Thursday, March 15, 2012

Menghikmahkan Bahasa Lidah


Bagaimana menghikmah bahasa lidah?
~ Picture by http://zinoi.deviantart.com/


Cakap dengan buat adalah dua perkara berbeza.

“Mad jangan merokok. Ayah nampak Mad merokok je, siaplah Mad.”

Pada hari yang lain pula, “Ayah, hari tu ayah tak bagi Mad merokok. Kenapa ayah pula yang merokok?”

“Ah, kau diamla. Kau tu budak lagi. Apa kau tahu? Aku orang tua. Lain.”

Nampaknya si ayah memiliki dua karakter berbeza dalam diri.
Bahasa ‘lidah’ dan bahasa ‘badan’ yang tidak senada.

Si anak sudah mula keliru dalam menentukan nilai.

‘Baik ke buruk sebenarnya rokok ni?’ Dan ia akan lebih cenderung kepada bahasa badan biasanya, kerana itu lebih dekat dan jelas di matanya berbanding bahasa lidah yang mudah sekali dilupakan.



HIKMAH BAHASA LIDAH ADA PADA BAHASA BADAN

Manusia lebih mudah mencontohi apa yang ada di depan matanya. Nampak secara ‘live’, bukan yang dibuat-buat mahupun yang hanya setakat kencang dan lebat di mulut sahaja.

Sebab itu, dalam menghikmahkan bahasa lidah, maka bahasa badan sangatlah memainkan peranan penting.

Kalau bahasa lidah biasanya one-way process, tetapi bahasa badan pula banyak memberi impak pada two-way process di mana orang yang melihat apa yang kita buat, akan terpengaruh dengan tindakan kita itu.

Two-way process ini telah lama ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Baginda tidak banyak menuturkan kata melainkan apa yang dituturkan itu ada hikmahnya.

Kenapa tutur kata Nabi dikumpulkan sehingga dibukukan oleh Imam Bukhari dan imam-imam muhaddis lain? Hebat sangatkah tutur kata Nabi itu sehingga dikumpulkan dengan sebegitu sekali?

Oh, sudah tentulah. Kerana pada bahasa lidah Nabi itu, telah terserap hikmah bahasa badannya.
Ia tidak membuktikan amal dengan katanya. Tetapi ia membuktikan katanya dengan amalnya.


KISAH SEORANG TUK GURU DAN KULIAH ‘SABAR’

Ada sebuah kisah yang seringkali dikongsikan oleh guru saya.

Kisah seorang tuk guru lepasan Pondok di Kelantan dengan pengajiannya yang bertajuk ‘Sabar’.

Al-kisah maka berlangsunglah pengajian tuk guru itu dengan anak-anak muridnya.

“Sabo itu bla bla bla…. Kita mesti ada sabo…. Sabo ni terbahagi kepada sekian sekian…buke sene nak sabo…. Sabar itu bla bla bla, sabar ini bla bla bla…” sehinggalah tamat kuliah sabarnya.

Ketika turun dari surau untuk pulang ke rumah, tuk guru itu pun mencari seliparnya.
Dicari, cari, tidak jumpa jumpa juga. Akhirnya, …

“Nate mano ambil selipor ambo ni.”
“Sabar, tuk guru, sabar. Tuk guru baru je ajar tajuk ‘Sabar’ tadi kan.”
“Tulah aku kata, buke sene nak sabo ni !”

Situ juga yang diambil tuk guru itu. Dari banyak-banyak bahasa lidah yang dituturkannya dalam kuliahnya, di situ juga yang dipilihnya untuk di’senada’kan dengan bahasa badannya.

Rosaklah hikmah bahasa lidah disebabkan bahasa badan.


PERIBADI KITA, MENENTUKAN SIAPA DIRI KITA

Orang tidak tentukan peribadi kita berdasarkan percakapan kita semata-mata.

Kita boleh memperdaya manusia dengan tutur kata kita, tetapi tidak sekali-kali peribadi kita.
Apa yang terzahir dari diri kita, itulah sebenarnya peribadi kita.

Kalau kita ni jenis pengotor, pengotor jugalah cara menguruskan diri itu.
Kalau kita ni jenis orang yang berdisiplin dan berjadual, apa-apa yang kita buatpun mesti nak kena strict dengan jadual.

Kalau kita ni jenis orang tak peduli, apa-apa hal yang berlaku pada masyarakat sekitar kita pun, kita buat endah tak endah saja.

Kerana itulah bahasa badan kita.
Ada orang boleh cakap dan syarah panjang lebarnya tentang apakah itu Islam, kenapa perlu kepada Islam, tetapi dalam peribadinya jauh sekali dari apa yang dituturkannya itu.

Ada orang biasa-biasa saja kita lihat dirinya. Tak adalah pandai cakap sangat pun. Tetapi, amalnya jauh lebih benar dari orang yang pandai bercakap itu.


KENAPA KAMU CAKAP APA YANG KAMU TIDAK BUAT?

Kita selalu baca surah as-Soff ayat 2 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu bercakap apa yang kamu tidak lakukan?”

Dan Allah sambung lagi dalam ayat yang ke-3 dengan amaran tentang murka-Nya :

“Amat besar kebencian di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan.”

 Maka, tidak padanlah kalau hikmah hanya ketika bertutur kata, tetapi tidak hikmah melenggokkan kata dalam amal kita.

Bukan mengundang murka Allah yang seketika, tetapi kekal berzaman menanggung seksa di neraka.

Tidak ada salahnya untuk kita bercakap, tambah-tambah yang berkaitan dengan hal kebenaran dan hidayah Allah. Bahkan, sangat digalakkan. Biar bertambah hari, bertambah ramai yang tertarik hatinya untuk mendalami Islam ini.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w. yang mafhumnya :

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah bercakap perkara yang baik atau diam saja.” [HR Bukhari Muslim]

Tetapi, ia tidak cukup berhenti setakat membiaskan kata pada tutur kata saja.
Biarlah terbias juga kata itu pada peribadi kita.

Biar orang melihat Islam itu dari sudut pandang yang ‘live’.


PENUTUP : RASULULLAH ADALAH MISAL AMALI (CONTOH LIVE)

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. adalah contoh yang terbaik.

Pada menghikmahkan bahasa lidahnya, Rasul s.a.w. telah membuktikannya pada peribadi mulianya yang disanjung oleh kawan mahupun lawan.

Kita, di manakah?

Bahasa lidah bergerak lebih laju dari bahasa badan atau bagaimana?

Banyak bercakap, sedikit amal kebaikannya, tidak akan membuahkan apa-apa kesan baik kepada diri kita mahupun orang di sekeliling kita.

Banyak bercakap, hodoh pula peribadinya, pun hanya akan menambah rosak imej Islam.

Perbaikilah peribadi biar selari dengan apa kita tuturkan.
Pada bahasa badan, hikmahkanlah bahasa lidah !

3 comments:

mujahid abdullah March 15, 2012 at 11:17:00 AM GMT+8  

Akhlak lebih memberi kesan drpd percakapan..

.::: mr IQ :::. March 16, 2012 at 7:55:00 AM GMT+8  

benar sekali...
pak cik Rosdi selalu cakap term ini "Fasih dalam diam"..

Aliff May 27, 2012 at 11:41:00 PM GMT+8  

plz tlg

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP