kadar yang sederhana.
Berlebihan pada keduanya adalah bahaya.
Jangan
sampai kita berdusta atas nama seorang murabbi misalannya untuk justifikasi
dakwaan kita terhadap kesalahan seorang kader lain. Jangan sampai juga kita
berdusta atas nama dakwah demi menyembunyikan kesilapan-kesilapan yang kita
pernah lakukan dalam organisasi.
Ciri
Lain
Kerana
orang munafiq di Madinah itu dikenali dengan kecerdikan mereka, maka tidak
sedikit yang terpengaruh dengan mereka.
Mereka
bukanlah orang-orang terpencil dalam masyarakat yang tidak didengari kata-kata
mereka, bukan juga sebilangan kecil yang tidak dipedulikan, bahkan mereka
ternama dan dikenali orang kepetahan percakapan mereka, kehebatan bicara
mereka.
Demikianlah
Allah menyatakan di dalam surah Al-Munafiqun :
“Dan
apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika
mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka.” [Al-Munafiqun : 4]
Sehingga
dengan hebatnya pengaruh mereka itu, Abdullah bin Ubai pernah membawa keluar
satu pertiga daripada barisan tentera muslim yang keluar untuk jihad di medan
Uhud. Satu pertiga daripada 1000, bukanlah satu jumlah yang kecil. Ia jumlah
yang mempengaruhi sekurang-kurangnya detikan perasaan pada muslim lain juga.
Disebut
oleh Dr Munir Ghadban, Nabi s.a.w. memang berhajat kepada bilangan yang ramai
untuk menentang musyrikin yang 3 kali ganda lebih ramai dari Badar dahulu,
namun keperluan Nabi kepada orang yang berpegang kepada prinsip jauh lebih
besar.
Jawapan
Nabi ketika itu, “Kita tidak akan menang ke atas orang syirik dengan (bantuan)
orang yang kufur juga.” [Tobaqot Kubra Ibn Saad]
Mereka juga
orang-orang munafiq, adalah antara yang bersikap keras dan kasar terhadap Nabi
s.a.w. sebagai pemimpin jamaah muslim pada ketika itu. Dicatat oleh Ibn Ishak
melalui peristiwa Perang Bani Qainuqa’ bahawa Abdullah bin Ubai ketika itu
pergi kepada Nabi s.a.w. dan meminta Nabi berlaku baik kepada mereka kerana
mereka itu dianggap sebagai wali atau sekutunya. Nabi bahkan tidak bersetuju
dengannya setelah apa yang dilakukan oleh Yahudi Bani Qainuqa’ melalui perjanjian
bersama Nabi s.a.w. yang mereka sendiri langgar.
Namun,
Abdullah bin Ubai terus memaksa Nabi sehingga Nabi terpaksa bertegas dan
berubah riak wajah Nabi. Bahkan, ia berlaku kasar dengan meletakkan tangannya
dalam kantung perisai Nabi s.a.w. sehingga baginda minta ia melepaskannya, dia
tetap tidak melepaskannya.
Sehinggalah
akhirnya Nabi berkata kepada dia, “Mereka itu untukmu !” Dengan
syarat mereka itu keluar dari Madinah.
Faktor
Timbulnya Ciri Nifaq Dalam Barisan Dakwah
Ada
beberapa faktor yang boleh menjadi antara sebab timbulnya ciri nifaq dalam
barisan dakwah, antaranya :
1)
Bilangan kader telah mula bertambah menjadi sangat ramai
Fatrah
Madinah menyaksikan orang mula masuk Islam dengan lebih ramai bahkan lebih
cepat dari biasa. Barangkali disebabkan oleh kekuatan Islam di Madinah ketika
itu dan lemahnya kuasa kufur pada ketika itu, maka ramailah yang memilih
menyertai Islam.
Tidak
dinafikan, di kalangan ramai ini, memang terdapat yang benar-benar ikhlas dan
jujur terhadap kebenaran.
Namun, dengan
jumlah yang ramai ini juga, kita terdorong mula merasai memiliki satu
ketombokan kekuatan yang besar. Sesetengah pula akan merasa gah dan hebat.
Tetapi kita
jangan terkeliru antara kekuatan peribadi dengan keramaian bilangan.
Kembali
meneliti perang Uhud, sebagaimana para munafiq telah keluar meninggalkan
barisan muslim sehingga satu pertiga besar jumlah mereka dan itu sedikitpun
tidak merisaukan Nabi s.a.w., maka kita harus kembali kepada pertanyaan, dengan
bilangan yang telah ramai, apakah masing-masing mempunyai kekuatan kualiti yang
diharapkan oleh Islam atau ada di dalam jemaah dakwah hanya untuk meramaikan
bilangan semata-mata?
Apakah
dengan ini, bilangan ramai menjadi satu kesalahan? Tidak. Sudah tentu tidak.
Tetapi
memberi fokus kepada pembentukan dan peningkatan kualiti yang sedia ada adalah
lebih utama dari hanya semata-mata mengumpulkan bilangan.
2) Tidak
melalui proses tarbiyah atau keIslaman yang baik
Dengan
jumlah yang masuk Islam secara cepat dan ramai sekaligus, maka penerimaan
terhadap proses tarbiyah pastilah menjadi lebih sukar, sukar untuk seteliti
ketika di Makkah. Di Makkah saja, penumpuan terhadap iman sudah mengambil
tempoh 13 tahun. Berbeza sekali di Madinah, yang tempoh dakwahnya hanyalah
sebatas 10 tahun ditambah pula dengan pensyariatan jihad, urusan berkaitan
kepimpinan negara dan hubungan antara masyarakat.
Siapa yang
masuk Islam hanya kerana ikut-ikutan, dia paling mudah akan keluar juga kerana
sikap ikut-ikutan itu.
Begitu
jugalah, siapa yang masuk ke dalam barisan dakwah hanya kerana ikut-ikutan,
maka dia akan mudah sekali untuk meninggalkannya kerana dia sendiri tidak
mempunyai sebab kukuh untuk dirinya sendiri yang dapat meyakinkan keberadaannya
dalam saf dakwah.
Penting
untuk diperhatikan aspek ketelitian proses tarbiyah kerana inilah yang akan
melahirkan kader yang benar-benar faham tentang tanggungjawab dirinya dan
komitmennya terhadap gerak kerja Islam. Kegelinciran dalam proses tarbiyah akan
menyebabkan lahirnya infilat (kelonggaran) dalam banyak perkara.
Longgar
dalam komitmen ibadah.
Longgar
dalam menguruskan hubungan sesama manusia.
Longgar
dalam kerja-kerja dakwah.
Seterusnya
longgar aspek kebersamaan dengan jamaah
muslim.
3) Penyakit
hati
Ada
orang-orang yang menyertai gerabak dakwah kerana memiliki tujuan-tujuan dunia
atau kepentingan peribadi yang tak terkongsikan dengan kepentingan jemaah
apalagi kepentingan Islam.
Demikian
sebahagian golongan yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. :
“(Ingatlah)
ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang mempunyai penyakit di dalam
hati mereka (berkata) : Mereka itu (orang-orang mukmin) ditipu oleh agamanya.
Barangsiapa bertawakkal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi
Maha Bijaksana.” [Al-Anfal : 49]
Juga selain
terjebak dengan keinginan dunia, penyakit hati lain juga adalah merasa hasad
terhadap kelebihan kader lain sehingga tidak senang duduk melihatnya dan sentiasa
berusaha mencari salahnya. Kadangkala sehingga membawa kepada menjatuhkan kader
lain melalui pembohongan atau cerita yang diada-adakan, atau kesalahan kecil
yang dibesar-besarkan berbanding kebaikan yang banyak tetapi tidak
dimanfaatkan.
Penutup
: Memperbaiki Diri, Menjadi Mukmin Asli
Menjauhi
sifat munafiq adalah dengan kembali menjadi mukmin yang asli. Sebelum kita
bergelar kader dakwah, kita adalah muslim mukmin, kita adalah hamba Allah, yang
mana komitmennya kepada Allah mendahului komitmennya kepada jamaah.
Kalau kita
tidak dapat memperbaiki erti komitmen kita kepada Allah melalui sikap dan
keperibadian kita, maka kita jangan harap berada dalam jemaah akan dapat
menutup kebocoran dalam sikap dan keperibadian kita itu.
Berada
dalam jamaah tidak sekali-kali memuliakan kita apalagi bila kita melakukan
kesalahan. Jamaah hanyalah wasilah (jalan), bukan ghayah (matlamat).
Berhati-hati
dengan ciri nifaq dalam barisan dakwah kerana ia akhirnya boleh menyebabkan
berlakunya perpecahan dalam saf gerak kerja dakwah dan menyebabkan barisan
dakwah menjadi lemah. Mulailah dengan melihat dan memuhasabah diri kita masing-masing,
sebagai para kader yang berada dalam gerak kerja dakwah, apakah anasir-anasir
nifaq telah menjangkiti kita?
Kalau ya,
kita memerlukan rawatan segera yang tak bisa ditangguhkan.
Berhati-hati
juga dengan memelihara aspek kerahsiaan dan ketelitian proses tarbiyah di
peringkat kepimpinan sehinggalah ke akar umbi agar anasir nifaq tak terserap
menjadi kepimpinan dakwah yang akhirnya akan menyebabkan perancangan dakwah
menjadi kucar-kacir dan kader baru tidak lagi mempunyai rasa keterikatan dengan
kepimpinan dakwah kerana banyak masalah asas pada peribadi dan akhlak yang
tidak selesai.
0 comments:
Post a Comment