Menghadapi Hari Dengan Penuh Kekuatan
Salam buat semua saudara pembaca...
Alhamdulillah, kita mengangkat setinggi rasa syukur kepada Allah s.w.t. kerana mengizinkan kita untuk terus berada di muka buminya pada hari ini. Dengan pelbagai nikmat dan kurniaan-Nya pada kita, kita hari ini dapat menikmati pelbagai kesenangan dan kenikmatan. Kesenangan dan kenikmatan yang dikecapi ini kadangkala membuatkan kita terlupa hingga kita mengabaikan tugas dan tanggungjawab yang berada di pundak bahu kita. Lumrah hidup ini, tidak setiap hari adalah hari yang gembira buat diri kita. Kadangkala ada hari yang menyedihkan, ada hari yang membuatkan kita berasa marah dan ada hari yang kadangkala membuatkan kita terasa begitu terkilan dan kecewa. Adakalanya kita terasa hari yang kita telah lalui adalah hari-hari yang kosong buat diri kita. Tidak bermakna apa-apa. Tiada nilai dan tiada gunanya. Lantaran itu, jiwa kita terisi dengan pelbagai perasaan yang mendidik hati kita sama ada untuk meneruskan hidup ini dengan penuh keazaman ataupun sebaliknya.
Allah berfirman dalam surah Al-Ankabut yang bermaksud:
1. Alif, Laam, Miim.
2. Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Inilah kehidupan seorang mukmin yang sebenar. Setiap saat dalam kehidupannya adalah ujian buat dirinya. Kesusahan dan kesukaran adalah ujian buat dirinya. Kenikmatan dan kesenangan juga adalah ujian buat dirinya. Namun mukmin yang benar-benar memahami hakikat perhambaannya kepada Allah s.w.t. maka dia berusaha menempuh setiap ujian dengan baik. Ketika diuji kesenangan, maka dia bersyukur, ketika susahnya dia, maka bersabar adalah yang terbaik buat dirinya. Semuanya ditempuh dengan cara terbaik semata-mata untuk membuktikan dirinya adalah yang terbaik di hadapan Rabb-Nya. Rasulullah s.a.w. bahkan pernah bersabda yang mafhumnya:
"Sungguh ajaib orang beriman, setiap yang dilakukannya semuanya baik. Ketika dia dalam kesenangan dan kenikmatan, dia bersyukur. Ketika diuji dengan kesusahan dan kepayahan, maka dia bersabar. "
Sememangnya diakui susah untuk kita bersabar apabila ditimpa ujian. Namun inilah yang terbaik buat diri kita. Iman yang menjadi sumber kekuatan kita. Apabila iman telah benar-benar bertapak di hati kita, maka setiap langkahan dalam kehidupan kita pasti disinari dan dipandu oleh iman kita. Andai kata kita lemah di tengah perjalanan kehidupan, maka imanlah yang akan memberi kekuatan semula kepada kita. Lantaran itu, iman ini boleh kita umpamakan sebagai akar kehidupan kita. Hilang kesuburan iman, maka hilanglah kebahagiaan hidup ini. Justeru, apabila kita menyebut akar, maka ia perlu disirami dan dibajai agar melaluinya tumbuhlah pokok yang sihat dan dapat memberi manfaat untuk kita. Begitulah juga iman, ia perlu sentiasa disirami dan dibajai dengan aktiviti dan program yang mengembalikan ingatan dan meningkatkan hubungan manusia dengan Rabb-Nya yang Maha Agung lagi Maha Kuasa. Dengan cara ini, stamina iman akan dapat ditingkatkan kembali.
Kekuatan sebenar datang dari jiwa yang benar-benar beriman dan yakin kepada Allah s.w.t. dalam kehidupan. Kekuatan tidak diukur sekadar memiliki tubuh badan yang sasa. Kesihatan juga tidak dinilai semata-mata melalui kesihatan fizikal. Tetapi kekuatan sebenar adalah kekuatan iman kepada Allah dan kesihatan hati yang sentiasa tunduk kepada perintah Rabb-Nya. Inilah sumber kekuatan kita yang asli. Orang yang lemah sebenarnya apabila hatinya kosong daripada mengingati Allah. Oleh sebab itu, penuhilah wadah hati dengan iman yang sebenar kepada Allah. Letaklah Allah sebagai tempat pergantungan utama dalam kehidupan. Allah pasti membantu hamba-hambaNya yang tunduk dan menyerahkan diri kepada-Nya. Moga kita juga tergolong dalam kalangan hamba Allah yang benar-benar ikhlas dalam perhambaan kita kepada-Nya, InsyaAllah...
0 comments:
Post a Comment