Tuesday, June 28, 2011

Isra' Mikraj : Ibrah Keimanan Buat Diri


Janganlah sibuk mencari kelebihannya,
tetapi berusahalah menjadi LEBIH dengannya


Saban tahun pada 27 Rejab, pelbagai sambutan diadakan sempena mengingati peristiwa besar yang pernah dialami oleh Nabi s.a.w.

Kadang diisi dengan ceramah, kadang diisi dengan tazkirah-tazkirah, kadang juga diisi dengan malam-malam sambutan.

Peristiwa yang cukup sinonim dengan kita. Peristiwa apakah itu?

ISRA’ dan MIKRAJ.

Ya. Memang saban tahun diadakan sambutan.

Namun, sebesar manakah kesan sambutan Isra’ dan Mikraj itu ke atas iman kita sepertimana besarnya kesan Isra’ dan Mikraj itu sendiri kepada gerak kerja dakwah Rasul s.a.w.?

Isra’ yang membawa Nabi dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dan Mikraj yang mengangkat Nabi ke langit untuk bertemu Allah, ia merupakan peristiwa yang cukup besar dalam sejarah perkembangan dakwah Islam.

Meskipun menjadi bahan cercaan dan permainan kaum musyrikin, namun ia tidak sekalipun menghentikan kesungguhan dan semangat Nabi s.a.w.

Di mana rahsianya?


ISRA’ DAN MIKRAJ : DORONGAN UNTUK BANGUN DAN MENERUSKAN LANGKAHAN!

Dua peristiwa besar telah berlaku sebelum berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Ia hakikatnya peristiwa yang sangat menguji jiwa insani. Siapapun yang diuji demikian, pasti akan tersentuh jiwa kemanusiaannya.

Rasa sedih, dukacita, kepayahan, kesusahan dan sebagainya.

Namun, Allah Maha Agung. Ia tidak pernah meninggalkan orang yang bekerja di jalan-Nya tinggal keseorangan dalam kesedihan.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj merawat hati Nabi setelah diuji dengan dua peristiwa yang cukup menggetirkan ini.

Baginda terus bersemangat dan gencar dalam menggerakkan dakwah Islam.

Peristiwa apakah itu?

PERISTIWA PERTAMA : TAHUN DUKACITA

Nabi telah kehilangan dua orang yang paling disayangi dalam kehidupannya.

Isterinya sendiri, Ummul Mukminin Saidatina Khadijah telah pergi meninggalkan beliau. Isteri yang banyak menyokong dan mendokong perjuangan dakwah bersama baginda. Isteri yang sekian lama menjadi benteng kekuatan saat kelemahan. Isteri yang pernah menyelimutkan baginda saat dilanda keresahan ketika kali pertama turunnya wahyu.

Ya. Beliau telah pergi. Pergi untuk selama-lamanya.

Bahkan, ditambah lagi dengan pemergian bapa saudaranya, Abu Talib yang menjadi tulang belakang gerak kerjanya di Makkah.

Abu Talib, bapa saudara baginda yang sentiasa mempertahankan baginda. Biar dalam keadaan apa sekalipun, diancam, diugut, Abu Talib menjadi pelindung.

Abu Talib, insan yang banyak menyokong dan melindungi Nabi s.a.w., akhirnya pergi dalam keadaan tidak mengucapkan dua kalimah syahadah.

Sedihnya hati Nabi sudah tidak terkata lagi. Bapa saudara sendiri yang sejak kecil membelanya akhirnya mati bukan di jalan Islam.

Kehilangan dua orang ini mengakibatkan orang-orang musyrikin semakin ghairah untuk mengambil kesempatan dan mengancam Nabi s.a.w.

PERISTIWA KEDUA : DAKWAH YANG DITOLAK DI TAIF

Ingatkah lagi pada peristiwa Nabi dilontarkan dan dibaling dengan batu oleh hamba-hamba abdi, khadam dan kanak-kanak nakal di Taif?

Ketika mana berdarah kedua-dua kaki Nabi dilontar dengan batu, Zaid bin Harithah yang bersama dengan Nabi turut mengalami kecederaan hingga berdarah kepalanya kerana cuba melindungi Nabi s.a.w.

Dalam satu hadith yang diceritakan Aisyah r.anha., satu ketika Aisyah pernah bertanya kepada Rasul s.a.w. :

“Wahai Rasulullah, pernahkah engkau merasa lebih pahit dan sengsara dari hari Uhud?”

Jawab baginda : “Bahkan, iaitu ketika menghadapi bangsa kau (Arab) dan yang paling dahsyat sekali ialah ketika aku memperkenalkan diriku dan berdakwah di kalangan puak Ibn Yalil Abdi Kalal di mana tawaran dan dakwahku tadi tidak diterima langsung dan aku beredar dari situ dengan perasaan yang tak keruan. Bila sampai ke suatu tempat bernama Qiran Tha’alib, baru aku sedar, aku mengangkat kepala melihat ke atas, tiba-tiba sekumpulan awan meneduhiku dan aku nampak Jibril alaihissalam memanggilku dan berkata:

“Sesungguhnya Allah azzawajalla telah mendengar setiap perkataan bangsa kau dan tindakan mereka terhadap kau. Dan Allah telah mengutuskan Malaikat segala gunung untuk kau.”

“Suruhlah sekehendakmu.” Kata Rasulullah lagi.
Malaikat segala gunung tadi memanggil dan memberi salam kepadaku dan katanya:

“Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar perihal kaummu dan tindak balas mereka terhadap seruanmu. Aku ini malaikat segala gunung diutuskan oleh Tuhanmu dan perintahkanlah apa saja, untuk apa yang engkau mahu. Kalau mahu, aku boleh hempap ke atas mereka Bukit Al-Akhsyabin.”

Jawab Rasulullah : “ Tapi apa yang aku harapkan agar lahir dari keturunan mereka golongan yang menyembah Allah tanpa mensyirikkan-Nya.”

[HR Bukhari dan Muslim]


Dua peristiwa yang berlaku sebelum Isra’ dan Mikraj ini hakikatnya merupakan tamparan hebat bagi seorang yang memiliki jiwa kemanusiaan. Meskipun ia seorang Nabi, mahupun pendakwah sekalipun.

Kehilangan insan kesayangan dan dakwah ditolak dengan begitu teruk sekali, merupakan musibah yang menguji kesabaran dan kecekalan.

Kata Said Ramadhan Al-Buti dalam kitabnya Fiqh Sirah:

“Selepas itu disusuli dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj di mana peristiwa ini adalah kurniaan Allah kepada Muhammad s.a.w. untuk memperkuatkan dan memperbaharui keazaman dan menerangkan bahawa segala pancaroba yang dihadapi oleh Rasulullah bukanlah suatu angkara murka dari Allah…”

Itu adalah dua peristiwa yang berlaku sebelum Isra’ dan Mikraj.
Dakwah Nabi s.a.w. semakin gencar setelah menerima ‘pujukan’ dan ‘dorongan’ melalui peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Selepas peristiwa besar yang menjadi bahan tawa musyrikin Makkah itu, dakwah semakin berkembang ke Madinah. Perjanjian Aqabah Pertama telah menyaksikan sekitar 12 orang dari Madinah telah beriman dan membaiat Rasul s.a.w.


ISRA’ DAN MIKRAJ : PEMBANGUN JIWA SALAHUDDIN !

Isra’ dan Mikraj telah ditakdirkan berlaku melibatkan dua masjid yang mulia. Masjidil Haram di Makkah dan Masjidil Aqsa di Palestin.

Allah tidak akan menetapkan suatu perkara itu berlaku begitu sahaja jika tidak ada pengajaran atau ibrah daripadanya.

Peristiwa Isra’ ini telah memberi isyarat bahawa Palestin dan Masjid Al-Aqsa adalah berkait rapat dengan keimanan kita.

Kerana peristiwa Isra’ Mikraj ini adalah peristiwa yang hanya boleh diyakini dengan iman.

Jika difikirkan logik akal, memang tidak masuk akal sekali orang dapat pergi ke Masjdil Aqsa dari Masjidil Haram dalam hanya satu malam dan kembali semula sebelum Subuh. Tambahan pula, zaman Nabi s.a.w. belum wujud kapal terbang atau jet dan sebagainya.

Tetapi, hanya IMAN yang dapat membenarkan semua ini  bahawa Nabi s.a.w. benar-benar dibawa naik ke langit untuk bertemu Allah bagi menerima perintah solat dalam peristiwa Isra’ Mikraj.

Jadi, tanah Palestin dan Masjidil Aqsa berkait rapat dengan keimanan kita. Dan itu jugalah yang menjadi motivasi pembangun jiwa seorang panglima.

Panglima yang cukup sinonim. Salahuddin Al-Ayubi.

Motivasi dari peristiwa Isra menggerakkan jiwanya untuk bangun dan menyeru kaum muslimin supaya menentang dan menghalau musuh salibi durjana dari tanah Palestin.

Lalu, masih adakah Salahuddin Al-Ayubi lagi pada hari ini yang terinspirasi dari peristiwa Isra’ ini?


PENUTUP : MIKRAJ HAMBA MENUJU MULIA

Nabi s.a.w. dimikrajkan jasad dan roh baginda dalam peristiwa itu.

Kita hari ini tidak mungkin mengalami peristiwa itu lagi.

Namun, kita mampu untuk ‘MIKRAJ’ juga.

Perintah solat yang Nabi terima ‘direct’ dari Allah s.w.t. menunjukkan akan ketinggian nilai solat itu sendiri,  dan kita mampu ber‘MIKRAJ’ melalui solat kita untuk bertemu Allah.

‘MIKRAJ’kan roh kita saat kita solat. Pasti kita akan menemui titik perubahan yang sangat menakjubkan!

Hanya solat sahaja yang diperintahkan ‘direct’ melalui pertemuan Nabi s.a.w. dengan Allah Taala.

Perintah-perintah lain seperti puasa, haji dan sebagainya semua melalui wahyu.

Masyarakat yang meninggalkan solat masyarakat yang rosak. Biar setara mana sekalipun kemajuan dicapai, tetapi ia tidak memiliki apa-apa nilai di hadapan Allah kelak.

Orang yang solatnya kosong tanpa penghayatan, maka ia kerugian juga.

Solat itu sumber tenaga jiwa sebenarnya, kerana ia memiliki nilai yang sama dengan Isra’ Mikraj yang mengecas semula tenaga jiwa kepada Nabi s.a.w. untuk terus gencar dalam dakwah, kerana ia diperintah ‘direct’ dari atas langit.

Justeru, tingginya nilai solat menyebabkan wujud dalamnya hikmah untuk sesiapa sahaja yang inginkan perubahan dalam dirinya ke arah yang lebih baik.

Titik perubahan untuk maju ke hadapan bermula dari baiknya hubungan kita dengan Allah. Maju ke hadapan dalam nilaian IMAN adalah kita semakin dekat dengan Allah s.w.t. dalam apa jua yang kita lakukan.

Kita pula, setakat mana Isra’ Mikraj memberi impak dalam diari KEIMANAN kita?

Muhasabah diri.

Tuesday, June 21, 2011

Rindu Bau Ramadhan


~ Rindu.... teramat-amat rindu ! Moga Allah sempatkan pertemuan itu ~


Terasa begitu singkat masa. Sedar-sedar, sudah berada di Rejab rupanya.

Rejab. Bila bercakap tentang Rejab, barangkali ada yang mungkin akan bertanya, “Apa kelebihan Rejab? Apa kelebihan berpuasa dalam Rejab? “

Itu sudah menjadi kebiasaan majoriti manusia. Mana mungkin ‘bekerja tanpa upah’.
Maka, bermulalah episod mencari dan menjadi hadis-hadis palsu sebagai rujukan.

Saya tidak ingin membahaskan tentang sebarang hadis berkaitan kelebihan Rejab. Bagi saya, kelebihan Rejab ada satu sahaja bagi majoriti kita.

Satu sahaja? Huh, apa dia yang satu tu?

Berada di Rejab menandakan kita semakin mendekati gerbang TAQWA, iaitu bulan Ramadhan.

Itulah sahaja kelebihannya. Justeru, bagaimana menghargai kelebihan itu?


‘WARMING UP’ RAMADHAN DI MATRI : SATU PENGALAMAN

Saya masih ingat suasana Ramadhan di sekolah lama saya, Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah. Biah (suasana) Ramadhan di sana terasa begitu berbeza.

Apa yang berbezanya? Bezanya terasa begitu hangat dan hidup sekali suasana Ramadhan di sana.

Seawal Rejab, para pelajar sudah diwar-warkan akan persediaan menuju Ramadhan. Bermula Rejab, semakin ramai pelajar melaksanakan puasa sunnah iaitu hari Isnin dan Khamis.

Sebelum Rejab lagi, telah ada yang biasa berpuasa Isnin dan Khamis, namun kedatangan Rejab satu yang special kerana ia mendekati Ramadhan, maka lebih ramai menyemarakkan persediaan menuju Ramadhan.  Rasulullah s.a.w. sendiri bahkan pernah mengajar satu doa kepada sahabat ketika masih berada di Rejab.

اللهمّ باركلنا في رجب و شعبان وبلغنا رمضان
 “Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”

Doa inilah yang diajar oleh murabbi saya, Ust Abd Hadi Othman setiap kali masuk ke Rejab. Bahkan beliau sering memuji dan memberi dorongan kepada pelajar yang sering berpuasa sunat.

Boleh bayangkan sahaja, pelajar  yang hampir seramai 800 orang, biasanya penuh setiap kali waktu solat di musolla. Namun, tiba hari Isnin dan Khamis sahaja, kadang-kadang tinggal hanya suku atau separuh sahaja daripada musolla.

Kenapa tinggal suku atau separuh sahaja? Kerana ramai yang berpuasa. Biasanya, suasana berbuka diserikan dengan doa dan pelajar-pelajar yang bermurah hati menyumbangkan kuih-kuih, makanan-makanan dan minuman kepada talam-talam yang lain.

Semua itu dilakukan sebagai persediaan menuju Ramadhan. Ada juga yang kadang-kadang cuba berpuasa setiap hari.

Abang-abang dan kakak-kakak senior pula sibuk merancang bersama bimbingan murabbi-murabbi yang ada untuk menyemarakkan lagi suasana Ramadhan. Biarlah masuk ke Ramadhan macam orang biasa-biasa masuk ke dalam bulan Syawal !

 Sudah pasti program yang dirancang bermula sebelum Ramadhan lagi. Qiamullail, puasa sunat beramai-ramai sekali sekala, melukis poster, menerbitkan risalah Ramadhan, membacakan hadis berkaitan Ramadhan, tazkirah-tazkirah ringkas sebagai peringatan, semua itu adalah program-program untuk menghidupkan jiwa Ramadhan.

Bilangan pelajar-pelajar yang solat dhuha di musolla (surau) sekolah semakin bertambah. Kekerapan itu lebih jelas ketika masuk sahaja Ramadhan.

Tidak kurang juga, biasanya diadakan ‘countdown’ menuju Ramadhan. Dihitung-hitung berapa hari lagi untuk sampai kepada Ramadhan. Semua usaha dilaksanakan untuk menambah kecintaan pelajar untuk lebih bersungguh-sungguh dalam mengejar TAQWA.

Dalam kumpulan-kumpulan halaqah yang kecil, topik utama perbincangan sudah pasti adalah berkaitan Ramadhan.

Pendek kata, semuanya berkisar tentang persediaan ke Ramadhan. MashaAllah, mashaAllah !

Supaya Ramadhan yang dilalui tidak sama seperti mana yang pernah dilalui sebelum ini.


COUNTDOWN UNTUK MEREBUT SIJIL TAQWA, BERSEDIAKAH KITA?

Biasanya, countdown dilakukan untuk hari-hari tertentu sahaja yang dianggap penting. Umpamanya hari kebangsaan, sambutan-sambutan atau event-event tertentu sahaja.

Justeru, mari kita masukkan dalam kalendar hidup kita satu event penting yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh seorang muslim.

R A M A D H A N

Kita bukan semata-mata menghitung hari untuk sampai kepada Ramadhan itu, tetapi kita menghitung berapa hari lagi yang tinggal sebagai peluang untuk kita melakukan persediaan secukup-cukupnya sebelum masuk’merebut’ sijil TAQWA dalam Ramadhan.

Justeru, countdown kita bukanlah countdown yang kosong. Menghitung-hitung hari menuju Ramadhan tanpa persediaan bukanlah sikap seorang mukmin.

Bermula Rejab, bermula sekarang, kita sudah perlu mula ‘warming up’ supaya kita bersedia untuk yang lebih ‘advance’ dalam Ramadhan.

Orang yang bersukan tanpa warming up, biasanya lebih mudah mengalami kekejangan, terseliuh dan sebagainya. Kerana dia bermain terus tanpa ada persediaan dari segi fizikalnya.

Begitulah juga Ramadhan. Masuk tanpa persediaan jiwa, fizikal dan mental hanya mengakibatkan kita melaluinya seperti biasa, seperti bulan-bulan yang lain juga sedangkan Ramadhan itu bulan yang teramat-amat ‘special’

Akhirnya, ramai yang keluar dari Ramadhan menjadi 'lebih kejang' daripada sebelum masuk ke Ramadhan. 

Dari Abi Mas’ud Al-Ghifari  r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Jikalau para hamba itu mengetahui apa yang ada dalam Ramadhan, nescaya mereka akan berangan-angan agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan.” [Riwayat Ibn Khuzaimah]


PENUTUP : RAMADHAN DINANTI, BEKALAN BUAT DIRI

Ramadhan itu sekali sahaja setahun. Nilai sehari berpuasa di dalam Ramadhan tidak pernah akan sama dengan nilai berpuasa sehari dalam bulan yang lain.

Ramadhan itu bukan semata-mata untuk puasa, tetapi ia ada nilai tambah bagi seorang mukmin.

Ia memberi bekal kekuatan di perjalanan menuju Allah. Ia membersihkan jiwa supaya kita lebih tenang menghadapi ujian-ujian kehidupan yang mendatang.

Kalau semata-mata Ramadhan ini untuk berpuasa sahaja, maka ia tidak ada apa yang ‘special’.
Kalau semata-mata Ramadhan ini untuk khatam Al-Quran, maka ia tidak miliki nilai yang hebat.

Tetapi Ramadhan bukan semata-mata untuk itu. Ia datang untuk melahirkan lebih ramai lagi hamba-hamba Rabbani, bukanlah hamba Ramadhani. Hamba Rabbani itu, kesannya berpanjangan sepanjang tahun. Tetapi hamba Ramadhani, ia setakat 30 Ramadhan sahaja.

Bagi seorang daie’, bulan ini adalah bulan yang sangat dinanti-nantikan. Kerana ia menjadi medan tazkiyatun nafs TERHEBAT sepanjang tahun .

Bekalan terbesar untuk meneruskan dan menggencar projek membangunkan ummah !

Thursday, June 9, 2011

Perkongsian Bersama Penasihat Kanan Rabithah Ulama' Palestin




MUQADDIMAH

Nama beliau adalah Syeikh Abu Bakar Al-Awawidah. Beliau adalah Penasihat Kanan Ulama' Palestin. Mempunyai 8 orang anak - 5 lelaki 3 perempuan. Matanya buta kerana ditembak dengan laser oleh Yahudi laknatullah. Raut wajahnya seolah-olah menampakkan umurnya begitu tua, tetapi umurnya sekitar 40 hingga 50 tahun baru. Dihukum penjara selama 500 tahun oleh Yahudi laknatullah.

Beliau datang ke Malaysia kali ini ditemani anaknya, Uwais, untuk menjalani rawatan bagi menyembuhkan penglihatan beliau dengan izin Allah.

Beliau singgah memberi perkongsian di Masjid Al-Falah, Pengkalan Tambang, Pulau Pinang pada 8 Jun 2011 selepas Maghrib.


KALAM BELIAU YANG MENYUNTIK SEMANGAT DI JIWA

Syeikh memulakan ucapannya dengan penuh kasih dan mahabbah mengatakan bahawa "Aku mencintai kalian keranaAllah. Bagaimana mungkin aku tidak mencintai kalian sedang kalian adalah orang-orang yang solat, orang yang rukuk, orang yang sujud, orang yang memilih untuk menyembah Allah Taala?"

Syeikh memuji Malaysia kerana Malaysia antara negara Islam yang maju. Sekarang, seluruh dunia memandang kepada Malaysia. Rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan Islam. Dan amal menuju Allah terletak di atas pundak kalian, wahai rakyat Malaysia.

Palestin bukanlah semata-mata untuk rakyat Palestin, tetapi untuk seluruh ummah.

INTRODUKSI : MASJID AQSA YANG DIMULIAKAN

Merupakan qiblat awal daripada dua qiblat ummat Islam.

Masjid Al-Aqsa merupakan salah satu daripada tiga masjid yang agung dalam Islam. Merupakan masjid yang ketiga. Jika sekiranya kita mempertahankan Masjid Al-Haram di Makkah dan Masjid An-Nabawi di Madinah dengan darah kita, dengan harta kita, maka kita wajib juga mempertahankan Masjid Al-Aqsa dengan darah dan harta kita.

Syeikh membacakan hadith Nabi s.a.w. 

لا تشد الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام، ومسجد الرسول صلى الله عليه وسلم، ومسجد الأقصى."."

"Janganlah kamu bersusah-susah untuk bermusafir kecuali pada 3 masjid : Masjid Al-Haram, Masjid Rasul s.a.w. dan Masjid Al-Aqsa."

Sambung syeikh:

Palestin adalah bumi yang dimuliakan dengan darah para Nabi seperti Nabi Zakaria a.s. dan di sana terdapat banyak maqam para Nabi. Palestin juga adalah bumi yang dimuliakan dengan para sahabat sebagai contoh Saidina Umar Al-Khattab. Palestin juga adalah bumi yang dimuliakan dengan para pejuang Islam seperti Solahuddin Al-Ayyubi.

Solahuddin Al-Ayubi telah berpesan bahawa Palestin adalah amanah untuk ummat Islam.


APA KEWAJIPAN KITA SEBAGAI MUSLIM TERHADAP BUMI PALESTIN?

Syeikh berkata : Jihad di jalan Allah.

Syeikh membacakan ayat Al-Quran daripada surah Al-Imran ayat 142 yang bermaksud:
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar."

Syeikh membacakan hadis:

مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ وَلَمْ يُحَدِّثْ بِهِ نَفْسَهُ مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ
“Barang siapa yang mati dan belum berperang dan tidak terlintas dalam dirinya untuk berperang, maka dia mati dalam prilaku orang munafik”.(H.R. Muslim)

Jika sekiranya kita tidak mampu berjihad dengan diri dan nyawa kita, maka berjihadlah dengan harta benda kita.

Sesungguhnya setiap Muslim memiliki senjata yang ampuh. Doa adalah senjata yang tidak dimiliki oleh orang lain kecuali Muslim.


PESANAN WANITA PALESTIN KEPADA WANITA MALAYSIA

Syeikh membawakan pesanan nisa' (wanita) dari Palestin untuk wanita di Malaysia. Pesan mereka:

"Kami telah korbankan diri kami, suami-suami kami dan anak-anak kami, maka apa yang telah kalian korbankan?"

Syeikh membawa contoh seorang wanita yang bernam Fatimah An-Najar yang telah mengebom dirinya bersama tentera Israel.


BEBERAPA BERITA GEMBIRA

1) Revolusi rakyat yang telah berlaku di Mesir, Libya, Tunisia dan beberapa negara Arab lain mempunyai kebaikannya. Pintu Rafah telah dibuka. 

2) Pada 15/5/ 2011, penduduk Palestin yang berada di negara jiran seperti Syria, Jordan dan sebagainya mendekati sempadan Palestin untuk memberi tekanan kepada Israel. Jumlah mereka yang asalnya ribuan bertambah menjadi puluh ribuan. Berkumpul setiap hari di sempadan untuk memberi tekanan kepada Israel.

3) Juga setiap hari, ribuan penduduk Palestin akan bergerak dengan bas menuju Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan solat jemaah di sana sebagai satu usaha untuk mempertahankan masjid Al-Aqsa. Mereka menuju ke sana dengan bas yang bernama 'Al-Bayarik'.

4) HAMAS dan FATAH telah bergabung dan bersatu dalam usaha mempersiapkan Palestin untuk dibebaskan dari cengkaman Israel. Mereka bekerjasama membangunkan sekolah-sekolah, pusat tahfiz, hospital-hospital.


PENUTUP : PEMBINAAN GENERASI PEMUDA SEPERTI MEREKA

Beberapa soalan telah dilontarkan kepada syeikh. Soalan yang terakhir ditanya adalah tentang rahsia pembinaan generasi pemuda seperti pemuda di Palestin yang tidak takutkan Zionis Israel.

Syeikh berkongsi tentang kaedah melahirkan generasi pemuda seperti pemuda-pemuda Palestin.

Kata syeikh: Mereka perlulah ditanam dengan didikan untuk TAKUT semata-mata kepada Allah, bukan kepada yang lain. Diajak untuk menghidupkan masjid. Dididik dengan Al-Quran dan as-sunnah. Dididik untuk beramal seperti qiamullail dan sebagainya. Dididik supaya terbentuk akidah, akhlak dan rasa takut kepada Allah. 

Akhirnya akan terbentuklah dalam hati mereka tenaga IMAN ! "

Wallahu a'lam. 

Catatan ringkas.
8 JUN 2011.
Selepas Maghrib.
Masjid Al-Falah, Pengkalan Tambang.

Thursday, June 2, 2011

Ke Marilah, Rabbmu Menunggumu !



Ke mana lagi kita akan membawa langkahan jika tidak kepada CINTA Allah ?

Kecintaan Allah itu terlalu besar. Tiada tandingannya.

Siapa sahaja yang memiliki kecintaan Allah, maka dia telah menembusi syurga dunia.

Besarnya kecintaan Allah menyebabkan Allah menangguhkan balasan baik dan buruk untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. ketika di dunia.

Besarnya kasih Allah kepada kita menyebabkan Allah membuka peluang beramal dan melapangkan pintu taubat untuk manusia hinggalah menjelmanya tanda-tanda kiamat.

Adakah yang mampu menandingi Allah, sehingga sanggup menganugerahkan CINTA sebesar itu kepada kita?

Saya sangat-sangat pasti tidak ada.

Manusia bila kasihkan kepada seseorang, kalau orang itu tersilap sedikitpun, paling tidak pasti sudah mengguris hatinya. Meskipun tidak terukir kemarahan di wajah, tetapi dalam hati tetap menahan perasaan.

Itu manusia. Terhadnya cinta manusia.

Tetapi cinta Allah ini, Maha Luas tiada tandingannya.

Justeru, sangat-sangat tidak patut bagi orang-orang yang berdosa, melakukan kesalahan untuk mengatakan :

“Ah, sudah tidak ada harapan lagi bagi aku. Aku dah buat dosa yang sangat besar. Tuhan pun takkan ampunkan aku.”

Berputus asa dari rahmat-Nya? Tidak. Orang yang tidak pandai memanfaatkan peluang sahaja akan mengabaikan cinta Allah yang terlalu besar ini.


BESAR MANAPUN DOSAMU, BESAR LAGI KEAMPUNAN ALLAH SELAGI ENGKAU TIDAK SEKUTUKANNYA

Saya suka kongsikan satu maksud hadis yang menceritakan tentang besarnya keampunan yang Allah hendak beri ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang mafhumnya bermaksud:

“Dahulu pada zaman sebelum kalian ada seorang yang membunuh sembilan puluh sembilan orang. Lantas ia bertanya tentang seorang yang paling alim di muka bumi ini, maka ditunjukkanklah seorang pendeta (ahli ibadah).

 Ia datangi pendeta tersebut kemudian berkata bahawa ia telah membunuh sembilan puluh sembilan orang, apakah Allah menerima taubatnya?

Pendeta tersebut menjawab, “Tidak!”  Maka ia pun membunuh pendeta tersebut hingga genaplah 100 orang dibunuhnya.

Kemudian ia bertanya kembali tentang orang yang paling alim di muka bumi ini. Maka ditunjukkan kepadanya seorang alim.

Dikatakan kepadanya bahawa ia telah membunuh sembilan puluh sembilan orang, apakah Allah akan menerima taubatnya?

Dia menjawab : “Ya, siapa yang menghalangi antara dirinya dengan taubat? Berangkatlah menuju ke tempat ini dan ini kerana di sana ada manusia yang beribadah kepada Allah, lantas beribadahlah kepada Allah bersama mereka. Jangan kembali ke tempat tinggalmu semula kerana itu adalah tempat yang buruk.”

Maka ia pun berangkat sehingga sampai di pertengahan jalan, ajal menjemputnya. Terjadilah perdebatan antara Malaikat Rahmat dengan Malaikat Azab.

Malaikat Rahmat berkata, “Ia telah datang dalam keadaan bertaubat dan mennghadap kepada Allah dengan hatinya.”

Malaikat Azab pula berkata, “Namun, ia belum pernah berbuat kebaikan sedikitpun.”

Maka datanglah malaikat lain untuk mengadili antara mereka berdua. Ia berkata, “Ukurlah jarak antara dua tempat tersebut, mana yang lebih dekat, maka itulah baginya.”

Kedua-dua malaikat itu pun mengukur tempat tersebut, ternyata tempat yang hendak dituju itu lebih dekat dari kampung asalnya. Akhirnya, orang tersebut dibawa oleh malaikat rahmat.” (Muttafaq Alaih)


MANIFESTASI KASIH ALLAH DALAM HARAPAN INSAN

Dalam riwayat lain sebenarnya dinyatakan, 

“Maka Allah telah mewahyukan kepada tempat tersebut (kampung asal) untuk menjauh dan kepada tempat ini (yang hendak dituju) untuk mendekat. Kemudian Dia berfirman, “Ukurlah antara keduanya.” Ternyata mereka mendapati tempat yang hendak dituju dekat satu jengkal hingga akhirnya Allah mengampuni orang tersebut.”

Sungguh-sungguh benar Allah sentiasa menunggu hamba-Nya untuk kembali kepada-Nya.

Dalam satu hadis qudsi, Allah berfirman yang bermaksud:

“….barangsiapa yang mendekati-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya satu hasta. Barangsiapa yang mendekati-Ku satu hasta, maka Aku akan dekatinya satu depa. Dan barangsiapa yang datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari…”

Bayangkanlah setinggi itu kasih dan cinta Allah supaya kita memperoleh keampunan-Nya!

Lalu, masih adakah alasan untuk kita menangguhkan taubat hari ini?

Kita datang kepada Allah dengan berjalan, tetapi Allah BERLARI kepada kita!

Dalam satu hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda yang mafhumnya bermaksud:

“Sesungguhnya Allah s.w.t. membentangkan tangan-Nya pada malam hari agar orang yang berbuat dosa di siang hari bertaubat kepada-Nya. Dia juga membentangkan tangan-Nya pada siang hari agar orang yang berbuat dosa pada malam harinya bertaubat kepada-Nya sehinggalah Matahari terbit dari sebelah barat.”

Allah yang Maha Agung, tidak pernah meletakkan pembatas (gap) antara kita dengan Dia.

Dia itu Rabb yang Maha Agung, Maha Kuasa memiliki segala-galanya di alam ini.
Tetapi, Dia tetap memberi ruang untuk kita, hamba-Nya yang lemah dan tidak punya apa-apa ini untuk bersama-Nya, memohon keampunan-Nya.

Dia ‘merendahkan’ diri supaya kita boleh bersama dengan-Nya.
Dia tetap tidak pernah putus asa supaya kita kembali kepada-Nya.

Lalu, tidak malukah kita jika kita sendiri yang meletakkan pembatas (gap) pada kecintaan sebesar itu dengan menjarakkan diri kita daripada-Nya?


PENUTUP : HAI HAMBA-KU,  KE MARILAH !

Barangkali ada yang pernah berkata:

“Dosa aku terlalu besar. Tak mungkin Tuhan ampunkan aku.”

“Aku dah buat dosa orang lain tak pernah buat. Tak mungkin ada lagi jalan.”
                                          
STOP. Berhentilah bersikap begitu. Ia hanya akan melemahkanmu.

Berbuat begitu hanya akan menjauhkan kita daripada Allah sedang Allah itu sentiasa mendekati kita.

Allah yang ‘berusaha’, tetapi kita pula sebaliknya?

“Sedang Allah mengajak kepada jannah(syurga) dan keampunan dengan izin-Nya.” maksud firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 122.

Allah sentiasa inginkan manusia kembali kepada-Nya dan merebut syurga-Nya. Dia tidak sediakan syurga itu melainkan untuk hadiahkan kasih-Nya kepada kita.

Perhatikanlah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya daripada kegembiraan seorang yang mandul ketika mendapatkan anak, kegembiraan seorang yang tersesat ketika ditemukan kembali dan kegembiraan orang yang haus ketika ada orang yang ingin memberinya air minum.”

Lihatlah, Allah terlalu gembira untuk menyambut kita, lalu layakkah kita untuk terus berdukacita dan berputus asa?

Tidak. Tidak pantas sama sekali.

Ayuh, mari kembali kepada Pemilik jiwa ini.

Ke marilah kerana Rabbmu sentiasa menunggumu !

Wednesday, June 1, 2011

Bernafas Dalam Udara Dakwah



Oksigen kehidupan itu segar lagi menyegarkan. Ia nadi utama dalam memastikan sistem tubuh berfungsi dengan baik.


Tiada ia, maka tidak berfungsilah paru-paru.
Bila-bila paru-paru tidak berfungsi, maka yang lain akan turut sama terencat.

Kehebatan sistem ciptaan Allah, saling menyokong dan mendokong satu sama lain.
Hikmah dan pengajaran terbesar buat kehidupan insani.

Dalam kehidupan ini, jika oksigen itu adalah sesuatu yang urgen dan penting bagi tubuh manusia, maka ada juga sesuatu yang sangat urgen dan sangat penting untuk roh manusia.

Jika tiada ia, maka roh kita juga bakal sesak nafas. Sesak nafas, tenggelam kelemasan dalam lubang jahiliah.

Oksigen dakwah.

Ia adalah udara segar buat sang daie’. Orang-orang yang berada di jalan Allah dan menyeru kepada-Nya.

Hilang ia akan menghilangkan seluruh kenikmatan hidup ini.
Bila dakwah tidak digerakkan, terasa keresahan yang begitu melemaskan jiwa.

Bila dakwah senyap tidak gencar, maka ia jadi risau tidak boleh duduk diam.
Kerana dia telah bernafas dengan udara segar itu, menjadikan ia resah dan risau bila sekali saja dalam kehidupannya, nafas itu terhenti kerana leka dan lalai.

Hakikatnya, bukan mudah menjadi DAIE’ sejati.

DAIE’ sejati itu cintakan dakwah, bukan berdakwah untuk melaksanakan rutin harian semata.

Bukan berdakwah atas nama seorang ‘Pendakwah’ semata.

Hatta dia seorang doktor, jurutera, peguam atau apa sekalipun pekerjaannya, maka bila cinta kepada dakwah, merasakan urgensi untuk bernafas dalam kehidupan dakwah, maka pasti dia akan menjadikan dakwah sebagai KERJA UTAMA dalam kehidupan.

Kata Al-Marhum Ust Rahmat dalam movie Sang Murabbi, “Ramai orang bisa berdakwah, tetapi berapa ramai yang bisa CINTA kepada dakwah?”


DAIE’ PERLU MENGINSAFI DIRI

Seorang daie’ perlu menyedari betapa besar dan berharganya amanah yang dipikulnya.

Kenapa?
Kerana seorang daie’ itu bukan semata-mata bertanggungjawab ke atas dirinya, bukan juga atas keluarganya sahaja, tetapi memegang tanggungjawab atas ummat ini.

Sesuatu yang berharga, sesuatu yang besar tidak mungkin akan terbayar melainkan dengan pengorbanan dan harga yang tinggi.

Justeru, seorang daie’ tidak akan mampu bergerak seorang diri untuk melaksanakan tanggungjawab sebesar ummat ini.

Bergerak seorang diri hanya akan merugikan nafas dakwah ini. Bila lemah, tidak sihat, sakit dan sebagainya, tidak ada sokongan dan dorongan untuk terus bergerak.

Bila diserang, diancam, dihina, tidak ada sahabat untuk mempertahankan.

Akhirnya, diam terus menyepi. Semangat yang dulu gencar, sudah hilang terbakar.

Kerana bergerak seorang diri itu lebih banyak mengundang bencanalah, Rasulullah s.a.w. memberi contoh supaya kita mencari sahabat dan kumpulan yang memiliki kefahaman yang sama untuk bersama-sama membangunkan semula Islam.


DUNIA YANG SENTIASA MEMPERDAYA

“Daie’ yang lemah hubungannya dengan Allah, akan disingkirkan daripada kafilah dakwah.”

Saya petik kata-kata ini daripada seorang murabbi.

Banyak faktor yang mengakibatkan lemahnya hubungan dengan Allah. Antara faktor terbesar itu adalah dunia yang sentiasa memaut hatinya.

Seorang daie’ tidak boleh memandang dunia terlalu lama.

Kata murabbi saya, “ Daie’ yang melihat dunia lama-lama, dia adalah daie’ yang dhoif.”

Apa maksud melihat dunia terlalu lama?
Adakah duduk, memperhatikan burung, gunung dan sebagainya itu?

Bukan.
Yang dimaksudkan di sini adalah mengambil kenikmatan dunia itu terlalu banyak sehingga melalaikan dan melupakan kita daripada tugas dan tanggungjawab sebenar.

Daie’ perlu buang rasa cinta kepada dunia. Daie’ yang cinta kepada dunia, tidak akan mampu memberi kesan kepada hati orang lain baik dalam ucapan mahupun syaksiahnya.

Orang yang dalam hatinya ada dunia, mampukah memberikan nilai akhirat kepada hati orang yang ada dunia juga di dalamnya?

Tidak. Kerana masing-masing memiliki dunia, nilai fana yang sama, sedang nilai akhirat itu nilai yang abadi !

Dunialah yang bakal menggugurkan daie’ dari perjalanan mulia ini.

Dunia jugalah yang menghilangkan keselesaan bekerja untuk Islam, mewujudkan rasa selesa untuk terus duduk berehat dan menikmati dunia.

Dunialah yang meragut rasa cinta DAIE' terhadap dakwah ini !


PENUTUP : WAHAI DAIE’, KITA PERLU BEKERJA!

Siapapun diri kita, kita perlu bersiap sedia untuk memproses diri supaya menjadi seorang daie’.

Daie’ sejati akan simpati, sedih dan bimbang melihat keadaan ummat.

Ia tidak menyalahkan kerosakan yang ada, tetapi ia akan kembali melihat dirinya yang mungkin masih belum maksimum usaha ataupun mungkin masih belum buat apa-apa!

Daie’ perlu turun ke medan amal. Turun untuk dilukai.

Memang itulah kerja daie’ . Ia mendapat luka demi ummat. Apalagi yang lebih besar daripada itu?

Kita perlu bangun, bekerja dan terus mengajak. Jika duduk berehat, tidak menghadapi masalah, kita hanya akan lebih banyak teoritikal daripada praktikal.

Ilmu lebih banyak dalam catatan, tetapi sedikit yang digunakan.

Rugi. Sangat merugikan. Proses tarbiyah yang dilalui seorang daie’ hanya akan menjadi excessive waste sahaja bagi dirinya.

Bahan lebihan (tarbiyah) yang menjadi buangan?  Terima banyak, buat kerja cuma sikit sahaja atau tak buat langsung.

Samalah seperti kita makan. Makan banyak jika tidak gunakan untuk bekerja, hanya akan menjadi tenaga lebihan dalam badan. Akhirnya, malas dan tidurlah ubatnya !

Yang bernama DAIE’ tidak mungkin menzalimi dirinya sebegitu!

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP