Wednesday, December 22, 2010

Fenomena 'KALAU'

KALAULAH ...


Perkataan ‘KALAU’ itu biasanya melambangkan satu penyesalan. Ia juga mungkin membawa maksud kekeliruan kita dalam menentukan apa yang bakal berlaku pada masa depan.

Penyesalan untuk orang-orang yang sudah terlajak.

Penyesalan bagi yang orang-orang yang tersilap, terbuat, terpukul, termakan, terdegil, dan pelbagai macam ‘ter..’ lagi.

Akibat penyesalan itu membawa dirinya menzahirkan rasa kesal itu dalam pengharapan agar dia dapat kembali semula ke masa dia melakukan kesilapannya itu untuk memperbetulkannya.

“Kalaulah aku dengar cakap mak dulu, tentu tak jadi macam ni…”

“Kalaulah Ahmad itu tak dimanjakan dulu, mesti dia tak degil macam sekarang…”

Contoh penyesalan.

Pengharapan yang MUSTAHIL.

Dalam bahasa Arab, ia disebut  (التمنى), at-ta-man-na, yang bermaksud pengharapan yang mustahil tercapai .

Mungkinkah kita dapat kembali ke masa kita ‘ter…’ itu untuk memperbaiki kesilapan kita itu?

Owh, tidak sekali melainkan dengan izin Allah saja…


ALLAH MENGGAMBARKAN SIFAT-SIFAT GOLONGAN ‘KALAU’ DALAM AL-QURAN

Banyak sekali peluang kehidupan yang Allah beri kepada manusia di dunia ini.

Namun, seringkali manusia lalai dan lupa lantas mengabaikan tanggungjawabnya dan arahan-arahan Allah.

Lantaran, Allah menggambarkan manusia yang lupa dan ingkar ini dalam beberapa ayat Al-Quran, antaranya ayat 55-59, surah Az-Zumar yang bermaksud:

“Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu (Al-Quran) sebelum datang azab kepadamu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak menyedarinya. (55)

Supaya jangan ada orang yang mengatakan: “Amat besar penyesalanku atas kelalaianku dalam (menunaikan kewajiban) terhadap Allah, sedang aku sesungguhnya termasuk orang-orang yang memperolok-olokkan (deen Allah). (56)

Apa sambungannya?

…atau supaya jangan ada yang berkata: “Kalau sekiranya Allah memberi petunjuk kepadaku, tentulah aku termasuk orang bertaqwa.” (57)

Kalau Allah beri petunjuk???

Bukankah telah Allah utuskan Rasul, dan Allah berikan Al-Quran?

Lalu Allah sambung lagi:

“…atau supaya jangan ada yang berkata ketika ia melihat azab: “Kalau sekiranya aku dapat kembali ke dunia, nescaya aku termasuk orang-orang yang berbuat baik.” (58)

Mungkinkah lagi ada peluang untuk kembali ke dunia ketika itu untuk melakukan kebaikan?

Tiada lagi peluang kedua.

Lantaran Allah peringatkan dalam ayat seterusnya:

“(Bukan demikian) sebenarnya telah datang keterangan-keterangan-Ku kepadamu lalu kamu mendustakannya dan kamu menyombongkan diri dan adalah kamu termasuk orang-orang yang KAFIR.” (59)

Inilah golongan ‘KALAU’. Sesalnya di akhirat tidak ada hasilnya lagi.

Di hari itu, golongan ini bakal rugi serugi-ruginya.

Di dunia tidak mahu berbakti, maka jangan harap akan kembali lagi. Seksa dan azab neraka yang menggelegak itu sentiasa menanti diri.

Dalam surah As-Sajdah ayat 12, Allah menggambarkan penyesalan golongan ini setelah hampir masa dihitung dan ditimbang amalan, yang bermaksud:

“Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): “ Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia) untuk kami beramal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.”

Masihkah ada belas untuk Allah kembalikan manusia buat kali keduanya untuk beramal?

Tidak mungkin sama sekali.

Beribu tahun, beratus tahun, berpuluh tahun kehidupan lamanya Allah kurniakan kepada manusia.

Itu masanya untuk beramal soleh. Itu masanya untuk yakin kepada Allah.

Apabila sudah berdepan dengan hisab Allah, maka tiada lagi pengharapan untuk beramal soleh, untuk yakin kepada Allah. Tiada lagi.

Sudah begitu TERLAMBAT.

“Kalaulah aku di dunia dulu taat kepada Allah, …”

Inilah golongan yang menyesal.


MUKMIN YANG SENTIASA POSITIF DENGAN MASA DEPAN AKHIRAT, TIADA ‘KALAU’

Orang yang beriman kepada Allah, yakin akan adanya hari perhitungan, maka dirinya selalu terpelihara daripada maksiat dan kemungkaran kepada Allah.

TAKUT dan CINTA kepada Allah mendominasi seluruh kehidupannya sehingga tidak ada apa lagi yang dapat mempengaruhi kehidupannya.

Hidupnya untuk redha Allah.

Bekerjanya untuk Allah.

Bergaulnya dia dengan kawan adalah untuk Allah.

Berfikirnya dia adalah untuk Allah.

Bahkan cintanya juga adalah untuk Allah.

Semuanya dilakukan untuk Allah, bukan untuk yang lain.

Maka apabila semuanya dilakukan untuk Allah, maka cara dia bekerja, cara dia bergaul, dengan sapa bergaul, cara berfikir semua dipastikan bersih mengikut ketetapan Allah dan dilakukan bersungguh-sungguh.

Itulah ciri mukmin yang positif dengan masa depannya di akhirat.

“Sesungguhnya aku yakin bahawa sesungguhnya aku akan menemui hisab terhadap diriku.” 
[Al-Haqqah: 20]

Keyakinannya itu membawa dirinya untuk melakukan persediaan untuk hari perhitungan amalan itu.

Keimanannya itu membawa dirinya untuk menyerahkan seluruh kehidupan ini untuk jalan ubudiah (memperhambakan diri) kepada Allah.

Lantaran itu, tidak akan ada bagi dirinya istilah ‘KALAU’.

Keimanan dalam hatinya menolak dirinya untuk melakukan kebaikan (maaruf) dan meninggalkan kemungkaran sejak di dunia lagi. Ia bukan dari golongan yang bakal menyesal di akhirat nanti kerana tidak memanfaatkan peluang-peluang yang begitu banyak Allah sediakan di dunia.


SAHABAT RASULULLAH  S.A.W. CONTOH KEIMANAN YANG HIDUP, MEREKA BUKAN GOLONGAN ‘KALAU’

Keimanan bukan sesuatu yang direka-direka.

Kesannya dapat dilihat dalam kehidupan seseorang.

Jika neraca syara’ didahulukan dalam kehidupan, maka benarlah iman yang ada pada dirinya.

IMAN itu praktiknya dalam kehidupan. Tidak hanya sekadar angan-angan yang tidak kesampaian, sembang-sembang kosong yang tidak terarah.

Nabi s.a.w. pernah bersabda yang mafhumnya:

“Iman itu bukanlah angan-angan, bukan juga bual-bual kosong, tetapi apa yang TERSEMAT DI DALAM HATI, dan DIBUKTIKAN DENGAN AMAL.”

Itulah IMAN.

Benarkan Allah dalam hati, kemudian membenarkan juga sistem Allah dalam kehidupan kita.

Ia bukan macam ‘KALAU’‘KALAU’ itu mungkin terjadi, mungkin tidak terjadi.

Tetapi, IMAN yang benar itu kesannya mesti akan benar-benar terlihat dan terjadi dalam kehidupan.

Bagaimana ?

Lihatlah contoh pada sahabat Rasul s.a.w. Merekalah contoh-contoh keimanan yang hidup dan dinamik.

Tiada istilah ‘KALAU’ dalam kamus hidup mereka.

Abdullah Ibn Rawahah, telah diamanahkan oleh Rasul s.a.w. sebagai panglima ketiga dalam Perang Mu’tah. Apabila dua orang panglima pilihan Rasul s.a.w. telah syahid mendahului beliau, maka beliau sebagai panglima ketiga menggantikan kedua-dua sahabatnya yang telah syahid itu, mara ke hadapan sambil bermadah:

“Duhai jiwaku, ku bersumpah,
Kau pasti menghadapi kerelaan cabaran,
Kiranya sudah orang mencapainya,
Kenapa kau berlengah,
Membenci syurga Allah.”

Anak saudaranya menghadiahkan seketul daging kepadanya untuk menguatkan badannya. Namun digigitnya secebis daripada daging itu lalu dibuang daging itu. Beliau terus mara dan bertarung hingga gugur mendapat gelaran syuhada’.

Masih adakah dalam kotak fikiran Abdullah Ibn Rawahah sikap teragak-agak atau keliru?

Tidak. Dia tidak pula membayangkan, ‘kalaulah aku mara, aku akan mati…rugi pula seketul daging ni.’

‘kalaulah aku buang daging ni, aku lapar plak…’

Tidak. Tidak. Tidak.

Tidak ada keraguan dalam benak fikirannya.

Itulah kuasa IMAN. Mendahulukan Allah dan hari akhirat dalam kehidupan dengan penuh keyakinan.

Dunia sebagai wasilah untuk dapat kebaikan berkekalan di akhirat.

Mereka inilah golongan yang akan kembali kepada Allah dengan hati yang sejahtera, tanpa ada perasaan ‘KALAU’ di depan Allah. Kerana di dunia, mereka telah beri sepenuhnya kehidupan untuk Allah.


PENUTUP :  BERIMAN HARI INI, JANGAN ‘KALAU’ DI KEMUDIAN HARI

Saya petik satu syair Arab yang pernah disebut oleh murabbi saya, Ust Omar Hj Salleh:

ترجو النجاة ولم تسلك مسالكها

إنّ السفينة لا تجري على اليبس

Maksudnya: 
“Kamu mengharapkan kejayaan, tetapi tidak mengikuti jalan-jalannya,
                        Sesungguhnya kapal tidak belayar di atas daratan”

Kita berhajatkan kepada pembalasan yang baik serta rahmat Allah di hari perhitungan nanti. Justeru, kita perlu juga melalui jalan untuk ke sana itu dengan serius dan bersungguh-sungguh.

Jalan IMAN.

Itulah satu-satunya jalan yang menyampaikan kita kepada kejayaan di syurga Allah yang hakiki itu.

Rasul s.a.w. serta para sahabat dan orang-orang soleh yang telah membuka jalan ini kepada kita, tugas dan tanggungjawab mereka telah selesai.

Mereka hidup di atas IMAN.

Mereka bergerak dan berjalan di atas IMAN.

Mereka mati di atas IMAN.

Akhirnya, ganjaran syurga Allah menanti mereka di depan.

Marilah kita mencontohi mereka.

Orang-orang yang tidak sekali-kali akan berkata ‘kalau…’ ketika di depan Allah nanti.

Hiduplah di atas IMAN !

Saturday, December 18, 2010

Jadilah Pendokong, Bukan Hanya Sekadar Penyokong

Berapa ramai benar-benar mendokong ISLAM dalam kehidupan?



Begitu ramai umat Islam di dunia pada hari ini.

Mengikut satu kajian, dinyatakan bahawa statistik bilangan umat Islam adalah yang kedua terbesar di dunia.

Begitu ramainya umat ini.

Kita juga adalah daripada kalangan itu.

Namun, berbilion umat Islam yang ramai itu, adakah seramai itu juga para pendokongnya?

Atau yang ramai itu hanya sekadar penyokong?

Kita pula, di mana kedudukan kita?


APA BEZANYA PENDOKONG DAN PENYOKONG?

Bayangkan anda berada di stadium untuk menonton satu perlawanan bola sepak. Samakah orang yang menonton dengan orang yang bermain di atas padang bola sepak itu?

Oh, sudah tentu jauh berbeza.

Penonton cuma dapat menonton, memberi sokongan, bersorak dan terjerit-jerit di luar padang. Penatkah mereka? Ya, mereka mungkin penat, tapi tidak sepenat pemain yang berlari di padang. Dapatkah penonton memberi nilai gol pada pasukan sokongan mereka? Tidak. Tidak sekali-kali.

Pemain?

Merekalah yang mendukung aspirasi pasukan mereka. Berpenat lelah di atas padang untuk mendapatkan nilai jaringan gol bagi pasukan mereka. Berlari, merancang strategi, kesatuan, penat dan lelah serta segalanya dirasai oleh mereka yang bermain. Merekalah orang yang paling gembira apabila dapat menjaringkan gol. Namun, mereka jugalah orang yang paling sedih dan muram saat tiada nilai gol untuk pasukan mereka.

Itulah bezanya.

Penyokong. Ia tidak dapat berbuat apa-apa. Ia tidak dapat mengubah apa yang berlaku di atas padang. Kerana ia bukan seorang pemain. Gol atau tidak gol bukanlah atas usaha mereka. Mereka mungkin boleh memberi komen dan mengkritik, namun mereka tidak akan pernah dapat menjiwai perasaan sebenar ketika berada di atas padang.

Pendokong, dia yang menghayati kelelahan dan segala perasaan berada di atas padang bola itu. Dia yang lebih memahami situasi dan cara bertindak. Dia mungkin akan silap ketika bermain. Namun, kesalahan itu mengajar dia supaya memperbaiki corak permainannya di masa depan.


MEREKA YANG MENDOKONG ISLAM YANG MULIA INI …

Islam itu datang dalam bentuk yang praktis. Ia dapat dilihat daripada segenap sudut kehidupan.

Ia bukan sekadar retorik atau teori kosong. Tetapi ia praktikal dalam kehidupan.

Keperibadian, cara hidup, cara berfikir, sistem ekonomi, sistem sosial, sistem politik, pentadbiran dan perundangan, sistem kekeluargaan dan bermasyarakat, semuanya itu ada contohnya dalam Islam.

Orang-orang yang bersama Rasul s.a.w., merekalah yang membawa contoh itu.

Islam itu tertonjol dalam segenap kehidupan mereka.

Kenapa? Kerana mereka adalah para pendokong Islam.

Lihatlah keperibadian-keperibadian kental yang ada bersama mereka dalam mempertahankan Islam.

Abdullah Zul Bijadain, dahulunya ketika jahiliah, namanya adalah Abd Uzza. Kenapa digelar Zul Bijadain yang membawa maksud “mempunyai dua kain kasar”? Pengorbanan yang dilakukannya itu menyebabkan dia mendapat jolokan itu. Dia mempunyai seorang bapa saudara yang sangat kaya raya. Memang sejak dari kecil, beliau hidup senang-lenang bersama ayah saudaranya.

Hatta sehingga umat Islam berhijrah ke Madinah, dia tegar untuk tinggal di Madinah selama hampir 3 tahun semata-mata untuk mengajak bapa saudaranya itu kepada Islam. Akhirnya pada suatu hari, setelah tidak berjaya memujuk bapa saudaranya itu, beliau berhajat untuk berhijrah. Bapa saudaranya telah mengugut beliau dengan katanya, “Sekiranya engkau ingin bersama Muhammad, tinggalkan semua harta yang aku pernah berikan padamu itu.”

Apa yang dilakukannya? Adakah dia takut diancam dan diugut sedemikian?

Tidak, dia menyerahkan semua harta bapa saudaranya semula termasuk pakaian yang dipakainya menyebabkan tidak ada yang tinggal pada dirinya melainkan sehelai kain kasar yang dibelah dua, untuk menutup auratnya.

Semua itu untuk apa?

ISLAM …

Suhaib Ar-Rumi pada saat ingin berhijrah, dia telah ditahan oleh kafir Quraisy. Apa yang mereka pinta? Mereka minta Suhaib meninggalkan semua hartanya di Makkah. Kata mereka, “Dulu engkau datang dengan tidak ada apa-apa, sekarang engkau mesti meninggalkan Makkah dalam keadaan tidak ada apa-apa juga.”

Kalaulah kita di posisi itu, diugut untuk tinggalkan semua kemewahan dan pangkat kedudukan kita, agaknya apa yang kita akan lakukan?

Suhaib setuju untuk tinggalkan SEMUA hartanya, bukan sebahagian, bukan juga diambil sedikit daripada hartanya itu.

Untuk apa Suhaib melakukan itu?

ISLAM …

Mus’ab bin Umair, pemuda kacak dan kaya raya. Minyak wanginya yang semerbak harum dan mahal harganya itu tidak ada siapa pun yang mampu milikinya. Mahal tak mahalnya minyak wangi beliau, siapa sahaja yang melalui lorong yang pernah dilaluinya, selepas 2 jam, pasti akan terbau lagi wangiannya itu.

Namun, ditinggalkan semua itu semata-mata untuk Islam. Bahkan, diugut pula oleh ibunya untuk tidak makan selagi beliau tidak kembali kepada agama nenek moyang mereka, namun jawapannya menyebabkan ibunya berputus asa akhirnya.

Diriwayatkan bahawa ketika dihantar sebagai utusan Rasul s.a.w. di Madinah, tidak ada satu pintu pun yang tidak diketuk oleh Mus’ab untuk menyampaikan Islam.

Bahkan, ketika syahidnya beliau, kain untuk menutup jenazahnya pula tidak mencukupi, ditutup muka nampak kaki, ditutup kaki, nampak pula muka. Berbeza sungguh dengan hayatnya sebelum Islam.

Mereka yang gigih berkorban, mendokong Islam dalam kehidupan mereka.

Mereka tidak memandang Islam sebagai persoalan remeh dan semata-mata teori. Tetapi, mereka bumikannya dalam kehidupan mereka.


KITA HARI INI SEKADAR PENYOKONG ATAU PENDOKONG ?

Kalau penyokong bola itu hanya pandai menjerit-jerit, kritik sana sini, maka yang bernama ‘penyokong’ Islam itu hanya sekadar bijak bermain teori, jauh sekali praktikal dalam hidup.

Kalau ada sekalipun, Islam itu diceduk sebahagian dan ditinggalkan sebahagian yang lain.

Menjaja nama Islam di serata cara semata-mata untuk menghalalkan tindak-tanduknya, membenarkan konsep dan ideologi-ideologi bertuhankan materialisme.

Kalau hanya sekadar penyokong, Islam itu baginya tidaklah penting. Kehidupannya untuk mencari rezeki, bekerja itu dirasakan lebih penting.

Kalau hanya sekadar penyokong, maka tidak apalah jika solat dilaksanakan, namun jauh sekali cara hidup yang bersyariatkan Islam apalagi sistem perundangan dan pentadbiran yang berasaskan nafsu dan kepentingan duniawi.

Islam dipandang terpisah daripada kehidupan. Sedangkan Islam itu adalah cara hidup yang sempurna dan menyeluruh.

Kalau hanya sekadar penyokong, maka urusan dakwah dan mendidik ummat ini, dipandang sebagai satu kejelikan, diganti pula dengan dakyah kuffar dan jahiliah yang bebas bermaharajalela menggantikan sistem tarbiyah (pendidikan) Islam sebenar.

Kalau hanya sekadar penyokong, maka tidak ada bezanya kita dengan Abdullah bin Ubai bin Salul di zaman Rasul s.a.w. Mulut lain, hatinya lain. Di Madinah, ‘pijak semut tidak mati, pijak gajah mati’, begitu baik sekali sikapnya ketika bersama masyarakat Islam.

Namun,ternyata kemunafikannya itu bilamana dia mengkhianati tentera Islam di medan perang, membawa keluar para pengikutnya dengan harapan dapat mengkucar kacirkan tentera Islam, namun Allah tetap tidak mengizinkan.

Berhentilah menjadi hanya sekadar ‘PENYOKONG’.

Ia tidak membawa apa-apa kebaikan pada kita. Tidak juga di depan Allah nanti.

Bahkan, ia bukanlah kualiti yang dikehendaki untuk membangunkan ummat ini.

Kualiti ‘PENDOKONG’ itulah yang kita hajati.

Adakah para penyokong bola sepak dapat menikmati bersama ganjaran yang dimenangi oleh pasukan sokongan mereka?

TIDAK…

Sekali-kali tidak..!


PENUTUP : TENTUKAN POSISI ANDA !

Murabbi saya, Cikgu Azmi Bahari pernah menyebut kata-kata Dr Majdi Al-Hilali yang cukup menyentuh :

“Hari demi hari, luka-luka baru menjaluri tubuh ummat sedang luka-luka semalam belum menampakkan tanda-tanda akan sembuh.”

Luka-luka yang terhasil kerana kejahilan, berpecah belah, ketidakfahaman umat Islam terhadap Islam itu sendiri.

Esok lusa, bertambah besar dan bertambah banyak luka-luka itu.

Siapa yang akan merawat luka-luka itu?

Tiada siapa lagi yang boleh diharapkan melainkan diri kita sendiri.

KITA SENDIRI…

Kita perlu menjadi PENDOKONG ISLAM !

Lalu di mana posisi kita?

Tentukan…

Adakah anda adalah jurulatih? Atau striker? Midfielder? Defender? Atau lastman? Atau gol keeper?

Itu sahaja pilihan anda…

Jangan beri peluang pada diri anda untuk memilih di antara menjadi penyokong atau pendokong, tapi pilihan yang ada buat diri kita hanyalah menjadi PENDOKONG !

Anda perlu berada di atas ‘padang’ ini bersama-sama memahami Islam yang sebenar, mengatur dan merancang strategi serta mengenal musuh jahiliah dan strateginya.

ISLAM itu praktikal yang hidup !

Kalau hanya sekadar jadi penyokong, kita telah me‘matikan’ Islam untuk terus gencar dan tersebar serta menjadi contoh di muka bumi ini!

Thursday, December 16, 2010

Nota Tarbiyah : Islam Secara Total

Pemisahan antara ISLAM dan JAHILIAH,
pertentangan antara IMAN dengan KUFUR


Islam itu tidak pernah sama dengan jahiliah.

Jalannya berbeza, matlamat dan halatujunya juga tidak sama.

Islam tidak pernah akan berkongsi dengan jahiliah dalam keadaan apapun.

Islam yang dicampuradukkan dengan nilai-nilai jahiliah yang rosak itu akan mengakibatkan kerosakan pada Islam semua sekali.

Yang baik tetaplah baik.

Yang buruk tetaplah buruk.

Baik + buruk = BURUK

Sebab itu, Islam tidak sekali-kali dapat menerima titik pertemuan dengan jahiliah.

Kerana jahiliah itu gelap-gelita dan merosakkan kehidupan.

Sedang Islam itu cahaya dan membahagiakan hidup.


NILAI PENGASINGAN : CAMPUR ADUK YANG MEROSAKKAN

Kita tidak sekali-kali dapat menyatukan nilai Islam dan jahiliah dalam kehidupan.

Tidak ada titik yang dapat mempertemukan keduanya kerana masing-masing berbeza hala tuju dan sistem.

Bagai utara dan selatan bezanya. Bagai timur dengan barat jauhnya.

Namun, jahiliah abad moden ini datang dalam pelbagai bentuk millah (sembahan) yang tidak disedari oleh manusia.

Ia mungkin datang dalam bentuk kepelbagaian agama yang jelas di mata kita seperti Buddha, Kristian, Yahudi dan sebagainya

Namun, ia juga datang dalam bentuk Islam yang pelbagai perisa dan warna, cara hidup yang berkiblatkan materialisme semata-mata serta hukum akal yang diterimapakai tanpa hadnya di serata dunia, meninggalkan hukum Tuhan.

ISLAM ?

Umat Islam hari ini jauh ketinggalan sebenarnya.

Bahkan dihina seteruk-teruknya dan sepuas-puasnya oleh militer jahiliah yang bebas bermaharajalela tanpa mampu untuk kita berbuat apa-apa.

Agensi-agensi dan badan-badan pertubuhan yang ada sebenarnya telah dimanfaatkan untuk kuasa jahiliah.

Hatta pertubuhan-pertubuhan besar dunia yang sekalipun menjaja rata nama Islam, namun tidak ada satu tindakan nekad untuk mempertahankan Islam.

Sekadar resolusi-resolusi kosong yang tiada hentinya, dirancang dan dimeterai untuk menyejukkan ummat saat dunia ditimpa kehangatan seperti isu Palestin, Islamofobia dan sebagainya.

Islam difitnah, dihina dan dicemarkan dengan unsur-unsur yang tidak sepatutnya bahkan yang melakukannya adalah umatnya sendiri. ‘Memalit tahi pada cara hidupnya sendiri, akhirnya memalukan diri.’

Inilah kesan mencampur adukkan nilai IMAN dan KUFUR.

Allah s.w.t. telah lama mengingatkan kita tentang hal ini dalam surah Al-Imran,85 yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mencari selain Islam sebagai cara hidupnya, maka sekali-kali tidak akan diterima, dan dia di akhirat kelak termasuk golongan yang rugi.”

Tidak ada persekongkolan antara ISLAM dan JAHILIAH.

Tidak sekali-kali.

ISLAM itu adalah kita melaksanakan apa yang Allah kehendaki dan apa yang Allah suka ke atas kita.

Berbeza dengan jahiliah yang melaksanakan apa yang dikehendaki oleh Taghut, yang jauh bertentangan dan mengingkari arahan dan perintah Allah.

Mana mungkin ada persamaan kedua-duanya?

IMAN itu akan bawa ke syurga.

KUFUR itu jawapannya di pintu neraka.

Lantaran itu, adakah sama jalan ke syurga dan jalan ke neraka?

Saya berikan anda perumpamaan yang cukup mudah untuk difahami.

Bolehkah orang yang melakukan solat dalam masa yang sama dia juga melakukan zina?

Orang yang berpuasa tetapi mengumpat orang ?

Nak pahala, tapi CINTAKAN dosa, dapat ke ganjaran Allah?


KESAN YANG MELAMPAUI ZAMAN : ISLAM MENGIKUT KETETAPAN ALLAH ATAU SELERA MASYARAKAT?

Rasul s.a.w. satu ketika dahulu datang berseorangan di Tanah Arab jahiliah membawa Islam. Beliau mendidik seorang demi seorang bermula dengan isterinya, diikuti sepupunya serta sahabat karibnya.

Kemudian datanglah pengikut-pengikut dan para pendokong Islam selepas itu meyakini dan mengimani ajaran yang dibawa oleh baginda s.a.w.

Merekalah yang telah membentuk dan menjadi Jilul Quranil Farid (Generasi Al-Quran yang Unik) sehingga diiktiraf di dalam Al-Quran.

Rasul s.a.w. telah mendidik dan membentuk Jilul Quran ini supaya tunduk kepada Allah s.w.t. dalam semua hal, bukan hanya pada sebahagian hal.

Lihatlah kesan daripada pengambilan Islam secara total, kesannya jauh melampaui zaman.

Mereka sudah tidak ada, namun Islam yang mereka bawa itu terus sampai kepada kita pada hari ini.

Namun, persoalannya, adakah kita mengambil Islam secara total dalam kehidupan kita sama seperti mereka?

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah, 208 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan (total) dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya ia adalah musuh kamu yang nyata.”

Islam itu tidak lengkap dan sempurna jika kita mengambilnya mengikut citarasa kita.

Mana-mana bahagian yang kita suka pada Islam, itulah yang kita amalkan.

Bahagian yang kita tidak suka atau tidak selesa, kita tolak Islam.

Kita mengambil Islam dalam bab solat, perkahwinan namun kita menolak Islam dalam bab perundangan dan pentadbiran.

Bolehkah Islam tertegak?

Kita mengambil Islam dalam bab pengurusan jenazah, tetapi meninggalkannya dalam bab tatacara kehidupan dan pemikiran kita.

Mungkinkah Islam itu tertegak dengan mengikut citarasa kita?

Islam itu tidak mungkin tertegak jika kita meninggalkan sebahagian dan mengambil sebahagian sahaja (juz’i). 

Mengambil Islam secara juz’iah akan merosakkan kehidupan ummat baik dari aspek individu, keluarga mahupun masyarakat.

Islam itu telah syumul (lengkap), kamil (sempurna), dan mutakamil (komprehensif) kerana ia datang daripada Allah s.w.t. Ia bukan rekaan mahupun ciptaan manusia bernama Muhammad bin Abdullah itu.

Sesiapa yang memilih sebahagian dan menolak sebahagian yang lain daripada Islam, maka ia telah merendah-rendahkan Allah dalam kehidupannya.

Kenapa?

Kerana dia telah menganggap seolah-olah Allah Yang Maha Agung ini tidak bijak dan lemah dalam meletakkan Islam sebagai neraca kehidupan manusia.

Lalu, dia pun menampal-nampal Islam itu dengan tempelan-tempelan yang hakikatnya sangat lemah, namun kerana nafsu dan logik akal yang tiada henti-henti berputar, maka dianggapnya Islam tempelan itu sempurna bagi dirinya dan masyarakat.

Murabbi saya, iaitu Cikgu Mohd Abdoh Zainal Abidin (MAZA) pernah berpesan:

“Kita nak bangunkan Islam, perlu mengambil Islam yang ditetapkan oleh Allah, bukan mengikut selera masyarakat.”

Islam perlu diambil sepenuhnya daripada apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Jika kita mengambilnya mengikut citarasa kita atau selera masyarakat, maka kita tidak sekali-kali dapat membangunkan Islam dalam kehidupan kita dan masyarakat.


PENUTUP : AMBILLAH ISLAM SEMUA SEKALI ATAU TINGGALKANNYA SEMUA SEKALI

As-Syahid Sayyid Qutb pernah berpesan:

“Selangkah kamu melangkah ke jahiliah, selamanya kamu meninggalkan Islam.”

Islam tidak pernah sekali-kali dapat menerima jahiliah.

Orang-orang yang memilih Islam sebagai sistem kehidupannya, maka dia perlu mengambil Islam secara total dalam kehidupannya dan meninggalkan jahiliah secara total juga.

Simpati atau kasihan dengan memberi sedikit ruang pada jahiliah untuk bersama dengan kita hanya akan merosakkan Islam yang kita miliki.

Apabila Islam diterima, jahiliyah perlu ditolak.

Tidak mungkin berlaku perkongsian antara jalan ke syurga dan jalan ke neraka.

Matlamatnya berbeza, maka wasilah untuk sampai kepada kedua-duanya juga berbeza.

Jalan ke syurga itu dipenuhi dengan ranjau dan duri sedang jalan ke neraka itu penuh kesenangan dan keseronokan syahwat.

Bahagia di sini, belum tentu menjamin bahagia di sana.

Mahu merasai kelazatan iman & kemanisan Islam?
Ambillah ISLAM semua sekali !

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP