Monday, July 29, 2013

Menguruskan Sumber Manusia Dalam Organisasi Dakwah



Organisasi dakwah adalah organisasi yang mengumpulkan pelbagai lapis manusia yang mempunyai pelbagai latar belakang baik dari segi pekerjaan, umur dan sebagainya. Kepelbagaian manusia ini bukan untuk dikumpulkan untuk meramaikan bilangan ahli dalam organisasi dakwah semata-mata apalagi untuk dihalakan pada satu bidang kerja yang sama sahaja.

Tetapi kepelbagaian manusia ini perlu diuruskan dengan baik agar kepakaran serta potensi mereka di bidang mereka masing-masing dapat dimanfaatkan dan disusun atur untuk maslahat masa depan dakwah.

Sebab itu, memposisikan manusia dalam gerak kerja dan strategi dakwah adalah satu yang amat penting.

Mengabaikan aspek ini akan menyebabkan dakwah kita tidak berkembang dengan baik dan potensi sumber-sumber manusia yang ada bersama dengan kita itu akan terbazir begitu sahaja kerana tidak diposisikan dengan baik.



Bagaimana Rasul S.A.W. Menguruskan Sumber Manusia

Untuk menguruskan sumber manusia yang ada di dalam organisasi dakwah, tidak dapat tidak perlukan kepada proses taaruf (berkenal-kenalan). Kita mesti kenal siapa dan bagaimana sifatnya para pendokong dakwah yang berada di dalam organisasi kita.

Nabi s.a.w. pernah suatu ketika mengutuskan Mus’ab bin Umair sebagai utusan baginda untuk menyebarkan dakwah, menyampaikan Islam di Madinah Al-Munawwarah.

Kenapa Nabi memilih Mus’ab untuk melakukan tugasan ini?

Ya, kerana tugasan membuka pintu dakwah di tempat yang belum tersebarnya Islam ini bukanlah satu kerja yang mudah. Ia memerlukan kepada kesungguhan dan perjuangan yang besar.

Dan Nabi s.a.w. telah melakukan taaruf dengan Mus’ab bin Umair. Baginda s.a.w. tahu bahawa Mus’ab bin Umair adalah orang yang paling layak untuk diposisikan sebagai utusan dakwah ke Madinah.

Kesungguhan Mus’ab bin Umair untuk melakukan perubahan pada dirinya sendiri suatu ketika dahulu semasa hendak memeluk Islam adalah salah satu bukti kenapa dia adalah orang yang paling layak. 

Meninggalkan kekayaan dan kemewahan hidupnya yang dia telah bergelumang di dalam kesenangan seperti itu semenjak kecil lagi, bukanlah suatu yang mudah. Tetapi Mus’ab telah membuktikan.

Kesanggupannya melakukan perubahan besar pada dirinya sendiri itu adalah salah satu ciri yang memberikan tanda bahawa dia mampu melakukan perubahan besar juga pada masyarakatnya.

Dan Mus’ab telah membuktikan hal itu sehingga dikisahkan di dalam riwayat, hampir tidak ada pintu yang tidak diketuk oleh Mus’ab bin Umair ketika melakukan kerja-kerja dakwah di Madinah. Hasil daripada dakwah yang dilakukannya itu juga telah membuahkan ramai mad’u baru yang sebahagiannya telah membaiah Rasul s.a.w. di dalam Perjanjian Aqabah.

Mus’ab telah membuktikan bahawa dia adalah orang yang selayaknya untuk berada di posisi itu.

Begitu juga dalam peristiwa hijrah ke Habsyah. Mengapa Nabi s.a.w. memilih Jaafar bin Abi Talib, sepupunya itu sebagai ketua rombongan atau jurucakap bagi kaum muslim? Kenapa tidak dipilih saja sahabat-sahabat lain yang ramai lagi bersama di dalam rombongan itu?

Kerana Jaafar mempunyai kepakaran dan potensi dalam bercakap serta menyampaikan mesej dakwah dengan baik.

Lihatlah ucapan Jaafar kala utusan musyrikin Makkah ketika itu datang menuntut mereka dari Najasyi. Ucapannya sarat dengan mesej yang jelas akan tujuan kedatangan mereka, tidak berselindung dan tidak samar-samar, segalanya jelas. Itu menyenangkan hati Najasyi untuk terus memberikan perlindungan kepada mereka. Juga di dalam riwayat dinyatakan, pada akhirnya Najasyi masuk Islam namun tidak diketahui oleh rakyatnya.

Rasul s.a.w. telah meletakkan orang yang sesuai semisal Jaafar di posisi itu untuk menjadi jurucakap. Bukan suatu yang mudah untuk bercakap penuh tenang dan menyampaikan mesej dengan baik pula dalam zaman yang kita membawa suatu perjuangan baru di dalamnya dan ditentang oleh ramai orang pula.

Namun, Jaafar telah membuktikan bahawa pilihan Rasul s.a.w. ke atas dirinya itu adalah pilihan yang tepat.


Menghargai Sumber Manusia Dan Kepakaran Mereka

Sumber manusia yang ada di dalam organisasi dakwah jangan diabaikan atau diketepikan. Kepakaran mereka perlulah diberi perhatian.

Letakkan mereka di posisi yang sesuai dengan kepakaran yang ada pada mereka.

Seseorang yang mempunyai kemahiran bercakap janganlah diletakkan menjadi pengikut dan pendengar semata-mata.

Seseorang yang mempunyai keinginan bekerja yang tinggi janganlah disekat semangatnya itu dengan hanya menghadiri usrah mendengar penyampaian-penyampaian semata-mata tanpa ada apa-apa projek.

Seseorang yang mempunyai kemampuan di bidang dakwah ammah (umum) sehingga dapat menarik minat ramai orang janganlah dipaksa menguruskan dakwah fardhiah (individu) semata-mata.

Seseorang yang minat berkarya dan terlibat dalam bidang kesenian seperti melukis, video dan sebagainya jangan dimatikan potensinya dengan meletakkannya di bidang kerja-kerja pejabat.

Hargai sumber manusia dan kepakaran yang berada di dalam organisasi kita agar kita bisa mengembangkan dakwah ini lebih jauh dan lebih luas.

Bila manusia diletakkan di posisi sesuai dengan bidang kepakaran ataupun potensi yang ada padanya, maka pasti dia akan dapat memaksimumkan hasil di bidang itu. Berbeza jika dia diletakkan di tempat yang bukan bidang kepakaran atau potensinya untuk dakwah, mungkin dia boleh melakukan kerja di bahagian itu tetapi hasilnya tidaklah sebaik mana.

Alangkah ruginya perjalanan gerak kerja organisasi dakwah yang mengabaikan kepakaran dan potensi anak-anak buahnya. Dakwah susah untuk berkembang luas, banyak bidang kemahiran diabaikan, organisasi dakwah menjadi mundur dan tidak begitu dikenali pula oleh masyarakat.


Penutup : Uruskan Sumber Manusia Di Setiap Peringkat Organisasi

Di setiap peringkat organisasi baik di peringkat para syuyukhnya, pemudanya mahupun remajanya, maka pengurusan sumber manusia jangan diabaikan.

Setiap peringkat itu mempunyai sasaran perkembangan dakwahnya yang tersendiri. Maka, memberdayakan sumber manusia sesuai dengan potensi, kepakaran dan kemahirannya adalah sesuatu yang penting agar dakwah kita dapat berkembang baik di setiap peringkat.

Jangan abaikan, sekat apalagi membunuh potensi sumber manusia yang ada pada kita. Barangkali kita akan menghadapi masalah perselisihan faham dan sebagainya dalam menguruskan potensi yang ada di dalam organisasi kita ini, tetapi rawatlah perselisihan dan segala penyakit yang timbul dengan tarbiyah dan tazkiyah.

Dakwah harus terus dikembangkan. Pembinaan harus terus dilakukan.

Jangan kerana masalah-masalah kecil menimpa kader-kader dakwah lantaran perbezaan faham menghalang gerak kerja yang lebih besar. Jangan sampai masalah antara kader menyebabkan kita merasa hasad terhadap saudara kita sendiri sehingga kita tidak lagi meletakkannya sesuai dengan posisi yang selayaknya bagi dirinya dalam gerak kerja dan strategi dakwah.

Uruskan dan susun atur sumber manusia dengan baik di samping jangan melupakan aspek penerusan tarbiyah dan tazkiyah (penyucian jiwa) agar yang menjadi frontline dakwah tidak melampau sampai melebihi batas, agar yang bekerja di belakang tabir tidak merasa rendah diri sehingga mahu berhenti.

Seimbangkan susun atur sumber manusia dengan penerusan tarbiyah. 

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP