Lelaki Dakwah Adalah Rijal Masjid
Para daie’
adalah orang yang sepatutnya sentiasa berusaha memelihara keterikatan hatinya
dengan Allah. Sebelum keterikatannya dengan mad’unya, terlebih utama adalah
untuk dia memastikan hatinya benar-benar terikat dengan Allah.
Sungguh
canggung rasanya, daie’ yang menyibukkan dirinya dengan kerja dakwah kepada
awam, dengan menyampaikan kuliah atau materi tarbiyah kepada anak buahnya,
tetapi hatinya kering roh, keterikatan hatinya dengan Allah terumbang-ambing.
Menunggu masa dilambung ombak tinggi, dipukul, dihempas, jatuh tiada bangun
lagi.
Justeru,
para daie’ perlu memberi perhatian terhadap wasail (jalan-jalan) yang sentiasa
dapat menyampaikan dirinya kepada keterikatan hatinya dengan Allah.
Maka, di
antara wasail itu, masjid adalah antara yang terpenting, juzuk penting daripada
juzuk-juzuk kehidupan para daie’. Pastinya apabila berbicara tentang masjid, fokus lebih terjurus ke arah lelaki berbanding wanita.
Ia menjadi
penting bukan kerana memenuhi keperluan dakwah semata-mata, tetapi kerana
sebelum menjadi keperluan dakwah, ia telah terlebih dahulu menjadi keperluan
diri kita sebagai mukmin, bekal penting di atas jalan pulang kita menuju
akhirat.
Daie’ yang
jauh dari masjid, sambilewa dan endah tidak endah dengan hubungannya dengan
masjid, mudah sekali untuk dijangkiti penyakit-penyakit yang merosakkan kerja
dakwahnya, juga tak jarang terjadi banyak masalah antara dirinya dengan
masyarakat, konflik double standard yang akan nantinya dipersoalkan.
Banyak
bercakap tentang Allah, tetapi jarang-jarang nampak di rumah Allah.
Para
Pemakmur Masjid Itu Adalah Sebenarnya Mukmin
Bahawa yang
memakmurkan masjid itu adalah mukmin. Sebagaimana firman Allah s.w.t. :
“Hanya
sanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah itu adalah orang yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat, tidak takut
melainkan kepada Allah.” [At-Taubah : 18]
Di dalam
surah lain, Allah menyebut tentang mendirikan solat di masjid selepas menyebut
tentang suruhan berlaku adil.
“Katakanlah
: Tuhanku menyuruh berlaku adil. Dan hadapkan muka kalian (kepada Allah) di
setiap masjid dan beribadatlah kepada-Nya dengan mengikhlaskan amal kamu
kepada-Nya semata-mata.”[Al-A’raf : 29]
Juga dalam
ayat lain dari surah At-Taubah juga, Allah menyatakan bahawa masjid adalah
tempat para lelaki yang mahu membersihkan dirinya :
“Jangan
engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid yang
telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula lebih berhak untuk kamu berdiri
di dalamnya. Di dalamnya terdapat orang-orang lelaki yang suka untuk
membersihkan dirinya. Dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri
mereka.” [At-Taubah : 108]
Di dalam
hadis Nabi s.a.w., salah seorang dari 7 golongan yang dijanjikan naungan Allah
di hari tidak ada naungan selain naungan-Nya adalah para pemuda yang terikat
hatinya dengan masjid.
“Ada
tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah s.w.t. pada hari tidak ada
naungan selain naungan-Nya.
1)
Pemimpin yang adil
2)
Pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Rabbnya
3)
Seorang yang hatinya selalu terikat dengan masjid
4)
Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Allah
juga
5)
Seorang lelaki yang diajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tetapi ia
menolaknya sambil berkata : Sesungguhnya aku takut kepada Allah.
6)
Seorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak
mengetahui apa yang telah diinfaqkan oleh tangan kirinya
7)
Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri sehingga melelah air
matanya”
[HR
Bukhari Muslim]
Pastinya
suatu yang tidak luput dari ingatan kita bahawa antara perkara terpenting
dilakukan oleh Nabi ketika dalam perjalanan hijrahnya menuju Madinah adalah
pembinaan masjid. Masjid Quba’ dan juga Masjid Nabawi di Madinah.
Kata Syeikh
Muhammad Al-Ghazali :
“Sesungguhnya
kedudukan masjid dalam masyarakat Islam, menjadikannya sebagai sumber untuk
taujih (bimbingan) ruhi dan maddi (kebendaan). Ia adalah ruang untuk ibadah,
madrasah ilmu, nadwah mendidik adab.”
Katanya
lagi : “Sesungguhnya masjid adalah simbol yang diberi perhatian besar
oleh Islam, dipegang dengan seteguh pegangan. Ia menghubungkan antara hamba
dengan Rabbnya sebuah ikatan yang sentiasa diperbaharui sepanjang masa,
berulang-ulang dengan pergantian siang dan malam. Tidak ada nilaiya tamadun yang
melupakan kepada Illah yang satu, mengabaikan hari akhirat, mencampurkan antara
maaruf (kebenaran) dan kemungkaran.
Tamadun
yang dibawa oleh Islam mengingatkan kita selama-lamanya dengan Allah dan pertemuan
dengan-Nya, berpegang dengan maaruf, benci kepada mungkar dan berhenti pada
sempadan Allah.” [Fiqh Sirah]
Maka, untuk
orang yang bercita-cita besar terhadap dakwah, yang memberikan fokus kepada
pembinaan fasa dakwahnya sehingga kepada pembinaan tamadun sebagaimana yang
telah dilakukan oleh generasi awal, jauh dari masjid adalah jenayah besar
terhadap dakwah.
Namun
Kita Tidak Memandangnya Secara Juz’i
Kita mesti
memahami persoalan ini secara menyeluruh. Bahawa melazimi ikatan hati kita
dengan masjid bukanlah hanya semata-mata untuk beribadah dan mensolehkan diri kita
semata-mata.
Orang yang
telah merasakan semangat untuk menyumbang kepada Islam, tambah pula yang telah
mengikat janji setia bersama deen Allah dunia dan akhirat, maka sepatutnya
tidak berlaku pemisahan antara kehidupan masjid dengan kerja amar maaruf dan
nahi mungkar.
Ramai orang
yang datang ke masjid, akhirnya untuk kesolehan diri sendiri semata-mata.
Solatnya baik, doanya lama, baca Al-Qurannya elok, tetapi sayangnya dakwah pun tidak mampu
tumpang pada dirinya, hatta solat yang merupakan amal akhiratnya !
Solatnya
baik, tetapi akhlaknya tidak baik.
Doanya
lama, tetapi cara fikirnya dan perancangan kerjanya untuk Islam simplistik.
Baca
Al-Qurannya elok, tetapi kata-kata dari mulutnya dan amal dirinya selalu
membuat orang terluka.
Sepatutnya,
kehidupan masjid menjadi bekal kekuatan untuk kita lebih giat melaksanakan
dakwah, lebih kuat himmah kita untuk melibatkan diri dalam kerja amar maaruf
nahi mungkar, lebih gigih dalam memperbaiki akhlak dan peribadi kita.
Begitulah
sepatutnya solat dan kehidupan masjid berfungsi dalam diri kita. Bermula dengan
mencegah mungkar dari dalam diri kita sehinggalah ke dalam sebuah masyarakat
yang lebih besar.
Maka,
akhirnya yang kita sepatutnya sedar adalah kehidupan masjid tidak sepatutnya
terasing dari projek islah diri dan masyarakat. Orang yang rajin ke masjid,
tetapi menjauhkan dirinya dari cita-cita dakwah, dari cita-cita islah,
barangkali ia telah tertipu dengan amalnya sendiri.
Disiplin
Dalam Amal – Jangan Beralasan
Para
rijaluddakwah bukanlah lilin yang membakar dirinya. Sibuk menerangi orang lain
sehingga tidak sedar bekalan untuk dirinya semakin surut, kering dan kian
menuju kepada kebinasaan.
Tidak
demikian sepatutnya.
Rijaluddakwah
adalah orang yang memerhatikan permasalahan dirinya dahulu, memberi fokus kepada
pengislahan dirinya secara berdisiplin dan teratur, dalam masa yang sama, ia
tidak melupakan bahagian masyarakat terhadap dirinya.
Berilah
yang terbaik untuk diri sendiri. Jangan kita hanya disibukkan oleh dakwah
kepada orang lain sehingga kita mengabaikan hak diri kita sendiri.
Berdisiplinlah
di dalam beramal. Banyak beralasan hanya akan membentuk jiwa yang culas dan
manja. Selamanya kerja dakwah kita tidak akan berkembang kepada fasa yang lebih
baik sekiranya kita banyak beralasan terutamanya dalam beramal.
Letaklah
kewajipan untuk diri kita, had minimum atau kadar kita perlu ke masjid setiap
hari. Ia tidak susah. Apabila ia telah menjadi tabiat di dalam diri kita, kita
bahkan mencintai amal itu sehingga meninggalkannya terasa satu kekeringan dan
kekontangan di dalam diri kita.
Malu bagi
seseorang yang dikurniakan nikmat anggota tubuh yang sempurna, dianugerah
rezeki tak henti saban hari, namun usahanya sedikit sekali untuk mensyukuri apa
yang telah diberikan oleh Allah kepada-Nya. Syeikh Fahd Al-Kanderi dalam sebuah
rancangannya telah menemuramah seorang kawannya yang rajin ke masjid meskipun
ia seorang yang cacat tangan dan kakinya.
Teramat
susah untuk kawannya itu menaiki tangga masjid kerana kecacatan yang
dialaminya. Sehingga kadangkala harus terpaksa merangkak perlahan di atas
tangga dengan tangan dan kakinya. Namun, meski dalam kekurangan sedemikian,
tidak ditinggalkannya solat jemaah di masjid walau sehari. Bahkan, dia sentiasa
berusaha untuk berada di saf yang pertama.
Di dalam
keadaan sedemikian, seorang yang cacat berusaha mencapai yang maksimum di dalam
ibadahnya. Kita pula, di dalam keadaan yang baik dan sempurna penciptaan kita,
sering beralasan dan selesa untuk berada di tahap minimum saja.
Tidak
malukah kita di depan Allah?
Mengapa
Penting Rijal Dakwah Adalah Rijal Masjid?
Saya
mencatatkan secara ringkas beberapa kepentingan kenapa pentingnya seorang rijal
dakwah adalah rijal masjid.
1)
Masjid adalah tempat bimbingan rohani yang signifikan.
Di dalamnya
tidak dipenuhi aktiviti keduniaan sebagaimana di rumah kita seperti menonton
televisyen, main game. Ia adalah tempat yang sering dikunjung barakah dengan
ramainya orang melakukan solat, membaca Al-Quran dan iktikaf. Dengan hal yang
demikian, kita mendapatkan suasana yang kondusif untuk membina kekuatan iman
dalam diri kita, untuk mencari bekal kekuatan untuk melaksanakan Islam.
2)
Latihan kesungguhan untuk mujahadah an-nafs.
Menjadi
rijal masjid melatih kita untuk selalu berada dalam keadaan harakah (bergerak),
tidak rela duduk dalam kesentiasaan rehat. Ia memerlukan kita untuk berjalan,
bergerak dan melangkah. Dengan berkurangnya waktu rehat kita yang banyak, maka
kita memberikan lebih ruang untuk mujahadah an-nafs berlaku dengan lebih baik.
Banyak rehat akan selalu menggembirakan syahwat.
Bila
syahwat selalu dipenuhi, maka kemungkaran akan galak menguasai diri.
Tetapi,
bila syahwat diingkari, maka kemungkaran akan payah menjangkiti.
Sebelum
dapat memenangi jihad amar maaruf nahi mungkar, seorang daie’ harus dapat
menang jihad ke atas dirinya dahulu.
3) Latih
diri agar menjadi daie’ yang tidak ekslusif
Para daie’
adalah orang yang mudah ditemui oleh masyarakat. Ia tidak ekslusif untuk
tempat-tempat tertentu, tempat mahal, atas pentas semata-mata, apalagi di kaca
televisyen atau radio sahaja, tetapi ia mudah ditemui tambah lagi di masjid.
Nabi s.a.w., para sahabat besar seperti Abu Bakar as-siddiq r.a., Umar
al-khattab r.a. mudah ditemui oleh rakyat. Umar bahkan pernah tidur di masjid,
di bawah pokok, tanpa pengawal, tanpa penjaga di sisinya. Mudah sekali untuk
rakyat datang bertemunya, tanpa lapis pengawal, tanpa lapis protokol.
Dakwah
tidak sepatutnya mengekslusifkan seorang daie’ atau para rijalnya. Dakwah ini
milik Allah, bukan milik kita. Nabi s.a.w. bahkan dilayan teruk kerana kerja
dakwah, ke Thaif tidak bersambut, bahkan dilontar dengan batu berdarah-darah.
Di Makkah apalagi teruk seksaan dan penderitaan yang dialami. Dakwah yang hanya
mahu mendapat tepukan orang, mendapat perhatian orang, dipuji puja, selalu
dilayan baik, selalu diberikan kedudukan-kedudukan hebat dalam majlis,
diangkat-angkat di majlis, barangkali adalah bermasalah.
Maka, sebab
itu, menjadi rijal masjid sepatutnya melatih diri menundukkan ego kita. Bahawa
kita adalah sama saja dengan orang lain yang pergi ke masjid. Berada di dalam
saf yang sama, berdiri dengan gerakan solat yang sama, menyembah Allah yang
sama, jauh dari sebarang keekslusifan.
4) Jalan
menghubungkan kita dengan masyarakat, analisis realiti masyarakat
Di masjid,
kita mendapatkan kenikmatan berhubung secara informal dengan masyarakat
(kecuali dalam ceramah atau kuliah rasmi). Di situ, kita dapat mengenalpasti
sebahagian cara fikir serta keadaan masyarakat. Ini adalah penting bagi seorang
daie’ kerana dari sini, ia membantunya menganalisis fiqh waqi’ (fiqh realiti)
dengan baik.
Mengenal
realiti adalah kefahaman penting yang perlu dimiliki oleh para daie’ supaya dia
menerapkan pemahaman yang benar dengan kaedah dakwah yang benar pula terhadap
masyarakatnya.
Penutup
: Tanggungjawab Ini Akhirnya Kerana Allah, Bukan Kerana Mutabaah Amal
Sebelum
kita mahu memperbaiki komitmen orang lain terhadap Allah, terlebih utama adalah
untuk kita membaiki komitmen diri kita sendiri dengan Allah.
Kita
melazimi diri dengan masjid bukan kerana mahu dipuji puja apalagi dibanggakan.
Apalah yang mahu dibanggakan dengan amal kita yang masih kurang, dosa yang
banyak, kerja dakwah yang sedikit.
Laksanakan
kerana menyedari bahawa ini adalah tanggungjawab kita terhadap diri kita
sendiri kerana Allah s.w.t., bukan kerana manusia, bukan kerana jemaah, bukan
kerana mutabaah amal, bukan kerana ada janji program baru bertemu di masjid,
bukan kerana semata-mata bernikah atau ada kematian, bukan juga atas
tujuan-tujuan lain.
Kalau kita
merasakan hadir ke masjid itu barangkali suatu yang kecil, ingatlah bahawa
tamadun Islam suatu ketika dulu dibangunkan dengan pembinaan masjid, dengan
pemakmuran di dalamnya.
0 comments:
Post a Comment