Sunday, December 5, 2010

Ilmu Kompas Perjalanan Hidup

Ilmu itu umpama cahaya

Saya cuti sekarang ini. Lama juga cuti saya sementara menanti keluar keputusan exam saya.

Saya terfikir sesuatu semasa cuti panjang ini.

Ya. Selain program-program perkhemahan, kursus perguruan dan lain-lain itu, ada sesuatu yang lebih saya inginkan dan saya sangat rasa ghairah untuk mendapatkannya.

Apa itu?

MENUNTUT ILMU.

Begitu ‘dahaga’ rasanya cuti ini bila sangat sedikit kesempatan untuk talaqqi (menuntut ilmu secara berdepan) terus dengan ustaz-ustaz.

Memang membaca itu salah satu jalannya. Namun, ilmu itu lebih berkesan dan lebih kita fahami bila kita berguru.

Entah kenapa begitu dahaga sekali rasanya untuk berguru dan menuntut ilmu.

Sekali-sekala mendengar kuliah di masjid dapat juga menghilangkan sekejap ‘dahaga’ itu.

Kadang-kadang saya selalu download video-video ceramah ustaz-ustaz Malaysia serta syeikh-syeikh seperti Yusuf Al-Qaradawi, Said Ramadhan Al-Buti dan lain-lain.

Kadang-kadang saya suka singgah di blog-blog yang banyak menulis soal fiqh dan perbahasannya untuk membaca dan menambah ilmu.

Alhamdulillah, saya dapat sesuatu meskipun tidak banyak.

Saya rasa rugi sekali jika sesaat pun saya membazirkannya tanpa berbuat apa-apa.

Sebab itu, seboleh mungkin saya juga usaha untuk membaca beberapa buah buku karya ulama’-ulama’ muktabar seperti As-Syahid Sayyid Qutb dengan karyanya yang sangat menggugah jiwa, Dr Yusuf Al-Qaradawi, Al-Marhum Ust Fathi Yakan dan lain-lain.

Kurang-kurang saya mendapat manfaat ilmu dari bacaan saya meskipun tidak banyak, namun, Alhamdulillah, mengisi sedikit ‘kedahagaan’ itu.


GOLONGAN ‘AHLI ILMU’

Al-Marhum Murabbi yang saya cintai, Ust Dahlan Mohd Zain pada suatu hari pernah menyebut tentang perihal golongan berilmu kepada saya tatkala ziarah saya ke rumahnya.

Katanya golongan orang berilmu ini ada 4 golongan semuanya sambil diceritakannya dalam bahasa Arab dan diterjemahkannya:

(1)      Golongan yang mengetahui (ada ilmu), dia tahu bahawa dia tahu, maka dia seorang alim

(2)      Golongan yang tidak mengetahui (tiada ilmu), dia tahu bahawa dia tidak tahu, maka dia seorang pelajar

(3)      Golongan yang mengetahui (ada ilmu), tetapi dia tidak tahu bahawa dia tahu, maka dia seorang yang perlu dipandu dan ditunjuk jalan(mustarsyid).

(4)      Golongan yang tidak mengetahui (tiada ilmu), tetapi dia tidak tahu bahawa dia tidak tahu, maka dia seorang jahil.

Tahu bahawa dia tahu?
Tahu dia tak tahu?
Tak tahu dia tahu???

Hehe…
Kenapa banyak sangat perkataan TAHU?

Saya mula-mula dengar pun jadi keliru, banyak sangat perkataan tahu. Bila baca teks arab yang asal, lebih mudah untuk kita fahami sebab tak berbelit seperti bahasa Melayu (pendapat saya saja).

Inilah 4 golongan itu.

Kita di golongan yang mana agaknya?

Alhamdulillah jika kita adalah daripada kalangan golongan 1 dan 2.

3 pun masih baik, namun perlukan bimbingan.

4?

Golongan yang ke-4 ini bakal binasa. Sudah lah tidak tahu atau tiada ilmu, tetapi dia pun tak tahu bahawa dirinya itu jahil, tidak berilmu. Terus beramal dalam kejahilan. Terus hidup tanpa ada rasa inginkan perubahan.


MENUNTUT ILMU ITU WAJIB DAN PERLUKAN KESUNGGUHAN

Saya sangat terkesan dengan hal ini sejak berada di MATRI.

Bukanlah bermakna sebelum itu saya bermalas-malas dalam pelajaran saya.

Tetapi, saya dapat sesuatu yang menentukan dan menjelaskan halatuju saya dalam menuntut ilmu.

Apa itu?

REDHA ALLAH.

Menuntut ilmu untuk mengejar redha Allah.

Mana mungkin kita ini sampai kepada redha Allah tanpa ilmu.

Solat perlukan ilmu.

Hidup perlukan ilmu.

Berbuat yang maaruf(baik) dan tinggalkan yang mungkar (buruk) pun perlu ada ilmu.

Untuk faham Islam, perlu kepada ilmu.

Sedangkan nak belajar pun ada ILMUNYA !
Adab belajar itu sendiri adalah ilmu dalam proses belajar.

Semuanya perlukan ilmu. Bahkan proses menuntut ilmu itu sendiri adalah sebahagian daripada usaha kita mencapai redha Allah.

Sabda Nabi s.a.w. yang mafhumnya:

“Menuntut ilmu itu fardhu ke atas setiap muslim”

Nabi s.a.w. sendiri mewajibkan kita untuk menuntut ilmu.

Jika kita mengabaikan proses menuntut ilmu itu, atau tidak bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, maka kita sebenarnya telah bermain-main dalam usaha untuk mengejar redha Allah!

Tidak menyiapkan kerja atau assignment yang diberi oleh guru.

Selalu dan sengaja tidur dalam kelas.

Tidak menumpukan perhatian dalam bilik kuliah.

Tidak ulangkaji usai mempelajari sesuatu bab.

Inilah jenayah-jenayah yang berlaku dalam proses menuntut ilmu. Tidak bersungguh-sungguh untuk mengejar redha Allah. Bukankah orang yang beriman dan berilmu itu orang yang lebih sensitif dengan imannya kepada Allah?

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Sesungguhnya hanya yang takutkan Allah itu adalah daripada golongan ulama’ (orang-orang berilmu).”

Takutkan Allah itu ada kaitannya dengan iman.

Allah ‘highlightkan’ dalam ayat ini, adalah golongan yang beriman dan berilmu.

Iman itu sepatutnya memacu kesungguhan kita dalam proses menuntut ilmu.
Barulah dengan itu, langkah tidak akan goyah.

Al-Marhum Ust Dahlan pernah mengajar saya ketika saya masuk ke MATRI seawal tingkatan 1.  Beliau ajar tulisan khat. Apa ayat paling awal yang beliau tulis untuk kami salin?

  ~ من جدّ وجد ومن زرع حصد ~ 

Maksudnya: “Barangsiapa yang bersungguh-sungguh, maka dia akan menuai hasilnya.”

 Inilah ayatnya.

Beliau mahu supaya anak-anak didiknya bersungguh-sungguh dalam kehidupan.

Bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.
Bertanya bila tidak tahu.

Bersungguh-sungguh dalam menjaga hak Allah dan hak sesama manusia.

Bersungguh-sungguh dalam menjaga Islam sebagai sistem kehidupan.

Itulah inspirasi dan rahsia kejayaan. KESUNGGUHAN !


KONGSI CERITA

Saya pergi kenduri baru-baru ini.

Duduk dengan seorang pak cik.

Dia pun mengeluarkan cerita. Kononnya, perempuan kalau belajar tinggi, akhirnya akan menjadi suri rumah juga dan mengikut suami. Kalau suami tak bagi kerja, belajarlah setinggi manapun, tetap suri rumah. Katanya dia ada seorang anak perempuan, belajar ekonomi dulu, memang hebat dan pandai dalam bidang itu, tetapi akhirnya kahwin berhenti menjadi suri rumah sahaja.

Huh. Pemikiran sempit, detik hati saya ketika itu.
Seribu kekesalan dalam hati saya.

Untuk tujuan itu sahajakah proses menuntut ilmu yang panjang itu?
Kalau sekadar menuntut ilmu untuk mendapatkan kerja, lebih baik tidak perlu diteruskan.

Ulama’-ulama’ silam seperti Imam Syafie’, Ibn Qoyyim Al-Jauziyah, Ibn Taimiyah dan ramai lagi seperti mereka mempunyai ilmu yang begitu tinggi dan mantap bukan sahaja dalam satu bidang, tetapi dalam pelbagai bidang. Tidak pula ada kerisauan tentang pekerjaan bagi mereka.

Aisyah r.a., isteri Nabi s.a.w., ilmunya cukup banyak kerana lama bersama Rasulullah sejak kecil lagi. Namun, tidak pernah diungkit isu pekerjaan ketika itu.

Ya. Tidak salah jika kita merancang halatuju kehidupan, kerjaya dan sebagainya. Namun, tanggungjawab menuntut ilmu itu tetap perlu diikhlaskan untuk menggapai redha Allah.

Ikutkan hati saya, ingin saja saya bertanya pak cik itu, macam mana isteri pak cik didik anak-anak di rumah ye? Ikut suka je atau dengan ilmu?

Isteri pak cik di rumah masak dengan apa jika tiada ilmu?

Kalau wanita muslimah itu tidak memiliki ilmu, jadi mana mungkin ada tandingannya dengan wanita kafir yang tidak sudah-sudah menampilkan dirinya di celah masyarakat dunia.

Kalau wanita muslimah itu tiada ilmu, maka bagaimana mungkin terbentuk anak-anak yang soleh dan solehah dalam keluarga muslim?

Fikirlah sebelum cakap. Cakap biar ada asasnya. Bukan main ikut lepas.

Ilmu itu bukan untuk lelaki sahaja. Bukan juga untuk wanita sahaja. Bukan juga untuk golongan berkedudukan dan berada sahaja. Tetapi, ia untuk semua.

Menuntut ilmu adalah untuk REDHA ALLAH, bukan semata-mata untuk mencari kerja !


PERUBAHAN TIDAK DATANG DENGAN SENDIRI

“We need to change”

~Kita perlu berubah ~

Kata yang sangat sinonim dalam kehidupan kita tambah di musim Awal Muharam ini.

HIJRAH.

Kuasa hijrah itu memang begitu kuat. Sampai hari ini kesannya. Sebab itulah Khalifah As-Tsani, Saidina Umar Al-Khattab r.a. memilih nama untuk tahun Islam dengan nama Hijrah. Sungguh tepat pemilihan Saidina Umar.
Kita sendiri yang perlu berubah jika inginkan kemajuan.

Ilmu tidak sekali-kali datang kepada kita jika kita tidak berusaha mencari dan menambatnya.

Satu kata-kata Imam Syafie’ yang selalu diulang oleh Al-Marhum Ust Dahlan:

"العلم لا يعطيك بعضه حتى تعطيه كلك"

Maksudnya: “Ilmu itu tidak akan beri sebahagian pun darinya sehinggalah kamu serahkan semua diri kamu kepadanya.”

Perubahan itu asasnya dengan ilmu, iman dan hidayah.

Jika ilmu pun malas dicari, mana mungkin hidayah Allah datang menjengah?

Kata Imam Syafie’ lagi:

“Jika kamu hendakkan dunia, maka hendaklah dengan ilmu. Jika kamu hendakkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu hendakkan kedua-duanya, maka hendaklah juga dengan ilmu.”

Nah, sudah terbukti akan pentingnya ilmu dalam kehidupan.

Jadi, apa ditunggu lagi…?

Kejarlah ilmu di mana pun kalian berada !

0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP