Sunday, August 11, 2013

Victim Mentality Dalam Diri Amilin Harakah Dakwah




Dakwah itu adalah output daripada penyertaan diri kita dalam proses tarbiyah.

Tarbiyah yang terus-menerus diikuti tanpa diiringi dengan proses dakwah akan melahirkan pengikut yang mandul.

Sebab itulah, tarbiyah tanpa dakwah hanyalah sia-sia. Begitulah antara kata-kata yang dipetik dari al-marhum murabbi tarbiyah, Ustaz Dahlan Mohd Zain.

Melaksanakan kerja dakwah itu menuntut kepada pengorbanan. Pengorbanan ini tidak akan kita fahami sehingga kita sanggup memberikan masa, harta hatta nyawa kita sendiri untuk kerja dakwah ini.

Tuntutan berkorban ini tidak akan dapat dijayakan sekiranya di dalam diri para amilin masih mempunyai victim mentality yang tinggi.


Mindset Mangsa

Seorang mangsa itu sentiasa perlukan orang untuk menyelamatkan dirinya, untuk membuatkan dia rasa tenang dan senang, untuk menyediakan makan minum untuknya, menyediakan tempat yang baik untuknya berteduh.

Mudah cakapnya, mangsa itu adalah orang yang perlu dilayan.

Dia belum mempunyai keberdayaan untuk berkhidmat untuk dirinya sendiri apalagi kepada masyarakat.

Mindset mangsa adalah mindset menerima.
Sedangkan dakwah itu adalah mindset memberi.

Dakwah itu adalah mengajak. Bila kita ingin mengajak manusia kepada sesuatu, maka tidak dapat tidak kita perlu memiliki sesuatu untuk diberikan kepada manusia supaya dapat mengajak manusia kepada sesuatu itu.

Pepatah Arab mengatakan, "فاقد الشيئ لا يعطيه"
Maksudnya, “Orang yang tidak memiliki apa-apa tidak akan boleh memberi apa-apa.”


Jalan Dakwah Tidak Dibentang Permaidani Merah

Jalan dakwah tidak dibentang dengan permaidani merah, tidak selalu mendapatkan nikmat kesenangan disuapkan anggur dan makanan mewah di mulut sebagaimana yang dinikmati oleh para pembesar dan penguasa di mahligai-mahligai mereka.

Ia bahkan sentiasa ditaburi dengan onak duri dan ranjau yang berliku.

Untuk menempuhi jalan penuh ranjau dan duri ini, maka ‘mindset mangsa’ yang hanya selalu mahu dirinya dirai dan dilayan perlu dirawat. Di jalan dakwah, para amilin harus tahu bahawa dia tidak akan selalu mendapatkan penghargaan dan diraikan. Di jalan dakwah juga, para amilin tidak akan selalu menikmati kesenangan-kesenangan dunia seperti orang lain.

Masa lapang akan selalu dituntut sehingga seakan-akan tiada masa untuknya berehat. Hartanya yang bertambah dengan susah mungkin juga akan dikeluarkan dengan mudah untuk infaq dan belanja dakwah. Tenaganya mungkin akan selalu dikerah.

Sunnah dakwah Rasul s.a.w. memperlihatkan kepada kita bahawa jalan dakwah tidak sunyi dari cabaran dan ujian sekiranya kita berjalan di atas manhaj yang benar sebagaimana yang dimulakan oleh Rasul s.a.w.

Kesusahan baginda menyampaikan kebenaran tidak selalu dihargai oleh masyarakat sekitarnya bahkan ada lagi yang melemparkan caci maki dan tohmahan kepadanya.

Sesusah apakah dakwah yang telah kita lakukan sehingga kita mahu berputus asa sebelum mula mencuba? Adakah sesusah Rasul s.a.w. sehingga dilemparkan perut unta yang penuh najis dan berbau busuk? Adakah separah tubuh baginda yang telah dilukakan dan gusinya yang telah ditembusi besi dalam perang Uhud? Adakah selapar baginda sehingga harus mengikat 2 ketul batu di perutnya?



Merawat ‘Mindset Mangsa’ Dengan Kesediaan Memberi

Kesediaan memberi adalah manifestasi kepada erti pengorbanan.

Orang yang ikhlas memberi bermaksud dia telah menyatakan kesanggupan pada dirinya untuk tidak menerima apa-apa balasan baik balasan berupa ucapan ‘terima kasih’ ataupun hadiah balasan.

Kesediaan memberi tidak hanya di dalam dakwah, tetapi memaknakannya juga di dalam ukhuwah.
Tidak ada dakwah tanpa ukhuwah. Dakwah yang mengabaikan ukhuwah adalah dakwah yang kosong rohnya serta menjadi seruan bersifat teknikal semata-mata.

Rasa ukhuwahlah yang menolak kita untuk melakukan kerja-kerja dakwah ini. Ukhuwah yang tumbuh dari perasaan cinta dan kasih, cinta terhadap saudara-saudara kita yang mana satu hari akan pulang bertemu Allah bersama dengan kita. Kita risau terhadap diri kita di hadapan Allah kelak dalam masa yang sama kita merisaukan juga saudara-saudara kita.

Rasa kecintaan inilah yang membentuk kesanggupan memberi dalam jiwa kita.

Kesanggupan untuk memberikan tenaga dan penyertaan yang maksimum dalam kerja-kerja dakwah.
Kesanggupan untuk melibatkan diri dengan aktif dalam memikirkan dan menggerakkan usaha dakwah.
Kesanggupan untuk sentiasa mendahului dalam bersangka baik terhadap sesama amilin dakwah. 

Kesanggupan untuk sentiasa bersabar melihat kelemahan amilin lain dan usaha memperbaiki mereka.
Kesanggupan untuk turun terlibat dalam gerak kerja-kerja di medan dan lapangan selain daripada gerak kerja di bilik-bilik dan dewan seminar.
Kesanggupan untuk berpartisipasi dalam pemecahan dan penyelesaian masalah dakwah yang timbul dalam kalangan amilin lain walaupun ia sebenarnya bukanlah masalah kita.

Kesediaan untuk memberi ini tidak akan akan dapat dicapai sekiranya kita masih mempunyai mindset mangsa yang hanya inginkan kesenangan dan kemanjaan, dirai dan dilayan dengan baik, takut untuk menempuh risiko dengan melakukan percubaan dan pembaharuan.

Dakwah itu kerja bahagia dan membahagiakan. Tetapi bila kita ingin hanya diri kita saja yang merasa bahagia dan dibahagiakan, barangkali kita perlu memeriksa semula komitmen kita dalam kesanggupan memberi untuk dakwah.

Kita masih belum berdakwah sebenarnya bila kita masih belum bersedia untuk memberi dan mengorbankan apa yang ada pada kita.

Apakah kita akan terus selesa hanya dengan mengikuti majlis-majlis tarbiyah semata-mata tanpa kita sendiri mula serius melakukan usaha dakwah?


Penutup : Sudah Masanya Untuk Kita Serius Memetakan Wajah Dakwah Kita

Agar kita keluar dari victim mindset ini kepada mindset menjadi seorang murabbi, maka sudah masanya untuk kita serius memetakan wajah dakwah kita. Sampai bila kita hanya mahu menjadi mutarabbi, mahu diri dilayan dan diberi, mahu murabbi sentiasa di sisi? Kita sendirilah yang perlu bergerak menjadi murabbi, yang bersedia berdepan dengan masalah mutarabbi, yang bersedia bersabar dan bersangka baik dalam kerja sesama amilin harakah, yang bersedia untuk jalan terus dalam usaha dakwah meski tanpa murabbi di sisi.

Abu Bakar as-siddiq sesudah menerima seruan dakwah Rasul s.a.w., dia telah mula memetakan hidupnya dengan dakwah dan menggerakkannya sekaligus yang akhirnya membentuk ramai kader-kader baru yang berkualiti.

Dia tidak menunggu sempurna, tidak juga menunggu Rasul sentiasa berada di sisi, tetapi telah mula membentuk ramai pendokong baru dakwah.

Dia juga tidak menunggu dirai dan dilayan bagaikan raja, dia sendiri telah keluar ke masyarakat Quraisy untuk membaca Al-Quran secara terang-terangan sehingga dibelasah dan dipukul oleh masyarakat Quraisy.

Kerana dia telah memetakan hidupnya dengan dakwah, maka dia memandang bahawa dia perlu memberi apa yang dimiliki oleh dirinya kepada Islam. Itulah yang menyebabkan terbina rasa kesanggupan yang tinggi dalam dirinya untuk memberikan miliknya kepada perjuangan dakwah bersama Nabi s.a.w.

Begitu juga sahabat-sahabat yang lain.

Atas kesanggupan memberi itulah yang akan membentuk rasa keperluan kita untuk pembaikan diri.

Selama kita tidak memberi, sentiasalah kita tidak akan pernah merasai urgensi tarbiyah serta penyusunannya dalam kehidupan kita.

Kita akan terus mengikut dan mengikut proses tarbiyah tetapi kita tidak akan memiliki visi sebagai perubah ummat. Tetapi persoalannya, sampai bila?

Dengan misi besar harakah untuk membentuk masyarakat Islam, apakah posisi kita sebagai pengikut dengan victim mentality itu akan melayakkan harakah melakukan kerja-kerja sedemikian?

Mari rawat mindset mangsa ini.

1 comments:

Ana Abdullah December 29, 2013 at 1:54:00 PM GMT+8  

Syukran kathir...moga thabat dan diberi kekuatan agar terus diatas jalan dakwah...insyaAllah..

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP