Saturday, January 17, 2009

[ [Hidup Satu Anugerah ]]

Setibanya di KL Sentral pagi itu, saya terus mencari tempat untuk berehat seketika. Selepas Subuh sekitar pukul 7.30 hingga 8.00 pagi, orang ramai berpusu-pusu menuju ke kaunter tiket LRT untuk mendapatkan tiket LRT ke tempat kerja mereka. Masing-masing saya lihat begitu sibuk dengan diri sendiri hingga tidak sempat untuk bercakap walaupun sepatah perkataan. Menyaksikan keadaan hidup yang sebegini rupa membuatkan saya kadang-kadang terfikir seolah-olahnya manusia abad 21 ini kehidupan mereka sudah dirancang dan diprogramkan oleh orang lain, bukanlah diri mereka sendiri yang merancang dan menyusun atur kehidupan mereka. Pagi pergi kerja, balik petang dah letih malamnya tidur. Esok pun macam tu. Sehinggakan tiada ruang untuk berkasih mesra sesama jiran sebelah rumah mahupun masyarakat awam. Mungkin segelintirnya tidaklah seperti yang saya katakan.



Kehidupan ini seolah-olah dipusatkan sepenuhnya untuk tuntutan kerjaya dan mencari wang supaya boleh memiliki kehidupan yang lebih baik. Bukan di KL saja, bahkan tempat-tempat lain juga. Kalau nak dinilai, generasi yang ada pada hari ini tidak sama dengan generasi dahulu. Pernah seorang ustaz cakap pada saya "Generasi hari tak kuat macam generasi dulu. Generasi dulu kalau panjat pokok jatuh pokok tak patah tulang, tapi generasi hari kalau panjat pokok jatuh pokok mesti sakit tu sakit ni sampaikan patah tulang." Dulu, maksiat dan kemungkaran adalah satu perkara yang sangat luar biasa jika berlaku di suatu tempat, tapi hari ni maksiat dan kemungkaran berleluasa seolah-olah menjadi uruf dalam masyarakat kita. Masyarakat hari ini juga majoritinya tidak pandai bermesra. Seperti yang ceritakan di atas tadi, kalaulah tak sempat nak cakap walau sepatah pun, sekurang-kurangnya kita senyum. Itu dah cukup untuk mengikat hati kita dengan orang lain. Tetapi walaupun satu senyuman, ia seolah-olah begitu mahal dan susah untuk terukir di bibir masyarakat kita pada hari ini.



Kehidupan yang ada dalam masyarakat hari ini seolah-olahnya kehidupan untuk mereka sendiri. Lantaran itu, kemungkaran dan maksiat berleluasa lantaran sikap masyarakat yang 'malu' untuk menegur, mengamalkan sikap mementingkan diri dan tidak menjaga tepi kain orang. Hari ini apabila peratusan gejala sosial semakin meningkat terutamanya di kalangan remaja kita, masing-masing menuding jari menyalahkan ibu bapa, menyalahkan polis, menyalahkan jabatan agama Islam, meyalahkan segala-galanya tapi terlupa untuk menyalahkan diri sendiri...Inilah kehidupan yang penuh dengan pembohongan, penuh dengan penipuan. Kehidupan yang dikurniakan oleh Illahi disia-siakan untuk masa depan yang gelap dan menghancurkan diri. Kehidupan yang dimiliki bukan lagi menjadi satu anugerah bahkan menjadi satu beban buat diri. Hakikatnya, setiap insan yang hidup di atas muka bumi ini perlu mengetahui dan memahami kehidupan di dunia ini hanya sementara. Bila tibanya saat kita, maka selamat tinggallah dunia yang fana!

Lantaran itu, kehidupan ini perlu dijiwai melalui hubungan kita dengan Allah s.w.t. Nikmat kehidupan adalah anugerah Allah dan Allahlah yang akan memberi melalui kehidupan itu kebahagiaan yang hakiki dengan syarat kita tunduk dan patuh kepada-Nya dengan sepenuh jiwa kita. Perhambaan kita hanya untuk Dia. Bila mana kasih kepada Allah yang kita utamakan, maka Allah akan membuka hati kita untuk kasih kepada manusia lain. Sebab itu Umar Abd Aziz apabila ditanya bagaimana dia melakukan dengan begitu baik ketika zaman pemerintahannya sehinggakan tidak ada orang yang layak menerima zakat kerana semuanya memiliki kehidupan yang baik dan serigala jika bertemu dengan kambing tidak makan kambing itu. Begitu aman dan damai ketika pemerintahan Saidina Umar Abd Aziz. Maka dijawabnya,"Aku membaiki hubunganku dengan Rabbku (Allah), maka Allah membaikkan hubunganku dengan manusia." Justeru, hidup ini perlulah sentiasa kita hayati di dalamnya makna perhambaan kita kepada Allah. Seandainya kita mengetahui betapa untungnya hidup apabila memiliki Allah sebagai Rabb, pasti kita akan meninggalkan usaha kita mengejar dunia yang fana ini sebaliknya kita akan bersungguh-sungguh dalam usaha kita mendekati Allah s.w.t. agar Allah sayang dan kasih kepada kita. Wallahu a'lam. Inilah anugerah kehidupan...

0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP